Thursday, December 30, 2010

Terima Kasih Khairul Fahmi Kerana Kembalikan Keseksian Bola Sepak Malaysia - Peminat

Menyelamatkan penalti tendangan kapten Indonesia, Firman Utina.

Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan 'Support Timnas', yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

"Terima kasih kerana mengembalikan 'keseksian' dalam bola sepak Malaysia," kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.

Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 "Like" dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.

Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.

Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya, @rioferdy5.

"Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas. Memang satu pasukan yang bagus," katanya.

Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta 'tweeters', ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai 'friends' Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna.

Ternyara sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.


Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan dan menjadi malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia.

Beliau melahirkan harapan bahawa pencapaian pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi inspirasi kepada belia-belia kita. Najib juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih pasukan Malaysia, K.Rajagobal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua penyokong bola sepak Malaysia.

Berikutan itu, Najib mengisytiharkan Jumaat (esok), 31 Disember sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia.

Wednesday, December 29, 2010

SIAPA PULA YANG FITNAHKAN NIK AZIZ MATI...

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu marah betul. Siapa pula yang menyebarkan berita kononnya beliau meninggal dunia?

Berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi.

Segala-galanya mungkin bermula daripada berita Utusan Malaysia bertajuk “Nik Abdul Aziz Nik Mat antara tiga terbunuh dalam nahas jalan raya”.

Menurut berita itu, “seorang pekerja kilang bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kakak dan anak saudaranya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori penghantaran cepat di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut, semalam. Nik Abdul Aziz, 27, dari Bandar Baru Bangi, Selangor; kakaknya, Nik Hasmah, 29, dan anak Nik Hasmah, Mohd. Adib Daniel Amizan, lima tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas pada 2.20 pagi tadi
.”

Lihat laporan Utusan Online di bawah:

Beberapa blog ada mengulas mengenai ‘Nik Aziz mati” tetapi tidak pula mengatakan atau mengesahkan Musyridul Am PAS itu mati.

Pisau. Net menyebut: “Menurut sumber, berita ini sudah tersebardan ramai penyokong PAS berguling dan menghantuk kepala meratapi kematian Nik Aziz Nik Mat,namun setelah menyedari yang mati adalah orang lain,mereka kembali bersemangat untuk memaki hamun kepada yang menyampaikan berita ini. Pisau sendiri terkejut ,kerana pada mula nya menyangkakan Mursyid maksum PAS ini sudah meninggal,tetapi Allah masih panjangkan umurnya agar beliau lebih banyak berkesempatan bertaubat dan bermuhasabah tentang dirinya yang terlalu banyak membuat kesilapan.

Blog The Sense, Credibility and Accountability pula mengulas: “Memang patutlah Pok Nik menuntut perMOHONan MAAF daripada pihak yang diDAKWAnya memFITNAH kononnya dia telah meninggal dunia.. HAIRAN jugaklah - tak keluar pun dalam berita BERNAMA, RTM, TV3, Utusan, Metro, Berita Harian, HARAKAH atau Malaysiakini, TIBA-TIBA aje Pok Nik mengatakan ada pihak yang menyebarkan BERITA fitnah sedemikian RUPA terhadapnya.. Siapalah punya KERJA agaknya ye? Gembira sangat ke PIHAK tersebut kalau Pok Nik sudah TIADA? Sedangkan semua TAHU yang HIDUP pasti akan MATI, yang PATAH, pasti akan TUMBUH dan yang HILANG, pasti akan berGANTI.. Itu sudah LUMRAH.. Kalau diTAKDIRkan Pok Nik sudah TIADA pun, pasti akan ada pengGANTInya yang mungkin 2X5 sepertinya? Itukan semuanya ketentuan Ilahi?”

Blog hhalem pula berkata: “Sebenarnya orang yang meninggal kemalangan jalanraya serupa namanya dengan Tok Guru yang pertama kali dilaporkan oleh bloger yang memetik dari Bernama...” Saya berdoa Tok Guru PANJANG UMUR dan mudahan MELAYU BERSATU SEMULA

The Flying Kick pula berkata “Sememangnya berita kematian NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT bukannya berita baru. Ini berita tahun 2009 atau lebih tepat lagi pada 26 Ogos 2009. NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut bersama-sama kakak dan anak saudaranya selepas kereta yang mereka naiki, bertembung dengan sebuah lori penghantaran cepat.”

Amat jelas, tiada siapa pun yang mengatakan Nik Aziz mati hanya Menteri Besar Kelantan itu sahaja yang terasa entah apa-apa.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu semalam, beliau mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

Nik Aziz minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Ada juga blog mengatakan Nik Aziz ini jenis takut mati kerana itu marah apabila ada orang mengatakan dia sudah mati.

Wallahualam - entah, siapa yang benar!

hambali1

Sultan Kelantan Sampai Bantuan Kepada 137 Penduduk Miskin Di Gua Musang

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Tuanku Faris Petra (kiri), berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada penduduk miskin pada majlis Pengurniaan Zakat dan Bantuan Tanah Jajahan Gua Musang, di Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Sungai Asap B, di Gua Musang, hari ini.

Seramai 137 penduduk miskin termasuk 29 daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang menerima bantuan zakat dan rumah yang disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini.

Daripada jumlah itu, 129 menerima bantuan zakat manakala bakinya menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam satu majlis di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B.

Selepas penyampaian itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melawat seorang peneroka, Sudin Che Ya, 59, yang menghidap asma kronik di RKT itu.

Sudin ketika ditemui Bernama selepas itu meluahkan rasa terharu dengan kunjungan Sultan Kelantan tersebut.

Kunjungan baginda adalah bukti Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap rakyat pedalaman, katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Asiah Ahmad, 57, berkata dengan adanya rumah baru itu dia sekeluarga tidak perlu lagi tinggal dalam keadaan daif.

Jangan Sokong Kepimpinan PAS

Sebanyak 20 buah pusat pengajian pondok tradisional di Kelantan diminta supaya tidak menyokong kepimpinan Pas bagi menyelamatkan perpaduan Islam dan kepentingan Melayu di negara ini.

Pengasas Pondok Geting di Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, pendirian Pas yang reda menyerahkan teraju kepimpinan negara yang selama ini dipegang oleh orang Islam kepada bukan Islam iaitu DAP jika pembangkang berkuasa cukup mencabar kedaulatan Islam dan kewibawaan Melayu.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini termasuk pengasas pengajian pondok di Kelantan perlu bangkit menentang perkara itu sebelum terlambat.

"Kejatuhan kerajaan Melayu Singapura dan kini di Pulau Pinang cukup memberi iktibar untuk kita tidak melakukan kesilapan. Tidak mustahil Pas sendiri akan berputih mata sekiranya mereka membenarkan pucuk pimpinan negara dipegang oleh orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman, dekat Ahad lalu (26 Disember 2010).

Seramai 500 peserta terdiri daripada guru agama dan guru kelas fardu ain serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program itu.

Abdullah adalah salah seorang ahli panel pada muzakarah itu.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini kenyataan dan tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada DAP jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti memang tidak boleh dimaafkan.

Beliau berkata, Pas perlu bertanggungjawab terhadap isu yang pernah dibangkitkan dan dianggap fatwa oleh mereka termasuk mengkafirkan orang UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga memberi ruang kepada orang bukan Islam mengambil alih dan meraih sokongan untuk menerajui pemerintahan negara ini.

"Semua ini bukan berlandaskan perjuangan Islam yang hakiki tetapi lebih kepada kepentingan diri untuk terus berada dalam arena politik walaupun hak umat Islam akan tergugat.

"Guru-guru pondok pernah menyerahkan satu resolusi kepada Nik Abdul Aziz supaya berhenti mengeluarkan kenyataan termasuk mengkafirkan orang UMNO tetapi sehingga sekarang dia tidak pernah melayan teguran kami," katanya.

Utusan Malaysia

UPP Kelantan Rampas 14,000 Kg Beras Wangi Siam Seludup Guna Invois Palsu

Strategi penyeludup yang menggunakan invois palsu untuk membawa 14,000 kilogram beras wangi Siam ke pantai barat Semenanjung berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubur, yang menahan treler membawa muatan itu di Kampung Pek, Machang awal pagi kelmarin.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata beras bernilai RM42,000 itu diisi dalam 280 kampit dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur.

"Penyeludup menggunakan invois palsu yang menyatakan beras itu beras Super Malaysia untuk diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Gua Musang, sedangkan ia adalah beras wangi Siam yang dibungkus dalam kampit bercop keluaran tempatan," katanya di Tumpat.

Mazlan berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan beras dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.

"Beras itu dipercayai diseludup secara berdikit-dikit melalui pangkalan haram sebelum diisi ke dalam treler sebelum dibawa ke sesuatu destinasi," katanya.

Mengulas operasi pukul 4.20 pagi itu, Mazlan berkata pihaknya bertindak hasil intipan dan juga maklumat orang ramai.

