Friday, October 30, 2015

Perang Husam & Kerajaan PAS Kelantan Meledak Lagi Isnin Ini?


Apakah Datuk Husam Musa (PAS-Salor) diberikan peluang mengemukakan soalan berkaitan isu pembalakan Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, bermula Isnin ini?

Atau apakah lima soalan Husam akan ‘ditenggelamkan’ begitu sahaja?

Ia  agar tidak menjadi ‘perang terbuka pada sidang DUN’ dan kemudian diviralkan di media sosial dan dilapor media cetak dan elektronik?

Isu ini menarik minat ramai kerana sebagai penyokong kerajaan, nampaknya Husam kini beralih seperti ‘pembangkang’, pada setiap persidangan DUN Kelantan sejak tidak menyertai kerajaan pimpinan PAS itu bermula 2013.

Tidak diketahui sejauh mana soalan itu akan menjadi punca ‘perang mulut’ dan susulan perang dingin antara Husam dan kerajaan PAS Kelantan.

Sidang DUN Kelantan minggu depan sudah pasti panas dan soalan Husam mungkin menjadi antara isu utama yang dimainkan oleh media sosial dan media tempatan.

Husam mengemukakan lima soalan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam sidang DUN yang akan bermula Isnin depan.

Menghangat keadaan mengenai isu berkenaan kelmarin, seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin di negeri ini.

Reaksi kepada laporan itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yako menegaskan Kelantan sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu.

Husam sebelum ini mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Malah Husam juga menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.


Laporan Bernama (lihat juga Malaysiakini) pada  9 Oktober 2013, memetik Husam ketika membahaskan usul Belanjawan 2014 Kerajaan Kelantan menyebut, ADUN Salor itu membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang itu dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos 2013.

Tegasnya ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baru di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam juga berkata syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu. Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.



Sebenarnya soalan di DUN itu sebagai mengotakan janji yang dibuat Husam ketika menjadi penal forum anak muda, ‘Servival PAS dalam  Politik Malaysia’ di Dewan Himpunan China Selangor pada 2 Oktober 2013.

Dalam forum itu, Husam berkata, beliau akan menjalankan tugasnya selaku ADUN biasa di Kelantan dan perkara yang paling sensitif bagi beliau adalah tentang alam sekitar termasuk pokok.

Pada persidangan DUN Isnin ini, ADUN Salor itu tetap bimbang akan berlaku kesuntukan masa termasuk kekangan sidang peraturan dewan dan soalannya berkaitan isu balak negeri itu tidak sempat dijawab oleh Ahmad.

Berhubung soalan spontan bekas exco Kelantan itu juga kelihatan ragu.

Menurutnya: “Mengenai janji SUA (setiausaha akhbar) MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?

Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Akhbar menteri besar Mohd Asri Mat Daud dilapor berkata segala isu berkaitan negeri termasuk perkara dibangkitkan Husam akan dijawab pada persidangan DUN yang akan bermula Isnin depan.

 “Rasanya tidak begitu,” kata Husam yang kerap membangkitkan isu sekitar kontroversi pembalakan negeri.

Sementara itu, menulis di Facebook, beliau berkata anggota DUN (ADUN) tetap berhak membangkitkan soalan sama di luar sidang.

“Tidak ada peraturan bahawa ADUN hanya boleh bertanya di DUN…Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability (rasa tanggungjawab) - setiap ADUN mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerintahan,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat berkenaan, Husam turut memajukan soalan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) negeri.
  
Penyerahan salinan soalan itu kepada PAC Kelantan dibuat bagi tujuan penelitian jika perlu.

Beliau juga berjanji untuk menyerahkan satu salinan sejumlah soalan tambahan dengan notis kepada Menteri Besar sebelum sidang bermula.

“Satu salinan akan juga disampaikan kepada Pengerusi PAC Negeri Kelantan, kalau kalau ada aspek yang boleh diteliti oleh mereka,” tulis Husam di Facebook.


Thursday, October 29, 2015

Pengurusan Bencana Banjir DiTambah Baik, RKB Dijangka Siap Sepenuhnya Jun 2016


Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri MustapaMohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap.

Ini berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Banjir di Kuala Krai tahun lalu.
Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Kelantan menambah baik semua aspek pengurusan banjir sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusinya Datuk Faudzi Che Mamat berkata penambahbaikan itu dipersetujui bersama melalui mesyuarat pengurusan bencana negeri dan daerah dengan mengambil kira pengalaman banjir tahun lalu.

"Tahun ini kami tambah 86 lagi pusat pemindahan menjadikan jumlahnya 773 berbanding 687 pusat pemindahan pada tahun lepas dan mampu memuatkan 220,290 orang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata 175 pangkalan hadapan iaitu tempat menyimpan barang keperluan asas, diwujudkan tahun ini berbanding 170 tahun lepas termasuk tambahan empat mini depo di Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

Katanya kekuatan anggota penyelamat turut ditambah kepada 4,269 orang berbading 3,260 tahun lepas selain tambahan aset menyelamat termasuk 108 lori, pacuan empat roda (189), bot (205), enjin sangkut (144) dan jaket keselamatan (2,966 helai).

Beliau berkata 142 lokasi pendaratan helikopter disediakan dengan tambahan 33 lokasi baharu di seluruh negeri itu.

Faudzi berkata jawatankuasa itu juga mempersiapkan 1,786 petugas di Pusat kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyelarasan keperluan mangsa banjir di setiap jajahan.

"Semua agensi telah dan sedang melakukan pelbagai persediaan termasuk simulasi bantuan kepada mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kursus pengendalian bot oleh pihak polis kepada 500 peserta," katanya.

Katanya solat hajat juga turut dilakukan dua kali sebulan di setiap masjid dan surau seluruh negeri ini bagi memohon perlindungan daripada bencana banjir.

