Sunday, March 21, 2010

PEMBOHONGAN 16 SEPTEMBER

(Utusan Malaysia)

DALAM pertemuan dengan penulis pada 11 Mac lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyatakan bahawa beliau akan membuat ucapan penting di sidang Dewan Rakyat pada 15 Mac.
''Selepas itu, saya serahkan kepada rakyat untuk memikirkannya,'' itulah kata beliau tanpa menyatakan apa isi kandungan ucapan penting tersebut.

Ternyata pada tarikh berkenaan, Zahrain yang buat pertama kalinya melangkah ke Parlimen sebagai ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari melakukan ucapan yang menggegarkan arena politik negara.



Zahrain mendedahkan mengenai rancangan 16 September 2008 yang otak perancangnya ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika selama ini, impian 16 September tidak begitu diketahui secara terperinci selain daripada cita-cita songsang Anwar untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi apa yang didedahkan oleh Zahrain cukup menggemparkan.

Anwar dalam mencapai cita-cita itu atau lebih tepat lagi memenuhi khayalannya untuk menjadi Perdana Menteri sanggup mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Tujuan Penasihat PKR itu adalah mudah iaitu hendak menyakinkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa kononnya dua pihak paling berkuasa di negara ini berada di belakangnya.
Dalam mana-mana juga negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan angkatan tentera menjadi tonggak kekuatan, sudah pastilah penggunaan nama itu boleh menggerunkan sesiapa sahaja.

Tetapi Anwar terlupa ahli-ahli Parlimen BN tidaklah sebodoh yang disangkakan. Atas sebab itulah perancangan 'jahat' beliau untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang gagal.

Akhirnya, impian 16 September Anwar mendedahkan siapa diri beliau sebenarnya. Beliau kini dilihat bukan sahaja pemimpin yang rakus, malah sanggup mempergunakan nama sesiapa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya.

Tindakan Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM, adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan. Anwar cuba menyeret dua institusi berkenaan ke dalam gelanggang pertarungan politik berikutan kekecewaan selepas pakatan pembangkang yang diketuainya gagal menumbangkan kerajaan BN.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Anwar bukannya tidak tahu bahawa dua institusi berkenaan tidak seharusnya diseret dalam kancah politik.

Tetapi Anwar tidak peduli kesan akibat pendustaan yang beliau lakukan. Apa yang penting bagi beliau ialah ke Putrajaya, walaupun tindakan itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik institusi tersebut tetapi juga mengkhianati mandat yang telah diberikan kepada BN oleh rakyat.

Kita tidak harus lupa selain pembohongan yang dilakukan oleh Anwar dalam agenda 'gila' itu, Anwar juga berjaya memperdaya rakan-rakan dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Pas dan DAP.

Gagal

Sebab itulah apabila rancangan 16 September gagal, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sememangnya menentang perbuatan lompat parti mengeluarkan kenyataan yang cukup keras pada 8 Februari 2009, apabila menegaskan, Anwar tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.

"Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini," kata Karpal.

Tetapi kemarahan Karpal hanyalah seketika apabila Anwar terus dibenarkan memimpin pakatan pembangkang, biar pun kini jelas Anwar adalah pemimpin politik yang mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Walaupun kini segala tembelang dan 'topeng raksaksa pelbagai wajah' Anwar sudah didedahkan oleh Zahrain, namun pemimpin-pemimpin pembangkang masih setia ingin menyokong beliau sebagai pemimpin utama mereka.

Ia terbukti apabila Zahrain diserang hebat oleh pemimpin-pemimpin berkenaan termasuklah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap oleh Anwar ketika dalam kerajaan bahawa beliau 'ulama terompah'.

Secara tiba-tiba Nik Abdul Aziz bercakap soal tipikal ahli politik Melayu yang mendedahkan kepincangan bekas parti mereka. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak pula mahu mengulas apa pula dosa Anwar apabila melakukan pembohongan dengan mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM.

Apakah kerana pendedahan itu melibatkan Anwar maka segala pendustaan dan penipuan oleh Ketua Pembangkang tersebut boleh 'dihalalkan'? Yang manakah lebih berdosa mendedahkan kebenaran seperti mana dilakukan oleh Zahrain atau pembohongan yang dibuat oleh Anwar?