Beras yang disita itu telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler berusia 58 tahun yang juga rakyat tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan, katanya.

Mazlan berkata rampasan itu adalah yang terbesar dilakukanya UPP Kelantan sepanjang tahun ini.

JPN Kelantan Utamakan Pelajar Luar Bandar Ke Sekolah Rancangan Khas

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengutamakan pelajar luar bandar khasnya dari kawasan Jeli dan Gua Musang untuk dipilih memasuki lima buah Sekolah Rancangan Khas (SRK) tahun ini.

Ketua Sektor Pengurusan jabatan itu, Ab Aziz Abdullah (gambar kiri) berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar luar bandar turut menikmati kemudahan belajar di sekolah yang terpilih sama dengan pelajar di bandar.

Beliau berkata pada tahun ini seramai 1,640 pelajar terpilih memasuki SRK di negeri ini hampir sama dengan jumlah tahun lepas.

Mereka terdiri daripada pelajar yang mendapat kelulusan minimum 4A, 1B atau 1C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini.

Ab Aziz turut mengumumkan tarikh pendaftaran kemasukan ke SRK telah dipinda ke hari Sabtu ini daripada Ahad bagi membolehkan pelajar terus dapat menumpukan pelajaran pada hari pertama persekolahan iaitu pada Ahad.

Pelajar dari luar bandar diberi kemudahan asrama.

Agenda Celcom Pantai Timur Tingkatkan Pengguna Jalur Lebar

Celcom Axiata Berhad (Celcom) akan memberi tumpuan untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan penduduk, terutamanya di Pantai Timur pada tahun depan.

Naib Presiden Wilayah Timur Celcom Axiata Berhad Datuk Sulaiman Ahmad berkata sehingga kini terdapat kira-kira 150,000 pengguna aplikasi jalur lebar yang disediakan Celcom di Pantai Timur dan jumlahnya dijangka bertambah mendadak tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, Celcom mengambil inisiatif berterusan meningkatkan kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan agar dapat dinikmati pelanggan dengan lebih sempurna.

"Apa yang Celcom lakukan selari dengan hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

"Kita sedar dengan penggunaan jalur lebar di kalangan masyarakat, ia akan melahirkan masyarakat yang celik IT (teknologi maklumat), sekaligus membantu mempertingkatkan ekonomi mereka," katanya di Kuala Terengganu.

Sulaiman berkata, sehingga kini, sambutan terhadap variasi pakej jalur lebar yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur, amat memberangsangkan.

"Dari segi harga, ia kompetitif, berpatutan, pakej jalur lebar yang ditawarkan juga pelbagai, pelanggan boleh memilih sama ada pakej bulanan, mingguan dan pakej harian iaitu untuk kegunaan 24 jam dengan hanya RM5," katanya.

Menurutnya syarikat telekomunikasi itu merupakan yang pertama memperkenalkan pakej jalur lebar harian kepada pelanggan, yang mendapat sambutan menggalakkan terutama dari kalangan pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Pada masa ini, katanya Celcom Axiata Berhad menerajui pasaran di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan penguasaan pasaran 52 peratus.

"Untuk tahun-tahun akan datang, kita akan terus pastikan penguasaan pasaran dikekalkan dengan produk berkualiti yang ditawarkan, selain dibantu rakan niaga yang ada di Pantai Timur," katanya.

Sulaiman berkata, pihaknya sedar untuk terus maju, khidmat yang ditawarkan perlu menepati kehendak pengguna terutama dari segi kualiti.

"Untuk itu, pihak kami sentiasa menjaga kualiti produk yang ditawarkan, liputan dan juga servis.

"Kami sentiasa mengambil inisiatif memperluaskan liputan di kawasan bandar, luar bandar, memasuki kawasan Felda dan kawasan perumahan," katanya.

Sementara itu, sebagai memenuhi tanggung jawab sosialnya, syarikat telekomunikasi itu yang dilantik sebagai Penyedia Perkhidmatan Universal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pihaknya memainkan peranan dengan mendidik masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar mengenai penggunaan jalur lebar.

Menerusi program itu, sebanyak 37 pusat komuniti jalur lebar telah diwujudkan di enam negeri.

"Menerusi program ini, kita telah agihkan 18,500 komputer riba di bawah program komputer riba 1Malaysia oleh kerajaan Malaysia.

"Pihak kami juga mengambil bahagian dalam program pusat digital di Pekan, Pahang dan Pagoh, Johor. Kempen kesedaran penggunaan jalur lebar ini akan dipertingkat dari masa ke masa," katanya.

Kes Penyeludupan Di Sempadan Berkurangan Tahun Ini

Kadar penyeludupan di semua sempadan negara sejak Januari tahun ini hingga 20 Dis lepas, telah berkurangan sebanyak 616 kes daripada 3,741 kes tahun lepas kepada 3,125kes tahun ini, kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga seramai 4,035 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan penyeludupan berbanding 2,903 orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap pada Perasmian Pontoon Baru Markas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor hari ini, katanya pasukan itu juga telah merampas barang-brang seludup bernilai lebih RM26 juta pada sepanjang tempoh itu berbanding dengan RM33 juta pada tahun lepas dengan kesalahan utama di bawah Akta Perikanan bernilai RM746,440.

Yang turut hadir timbalannya Datuk Salleh Mat Rasid, Komander Pasukan Gerakan Am (PGM) Datuk Isa Munir, Komander Wilayah Tiga (3) ACP Salleh Mat Jani dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supt Azli Mohd Nor.

Beliau juga berkata pihaknya telah menahan seramai 1,400 orang pendatang tanpa izin yang masuk ke negara ini tanpa dokumen berjalanan yang sah tahun ini berbanding 2,390orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai banjir yang mungkin melanda lagi negara, Khalid berkata polis telah bersiap sedia dengan pelbagai kemudahan lojistik dan kepakaran termasuk helikopter bagi memindahkan mangsa yang terlibat dengan ancaman bencana itu.

Mengenai keselamatan anggota di sempadan ketika menjalankan tugas, beliau berkata amat memuaskan dan tiada ancaman yang membimbangkan pasukan daripada pihak lain semasa menjalankan tugas.

"Perkara biasa dan semua anggota telah dilatih dan setakat ini tidak ada masalah sekiranya ada ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengenai pembinaan pontoon (jeti bot kecil) tersebut, beliau berkata ia telah siap pada Disember tahun lalu dengan kos pembinaan sebanyak RM1.526 juta bagi menempatkan bot-bot laju kecil milik PGM.

Bekas Pengarah Perikanan Beas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, 58, menerima ‘hadiah hari jadi’ paling bermakna dalam hidupnya apabila kekal bebas tuduhan berhubung rasuah dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tuduhan rayuan berkaitan.

Abdullah ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa bersyukur bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan dan menganggapnya sebagai hadiah hari jadinya yang jatuh pada 31 Disember hadapan juga merupakan tarikh persaraannya.

“Keputusan ini amat bermakna kerana terbukti saya tidak melakukan kesalahan terbabit sekali gus membersihkan semula nama yang dikaitkan dengan kes tersebut sejak dua tahun lalu dan kini saya betuk-betul bebas,” katanya.

Hakim Azman Abdullah membebaskan Abdullah berdasarkan notis menarik balik rayuan yang dikemukakan oleh SPRM pada 21 Jun lalu iaitu pada tarikh dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan yang sama.

Peguam belanya, Datuk Shukri Mohamed berkata, tuduhan rayuan tersebut sepatutnya didengar pada kelmarin, namun pihaknya ada menerima “Notis Menarik Balik Rayuan’’ bertarikh 13 Disember 2010 yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Sebelum kes rayuan tersebut didengar hari ini (semalam), SPRM telah menghantar notis menarik balik rayuan berkaitan dan hari ini (semalam) ia didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Abdullah telah bebas daripada pertuduhan rayuan tersebut dan dianggap semuanya telah selesai,’’ katanya.

Berdasarkan kepada pertuduhan sebelum ini, Abdullah yang kini ditukarkan ke Putrajaya dituduh bersama Muhammad Fadzil Md. Sulong, 53, di Jabatan Perikanan negeri pada Ogos 2006, mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada pegawai tadbir jabatan itu, Marini Mohamed.

Tuntutan palsu itu didakwa bertujuan memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong-royong di Pejabat Perikanan Machang oleh sebuah syarikat yang telah selesai dilakukan.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Amaran Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sederhana kadangkala lebat yang turun di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Jeli, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala Terengganu pula di kawasan Daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, sementara Pahang melibatkan Bentong, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Raub, dan Johor pula di kawasan Mersing.

Hujan sederhana dan kadangkala lebat boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter dijangka berterusan di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pada masa yang sama, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat), Utara Samui dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.

Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.

Sunday, December 26, 2010

PROJEK PUSAT RM35j DI DUN GALAS, MANEK URAI UNTUK RAKYAT

Angkat tangan tanda menang, juga 'surrender' tidak dapat memenuhi permintaan rakyat - ini perkara biasa bagi wakil rakyat PAS Kelantan.

