Friday, August 6, 2010


KERAJAAN KELANTAN WUJUDKAN DAERAH KECIL LOJING

Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kanan) melihat replika pelan pembangunan Jajahan Kecil Lojing Kelantan di Lojing, semalam. - Gambar Utusan

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam berkenan melancarkan kawasan Lojing yang berkeluasan 1,817 kilometer persegi sebagai Jajahan Kecil Lojing (JKL).

Pada majlis itu, baginda turut meletakkan batu asas bagi pembinaan Masjid Keputeraan Lojing, iaitu masjid pertama dibina di kawasan itu serta bersalaman dengan penduduk.
Lojing mencatat sejarah tersendiri apabila kawasan berkeluasan 1,817 kilometer persegi yang terkenal dengan pusat pertanian itu semalam secara rasminya diisytiharkan sebagai satu daripada 11 jajahan di Kelantan.

Jajahan Kecil Lojing meliputi daerah Hau, Betis dan Sigar dengan jumlah penduduk seramai 5,613 orang yang sebahagian besarnya adalah Orang Asli.

Ia terletak bersempadanan dengan pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang dengan jarak 10 kilometer dan dihubungkan melalui jalan Gua Musang-Cameron Highlands dan turut dihubungkan dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai, Perak.

Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah pusat pentadbiran Jajahan Kecil Lojing bertempat di Pos Sigar bagi menyelaras segala urusan berkaitan pembangunan di jajahan baru itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kawasan itu akan menempatkan pelbagai jabatan kerajaan termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan, Majlis Daerah Lojing, Pejabat Agama, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pertanian, Pejabat Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Kebajikan Masyarakat.

"Ia turut menempatkan agensi kerajaan yang terbabit di peringkat awal ini termasuk Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Kelantan Sdn Bhd," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jajahan Kecil Lojing di Kampung Penangau, di Lojing semalam.


Nik Abdul Aziz berkata projek pembinaan pejabat kerajaan itu akan dilaksana secara berperingkat. Taburan penduduk di situ adalah Orang Asli seramai 4,113 orang; Melayu (200) dan selebihnya terdiri daripada lain-lain bangsa.

Beliau berkata Lojing kini mempunyai jumlah penduduk seramai 5,613 orang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa dan terdapat juga lebih kurang 1,300 pekerja asing yang bekerja di situ.

Lojing yang terkenal dengan pusat pertaniannya dan terletak kira-kira 120km dari bandar Gua Musang berpotensi untuk dijadikan pusat agro-tourism.
Menteri Besar berkata dengan persekitaran semula jadi yang masih lagi terpelihara serta lokasinya yang strategik, jajahan Lojing mampu menarik pengunjung yang ingin mencari kelainan yang ada di Kelantan.

"Saya cukup optimis dengan masa depan Lojing, udaranya masih bersih serta, pengunjung boleh menikmati sayur dan buah-buahan yang masih segar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak perasmian pembukaan Jajahan Kecil Lojing, pada hari kelamrin (Rabu).

Nik Abdul Aziz berkata selain penaiktarafan Lojing, jajahan kecil itu juga mempunyai kemudahan jalan raya yang selesa kerana jajahan itu terletak di antara laluan Gua Musang-Cameron Highland, di Pahang dan laluan itu juga turut menghubungkan negeri-negeri Pantai Barat melalui Tapah, Perak dengan Kelantan.

Beliau berkata Lojing juga mempunyai infrasturuktur yang lengkap.

Bagaimanapun beliau mengharapkan kawasan persekitaran jajahanini kekal dengan alam semula jadi tanpa banyak berlaku penerokaan hutan sebagaimana yang berlaku di sesetengah tempat lain.

"Saya hendak semuanya terpelihara dan saya mahu pegawai daerah cari sungai lebih kurang 10 kilometer untuk pelihara ikan dan kita buka setahun sekali untuk aktiviti memancing, ini semua penting bagi mengekalkan alam semula jadi," katanya.

PEMAIN BOLASEPAK JERMAN DIKECUALIKAN BERPUASA?

Pemain bola sepak profesional beragama Islam mungkin boleh makan seperti biasa menjelang bulan Ramadan bermula Rabu depan berikutan satu kata sepakat telah dilakukan di antara pemimpin Islam dan pegawai sukan Jerman.

Dewan Pusat Muslim di Jerman telah membuat perbincangan bersama badan bola sepak profesional negara itu dan meminta nasihat dari ulama Islam bagi menyelesaikan pertikaian terhadap pemain yang berpuasa.

Universiti Al-Azhar di Kaherah membuat kesimpulan bahawa pengecualian dari berpuasa di bulan Ramadan boleh dilakukan oleh pemain profesional.

Pihak berkuasa terkemuka di Sunni Islam, Al- Azhar menulis, “kontrak di antara pemain dan pasukan memerlukan pemain memberikan persembahan terbaik dan jika ini adalah satu-satu sumber pendapatan mereka, yang memaksa bermain ketika puasa, mereka dibenarkan untuk makan.” demikian menurut laporan AFP dari Berlin

PERTUNJUKAN ULAR DI MUZIUM NEGERI

PUTERI Nurariani Saiful Yazan 'bemesra' dengan sebahagian ular ketika membuat persembahan pada Pameran dan Pertunjukan Ular di Muzium Negeri, Kota Bharu, Kelantan. 5 Ogos 2010. - Gambar Utusan

ISU UMNO RANTAU PANJANG AKAN SELESAI DALAM MASA TERDEKAT

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mohd Yassin berkata semalam, krisis pentadbiran UMNO bahagian Rantau Panjang dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat selepas pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Harapannya begitulah. Mudah-mudahan.

Tidak ada maknanya pegang jawatan penting dalam parti tetapi kalah pilihan raya.

Abdullah berkata beliau dan bekas kepimpinan lama UMNO bahagian itu akan hadir pada mesyuarat pertama yang akan dipengerusikan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu petang ini.

"Pada asasnya, semua program UMNO Bahagian Rantau Panjang berjalan seperti biasa di bawah pentadbiran saya selaku Ketua Bahagian, cuma pentadbiran diambil alih sementara oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri," katanya.

Abdullah berkata demikian diminta mengulas kenyataan Mustapa yang dilaporkan berkata di Jakarta kelmarin, bahawa antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah mengukuhkan perpaduan anggota parti bahagian itu dan merangka program dalam usaha memenangai pilihan raya umum akan datang.

Mustapa berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat itu ialah mengukuhkan perpaduan anggota dan merangka program-program bagi mengembalikan kekuatannya dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Suatu masa dahulu Rantau Panjang merupakan kubu kuat Barisan Nasional di Kelantan dan kita rasa ada potensi sekiranya pihak-pihak yang bertelagah dapat bekerja sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita di akhir lawatan tiga hari ke Indonesia di Jakarta.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan pada Jun lepas.

Satu mesyuarat dijalankan oleh Abdullah manakala satu lagi oleh bekas ketua bahagian itu Datuk Mohd Zain Ismail.

Berikutan itu Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan meminta Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

Abdullah berkata beliau tidak menghadapi masalah dalam mentadbir UMNO bahagian itu dan sentiasa turun ke peringkat akar umbi dalam menjalankan apa-apa program berkaitan dengan parti.

Katanya beliau yakin 27,000 anggota UMNO dalam bahagian itu boleh menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.