"Kami harap dengan persediaan dan kerjasama semua pihak ini pengurusan bencana banjir tahun ini akan berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri itu dapat membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir tahun ini selain mengikut arahan pihak berkuasa apabila diarah berpindah.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan memantau kegiatan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menggunakan akaun bank peribadi bagi menerima sumbangan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menyerahkan tugas pengurusan bencana kepaepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Tuesday, October 27, 2015

Panazzzzz - Husam Jawab Pertanyaan Wan Mutalib Embong


DATUK HUSAM MUSA ADUN Salor dan bekas naib presiden PAS. Tulisannya ini bagi menjawab surat terbuka oleh Datuk Wan Mutalib yang disiarkan Harakah dalam edisi 13 – 16 Muharram

"Saya bersyukur kerana kanda saya Datuk Wan Mutalib Embong selaku AJK Pas Pusat sudi berbicara (menerusi surat terbuka) dengan saya.

Inilah yang saya tunggu-tunggu – tindak balas. Beliau berani meletakkan nama beliau dan bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.

Pertama, surat beliau banyak bertanya. Menunjukkan bagi beliau banyak perkara belum jelas kedudukannya.

Mengapa saya tidak menegur amalan kelulusan hutan simpan tebang habis untuk tujuan perladangan dengan jumlah yang semakin luas dari masa ke semasa sewaktu saya dalam kerajaan?

Adakah saya tidak menegur selama ini?


Saya berpendapat lebih baik untuk Datuk Wan bertanya kepada MB Kelantan sekarang, Datuk Ahmad Yakob atau anggota Dewan Harian PAS di masa lalu dan anggota Jawatankuasa Kuasa Kecil Perhutanan (JKKP) pada masa saya menjadi anggotanya, dan bukannya membuat pertanyaan terbuka seperti ini.

Ketika seorang ADUN (sekarang telah dilantik menjadi Exco) hendak dilantik sebagai anggota tambahan JKPP, saya telah meminta Dewan Harian menentukan dasar pemberian hutan simpan kekal tebang habis ini untuk diguna pakai oleh anggota JKKP.

Seingat saya, MB sekarang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Beliau waktu itu adalah timbalan pesuruhjaya 1 dan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz tidak hadir. Ia berlaku pada akhir 2012 atau sekitarnya.

Tidak ada polisi diputuskan.

Bila YB yang menjadi anggota tambahan ini pertama kali menghadiri mesyuarat JKKP, seperti biasa saya sekali lagi berhujah dalam mesyuarat tersebut menolak cadangan kelulusan atas tajuk ini.

Hujah saya tidak dibantah. Apa yang berlaku ialah anggota baru ini membacakan senarai syarikat untuk kelulusan.


Saya memprotes secara dalaman dengan tidak lagi menghadiri mesyuarat JKKP sehingga DUN dibubarkan pada tahun 2013. Tiga atau empat mesyuarat selepas itu tidak lagi saya hadiri. Rekod mesyuarat berkenaan boleh disemak.

Apa tujuannya?

Kalau saya ikut serta, saya akan terperangkap sampai bila-bila dan tidak dapat bersuara. Sejak itu, kelulusan atas tajuk ini kian bertambah.

Rekod-rekod boleh disemak dan Insya-Allah akan berbicara dengan sendirinya. Adakah sebelum itu saya tidak berbuat apa-apa?

Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam berbagai cara yang saya tidak bercadang memanjangkan pada peluang ini. Sebahagian darinya telah saya nyatakan dalam wawancara yang disiarkan Sinar Harian baru-bari ini.

Kedua, adakah kerana pernah menjadi sebahagian dari sistem itu pada masa lalu, saya hilang kebebasan saya selama-lamanya untuk menegur sesuatu yang saya fikir buruk?

Apatah lagi ia kian bertambah hari ke hari dengan kelulusan baru. Saya yakin itu bukan prinsip Dato Wan yang saya kenal.

Prinsip itu hanya anutan Firaun. Firaun menggunakan dakwaan satu “kesalahan” yang dilakukan Nabi Musa pada masa lalu untuk menghalang Nabi bersuara. Hal ini diceritakan dalam Surah As-Syua'ra, ayat 19.

Apa lagi, kelulusan tebang habis adalah sentiasa berkembang dengan jumlah keluasan yang semakin bertambah. Di manakah hadnya?

Adakah adanya tambahan-tambahan kelulusan baru sekalipun, tiada teguran boleh dibuat sampai hutan Kelantan pupus sepenuhnya?

Terbaru adalah seluas 4,500 hektar hutan simpan hanya untuk satu syarikat. Kini, giliran saya bertanya kepada Dato Wan selaku AJK PAS Pusat.

1. Apa dasar Pas terhadap alam sekitar?
2. Apa dasar Pas terhadap pemanasan global?
3. Apa dasar Pas terhadap pembalakan tebang habis?
4. Apa dasar Pas terhadap pemberian hutan bersekala besar tanpa tender?
5. Apa janji Pas dalam manifesto mengenai pemeliharaan alam?
6. Apa dasar Pas terhadap cara pembahagian kekayaan negara/negeri yang hanya melebihkan orang yang sama?
7. Adakah Dato Wan tahu berapa keluasan hutan simpan di Kelantan yang telah diluluskan?

Adakah Dato Wan mengambil tahu korupsi di pelbagai peringkat yang melatari amalan ini? Saya tidak bercadang untuk menghuraikan soal korupsi ini di sini.

Bukankah dulu Dato Wan atau pimpinan Pas membesar-besarkan masalah pengurusan atau penyelewengan balak oleh pimpinan Umno?

Adakah kini bila PAS melakukannya kita harus berdiam diri? Adakah PAS Pusat pernah meminta taklimat oleh PAS Kelantan diberikan

Saya adalah anak Kelantan. Saya bertanggungjawab membantu menjaga kepentingan negeri tanah tumpah darah saya lebih dari pertimbangan yang lain.

Lagi pun, apa yang ditegur mempunyai ruang diperbaiki.


Sepanjang kritikan saya, saya lebih banyak menumpukan kepada keputusan-keputusan terkini kerajaan dengan tujuan di sana ada sanubari yang masih sudi mendengarnya.

Sekalipun serangan untuk mengecam peribadi dilakukan ke atas saya kiri dan kanan, apakan daya.

Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, saya dayung jua teguran ini, mudah-mudahan kita semua terselamat dari azab Allah dunia dan akhirat."

Sumber Malaysiakini

PAS Semakin Dipencilkan...Giliran Takiyuddin Pula Meroyan!


Pada ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup mulut dan terus bisu mengenai kerjasama PAS dengan parti seperti PKR, DAP dan mungkin Parti Amanah Negara (AMANAH),  dua pemimpin PAS membuktikan bahawa parti itu kini memang sedang meroyan – GILA TALAK!

Benarlah kata blog teganuku bahawa PAS kini berada dalam keadaan gila talak dan ‘bagai anjing buruk kepala’.

Menurut teganuku: “...ketara sangat ‘gila talak’ ini ditunjukkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mengatakan Pakatan Rakyat, gabungan lama pembangkang, masih wujud.

 Malah, kata PAS, Pakatan Rakyat berjalan tanpa DAP – kawan yang kemudian bertukar seteru politik PAS Islam itu. “PAS akan memperkasakan Pakatan Rakyat dengan penyusunan semula kekuatan antara parti PAS dan PKR di samping beberapa buah parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat bersama PKR yang diadakan minggu lepas bersetuju untuk mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan.

“Pakatan Rakyat tanpa DAP adalah satu platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini,” katanya.


Ini baru selepas sebulan Pakatan Harapan diumumkan tanpa PAS atau dengan kata lain, sebulan selepas ‘perkahwinan baru’ antara PKR, DAP dan parti serpihan PAS - Parti Amanah Negara (AMANAH) PADA 22 September 2015.

Gabungan baharu di antara PKR, DAP dan AMANAH, melibatkan pemimpin PAS progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti pada Jun lalu, diwujudkan selepas berlaku kelompangan yang perlu diisi segera demi memberikan pilihan alternatif kepada rakyat.

PAS turut dijemput menganggotainya tetapi masih belum bersedia ikut serta. PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerja dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan menganggap pemimpin AMANAH adalah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.”

PAS buat-buat bodoh bagaikan tidak sedar bahawa bukan sahaja DAP dan AMANAH kini sudah menjauhkan diri daripada PAS, tetapi PKR juga perlu menjaga rakannya dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP dan AMANAH.

Apakah PKR sanggup membelakangkan kedua-duanya hanya demi PAS?

Nasib baik PAS ada 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri  (DUN)  Selangor, kalau tidak sudah pasti ia tidak akan dipandang oleh PKR.

Itupun tak sedar diri masih bersikap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Pakatan Rakyat secara rasmi terkubur apabila DAP dan PAS memutuskan hubungan antara satu sama lain.

Keadaan itu dan konfik dalaman PAS kemudian membentu Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kemudian bergabung dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

PAS masih menganggap kerjasama parti itu dengan PKR sebagai membuktikan Pakatan Rakyat masih wujud.

Semalam, selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pakatan Rakyat masih wujud, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud bersama-sama.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keadaan itu pernah wujud suatu ketika dulu apabila PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada era 1990-an PAS berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan pada masa sama Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah dan Parti Rakyat Malaysia melalui Gagasan Rakyat.

"Ia boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan dan satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan PAS dan PKR. Kami masih bersama. Tanpa kami (PAS) tiada kerajaan (di Selangor) selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR," katanya merujuk kepada menteri besar di negeri itu sebelum ini.

Katanya, keadaan sama juga dihadapi DAP yang memerlukan PKR sebagai sekutu politik. "Tengok di Pulau Pinang. Tanpa PKR bolehkah DAP mentadbir negeri?" katanya.
 
Jelas kini PAS seperti tidak sedar diri dan di awing-awangan selepas terpencil kerana keegoannya sendiri, terutamanya oleh sikap Presiden dan pendokong-pendokongnya.

Benar juga kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua kelmarin bahawa untuk tahu sama ada dakwaan PAS benar bahawa Pakatan Rakyat masih wujud, ia boleh cadangkan satu mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat diadakan.

Melalui mesyuarat itu kelak boleh dilihat siapa yang akan hadir.

"Kalau Pakatan  Rakyat masih hidup, mungkin sesiapa boleh mengadakan mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat dan lihat siapa yang akan hadir, “ katanya.

Tony Phua jelas membayangkan, yang datang nanti hanya PAS. DAP dan PKR sudah serik dan tidak akan datang kerana sebelum ini Presiden PAS hanya menghantar wakil.

Untuk rekod, sejauh ini sejauh ini PKR sudah mengadakan empat pertemuan dengan PAS dan di pihak PKR semuanya diketuai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya,  tidak ada satu pun mesyuarat itu yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jadi tidak payahlah bercakap apa-apa lagi mengenai pakatan, khususnya Pakatan Rakyat.


Yang pasti, Pakatan Rakyat sudah mati. Pemimpin PKR dan DAP sudah mengakui perkara ini, cumanya pemimpin PAS sahaja yang masih bernostalgia dan bermimpi di siang hari!

Tuesday, October 20, 2015

PAS Mungkin Mansuh Lafaz Taklik Kepada Wakil Rakyat Di Kelantan


"Kelantan negeri kita memerintah, kita lihat ia sudah kukuh, wakil rakyat kita pun sudah istiqamah, calon-calon kita pun sudah bermutu dan bernilai berbanding dahulu." - Abdul Hadi Awang

PAS tidak menolak kemungkinan akan memansuhkan penggunaan lafaz taklik cerai talak tiga ke atas isteri yang dikenakan kepada wakil rakyat di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pertimbangan yang akan dibuat dengan melihat keadaan semasa parti itu di Kelantan.

"Taklik ini khusus untuk (wakil rakyat) Kelantan, ia diperkenalkan apabila pada 1995, ketika PAS bersama Semangat 46. Waktu itu kita hanya tinggal satu kerusi lebih (dan) terdapat usaha pihak lawan untuk membeli wakil-wakil rakyat melalui politik wang.

"Kelantan negeri kita memerintah, kita lihat ia sudah kukuh, wakil rakyat kita pun sudah istiqamah, calon-calon kita pun sudah bermutu dan bernilai berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Ijtimak Ulama Nusantara 2015 di Kota Ahad, Ahad malam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nasaruddin Daud.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata sumpah bai'ah yang menjadi teras perjuangan parti itu akan dikekalkan dan diteruskan dalam PRU akan datang.

"Alhamdulillah kita dapati wakil-wakil rakyat kita kini konsisten dan istiqamah, taklik ini kemungkinan akan dibuang, bai'ah diteruskan kerana ia teras yang penting," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan ramai berminat menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Abdul Hadi berkata mana-mana pihak boleh membuat dakwaan tersebut.

"Sehingga kini tak ada sebaliknya apa yang kita dengar, di peringkat negeri ramai yang kembali kepada PAS," katanya.

Lebih 2,000 ulama dari dalam dan luar negara dihimpunkan dalam Program Ijtimak Ulama Nusantara 2015 yang diadakan bagi memperkukuh dan menyelaraskan pemikiran alim ulama dan umat Islam Nusantara pada masa-masa akan datang.

Abdul Hadi berkata ijtimak ulama itu bagi menghidupkan budaya ilmu termasuk perpaduan dalam masyarakat khususnya untuk memperkenalkan Islam sebagai satu cara hidup.

"Ulama dianggap berpengaruh dalam masyarakat Islam kerana peranan mereka sangat besar..sebab itu kita perlu satu gerakan secara kolektif dan bersatu," katanya.


Bernama

Saturday, October 17, 2015

Husam ‘Dedahkan Aib, Keburukan Isteri Selepas Bercerai’…


Nampaknya tempias politik PAS Kelantan kini tempias ke Terengganu.

Kelantangan Datuk Husam Musa mengkritik kerajaan PAS kepimpinan sekarang mendapat perhatian pemimpin veteran PAS Terengganu.

Tindakan Husam yang menyerang kerajaan PAS pimpinan Datuk Ahmad Yaakob dianggap tidak wajar. Malah mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Abdul Muatalib Embong mempersoalkan beberapa perkara terhadap Husam.


Soalan beliau:

1. Kenapa mesti Husam tinggalkan Kelantan?

2. Bila penebangan hutan berlaku yang mengakibatkan banjir berlaku itu? Dan kenapa baru sekarang Husam berkukuk?

3.Berkaitan penebangan hutan, kenapa teguran  tidak diberikan? Husam semasa berkuasa, alangkah sejahteranya Kelantan jika berbuat demikian

4. Kenapa Husam tidak letak jawatan ketika mana nasihat tidak di dengar ketika itu?

Nasihat Wan Mutalib kepada Husam ialah, jangan isytihar ‘keburukan isteri sesudah berpisah. Kerana selaku suami ister, pernah nikmati hidup bersama dan makan juadah masakan dia'.

Juga Husam jangan bakar perahu yang menyelamatkan kita ke daratan!

Baca surat berkenaan seperti berikut:

Surat Terbuka Kepada YB Dato’ Husam Musa

(Tidak bertarikh)

Kepada YB Dato’ Husam Musa,

Saya rasa amat dukacita bila terbaca surat terbuka YB Dato’ dan rasa sangat terpanggil untuk membantu memberi pencerahan kepada rakyat yang tidak mengenali kuasa pemerintahan apatah lagi mengenali YB Dato’ dengan lebih dekat.

Saya mulai kenal YB Dato’ tahun 1995 semasa Encik Husam (sebelum bergelar YB) mengiringi YAB MB Kelantan ketika itu al-Marhum Dato’ Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat melawat Tehran, Iran.

Saya rasa kagum berbicara dengan Encik Husam ketika itu dan meletakkan harapan YB Dato’ Husam akan satu hari diberi amanah menjadi orang yg berkuasa d Kelantan khususnya dan akan di nobatkan sebagai pemimpin penting dalam PAS.

Saya amat dukacita bila terbaca surat terbuka YB Dato’.

Sila beritahu rakyat Kelantan khususnya dan ahli-ahli PAS amnya, berapa lama YB Dato’ terlibat dengan pemerintahan Kerajaan Kelantan, jawatan-jawatan yg YB Dato’ pernah di amanahkan.

Kesusahan dan penderitaan kewangan yang YB Dato’ terpaksa tertanggung kerana berjuang dalam PAS.

Bila YB Dato’ tinggalkan Kerajaan PAS Kelantan dan mengapakah Dato’ tinggalkan?
  
Bila pula penebangan hutan berlaku yang mengakibatkan banjir berlaku itu? Dan kenapa baru sekarang (YB Dato’) berkukuk?

YB Dato’ adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang amat d hormati fikiran dan nasihat dalam Kerajaan.

Kalau teguran (YB Dato’) diatas (yang tersebut) diberi semasa berkuasa, alangkah sejahteranya Kelantan.

(Tetapi) Kenapa tidak letak jawatan ketika mana nasihat YB Dato’ tidak di dengar ketika itu?

Tidak perlu (YB Dato’) istihar keburukan isteri sesudah berpisah. (Kerana) kita (selaku suami isteri) pernah nikmati hidup bersama dan makan juadah masakan dia (isteri kita).

Masih ada masa (untuk) balik (kembali) berbakti dan jangan bakar perahu yang menyelamatkan kita ke daratan!

Salam perjuangan!

Dari saya,
Dato’ Wan Abdul Muatalib Embong
Mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu

Monday, October 12, 2015

TPPA - Tok Pa Minta Timbang Baik Buruknya Terlebih Dahulu....



"Saya hendak rakyat Malaysia berlaku adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya."



Daripada Mingguan Malaysia (11 Oktober 2015)

MUKADIMAH:

MALAYSIA tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam, selain Amerika Syarikat (AS).

Namun, memandangkan isu tersebut begitu kontroversi dan mendapat perhatian ramai, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibentangkan, dibahaskan sebelum dijalankan pengundian sama ada bersetuju atau menolak perjanjian dagangan terbesar dunia itu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED ketika diwawancara selama sejam oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMIDAMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZUNAIDAH ZAINON bersama jurugambar JEFFRI IRAN di pejabat beliau di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur Khamis lalu.


Dalam pertemuan itu, beliau turut menjawab pelbagai dakwaan yang dilontarkan oleh pihak-pihak yang membantah perjanjian TPPA termasuk kedudukan syarikat bumiputera dalam tender pemerolehan kerajaan, harga ubat-ubatan generik, sijil halal, kesediaan syarikat tempatan bersaing dengan syarikat multinasional asing dan apakah perjanjian ini akan merugikan negara. “Kita jangan tengok orang “makan” kita. Petronas, Khazanah, dan Sime Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di Melbourne, Australia. Tan Chong Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu tengok kedua-dua belah atau situasi menang-menang bagi semua,” ujar beliau.