Apakah yang dilakukan oleh PAS selepas menang di Dewan Undangan Negeri Manek Urai?

Apakah pembangunan dan kemudahan yang dilakukan oleh mereka? Apakah wakil rakyat PAS DUN itu peka dengan kehendak rakyat?

Tidak seperti di Galas, ADUN yang menang, Abdul Aziz Yusoff sedang melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan terbaru mengimarahkan masjid dan surau membabitkan perbelanjaan RM300,000.

Apakah wakil rakyat DUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang menang tipis, 65 undi seperti wakil rakyat PAS lain menyandarkan kepada tiada peruntukan menyebabkan tiada projek?

Apakah habuan Kerajaan PAS Kelantan terhadap kemenangannya? Apakah rakyat Manek Urai tidak ‘dihadiahkan sesuatu’ selepas kemenangannya? Sekadar angkat tangan dan terima kasih?

Di pihak Barisan Nasional (BN), janji pilihanraya kecil ditunaikan, sama ada di DUN yang mereka kalah apalagi di DUN yang menang.

Pelaksanaan projek- projek kerajaan persekutuan bernilai lebih RM35 juta di Manek Urai, Kuala Krai dan Gua Musang akan memberi banyak faedah kepada rakyat negeri ini.

Dengan sendirinya projek itu akan membangunkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan – DUN Galas dan Manek Urai - dijangka siap hujung bulan ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustafa, berkata pelaksanaan pelbagai projek pembangunan itu juga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap keperluan prasarana di kalangan rakyat tempatan.

Beliau berkata, antara projek yang sedang dijalankan adalah pembinaan jambatan menghubungkan Manek Urai baru dan Manek Urai lama melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, dijangka siap pada akhir tahun hadapan.

Menurutnya, jambatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk tempatan untuk berulang-alik antara kedua-dua destinasi dengan mementingkan ciri-ciri keselamatan berbanding sebelumnya.

Selain itu, katanya, kerja membaiki dan menaik taraf Masjid Kampung Temali dengan peruntukan sebanyak RM300,000 juga akan siap pada akhir Januari tahun hadapan.

"Bagi meningkatkan semangat kesukanan di kalangan masyarakat luar bandar, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membangunkan pusat sukan di Kampung Manjor yang akan siap sepenuhnya akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan latihan dan ujian menembak anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri di Lapang Sasar Gunung Bachok baru-baru ini.

Makhtar yang juga Kolonel Kehormat Rela negeri berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, projek menaik taraf rangkaian jalan di sekitar rumah ibadat kaum India dan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Wangi sudah dilaksanakan mengikut jadual.

Pembinaan tokong dan jalan di Kampung Pulai bernilai RM400,000 di DUN Galas dan membaiki masjid di Kampung Temalir sebanyak RM600,000.

Beliau berkata, pembangunan landskap termasuk pembinaan jambatan gantung dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi mengindahkan perkampungan Pulai akan turut dilaksanakan, sekali gus merancakkan sektor agro-pelancongan kawasan berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut menyediakan pelan dan perancangan untuk membina dan membaiki rumah bagi memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di Hulu Kelantan.

Antara projek besar yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan 200 rumah di enam perkampungan Orang Asli di kawasan DUN Galas bernilai RM18.5 juta.

"Pembinaan itu kini berjalan lancar dan dijangka siap hujung bulan ini," katanya.
Makhtar berkata mereka yang bakal tinggal di situ terdiri daripada penduduk perkampungan Pos Blau, Pos Putat, Pos Handrop, Pos Brooke, Pos Tuel dan Pos Sandway.

"Kerajaan akan terus membela kepentingan Orang Asli termasuk menyediakan kemudahan prasarana yang diperlukan," katanya.

SAIDI - SAYA TERIMA HUKUMAN POLITIK...

"Saya tidak pernah menuduh ADUN berkenaan berzina. Ia tidak keluar daripada mulut saya. Apa yang saya dedahkan kepada umum adalah saya pernah menangkap ADUN berkenaan berkhalwat dalam koc VIP kereta api dengan menyatakan nama-nama saksi yang ada bersama. Tuduhan berzina itu hanya paparan blog tertentu yang menghangatkan isu berkenaan," - Saidi Husin

Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin mendakwa dia sudah menerima 'hukuman politik' berikutan tindakannya mededahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ditangkap khalwat.

Katanya, kejadian keretanya dirempuh kenderaan lain di Kampung Dalam Ru dan diserang oleh orang yang tidak dikenali di rumahnya malam kelmarin mungkin amaran awal supaya dia tidak meneruskan pendedahan berkaitan.



"Orang yang melakukan tindakan sedemikian adalah tidak rasional kerana membelakangi perundangan. Kalau saya membuat fitnah, samanlah di mahkamah dan biarkan pihak berkenaan menghukumnya.

"Saya memang mengesyaki kejadian yang berlaku ini ekoran tindakan saya yang berucap dalam beberapa siri ceramah berkaitan isu berkenaan.
"Tindakan dan hukuman sudah diambil terhadap saya tetapi tidak mengikut undang-undang. Ini tindakan jahiliah, tidak profesional dan sedikit pun tidak mengikut tuntutan Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gali semalam.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan dakwaan Saidi dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Saidi yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim mendakwa dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat libasan yang dilakukan tiga lelaki.
Saidi bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pihak atau mengaitkan dengan politik dalam aduan polis berkaitan kejadian dia diserang kerana memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan penyiasatan.

"Saya juga tidak membuat laporan polis apabila kereta saya dirempuh kerana menganggap ia boleh diselesaikan di luar mahkamah. Namun, sehingga hari ini orang yang melanggar kereta saya tidak pun kelihatan ataupun membuat aduan kemalangan di mana-mana balai polis," katanya.

Menurutnya, ekoran paparan laman blog berkaitan pendedahan isu khalwat yang didedahkan itu, menyebabkan dia sentiasa berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dapat diduga sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

"Saya tidak pernah menuduh ADUN berkenaan berzina. Ia tidak keluar daripada mulut saya. Apa yang saya dedahkan kepada umum adalah saya pernah menangkap ADUN berkenaan berkhalwat dalam koc VIP kereta api dengan menyatakan nama-nama saksi yang ada bersama.

"Tuduhan berzina itu hanya paparan blog tertentu yang menghangatkan isu berkenaan," katanya. Beliau dukacita dengan kenyataan ADUN berkenaan yang membuat penafian bahawa orang yang membuat fitnah berzina dosanya sama dengan orang yang berzina.

"Saya tidak membuat fitnah kes zina. Apa yang saya cakap adalah kebenaran yang membabitkan kes khalwat dan menyatakan kes tangkapan itu diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tindakan lanjut.

"Itu sahaja dan saya tahu dosa dan hukuman memfitnah di sisi agama dan undang-undang," katanya.

Tambahnya, pihak tertentu tidak sepatutnya mengaitkan laporan yang disiarkan dalam blog tertentu sebagaimana 'ayat' yang diucapkan dalam ceramah sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batas perundangan terhadap dirinya.

ANNUAR MUSA DITIKAM OLEH ANAK DIDIKNYA DI KETEREH?

'GERAKAN ANTI ANUAR MUSA' yang dicetuskan oleh kalangan yang rapat dengan Haji Alwi dan beberapa orang jawatankuasa Bahagian yang tidak senang hati cara Anuar Musa mentadbir UMNO Bahagian sekarang ini kerana kuasa tidak diperturunkan kepada Haji Alwi sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan juga kepada Ketua wanita, Ketua Pemuda hatta kepada Ketua Puteri. UMNO Ketereh sekarang seperti ditadbir oleh tiga orang manusia saja iaitu Anuar Musa, Cik Gu Sharifuddin dan Azmi Ishak .

Di Indonesia sebelum tsunami melanda Aceh dan meranapkan keseluruhan bumi disekitar masjid Al'RAHMAN, penduduknya berjuang untuk mendapat kemerdekaan melalui gerakan yang dikenali dengan 'GAM' iaitu Gerakan Aceh Merdeka yang akhirnya penduduk Aceh mendapat kuasa autonomi.

Lain pula di Ketereh, Kelantan kerana tidak puas hati apa yang berlaku dalam kepimpinan UMNO Bahagian Ketereh yang dipimpin oleh Tan Sri Anuar Musa yang mana sudah lebih 25tahun Anuar Musa jadi Ketua Bahagian kini ujud satu fenomena baru.

Gerakan yang telah dimulakan oleh kumpulan yang mahu supaya jawatan Ketua Bahagian ditukar kepada YB. Haji Alwi Che Mat (gambar kanan) iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh sekarang sedang giat diperkatakan oleh ahli-ahli UMNO Cawangan. Usaha secara senyap sedang dilakukan supaya Anuar Musa melepaskan jawatan Ketua Bahagian secara sukarela.

Gerakan ini timbul secara bersungguh-sungguh setelah UMNO Malaysia membuat pengumuman supaya persidangan dan pemilihan dalam UMNO ditangguhkan selama 18bulan bagi UMNO menghadapi pilihanraya umum ke 13. Kecewa dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itulah timbul satu gerakan yang dipanggil 'GAAM'.

GAAM yang dimaksudkan itu ialah 'GERAKAN ANTI ANUAR MUSA' yang telah dicetuskan oleh kalangan yang rapat dengan Haji Alwi dan beberapa orang jawatankuasa Bahagian yang tidak senang hati cara Anuar Musa mentadbir UMNO Bahagian sekarang ini kerana banyak kuasa diberi kepada Cik Gu Sharifuddin Ab.Rahman yang memangnya tidak disukai oleh banyak ketua-ketua cawangan.

Sehingga kuasa tidak diperturunkan kepada Haji Alwi sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan juga kepada Ketua wanita, Ketua Pemuda hatta kepada Ketua Puteri. UMNO Ketereh sekarang seperti ditadbir oleh tiga orang manusia saja iaitu Anuar Musa, Cik Gu Sharifuddin dan Azmi Ishak (Setiausaha Bahagian).

Itulah keluhan dan berita yang disampaikan kepada saya oleh orang-orang yang berpengaruh didalam UMNO Bahagaian Ketereh, ceritanya lagi sejak Anuar Musa menumpukan masa kepada Persatuan Bolesepak Kelantan (KAFA) masa untuk mengurus UMNO Bahagian tidak diutamakan hanya melepaskan tanggongjawab kepada Cik Gu Sharipuddin yang mana Cik Gu Shaarifuddin dilihat lebih berkuasa daripada Haji Alwi.

Apa yang saya difahamkan Gerakan Anti Anuar Musa (GAAM) di Ketereh itu akan berterusan sehingga pilihanraya umum, apabila Haji Alwi tidak dicalunkan sebagai Ahli Parlimen, mereka yang secara diam sekarang ini melobi supaya Anuar Musa tidak dicalunkan semula sebagai calun Perlimen Ketereh akan bangkit menentang secara terbuka. Katanya apa nak jadi, jadilah kerana sekiranya diberi kepada Anuar Musa jadi calun pun UMNO akan kalah juga.

Hebat nampaknya perancangan Haji Alwi untuk mengambil alih tempat Anuar Musa sebagai Ketua Bahagian, peluang untuk menjadi Ketua Bahagian dengan cara tidak bertanding dimainkan secara halus. Perlu diingat Haji Alwi tidak akan dapat menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh melalui pertandingan kerana Haji Alwi takut untuk melawan Anuar Musa bekas taukehnya.

Sejak nama Anuar Musa muncul sebagai taukeh Bolasepak Kelantan, bukan saja Haji Alwi yang bercita-cita untuk menjadi Ketua Bahagian malah ada juga Gerakan Anti Anuar Musa dipertingkat UMNO Negeri yang tidak mahu Anuar Musa diberi tempat mengambil alih UMNO Perhubungan Negeri. Rata-rata berpendapat eloklah Anuar Musa terus memberi masa untuk menjaga bolasepak dan lupakan soal politik. sudah sampai masanya Anuar Musa bersara dari politik kerana Anuar Musa sudah ada segala-galanya, ada rumah besar, ada kereta besar dan mewah, hidup pun dah kaya raya, apa lagi yang Anuar Musa tak ada didunia ini, semuanya ada dan semuanya yang beliau mahu dah dapat.

Anuar Musa tahu semua itu, tapi sebagai orang politik yang berpengalaman dia tidak mudah melatah dan dia suka melihat kerana Anuar Musa tahu dimana kuncinya untuk melemahkan Gerakan tersebut.dan Anuar Musa juga tahu bahawa UMNO Ketereh adalah kepunyaannya tidak ada siapa yang boleh mengambil jawatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh dari tangan beliau melalui sistem demokerasi ala UMNO kecuali UMNO Malaysia mematikan proses demokerasi di Kelantan seperti mana Tun Mahathir lakukan disatu masa dulu.

Tun Mahathir telah tidak mengikut lunas-lunas demokerasi terhadap UMNO Kelantan dimasa itu hanya semata-mata mahu mengekalkan Anuar Musa sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh kerana arus untuk mengalahkan Anuar Musa sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh amat kuat dimana saya dan Dato' zainal Abidin serta Cik Gu Mat Yani dan Ariffin Yaacob (Abg. Pin Burung) secara terbuka melawan Anuar Musa.

Nasib Anuar Musa terselamat kerana adanya Tun Mahathir.

Daripada http://newkk.blogspot.com/

JKM PERTIMBANG BANTUAN REMAJA BUTA TERKENA SERPIHAN PELURU

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan akan mempertimbangkan pemberian bantuan segera kepada Muhammad Huzaifah Mohd Nor, 20, yang buta sebelah mata kanan dipercayai akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata ketika rusuhan perlawanan bola sepak di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, pada 7 April tahun lalu.

Pengarah JKM negeri, Md Noor Chik, berkata beliau memahami kos yang terpaksa ditanggung Muhammad Huzaifah antara RM100 hingga RM150 sebulan khusus untuk ubat bagi penjagaan matanya.

"Pegawai kita akan berjumpa Muhammad Huzaifah untuk memberi bantuan segera tetapi tindakan selanjutnya perlu dibincangkan dengan pengurusan," katanya yang menyatakan keprihatinannya terhadap Muhammad Huzaifah baru-baru ini.

Akhbar melaporkan seorang mekanik terpaksa menggunakan mata palsu selepas cedera dipercayai terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan bola sepak di Kelantan, tahun lalu.

Akhbar juga melaporkan Muhammad Huzaifah meluahkan rasa kesal dan keliru terhadap tindakan JKM yang tidak meluluskan permohonan untuk mendapatkan elaun memandangkan dirinya mempunyai kad OKU sejak tahun lalu, selain mempunyai pekerjaan dengan pendapatan RM650 sebulan.

Selain itu, Md Noor berkata, JKM akan mengkaji semula status orang kurang upaya (OKU) Muhammad Huzaifah selaras dengan penyusunan semula kategori OKU sejak Januari tahun ini yang menyatakan bahawa kecacatan sebelah mata tidak termasuk sebagai OKU.

"Isu sekarang ini ialah dia kecewa kerana permohonan mendapatkan elaun pekerja cacat berjumlah RM300 sebulan itu ditolak, bagaimanapun kita prihatin terhadap masalah Muhammad Huzaifah," katanya.

RM300,000 BAGI IMARAHKAN MASJID, SURAU DI DUN GALAS

Janji Kerajaan Pusat tidak pernah bohong. Ia melakukannya bukan sekadar menabur harapan kosong.

Kerajaan memperuntukkan lebih RM300,000 bagi menjalankan pelbagai program dalam usaha mengimarahkan lima masjid dan 27 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Anggota DUN (ADUN) Galas Abdul Aziz Yusoff berkata ia susulan janji beliau pada pilihan raya kecil 4 Nov lepas bagi menjadikan masjid sebagai tempat mengembangkan syiar Islam di kalangan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap sumbangan yang disalurkan digunakan dengan baik, selain mengatur pelbagai program berdasarkan persetujuan anggota jawatankuasa masjid dan surau terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Masjid Kampung Lepan Jaya kelmarin, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, berkata beliau tidak mahu peruntukan itu digunakan bagi tujuan lain, termasuk membaiki kemudahan.

"Ini kerana peruntukan yang disediakan itu khusus bagi menjalankan pelbagai program untuk mengimarahkan masjid, termasuk kursus fardhu ain, pertandingan membaca Al-Quran atau kursus pengurusan jenazah," katanya.

Beliau berkata sumbangan itu juga bukan bertujuan menonjolkan kemegahannya selepas memenangi kerusi DUN Galas dan mampu berbuat apa sahaja bagi faedah penduduk.

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata ia bagi mengembangkan syiar Islam sesuai dengan fungsi masjid sebagai tempat beribadah kepada Allah dan mengerjakan amalan yang dituntut agama sepanjang masa.

"Kita perlu buktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai program untuk mengimarahkan masjid, dan kita mampu melaksanakannya sebagai yang saya janjikan sebelum ini.

"Nampaknya, penduduk menerima perkara itu dengan hati terbuka kerana akan membawa banyak kebaikan kepada penduduk tempatan, terutama menarik generasi muda ke masjid dan surau," katanya.

Beliau juga berjanji terus memantau setiap perkembangan program di masjid dan surau terbabit supaya penduduk dapat berkumpul serta menimba lebih banyak ilmu keagamaan.

69,000 PENGGUNA KELANTAN DAPAT REBET BIL ELEKTRIK TAHUN DEPAN

Seramai 1,068,000 pengguna domestik, termasuk 66,000 di Kelantan akan mendapat manfaat rebet bil elektrik dengan anggaran kos berjumlah RM138.48 juta tahun depan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon berkata langkah itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka.