Penulis yakin tidak semua pemimpin dan ahli Pas berkongsi pandangan dengan Nik Abdul Aziz biarpun beliau seorang Mursyidul Am. Ia kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

''Sebenarnya, pendedahan Zahrain telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam Pas kerana tidak semua dalam parti sukakan Anwar,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Jika pembangkang menganggap pendedahan Zahrain disebabkan beliau sudah menjadi 'askar upahan' kepada BN, kenapa mereka tidak mendesak Anwar supaya membuat penjelasan bagi membersihkan namanya.

Tindakan meninggalkan sidang Dewan Rakyat dan menganggap 'itulah bahana apabila sudah menjadi alat UMNO'', bukanlah tindakan yang bijak kerana ia hanya mendedahkan Anwar kepada tuduhan bahawa beliau hakikatnya tidak sanggup menerima kebenaran yang dipaparkan oleh Zahrain dan seorang yang pengecut untuk mempertahankan diri.

Jika beliau di pihak yang benar sudah pasti Anwar tidak akan ke London untuk bertemu kawan baiknya yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.

Ini kerana tuduhan Zahrain adalah serius dan memerlukan jawapan balas daripada beliau tetapi Anwar tahu segala yang Zahrain dedahkan adalah satu kebenaran. Sebuah kebenaran tidak boleh ditutup bak kata lagu Jay Jay dalam lagu Rindu Bayangan; ''berputar-putar membelitkan kata-kata'' - yang sebelum ini menjadi 'alat' untuk Anwar meraih sokongan sebahagian rakyat.

Penipuan

Justeru adalah jelas, Anwar tidak berdaya menutupi tembelangnya sehingga terpaksa meninggalkan sidang Dewan Rakyat supaya 'telinganya tidak terus panas' mendengar satu demi satu penipuan yang beliau lakukan.

"Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.

"Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas 'serangan' yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan 'menenangkan' diri di Eropah," kata penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Apabila politik matlamat menghalalkan cara yang dirancang oleh Anwar terdedah melalui impian 16 September, ramai yang tertanya-tanya, apakah Pas yang memperjuangkan Islam akan terus bersekongkol dengan pemimpin seumpama itu?

Selama ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering menegaskan bahawa Pas ingin berkuasa melalui proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar bertentangan sama sekali dengan semangat Pas yang menurut Abdul Hadi adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat.

Mungkin ada yang akan berhujah bagaimana pula dengan kejayaan BN menguasai semula Perak apabila tiga wakil rakyat pembangkang mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas.

Antara kes di Perak dan impian 16 September ia adalah berbeza. Ini kerana BN Perak tidak pernah mempergunakan nama sesiapa untuk menarik sokongan tiga wakil rakyat berkenaan, mereka keluar daripada PKR dan DAP dengan sukarela.

Ini berbeza dengan Anwar yang terlalu inginkan kerusi Perdana Menteri sehingga sanggup berbohong dan menghantar ahli Parlimen pembangkang ke Taiwan bagi memujuk ahli Parlimen BN. Tidakkah tindakan Anwar itu mengkhianati semangat demokrasi yang Abdul Hadi dan Pas uar-uarkan?

Oleh itu sebagai parti yang berhasrat menegakkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin Pas sudah tentu memahami bahawa Anwar sememangnya tidak layak menjadi pemimpin mereka.

Mana mungkin sebuah parti seperti Pas terlalu mengagung-agungkan pemimpin yang mengamalkan politik seperti Anwar yang sekali gus akan mencemarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

Kini terserahlah kepada parti-parti pembangkang untuk menilai siapa ketua yang mereka kagumi itu dan kepada sebahagian rakyat yang masih taksub melihat Anwar sebagai 'pemimpin yang bersih dan murni'.

Apa pun kesimpulannya, pendedahan oleh Zahrain telah membuka wajah sebenar insan bernama Anwar Ibrahim dan membuktikan impian 16 September dilumuri dengan perancangan yang penuh dengan pembohongan, penipuan, pendustaan dan pengkhianatan, namun akhirnya kebenaran pasti memusnahkan kebatilan.

No comments: