Thursday, October 9, 2008

TUAN HASHIM ROSAKKAN UMNO KELANTAN (1)

Oleh Veteran Bukit Marak

Umno Bahagian Tanah Merah semalam (7 Oktober 2008) membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu.

Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sejak Sabtu lalu hingga esok dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob.

Pemangku ketuanya, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.

Bagaimana UMNO Kelantan boleh melantikTuan Hashim Tuan Yaakob, kroni Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sedang dipersoalkan?

Tuan Hashim yang dikatakan orang paling berkuasa di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan bukan sekadar diserahkan tugas penting seperti ini tetapi pada pilihan raya lalu, beliau mengatasi peranan pemimpin UMNO Kelantan yang lain termasuk Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi, Datuk Awang Adek Husin.
Sebagai orang yang dipercayai Annuar, Tuan Hashim dikatakan ‘membekukan’ beberapa aktiviti UMNO Kelantan, termasuk kerja-kerja kempen, publisiti, hebahan, gerakan saraf dan berkaitan dengannya.

Petugas yang diamanahkan untuk kerja-kerja berkenaan menghadapi masalah kerana sering disekat untuk berhubung terus dengan Annuar dan juga Bendahari UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar.

Dikatakan juga,Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Alwi yang kini Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Adun Ketereh, turut mempunyai masalah dengan beliau.
Malah ada mengatakan, orang kuat Annuar, Rahime Yusof, turut berdepan dengan pelbagai halangan yang dibuat-buat Tuan Hashim.

Menghairankan sekali dalam soal ini Setiausaha Kerja UMNO Kelantan, Haji Idris Muhamood bagaikan tidak berfungsi langsung.
Jadi tidak peliklah kalau wujud bantahan sedemikian dibuat oleh Nik Kemruzaman kerana Umno bahagian Tanah Merah beranggapan tanggungjawab menguruskan perjalanan persidangan cawangan berkenaan tidak harus diberikan kepada Tuan Hashim.

Beliau berkata, antara kes yang dikesan termasuk kejadian individu yang menyamar sebagai ahli Umno dan dibenarkan hadir dalam persidangan di beberapa cawangan terbabit serta kegagalan jawatankuasa itu menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada cawangan dan bahagian untuk direkodkan.

"Kehadiran pihak yang menyamar sebagai ahli Umno pada persidangan itu tidak dapat dihalang kerana jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu tidak membenarkan Umno bahagian Tanah Merah menghantar pemerhati bagi mengenal pasti ahli terbabit dan kita sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Pada masa sama, Biro Politik Umno bahagian akan memohon mengadakan pertemuan segera dengan Timbalan Presiden Umno merangkap Pengerusi Pengurusan Umno, Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan penghantaran surat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan pemantauan Umno Kelantan daripada meneruskan persidangan cawangan dalam bahagian ini," katanya.

Lebih malang, menurut Nik Kemruzaman, selaku Pengerusi MAYC Kelantan, Tuan Hashim turut mempunyai hubungan langsung dengan seorang calon yang dijangka menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno bahagian itu.
Proses persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian Tanah Merah diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan menerusi jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu, ekoran pelbagai masalah yang berbangkit terutama membabitkan isu keahlian peringkat cawangan.
(Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul nanti)