Beliau berkata Selangor mencatat bilangan pengguna tertinggi menerima rebet tersebut iaitu 150,000 pengguna, diikuti Johor (126,000), Perak (114,000), Kedah (99,000) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (94,000).

Selain itu, Kelantan pula mencatatkan 69,000 pengguna, Sarawak (69,000), Pulau Pinang (68,000), Pahang (63,000), Sabah (62,000), Negeri Sembilan (53,000), Terengganu (50,000), Melaka (36,000), Perlis (11,000) serta Putrajaya dan Cyberjaya (4,000)," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Fatimah Hamat di Dewan Negara pada Rabu.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Noriah berkata kerajaan membelanjakan RM116.24 juta bagi menampung rebet kepada pengguna.

Katanya rebet tersebut hanya akan diberi kepada pengguna yang bil elektrik kurang daripada RM20 sebulan.

KADA TERUS BANTU PETANI MISKIN MENERUSI PELBAGAI PROJEK

Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar.

Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur.

"Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting kelmarin.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini.

Kelmarin, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan.

Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri.

Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani.

Atasi Segera Masalah Penduduk Kuala Renggil

Bertarung nyawa!

Lebih 20 keluarga Orang Asli di Kampung Kuala Renggil, Lojing, tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui titian buluh yang dibina sendiri selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan runtuh, lima tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk menyatakan kegusaran masing-masing dengan kekukuhan titian buluh itu terutama ketika hujan lebat dan aliran arus deras sungai di Sungai Hulu Brooke.

Penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk dihanyutkan arus deras apabila ditakdirkan titian buluh itu runtuh secara tiba-tiba sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jiwa.

Penduduk, Riang Ujang, 35, berkata masalah perhubungan bagi penduduk di kampung pedalaman dekat Pos Brooke Lama itu sentiasa menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Beliau juga bimbang dengan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang kerap menggunakan titian buluh untuk menyeberang sungai berkenaan terutama pada musim hujan.

“Kita terpaksa membina sendiri titian buluh itu bagi mengelakkan masalah terputus hubungan ke kawasan seberang berikutan jambatan gantung yang pernah dibina Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) runtuh selepas dihanyutkan arus deras lima tahun lalu.

“Kami sudah tak sanggup mengharungi sungai setiap hari, sebab itu kami mengadakan gotong-royong membina jambatan buluh bagi kemudahan penduduk berulang alik dari kampung itu ke Pos Brooke setiap hari,” katanya.

Kasim Malu, 52, berkata kebanyakan kampung yang menjadi penempatan asal masyarakat Orang Asli di kawasan itu masih ketinggalan daripada menikmati arus kemajuan terutama jalan perhubungan yang selesa.

“Kebanyakan kampung terbabit masih menggunakan jalan yang digunakan lori balak, penduduk tidak mempunyai pilihan lain memandangkan mereka tidak mempunyai jalan perhubungan yang selesa," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan segera mengambil perhatian serius untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Orang Asli terutama di luar bandar dengan menyediakan jalan perhubungan yang selesa.

Saidi Diserang Kerana Isu Skandal Khalwat?

Saidi Husin menunjukkan keretanya yang remuk akibat dilanggar oleh kenderaan Toyota Avanza ketika perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang membuat pendedahan mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ditangkap khalwat mendakwa dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh dekat sini malam kelmarin.

Saidi mendakwa, dalam kejadian itu dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat tetakan yang dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 11.30 malam.

Beliau yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan serangan itu berpunca daripada pendedahan mengenai skandal khalwat tersebut dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar kawasan Pasir Puteh baru-baru ini.
“Ketika itu saya baru pulang ke rumah dan semasa mahu menaiki tangga, saya diserang dari arah belakang. Saya terus menjerit dan ketika itu isteri saya membuka pintu rumah dan melihat tiga lelaki telah melarikan diri.

“Saya bernasib baik kerana tidak terkena tetakan itu, hanya bahagian belakang dan lengan baju terkoyak, baju itu telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan, bagaimanapun saya tidak mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di kelmarin.

Sebelum ini, beberapa buah laman blog termasuk Papa Gomo mendedahkan mengenai seorang ADUN Pas dari kawasan Selising telah ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan ADUN tersebut, Drs. Saipul Bahrin Mohamad menyifatkan dakwaan perlakuan zina membabitkan dirinya dengan isteri seorang guru dalam blog Papa Gomo merupakan perbuatan khianat dan fitnah besar untuk menamatkan karier politiknya.

Saidi yang keluar daripada Pas pada Oktober lalu berkata, sebelum itu, keretanya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza secara tiba-tiba dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

“Dalam perjalanan itu, saya telah melihat sebuah Toyota Avanza yang mengekori saya, tetapi saya tidak endahkan kerana sejak pendedahan isu itu, saya telah menjangkakan akan diekori.

“Ketika saya membuat pusingan U dan secara tiba-tiba kenderaan itu telah melanggar saya dengan kuat di bahagian hadapan sisi kanan tempat duduk sehingga menyebabkan saya terhantuk sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi saya percaya mungkin disebabkan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan Pas dibuat kerana kecewa dengan parti tersebut yang tidak melaksanakan apa yang dikatakannya.

“Terlalu banyak contoh untuk dikemukakan, dulu kata hiburan tidak dibenarkan di Kelantan tetapi sekarang pelbagai konsert diadakan di negeri ini malah kita boleh lihat dengan jelas berhala dapat dibina sewenang-wenangnya di negeri ini,” katanya.

Kelantan Bina Kilang Pelupusan Sisa Pepejal RM20 Juta

Kerajaan Kelantan dengan usaha sama sebuah syarikat swasta luar negara akan membina sebuah kilang pelupusan sisa pepejal termoden bernilai RM20 juta untuk digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kilang itu akan dibina di kawasan tapak pelupusan sampah di Kampung Telong, Kandis, dekat Bachok, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Kita akan mula melaksanakan kerja membina kilang itu dengan sebuah syarikat dari China tahun depan," katanya kepada di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau berkata dengan adanya kilang itu, 60 peratus sampah yang dipungut oleh PBT di seluruh negeri akan dihantar ke situ untuk diproses.

"Keistimewaan kilang ini ialah iaboleh memproses sisa buangan sampah jenis organik untuk dijadikan baja tanaman yang akan memberi pulangan pendapatan kepada kerajaan," kata Takiyuddin.

Hujan, Ribut Petir Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang serta Kulai Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman) mulai malam esok (Isnin)hingga Khamis pagi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan terletak berhampiran tebing sungai.

Selain Kelantan dan Terengganu, Pahang (Kuantan, Maran, Temerloh, Pekan serta Rompin) dan Johor (Mersing) juga dijangka mengalami keadaan cuaca yang serupa.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Codore Reef North, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Sarawak (Miri), Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman serta Kudat), selatan Samui, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang dan Palawan mulai Ahad ini hingga Jumaat.

Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil, kegiatan rekreasi dan sukan laut.

Thursday, December 23, 2010

KEMISKINAN, IBU TUNGGAL MENINGKAT DI KELANTAN

Apabila semakin ramai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kelantan, tidakkah ia menggambarkan semakin ramai rakyat yang susah di negeri itu?

Atau apakah kenaikan jumlah penerima itu menggambarkan JKM semakin cekap mengenal pasti mereka yang wajar menerima bantuan?

Atau apakah kerajaan, khususnya Kerajaan Puast semakin bermurah hati untuk memberikan bantuan, walaupun penerima sepatutnya semakin berkurangan?

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohamed Noor Chik berkata Selasa lalu, Kelantan terus mencatatkan peningkatan kadar kemiskinan dan ibu tunggal pada setiap tahun berikutan meningkatnya jumlah penduduk serta kos sara hidup yang semakin tinggi.

Tahun ini, jabatan merekodkan sebanyak 30,751 penerima bantuan berbanding 26,099 penerima tahun lepas, menjadikan Kelantan negeri kedua tertinggi mencatatkan bilangan penerima.

"Faktor utama peningkatan kadar kemiskinan kerana kenaikan harga petroleum hingga menyebabkan harga barang naik sekali gus meningkatkan perbelanjaan sara hidup keluarga," katanya pada majlis JKM Kelantan bersama media di Kota Bharu.

Mohamed Noor berkata disebabkan peningkatan jumlah penerima bantuan itu, kerajaan membelanjakan RM70 juta sepanjang tahun ini dengan purata kira-kira RM6.5 juta pada setiap bulan.

"Perbelanjaan itu meningkat sebanyak RM55 juta berbanding tahun lalu," katanya.

Jumlah terbesar penerima bantuan terdiri daripada ibu tunggal iaitu hampir 10,000 orang manakala bakinya adalah golongan miskin serta kurang upaya.

Pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan kini ditetapkan sebanyak RM720 sebulan.

Soalnya berapa peruntukan daripada kerajaan negeri untuk tujuan ini?