MINGGUAN: Banyak pihak mempersoalkan tentang cara rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijalankan kerana butiran tidak dimaklumkan kepada Parlimen atau umum. Komen Datuk Seri?

MUSTAPA: Perkara ini tidak keluar kerana ia berubah setiap hari. Kalau keluar, nanti kecoh seluruh dunia. Baru hendak bincang, sudah berubah. Macam di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), ia sudah berubah kerana di saat-saat akhir macam-macam perkara berlaku. Dokumen ini kita jangka siap pada hujung bulan ini, ada juga bulan hadapan. Kita beri kepada pasukan pengkaji kerana perlu tengok dahulu. Kalau tidak ada dokumen, ia sekadar spekulasi atau rambang sahaja. Ini belum siap lagi kerana rundingan belum selesai. Secara keseluruhannya, sudah hampir selesai tetapi ada tiga isu yang perlu kita maklumkan balik kepada 11 buah negara. Kita sudah beritahu pendirian kita dan ada draf kita, tetapi tertakluk kepada persetujuan kita sendiri. Dalam dua tahun ini, kita sudah beritahu pendirian kita, secara umumlah dan bukan secara terperinci. Macam soal bumiputera, kita beritahu pendirian kerajaan begini. Tentang tekstil AS dan alam sekitar pun kita beritahu tetapi secara umum. Sebab perkara itu belum selesai lagi. Kita sentiasa maklumkan perkembangan terkini kepada ahli Parlimen tetapi tidak secara terperinci. Itupun belum 100 peratus (muktamad) sebab sudah keluar dokumen nanti barulah 100 peratus.


Apakah tiga isu yang masih belum selesai itu?

MUSTAPA: Tiga isu yang kita minta tempoh itu antaranya melibatkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kementerian Kewangan. Kita minta tempoh kerana Khazanah dan Petronas ada peraturan. Kalau hendak buat sesuatu, mereka perlu bawa ke lembaga pengarah. Itu pun belum selesai lagi, jadi kita minta tempoh. Kita jangka ia akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kalau kita beri kepada Price Waterhouse Coopers (PWC) yang buat kajian tetapi perkara itu belum selesai, tidak ada maknalah. Jadi, sebaik-baik sahaja dokumen itu lengkap, maka kita akan beri kepada Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) dan PWC. Memang sukarlah. Inilah dalam hidup saya terlibat dalam satu projek begitu lama iaitu lima tahun. Kedua, banyak tekanan seperti jumpa banyak orang, media, media sosial, individu dan organisasi.

Pada pandangan Datuk Seri, kenapa TPPA mencetuskan banyak bantahan dan kontroversi?


MUSTAPA: TPPA menjadi kontroversi kerana ia lebih. Kalau dahulu, barangan, perkhidmatan dan pelaburan. Tetapi sekarang ada pemerolehan kerajaan, buruh, alam sekitar dan hak harta intelek (IPR). Macam IPR ini sudah ada tetapi dalam perjanjian dagangan, ini adalah antara yang utama. Ia kontroversi kerana liputan lebih luas. Tetapi pandangan mengatakan, perjanjian dagangan ini akan meliputi benda-benda lebih besar lagi.

Dalam ASEAN pun, unsur-unsur TPPA pun ada masuk. Sepuluh negara ASEAN dengan enam buah negara iaitu Jepun, Korea Selatan, China, India, Australia dan New Zealand. Antaranya, isu buruh. Kalau amalan buruh itu dilihat sebagai menekan buruh, maka syarikat-syarikat besar tidak akan beli barangan daripada sesuatu negara. Sebelum membeli barangan, syarikat ini juga akan pergi memeriksa apakah ia menepati standard amalan buruh. Kalau kita hendak jadi sebahagian daripada perdagangan antarabangsa, kita perlu ikut standard antarabangsa. Umpamanya beberapa syarikat di Bangladesh dikenakan sekatan sampai sekarang sebab standard amalan buruhnya rendah. Apabila standardnya rendah, mereka boleh hasilkan pada kos murah. Jadi, tidak adil kepada orang lain yang mempunyai kos yang mahal disebabkan perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti alam sekitar.

Kita lihat isu Volkswagen. Syarikat itu didapati menipu dalam emisi karbon dan mereka pun sudah mengaku. Walaupun Volkswagen adalah syarikat gergasi dunia, mereka terpaksa memakai standard AS. Ekoran isu itu, harga saham Volkswagen jatuh 40 peratus. Contoh ini menunjukkan bagaimana standard alam sekitar terpaksa kita pakai.

Jadi, isu standard ini isu yang semakin penting. Dalam standard buruh, kita perlu ikut peraturan AS sebab kita hendak jual barang seperti kelapa sawit, getah dan elektronik. Melainkan kita tidak mahu pelaburan AS dan berdagang dengan AS, bolehlah kata tidak mahu ikut peraturan AS. Tetapi hakikatnya, AS merupakan pelabur kedua terbesar selepas Jepun di negara kita. Jadi, kalau kita hendak pelaburan AS, terpaksa kita ikut peraturan negara itu. Pelaburan AS sudah ada di Pulau Pinang, Johor, Kulim dan Shah Alam. Dari segi kesatuan pekerja pun, apa salah kita layan pekerja dengan baik. Apa salahnya umpamanya kalau kita jaga Cameron Highland. Ini termasuk menjaga alam sekitar. TPPA juga bercakap tentang ketelusan. Apa salahnya kalau perkara itu baik.

Apakah perkara-perkara dalam Perlembagaan seperti Artikel 153 tentang hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan agama Islam akan tergugat sekiranya Malaysia menyertai TPPA?

MUSTAPA: Kita ada Perlembagaan dan dasar bumiputera. Kita akan pertahankan. Bukanlah sampai kita hilang kedudukan Islam sebagai agama rasmi atau bukan bermakna kita boleh benarkan perkahwinan sejenis. Walau apa pun kita buat, mesti berdasarkan Perlembagaan. Kita juga teruskan dasar 30 peratus bumiputera dalam pemerolehan kerajaan.

Itu penting dan kalau tidak, kita tidak masuk TPPA dan mereka semua terima. Di negara lain tidak ada. Kalau syarikat kita hendak berniaga di Vietnam, negara itu tidak ada dasar bumiputera. Jadi, mereka faham dan terima dasar bumiputera dalam pemerolehan kerajaan dipertahankan. Cuma, kita hendak pastikan ia benar-benar diterima. Selain itu, dasar kereta kita tidak diganggu dan diteruskan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah tentang soal keselamatan makanan negara. Ada dakwaan mengatakan industri beras tempatan akan terancam kerana beras import dari AS akan lebih murah dengan penghapusan duti import?

MUSTAPA: Kita boleh teruskan dasar kita. Sekarang ini duit import beras sebanyak 40 peratus, sudah kita mansuhkan. Dalam TPPA, kita dikehendaki menurunkan duti import beras tetapi sekarang sudah kosong peratus. Kita sudah mansuhkan duti import untuk menjaga harga beras tempatan. Kita ada monopoli beras oleh Padi Beras Nasional Berhad (Bernas). Jadi, dalam beras dan padi, kita teruskan dasar beras yang ada dengan Bernas dan tidak diganggu. Sebab itu, saya rasa kita telah buat yang terbaik dan kita dapat pertahankan beberapa dasar kita. TPPA hendak kita turunkan duti import beras perlahan-lahan kepada kosong. Kita hendak beritahu, sekarang ini pun sudah kosong, tidak ada duti import.

Bagaimana pula kedudukan piawaian sijil halal yang dikeluarkan oleh Malaysia. Apakah selepas menyertai TPPA, kita perlu tunduk kepada piawaian yang ditetapkan oleh AS?

MUSTAPA: Halal diiktiraf sebagai pengiktirafan Malaysia dan mengikut piawaian kita. Itu dari awal lagi rundingan, perkara pertama saya selesaikan adalah halal. Bukan halal AS atau Vietnam tetapi kita teruskan menggunakan sijil halal kita.

TPPA dikatakan menggugat kedaulatan undang-undang negara kerana Malaysia boleh disaman berbilion dolar AS jika mengadakan peraturan baharu yang boleh menjejaskan jangkaan keuntungan syarikat-syarikat gergasi dari AS selepas termeterainya TPPA.

MUSTAPA: TPPA ini antaranya tentang saingan, alam sekitar dan perlidungan hidupan liar. Sesetengahnya tidak ada masalah. Apa salahnya kita jaga alam sekitar dan hidupan liar. Kalau kita pinda undang-undang yang memberikan kebaikan kepada buruh misalnya, kenapa tidak boleh. Kalau soal kedudukan bumiputera, Islam dan semua itu, tidak berbangkit sebab kita pertahankan dan sudah jaga.

Satu lagi tuduhan ialah TPPA ini merugikan negara dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat gergasi multinasional dan transnasional terutamanya dari AS yang dikatakan akan “menelan” syarikat-syarikat kecil yang ada di negara ini.

MUSTAPA: Syarikat besar sudah ada di negara ini. Syarikat-syarikat gergasi ini sudah bertapak lama di Malaysia seperti di Pulau Pinang dan Shah Alam. Ini bukan benda baharu. Ada kilang First Solar yang terbesar di Kulim dan ada kilang Western Digital di Pulau Pinang. Kalau hendak kata TPPA ini hendak “makan” kita, sudah 40 tahun syarikat-syarikat gergasi ada di Malaysia. Memang dasar kita tentang perolehan bumiputera sudah ditetapkan. Yang syarikat multinasional ini, itulah kebimbangannya tetapi jawapannya sudah ada di sini. Kita pun hendak mereka kerana peluang pekerjaan dan sebagainya. Macam kita sekarang ini, kita hendak seimbangkan. Dalam pengilangan, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) adalah 60 peratus manakala domestik sebanyak 40 peratus. Domestik ini seperti Kumpulan Berjaya dan Kumpulan YTL banyak buat pasar raya dan hartanah. Dalam sektor pengilangan, pelaburan sebahagian besar disumbangkan oleh pelabur asing. Yang pertama adalah Jepun dan kedua, AS. Kena ingat Jepun pun ada dalam TPPA. Kalau hendak kata mereka “makan”, mereka sudah lama “makan”. Bukan kata mereka “makan”, tetapi tugas saya menarik mereka datang melabur ke sini bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

TPPA dikatakan bakal menyebabkan kenaikan harga ubat-ubatan sehingga 80 peratus kerana syarat ketat akan dikenakan kepada pengeluar ubat generik. Tindakan ini dibuat bagi menjaga kepentingan syarikat dari AS selaku pengeluar ubat-ubatan terbesar di dunia.


MUSTAPA: Dalam hal ini ada dua perkara. Yang pertama perlindungan paten dan dasar ini tidak berubah iaitu 20 tahun. Ada orang kata TPPA akan menambah lagi, tidak ada. Dasar kita sekarang ini 20 tahun dan akan terus 20 tahun sama ada ada TPPA atau tidak. Yang kedua, ubat ini ada dua jenis iaitu berasaskan kimia dan biologi. Jadi, ubat yang biasa berasaskan kepada kimia. Itu dasar paten kita tidak ubah, tetapi kekal 20 tahun. Perlindungan 20 tahun itu dasar semasa. Bukan kita naikkan sampai 30 tahun selepas TPPA. Satu lagi dipanggil konvensional. Sekarang kita beri lima tahun perlindungan di bawah data eksklusif tetapi perlindungan paten masih 20 tahun. Maknanya, data ini tidak boleh diberikan kepada orang lain (generik) selama lima tahun. Itu dasar kita. Jadi, tidak ada perubahan dalam dasar dan kita pertahankan. Bukan hanya Malaysia tetapi enam buah negara. AS memang hendak tempoh ini dipanjangkan kerana mereka adalah pengeluar utama ubat. Jadi, hendak lagi lama lagi bagus. Tetapi enam buah negara pertahankan. Maknanya, dasar kita tidak berubah dari segi paten dan data eksklusif. Kalau kita tidak masuk TPPA, tidak semestinya harga akan turun atau stabil dan tidak semesti harga akan naik juga. Ubat generik ini benda sensitif dan amat penting bagi kita semua. Kita lawan habis-habisan. Memang syarikat-syarikat besar hendak ditambahkan tempoh tetapi dasar perlindungan paten kita tidak berubah. Jadi, masuk atau tidak masuk TPPA pun, dasar kita tidak berubah.