BERITA SEDIH - PELAJAR MAUT BERSAMA IBU SELEPAS AMBIL KEPUTUSAN PMR

Seorang pelajar yang dalam perjalanan pulang bersama ibunya selepas mengambil keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dihempap lori pasir di lampu isyarat Kok Lanas petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, lori tersebut turut menghempap tiga buah kereta. Bagaimanapun, penumpang serta pemandu tiga kenderaan terbabit terselamat.

Siti Aisyah Zakaria, 15, dan ibunya, Aziza Musa, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dihempap lori tersebut yang keluar dari simpang arah Selising ke Machang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Osman berkata, kejadian berlaku ketika Aziza menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Maahad Shamsul Maarif (P) yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya selepas mengambil keputusan PMR yang diumumkan hari ini.

Allahyarham Siti Aisyah telah memperoleh keputusan 4A, 4B dan 1C dalam PMR.

Utusan

BENARKAH NIK AZIZ SUCI?

Daripada Gelombang Merah

Sudah lama kita tidak mendengar cerita tentang menantu mithali MB Kelantan, Abdul Ariffahmi semenjak dia meninggalkan PMBK secara tergesa-gesa disaat orang-orang Kelantan sedang kalut tentang sokongan Ku Li terhadap tuntutan royalti minyak Husam Musa.

Walaupun telah meninggalkan PMBK tetapi kami difahamkan Ariffahmi masih lagi terlibat dengan sebuah projek usahama Kerajaan Kelantan dengan pihak swasta iaitu projek Bandar Baru Tunjung. Ariffhami sekarang dikatakan bersama dengan syarikat milik seorang bekas pemimpin Umno Selangor yang kini bersama Pas dimana syarikat itu adalah syarikat yang diberi kepercayaan untuk membangunkan projek bandar baru itu.

Cekap sungguh bekas pemimpin Umno berkenaan menyambar peluang dengan mengambil menantu mithali MB dan meletakkan dalam syarikatnya. Jika tiada udang disebalik batu, tak mungkin orang seperti Ariffahmi dipandang oleh syarikat tersebut. Kami akan menjelaskan kemudian maksud udang di sebalik batu berkenaan.

Cuma hari ini kami hendak berceritakan kronisme yang diamalkan oleh Nik Aziz. Adik kakak jangan ingat Nik Aziz itu maksum dan bersih sangat.

Selepas bekas CEO yang awal Puan Hajjah Fadhilat meninggalkan PMBK pada Januari 2008, Nik Aziz terus melantik menantunya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). Sebelum itu Ariffahmi memegang jawatan ketua sektor hartanah.

Perlantikan Ariffahmi oleh Nik Aziz tidak menyenangkan ramai kakitangan PMBK yang lain kerana sebelum itu Arfiffahmi pernah menghadapi beberapa tindakan disipilin dan pada masa itu masih ada satu lagi memo tindakan disiplin yang dibuat oleh pentadbiran sebelum itu (pentadbiran Hajjah Fadhilat) belum lagi dijawab oleh Ariffahmi.

Kebiasaannya peraturan kepada penjawat awam yang ada memo tindakan disiplin tetapi tidak menjawabnya tidak boleh dipertimbangkan untuk sebarang kenaikan pangkat dan sebagainya.

Tetapi itu tidak berlaku kepada Ariffahmi kerana dia menantu kesayangan MB. Nik Aziz membutakan matanya dan memekakkan telinganya, tanpa mengambil kisah semua itu dia meneruskan juga perlantikan itu.

Itulah wajah MB yang apabila berada di pentas ceramah menceritakan tentang kejujuran dia memerintah negeri seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang pelita kerajaan pun tidak berani digunakan apabila mereka tidak melakukan urusan kerajaan.

Bermula daripada situ kakitangan PMBK mula tidak menyenangi Ariffahmi dan kemudiannya ditambah pula selepas itu apabila Arfiffahmi banyak menggunakan kuasanya melakukan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan kakitangan. Antaranya ialah tindakan mengubah sistem dasar tanpa mengambil kira siapa yang sepatutnya melakukan itu.

Kebanyakan kakitangan bahagian keewangan dan pentadbiran merasa bahawa keadaan mengamcam sebab mereka banyak diminta oleh Ariffahmi melakukan sesuatu yang tidak betul.

Setelah setahun berada di kerusi COO Ariffahmi terus melangkah ke puncak yang paling tinggi dalam PMBK dengan bantuan pak mertuanya.

Pada 29 September 2009 satu mesyuarat jawatankuasa penasihat PMBK telah diadakan dan dipengerusikan oleh Nik Aziz sendiri. Semasa mesyuarat berjalan dan minit dicatitkan tidak ada sepatah haram pun keluar dari mulut Nik Aziz yang beliau akan melantik Ariffahmi sebagai CEO PMBK yang baru.

Selepas 'round table' yakni setelah selesai mesyuarat tiba-tiba Nik Aziz bersuara dengan mengatakan dia ada pengumuman untuk dibuat. Ahli-ahli jawatankuasa mesyuarat menjangkakan Nik Aziz ingin membuat pengumuman tentang perkara lain yang tidak ada kena mengena dengan PMBK kerana mesyuarat telah selesai.

Tiba-tiba Nik Aziz berkata dia telah melantik menantunya sebagai CEO PMBK berkuatkuasa 20 September 2009. Cuba anda lihat di sini betapa liciknya Nik Aziz, satu keputusan yang penting dia telah lakukan 9 hari sebelum mesyuarat , diumumkan setelah mesyuarat selesai dan setelah minit mesyuarat ditutup.

Nik Aziz tidak berani mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat sedang berlangsung kerana bimbang ianya menjadi bahan perdebatan dalam mesyuarat atau mendapat tentangan jawatankuasa penasihat PMBK dan seterusnya boleh membantutkan usahanya melantik menantu sebagai CEO.

Pada masa itu walaupun perlantikan sudah dibuat, tetapi surat belum dikeluarkan lagi. Surat hanya dikeluarkan pada 7 Oktober 2010. Diantara tarikh pengumuman yang dibuat oleh Nik Aziz iaitu pada 29 September hingga 7 Oktober beberapa orang besar PMBK dan kerajaan negeri pergi menemui Nik Aziz dan mereka melahirkan rasa tidak puas hati dengan perlantikan itu.

Lalu pada 7 Oktober, Nik Aziz telah memanggil Ariffahmi ke pejabatnya bagi memaklumkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak tertentu. Yang paling celakanya, sewaktu ke pejabat Nik Aziz Ariffahmi telah membawa bersama draf surat perlantikannya sebagai CEO yang didrafkan olehnya sendiri.

Apa mereka dua beranak bincangkan tidak diketahui, tetapi selepas keluar dari bilik MB Ariffahmi senyum lebar dan seolah-olah berada dalam keadaan yang gembira sangat-sangat.

Tiba-tiba keesokan harinya seluruh kakitangan-kakitangan PMBK dan jabatan-jabatan kerajaan terkejut kerana mereka telah menerima pekeliling tentang perlantikan Ariffahmi sebagai CEO PMBK yang baru.

Rupa-rupanya semasa dua beranak berkenaan berada dalam bilik MB pada hari sebelumnya, Nik Aziz telah menandatangani surat perlantikan Ariffahmi yang didrafkan olehnya sendiri.

Lihatlah bagaimana mereka menguruskan negeri, seolah-olah menguruskan sebuah syarikat sendirian berhad. Boleh pilih jawatan apa yang dikehendaki , kemudian buat surat sendiri dan bawa pergi kepada pak mertua untuk tandatangan.

Adakah rakyat Kelantan masih nak mengatakan Nik Aziz bersih dari segala penyelewengan ?

APAKAH KELANTAN JUGA AKAN DAPAT PROJEK ETP?

Lebih banyak Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka diumumkan pada minggu kedua Januari 2011.

Soalnya, apakah Kelantan juga akan mendapar rahmat daripadanya?

Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat pengumumannya Januari ini.

"Sebelum ini, PM ada berkata, Disember tak ada. Jadi gabungan Disember dan Januari, secara logiknya lebih banyaklah," kata Mustapa selepas merasmikan program "Outreach" dengan pensyarah institusi pengajian tinggi tempatan di Kuala Lumpur.

Setakat ini 18 projek Permulaan telah diumumkan Perdana Menteri pada bulan Oktober dan November yang lalu.

Sejumlah 131 projek EPP dirancang bagi membawa Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi dan lebih 3.0 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020.

Mengenai program "Outreach", Mustapa berkata objektif program itu bertujuan untuk memberi penerangan mengenai ETP dan GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan juga mengenai fungsi MITI dari segi perdagangan dan pelaburan kepada pelajar universiti dan juga para pensyarah.

Program yang pertama, kedua dan ketiga telah dilaksanakan antara para pelajar universiti di ibu pejabat MITI, Putrajaya dan Kelantan bermula awal tahun ini.

Program itu, yang keempat berlangsung hari ini, melibatkan para pensyarah dari universiti tempatan.

"Tahun hadapan kita akan lanjutkan program ini ke bandar-bandar dan kampung-kampung dengan mengadakan kursus bersama universiti. Kita juga akan adakan program "outreach untuk industri," katanya.

ADUN-ADUN PAS TERLANJUR - HACKER PAS GELABAH

Hackers PAS telah berjaya menggodam akaun Facebook Azmy Awang Kelana Jaya Presiden Nadi Rakyat pada malam semalam.

Dikhabarkan Gomo, pendedahan isu Adun PAS Selising yang buat projek dalam keretapi dan kisah Nik Aziz kata tuhan dah maafkan betul-betul membuat puak PAS gementar.

Gomo mengingatkan mereka usaha menggodam akaun FB dan Blogg satu kerja yang membuang masa. Bukti-bukti ada di tangan mereka. Setiap FB atau Blog yang digodam hanya akan mencendawankan lagi banyak FB dan Blog.

Dia mencadangkan tempoh bertenang sehingga hujung tahun ini. Jika selepas itu ADUN Selising dan juga Adun Perupok tidak meletakkan jawatan, maka pendedahan susulan akan berkuatkuasa.

Kami The Unspinners sudah siarkan mengenai ADUN Selising sini [Agendadaily pun ada laporan] tapi belum mengenai ADUN Perupuk.

Gomo ada mencabar ADUN Perupuk, Bachok iaitu Dato' Haji Omar Mohamed (PAS)
meletak jawatan. Jika tidak ada pendedahan akan dibuat terhadapnya pada bulan Januari 2011.
Katanya, "ini adalah AMARAN KERAS kepada Pemimpin PAS yang cuba berlagak ALIM TAIK KUCING!!!"

Tak sabar menunggu tahun baru akan datang. Patut buat promosi 2011 Tahun Meliwat Kelantan.

The Unspinners

BELUM ADA KES TAUN DILAPORKAN DI KELANTAN

Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK) kelmarin menjelaskan setakat ini jabatan itu tidak menerima sebarang laporan mengenai kes taun di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Wan Mansor Hamzah berkata kes beberapa pesakit yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini yang mempunyai simptom seperti taun iaitu muntah dan cirit-birit kemungkinan kerana keracunan makanan dan tidak disahkan sebagai taun.

"Sehingga hari ini belum lagi ada kes taun diterima pihak kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kebimbangan orang ramai mengenai kes taun yang diuarkan-uarkan di negeri ini.

Dr Wan Mansor bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya melaksanakan langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan.

"Berhati-hati menggunakan air perigi (guna klorin) dan memastikan makanan sentiasa bersih bagi mengelak jangkitan penyakit taun...penyakit bawaan air pada musim tengkujuh ini".

Katanya klorin boleh didapati di JKK dan mana-mana klinik kesihatan daerah di seluruh negeri.

Beliau menasihatkan sesiapa yang mengalami simptom seperti demam, cirit- birit dan keletihan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital.

RM2 JUTA BANTU PERALATAN NELAYAN KELANTAN

Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menyediakan peralatan menangkap ikan secara percuma kepada 144 nelayan Kelantan supaya mereka keluar dari kategori kemiskinan tegar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata RM1.6 juta sudah dibelanjakan untuk membantu mereka memiliki peralatan seperti enjin, bot dan pukat.

"Ini bermakna kemiskinan tegar di kalangan nelayan di Kelantan terutama di Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh sudah dapat diatasi," katanya pada majlis penyampaian bantuan bot, enjin dan pukat kepada 35 nelayan Bachok di Pangkalan Petah di Bachok, kelmarin.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Wan Adnan Wan Ibrahim ketika berucap pada majlis yang sama, berkata pihaknya sedang memproses permohonan ramai lagi nelayan untuk mendapatkan bantuan itu.

Katanya baki peruntukan sebanyak RM400,000 akan digunakan bagi tujuan itu.

ARIFFAHMI DAPAT BALAK 400 EKAR?

Untuk pengetahuan pembaca, kasih dan sayangnya Nik Aziz kepada menantunya sungguh luar biasa sehinggakan pada 16 Ramadhan 1430 dia pernah berkata di depan kakitangan-kakitangan kerajaan negeri di Masjid SUK bahawa Ariffahmi adalah seorang menantu mithali.

Kesihatan Nik Aziz terganggu sejak isnin lepas. Semuanya kerana menantu kesayangannya.

Menurut gelombang merah, ada dua perkara yang meresahkan Nik Aziz.

Pertama kerana rahsia sudah bocor. Baru-baru ini Nik Aziz telah meluluskan 400 ekar balak kepada Ariffahmi kononnya untuk mengenang jasa Arif semasa berkhidmat di PMBK.

Jabatan Hutan telah mengeluarkan surat kelulusan. Bagaimanapun kawasan balak berkenaan tidak diberi terus ke atas nama Arif. Bagi melindungi kegiatan kronisme dan rasuah mereka kawasan balak berkenaan diberi kepada Razak Abas atau pun lebih di kenali dengan nama Abe Jak Selak Kain.

Selepas selesai urusan menjual kawasan oleh Razak Abas, wang tersebut akan pergi kepada Ariffahmi dan sedikit kepada Abe Jak sebagai upah serta sedikit kepada tabung Pas Kelantan atas nama derma.

Itulah Nik Aziz yang orang-orang Kelantan anggap sebagai suci dan bersih.

Perkara kedua yang membuatkan Nik Aziz semakin tidak sihat apabila beliau telah mendapat tahu Ariffahmi akan didakwa di mahkamah oleh SPRM dalam masa terdekat ini kerana terlibat dalam salah guna kuasa semasa menjawat jawatan CEO PMBK.

Nik Aziz bertambah runsing dan kesihatannya semakin terjejas sebaik sahaja mendapat berita mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo ditahan dan didakwa oleh SPRM pagi isnin lepas.

Dia tahu masa untuk menantunya menjadi seperti mantan Menteri Besar Selangor semakin hampir. Itulah yang meresahkannya dan kesihatannya terjejas sehingga ke hari ini dan terpaksa ditahan di hospital.

Ahli keluarga Nik Aziz cuba membohongi rakyat kononnya beliau sihat. Hakikatnya pada satu hari dalam minggu lepas bacaan darah tinggi Nik Aziz 180/120. Jika ada penurunan pun hanya sedikit sebanyak, tetapi masih berada pada paras yang tinggi.

KERAJAAN RUNDING NAIKKAN HARGA KENAF

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sedang berunding dengan sebuah syarikat dari Jepun untuk menaikkan harga kenaf sehingga melebihi RM750 satu tan metrik bagi membolehkan tanaman kenaf dikomersilkan di kalangan bekas penanam tembakau.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ismail Saleh berkata harga sekarang (RM750 satu tan metrik) masih tidak releven dalam usaha memberi pulangan hasil yang lumayan kepada petani berbanding tanaman tembakau.

"Jika syarikat itu, yang kini sedang beroperasi di Pahang bersetuju mengenainya, ia mungkin mampu menarik lebih ramai petani untuk mengusahakannya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke Pusat Latihan Kenaf dan Tembakau Negara di Pasir Puteh, kelmarin.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kenaf dan Tembakau Negara Ahmad Loman.

Dalam lawatan itu, Ismail juga sempat meninjau kilang membuat kerepek ubi kayu dan tanaman lada fertigasi sebagai contoh untuk memberi pendedahan kepada bekas penanam tembakau ketika mendapat latihan di pusat berkenaan.

Pada peringkat awal, katanya seramai 500 bekas penanam tembakau sudah mengusahakan tanaman kenaf yang membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar terutama di Kelantan.

Beliau berkata tanaman itu berpotensi berasaskan penggunaannya yang mencakupi bidang automatif dan pembinaan lantai bangunan manakala kajian lanjut sedang diusahakan untuk mempelbagaikan kegunaannya.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), katanya pihaknya menyasarkan pendapatan golongan itu akan ditingkatkan dari RM750 sebulan sekarang kepada RM1,500 sebulan untuk membolehkan mereka keluar dari garis kemiskinan.

Selain memperkenalkan tanaman kenaf, beliau berkata mereka juga akan digalakkan mencebur diri dalam kegiatan yang menguntungkan seperti tanaman lada fertigasi yang lebih selamat daripada cuaca hujan dan panas dan penternakan ikan hiasan yang mendapat tawaran tinggi di peringkat antarabangsa.

KLINIK C & C RAWAT PENAGIH DITERIMA POSITIF

Sejak dilancarkan 1 Julai lepas, seramai 1,162 penagih dadah telah mendapat rawatan di enam Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia (Klinik Cure & Care) kendalian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Zuraidah Mohamed berkata jumlah itu walaupun sedikit berbanding 15,736 penagih dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 oleh Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), memberi petanda positif berhubung penerimaan klinik itu.

Beliau berkata, pendekatan secara sukarela yang diperkenalkan melalui klinik itu diterima baik oleh penagih, keluarga, majikan serta individu yang ada kaitan secara langsung dengan individu penagih.

Pusat itu yang dimulakan di Sungai Besi berkonsepkan pusat pemulihan penagihan narkotik secara terbuka dan berfungsi sebagai hab untuk rawatan dan juga pusat rujukan bagi memenuhi keperluan penagih.

"Sejak dimulakan pada 1 Julai lepas, sambutannya sangat menggalakkan, maklum balas yang diterima juga sangat positif dan kita juga semakin kurang mendapat rungutan dan aduan," kata Zuraidah.

Selain Sungai Besi, khidmat Klinik C&C juga disediakan di Puspen Bukit Mertajam di Pulau Pinang untuk zon utara, Puspen Kemumin, Kelantan (zon timur), Puspen Tampoi, Johor (zon selatan), Puspen Papar di Sabah dan Puspen Kuching di Sarawak.

Berbeza dengan Puspen yang lain, penagih serta keluarga boleh datang ke klinik tersebut bila-bila masa tanpa perlu prosedur perundangan untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada doktor pakar dan doktor psikiatri yang ditempatkan di klinik berkenaan.

Zuraidah berkata mereka yang datang mendapatkan khidmat di klinik itu akan menjalani pemeriksaan lengkap terlebih dahulu oleh doktor yang dilantik bagi mengenal pasti keperluan rawatan mereka.

Selepas itu barulah ditentukan penempatan pelanggan kepada empat peringkat perkhidmatan yang disediakan iaitu rawatan dan pemulihan dadah secara menginap, pesakit luar, secara harian dan berkala, serta melalui khidmat sokongan.

"Dengan cara ini kita akan lebih memahami pelanggan dan keperluan mereka kerana mereka datang sendiri kepada kita untuk pulih, bukan kita yang memaksa mereka," katanya.

AADK turut mewujudkan Triage Puspen, Puspen Tegar dan juga Satu Puspen sebagai langkah menambah baik perkhidmatan pusat pemulihan dan rawatan yang sedia ada.

Triage Puspen di Kampung Selamat, Batu Kurau, Perak berperanan menjalankan tapisan, penilaian dan pengkategorian penghuni-penghuni sebelum ditempatkan ke Puspen yang bersesuaian.

"Tempoh pengkategorian penghuni di Triage Puspen tidak melebih tiga minggu sebelum dihantar ke PUSPEN yang bersesuaian berpandukan beberapa kriteria yang telah ditetapkan," katanya.

Satu Puspen pula yang diwujudkan di Puspen Karangan, Kulim, Kedah, menerima penghuni-penghuni yang telah menjalani penilaian daripada Triage Puspen dan dikhususkan untuk penghuni-penghuni yang bermotivasi dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dipulihkan.

Puspen Tegar menjadi pusat pemulihan yang menempatkan penghuni-penghuni yang bermasalah daripada segi disiplin dan bermotivasi rendah untuk dipulihkan, dengan berkonsepkan seperti dalam penjara.

AADK turut merancang untuk mewujudkan Puspen latihan di Sepang bagi memberi latihan vokasional kepada penagih-penagih agar mereka lebih bersedia dan berdikari apabila pulih dari penagihan, kata Zuraidah.

Agensi itu juga berhasrat mewujudkan Puspen yang menjalankan pemulihan secara Islam sepenuhnya.

Dari Januari hingga Jun tahun ini seramai 12,079 penagih baru dan 3,095 penagih berulang dikesan di seluruh negara termasuk 576 terdiri daripada remaja bawah 20 tahun.

"Sesuatu perlu dilakukan dan sebab itu AADK mengubah 360 darjah pendekatan rawatan dan pemulihannya yang dilakukan sejak 27 tahun yang lalu serta komited dengan misi Malaysia menjadi bebas dadah pada 2015," katanya.

Bernama

Sunday, November 28, 2010

EKSPO CHENG HO GUNA 'PITIH HARAM'?

Gelombang Merah (Saturday, November 27, 2010)

Ekspo Cheng Ho yang diadakan di Kota Bharu sekarang adalah projek naungan Husam Musa.Ianya diadakan semata-mata untuk memulihkan imej Husam yang tercalar balar sejak dua tahun kebelakangan ini.

Maklumat dalaman yang diterima oleh TGM memaklumkan pada peringkat awal sebenarnya tiada syarikat dari China yang sanggup datang untuk menyertai eskpo tersebut. Kemudian Husam terpaksa beberapa kali berulang alik ke China bagi memujuk mereka menyertainya.

Walaupun dipujuk mereka tidak mahu menyertainya, kecuali ekspo tersebut diadakan di peringkat nasional bukannya di peringkat negeri. Husam mati akal kerana beliau telah beberapa kali terpaksa menangguhkannya akibat tiada penyertaan.

Jalan terakhir yang digunakan oleh Husam ialah 'main pitih'. Kami difahamkan setiap syarikat dibayar RM 50 ribu untuk menyertai ekspo tersebut. Jangan tersilap, bukannya syarikat yang nak menyertai ekspo perlu bayar RM 50 ribu kepada penganjur, tetapi setiap syarikat yang menyertai eskpo dibayar RM 50 ribu oleh penganjur (husam musa) beserta kemudahan lain termasuk hotel dan pengangkutan.

Mengikut laporan harakah daily lebih dari 200 syarikat dari China yang menyertai ekspo tersebut. Jika satu syarikat dibayar RM 50 ribu, bermakna RM 10 juta belanja yang perlu dikeluarkan untuk membayar kepada syarikat-syarikat yang hadir.

Itu belum diambil kira dengan kos-kos yang lain seperti penginapan, makan minum, pengangkutan serta kos untuk persiapan ekspo serta kakitangan bertugas. Rumusan kasar yang boleh dibuat, lebih kurang RM 20 juta perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk penganjuran ekspo berkenaan semata-mata Husam nak tunjuk dia hebat.

Soal nak tunjuk hebat atau tidak hebat adalah perkara kedua, soal utamanya dari mana Husam datang duit sebanyak itu untuk menganjurkan ekspo berkenaan sedangkan kerajaan negeri hanya memberi peruntukan sebanyak RM 100-200 ribu ?

Kami telah pun mendapat jawapannya. Kami difahamkan ianya menggunakan wang gelap hasil dari kegiatan haram Husam Musa sepanjang menjadi exco. Kami akan dedahkan satu persatu kelak.

Usaha kita untuk menawan Kota Darulnaim masih mempunyai punyai masa lagi Kita tidak boleh menggunakan segala peluru yang ada dimasa sekarang. Apabila sampai masanya kita akan keluarkan segala jenis peluru , bom, dan sebagainya.

Apa yang boleh kami katakan ialah, Ekspo Cheng Ho sebahagian dari titik tolak kejatuhan politik manusia durjana yang bernama Husam Musa.

Jika benar segala dakwaan yang kami terima ini, patutlah negeri Kelantan tak boleh maju dan masih ketinggalan.

Seorang exco ada wang gelap berpuluh juta, cuba bayangkan jika sembilan exco lain pun begitu juga. Itu belum dicampur lagi dengan MB, pengerusi anak-anak syarikat kerajaan negeri dan anak beranak MB. Habis harta negeri dirompak oleh mereka,rakyat pula terus hidup merana.

UMNO MINTA PUSAT PERTIMBANG PEMBINAAN JALAN KB-KUALA KRAI

Apakah tangisan ini boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Kelantan?

Balik-balik UMNO juga.

Harapkan kerajaan PAS Kelantan dia peduli apa walaupun jalan sesak macam gila.

Yang dia tahu bila ada masalah, itu hal kerajaan Pusat.

Dalam konteks jalan kota Bharu-Kuala Krai yang sesak, terutamanya bial musim perayaan kerajaan PAS boleh pejam mata. Agaknya pemimpin PAS ini jenis suka bersesak-sesak!

Sedangkan UMNO tidak mahu rakyat terus dilanda masalah. Kerana itu Badan Perhubungan Umno Kelantan berharap kerajaan pusat dapat menimbang permohonan pembinaan segera jalan baru antara Kota Baharu ke Kuala Krai untuk mengatasi kesesakan yang teruk terutama pada musim perayaan.

Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata sudah sampai masanya permohonan itu diberi keutamaan memandangkan keadaannya semakin terdesak.

"Bila tiba musim perayaan, jalan yang ada sekarang tidak dapat menampung kenderaan anak-anak Kelantan yang bekerja di perantauan pulang berhari raya di kampung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Pusat Kesihatan Beris Panchor di Bachok semalam.

Pada majlis itu, seramai 150 murid sekolah dari kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Tawang menyertai program itu secara percuma.

Dr Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat Kelantan terutama yang pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dua minggu lepas terpaksa mengambil masa antara 10 dan 14 jam untuk sampai ke kampung halaman.

Segala-galanya disebabkan kesesakan jalan berbanding tujuh jam pada hari biasa.

Apakah yang pulang itu semua orang UMNO?

Tapi seperti sudah dikata, pemimpin PAS jenis tidak tahu apa dan tidak tahu berbuat apa.

Bagi mereka asal jadi pemerintah cukup. Rakyat peduli apa.