Bagaimana kesediaan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi dari luar negara sekiranya TPPA dimeterai kelak?

MUSTAPA: Sekarang ini, syarikat Malaysia yang melabur di luar negara mempunyai nilai pelaburan sebanyak RM522 bilion. Duit orang luar melabur dalam kilang-kilang dalam negara adalah sebanyak RM470 bilion. Maknanya, kita jangan tengok orang “makan” kita. Petronas, Khazanah, dan Sime Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di Melbourne, Australia. Tan Chong Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu tengok kedua-dua belah atau situasi menang-menang bagi semua. Kalau kita berpakat dan harmoni, kita boleh buat lebih lagi. Dahulu kita pelabur kecil tetapi sekarang syarikat kita ada banyak pelaburan besar di luar negara. Jadi, jangan ingat hanya AS akan “makan” kita. Jangan ingat hanya orang lain besar. Syarikat kita seperti Petronas pun besar. Orang lain pun fikir macam itu terhadap kita. Kita kena keluar daripada kepompong dan lihat situasi menang-menang. Sebab itu Sabah dan Sarawak masuk Malaysia. Ini bagus untuk kita jadi makin besar. Kita lihat gambaran lebih besar.

Negara-negara yang menyertai rundingan TPPA mengeluarkan 40 peratus jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan ini merupakan perjanjian dagangan terbesar dunia. Apakah ini menunjukkan penyertaan dalam
TPPA memberikan kebaikan kepada negara?

MUSTAPA: Saya hendak tekankan sekali lagi, bukan semuanya bagus. TPPA pun ada banyak buruk tetapi kita seimbangkan. Ada buruk ada baik. Kalau baik lebih banyak daripada buruk, kalau kita tidak buat, rugilah kita. Saya hendak rakyat Malaysia berlaku adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya.

Apabila dibentangkan dokumen TPPA di Parlimen nanti, apakah kerajaan masih boleh meminda butiran yang telah dipersetujui dalam rundingan perjanjian itu?

MUSTAPA: Secara keseluruhan. Maknanya, sama ada mahu atau tidak. Kita buat pertimbangan. Misalnya, tekstil dan kelapa sawit dapat masuk pasaran. Kita undi mahu atau tidak sahaja. Kalau tolak, maka tolak semualah. Kalau pinda, kita perlu ubah semua, sebab rundingan ini melibatkan 12 buah negara. Umpamanya kalau kita pinda, negara lain pun terlibat dan semua kena pinda. Maknanya, kita kena mula dari awal baliklah.

Andai kata majoriti ahli Parlimen menolak dan Malaysia tidak menyertai TPPA, apakah ini akan memberikan kesan kepada negara kita?

MUSTAPA: Kesannya, pelabur tidak mari. Mungkin pelabur-pelabur yang ada dalam negara cabut lari dan akan memberikan kesan kepada syarikat-syarikat kita yang banyak melabur di luar negara.

Negara-negara lain yang terlibat dalam rundingan TPPA juga dikatakan tidak bersetuju dengan beberapa perkara. Apakah perkara-perkara itu?

MUSTAPA: Di Jepun, Perdana Menteri, Shinzo Abe dan partinya, Demokratik Liberal (LDP) menyokong TPPA. Mengikut kefahaman saya, peringkat awal, orang politik LDP sokong tetapi petani ramai tidak sokong, namun keresahan itu sudah reda sedikit. Cabaran utama Jepun ialah pertanian dan kedua, negara itu mahu pasaran untuk kereta negara itu bertambah baik.

Di New Zealand, negara itu kecil dan eksport utamanya adalah susu. Orang New Zealand amat tidak berpuas hati kerana mereka melihat mereka tidak mendapat akses yang baik untuk tenusu. Mereka sudah dapat tetapi tidak sebanyak seperti yang mereka hendak. Sekarang, sudah puas hatilah. Di Australia, antara isu yang dibangkit adalah kos ubat. Begitu juga dengan Peru dan Chile. Macam Vietnam, dua perkara iaitu buruh dan syarikat-syarikat kerajaan. Singapura tidak ada masalah besar kerana negara itu sudah terbuka.

Wednesday, October 7, 2015

Mustapa Jamin TPPA Dilaksanakan Selepas Kelulusan Parlimen...


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah mendapat mandapat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menerusi laman Twitternya @NajibRazak semalam perdana menteri berkata beliau dan kabinet telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa untuk berunding terma-terma TPPA.

Bukan sekadar itu sahaja, Mustapa sendiri akan membentangkan perkara ini di Parlimen.

Jadi kepada pihak yang meragui keupayaan Mustapa dan keikhlasan kerajaan mengenai TPPA, eloklah mereka menunggu sehingga ia dibentangkan di Parlimen.

Usaha rundingan TPPA itu yang pertama kalinya dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, sudah memberikan jaminan bahawa TPPA dijangka tidak berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Teks perjanjian yang dipersetujui masih mempunyai beberapa peringkat sebelum pengesahan, yang termasuk paparan awam, pembentangan di Parlimen dan analisis manfaat kos.

"Setiap negara perlu kembali kepada negara masing-masing untuk mendapatkan kelulusan bagi penandatanganan dan seterusnya, pengesahan. Ia akan melalui proses yang panjang," katanya semalam.

Beliau berkata kementerian berkenaan turut menunggu teks penuh tiba dan sebaik sahaja semuanya tersedia, ia akan dipaparkan kepada umum secepat mungkin. Menurutnya, keputusan untuk menandatangani atau mengesahkan perjanjian berkenaan terletak kepada Parlimen.

Sebelum ini Mustapa memberi jaminan,  Malaysia berpendirian tegas yang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan dan dasar teras negara dilindungi sepanjang rundingan lima tahun itu.

"Inilah yang berlaku dalam semua rundingan perdagangan kita yang lepas tanpa sebarang pengecualian. Hampir semua kebimbangan dan kepentingan kita, terutama dalam bidang sensitif seperti pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara dan isu Bumiputera, diberi pertimbangan," katanya.

Mengenai kemasukan peruntukan syarikat milik negara (SOE) untuk Khazanah Nasional Bhd dan Petroliam Nasional Bhd dalam TPPA, Mustapa berkata, MITI akan berjumpa lembaga pengarah Khazanah dan Petronas untuk membincangkan beberapa cadangan yang dibawa dari Atlanta.

"Kita perlu mendapat kelulusan mereka dan kemudian membincangkan lebih lanjut dengan negara anggota TPP lain," tambahnya.

Menurutnya, kerajaan akan terus memastikan sebarang perbincangan mesti seiring dengan model sosio ekonomi negara, termasuk peranan penting SOE dalam transformasi negara.


Selain itu, TPPA tidak akan mempunyai kesan negatif yang besar kepada landskap pelaburan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Nazaruddin Othman berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebagai pengawal selia pasaran akan terus mengkaji landskap kawal selia industri sekuriti.

"Mereka (SC) selalunya akan membabitkan penggiat sedia ada (pengurus dana amanah)... sama ada mereka sudah bersedia menghadapi kesan TPPA atau sebaliknya.  Ketika ini terdapat sekatan di segi undang-undang, antara lain, di mana kita memerlukan kelulusan SC untuk membuka sebuah syarikat pengurusan baharu," katanya kepada pemberita di Konvensyen Tahunan FIMM di sini, hari ini.

Menurutnya, tidak akan berlaku kebanjiran masuk penggiat asing ke dalam pasaran tempatan berikutan TPPA, kerana pengawal selia akan mengawal pasaran, sama ada ia bersedia menerima penggiat asing atau sebaliknya.

Mengenai kesan ke atas perniagaan, Nazaruddin berkata, TPPA baik untuk pelabur tempatan kerana mereka akan mempunyai lebih banyak pilihan dari segi ketersediaan produk.

Mustapa sebelum ini menegaskan, TPPA yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia termasuk pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

Malaysia berpendirian tegas yang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan dan dasar teras negara dilindungi sepanjang rundingan lima tahun itu.

"Inilah yang berlaku dalam semua rundingan perdagangan kita yang lepas tanpa sebarang pengecualian. Hampir semua kebimbangan dan kepentingan kita, terutama dalam bidang sensitif seperti pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara dan isu Bumiputera, diberi pertimbangan," kata Mustapa.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keputusan sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif.

Apakah keputusan kolektif yang dimaksudkan Mustapa?

Apa juga keputusan dan pendirian Malaysia mengenai TPP ini perlu perlu mendapatkan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani TPPA.

Biarpun rundingan bagi Pakatan Trans-Pasifik (TPP) telah dimuktamadkan, namun Malaysia sebaliknya masih belum menandatangani perjanjian berkenaan. Malah dokumen teks TPP itu hanya dijangka siap pada akhir bulan ini.

"(Dokumen) TPP itu perlu dibentangkan dan dibahaskan terlebih dulu untuk diluluskan. Ini adalah proses lazim di semua negara terbabit," katanya.

Dokumen akhir TPPA itu beserta dua lagi analisis kos dan manfaatnya yang disediakan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers Malaysia, juga akan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen.

Mustapa juga mungkin memohon agar diadakan Persidangan Khas Parlimen bagi menjelaskan butiran mengenai perjanjian perdagangan itu, jika perlu.

Ini adalah cabaran utama bagin meyakinkan kalangan Ahli Parlimen mengenai kepentingan menandatangani TPPA bagi manfaat jangka panjang, termasuk aspek pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan untuk negara.

"Pada awalnya, memang sukar untuk meyakinkan mereka (termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional) tetapi kini mereka lebih faham dan usaha lebih gigih diperlukan bagi meraih lebih banyak sokongan,”katanya.

Mustapa sedar adalah mustahil untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus mengenai TPPA berkenaan sebaliknya ia hanya memerlukan majoriti mudah bagi kelulusan perjanjian perdagangan itu.

Namun, selepas mendapat kelulusan Parlimen, tempoh dua tahun diperlukan bagi pengesahannya yang turut memerlukan usaha pindaan undang-undang berkaitan tanpa menjejaskan Perlembagaan sebelum TPPA dapat dilaksanakan.

Seiring dengan ini,  Kabinet telah mengarahkan kementeriannya untuk mengadakan lebih banyak sesi penerangan bagi menjelaskan TPPA kepada orang ramai.

Setakat ini, lebih 150 sesi seumpamanya diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas serta kebimbangan mereka yang disifatkan Mustapa sebagai penting bagi usaha rundingan itu.

Kementerian itu  juga mengadakan pertemuan yang kerap dengan Kumpulan Kaukus Parlimen mengenai TPP yang bipartisan bagi memaklumkan mereka mengenai perkembangan terkini rundingan.

Di sebalik sikap negatif dan skeptikal sesetengah pihak, Mustapa yakin TPPA akan menawarkan akses pasaran yang luas kepada syarikat Malaysia serta memberikan kelebihan kompetitif kepada pengeksport berbanding pesaing serantau.

Melaluinya,  pengeksport barangan elektrik, elektronik, kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen automotif boleh memasuki Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat yang mana Malaysia tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas.

Mengenai isu hak harta intelek, Mustapa berkata, Malaysia berpendirian tegas yang perjanjian itu tidak menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang berharga berpatutan dan pada masa sama menawarkan insentif yang diperlukan untuk pengeluaran ubat-ubatan baharu.

"Semua pihak telah mencapai perjanjian seimbang untuk memastikan kepentingan mereka diberi pertimbangan. Oleh itu, TPPA itu tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam dasar paten ubat-ubatan Malaysia," tambahnya.

Ketika ditanya sama ada China akan mempercepatkan rundingan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) berikutan pemuktamadan TPPA, Mustapa berkata, TPPA bukan satu isu untuk itu.

Menurutnya, mesyuarat peringkat menteri G20 di Turki awal minggu ini mengalu-alukan pemuktamadan TPPA dan yakin ia akan memberi momentum untuk lebih banyak kemajuan dalam rundingan lain, termasuk RCEP.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, ia akan memberi motivasi kepada kita dalam proses RCEP yang akan berlangsung di Busan, Korea Selatan tidak lama lagi," katanya.

RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) di antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara di mana kumpulan serantu itu sudah pun mempunyai FTA, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand