Friday, March 31, 2017

RUU355: Presiden PAS Wajar Letak Jawatan Secara En Bloc, Kata Husam


Keputusan BN untuk tidak membentangkan rang undang-undang meminda akta 355 adalah bukti presiden PAS telah mempermainkan umat Islam.

"Sewajarnya beliau dan seluruh AJK PAS pusat meletak jawatan secara en bloc," kata Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa pada sidang media di majlis menaikkan bendera di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu petang semalam.

Keputusan ini yang disifatkan beliau 'jalan mati' dalam episod RUU355 ciptaan ahli parlimen Marang itu dan memberi implikasi buruk kepada agama Islam.

"(Datuk Seri) Hadi (Awang) tidak boleh lari dari tanggungjawab kerosakan ini dan beliau bersama-sama jawatankuasa PAS pusat perlu meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti," katanya.

Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu semalam.

Percubaan Hadi membawa usul persendirian dalam perkara ini bertentangan dengan semua amalan mengikut lunas-lunas demokrasi di negara ini.

Husam dan Wan Rahim menaikkan
bendera Amanah di Kota Bharu
"Dalam PAS perkara ini telah kita bincang semasa saya jadi naib presiden lagi.

"Waktu itu kita putuskan pindaan ini hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya usul persendirian," katanya.

Husam turut menamakan dua orang menteri BN yang memperdayakan PAS  dan umat Islam kononnya pindaan ini akan disokong oleh UMNO.

"Datuk Jamil Khir Bahrom dan Datuk Ashraf Wajdi Dasuki juga perlu bertanggungjawab atas penipuan mereka.

"Mereka berdua dilihat begitu kuat menjanjikan untuk menyokong usul ahli parlimen Marang sedangkan dari pihak UMNO tidak ada sebarang komitmen," katanya.

Pada majlis itu Husam, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan pimpinan Amanah negeri dan kawasan Kota Bharu menyaksikan upacara menaikkan bendera Amanah.

Upacara itu diadakan di hadapan sebuah bangunan yang dulunya digunakan sebagai pusat operasi PAS di kawasan itu.

Sebelum ini Wan Rahim, dalam satu majlis di Bunut Payung,  mengumumkan Husam sebagai baka calon Amanah di parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.


Ia kemudiannya disahkan oleh Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.

Wednesday, March 29, 2017

Che Abdullah Nafi PAS Mahu Ambil Kerusi ‘Dipinjam’ Kepada PKR


Gambaran Utusan Malaysia bahawa PAS akan mengambil semula kerudi Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang ‘dipinjamkan' kepada PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah salah.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan menafikan beliau memberi gambaran itu dan kenyataan yang dibuatnya telah dipetik dalam konteks yang salah.

Salah petik atau salah lapor? Menulis berasaskan penilaian sendiri?

Utusan Malaysia diuji sekali lagi dalam laporan mengenai perkara ini.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung bulan depan.

“Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks yang salah.

“Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi.

“Lalu dia tanya, apakah PAS Kelantan akan buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR? Saya kata (persoalan sama ada hubungan diteruskan atau tidak) tertakluk dengan keputusan di peringkat pusat,” katanya kepada Malaysiakini.

Utusan Malaysia hari ini ini melaporkan PAS Kelantan akan mengambil kembali kerusi parlimen dan DUN yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada PRU13 selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti yang semakin retak.

Akhbar itu juga memetik Che Abdullah sebagai berkata, perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.

Kata Che Abdullah, beliau turut ditanya wartawan akhbar berkenaan sama ada PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya dipersetujui dalam muktamar nanti dan mengambil kembali kerusi PKR di negeri itu.

“Lalu dia (wartawan) tanya, kalau pusat dah buat keputusan putuskan tahaluf siyasi dengan PKR, adakah PAS akan ambil kerusi itu, dan saya kata, mestilah. Kita akan ambil tindakan selaras dengan keputusan yang dibuat diperingkat pusat.

“Soalan dia mari (datang) awal (dan bersifat spekulasi) sama ada PAS dan PKR akan berpecah. Kalau pecah, memanglah PAS akan bertanding di kerusi PKR bertanding.

Saya dah sebut dari awal, belum tahu lagi (keputusan sebenar sebab) PAS pusat yang akan buat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan PKR sehingga ia diputuskan dalam muktamar tahunan PAS atau keputusan di peringkat Pusat.

“Sekarang belum ada keputusan. Dalam muktamar akan bincang panjang lebar tapi belum ada keputusan. Kita masih teruskan hubungan dengan PKR sehingga ada keputusan lain,” katanya.


Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil. 

Wednesday, March 15, 2017

Tuntutan Palsu - MITI Bantu Siasatan Terhadap Bekas Pengarah


Siapa bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kelantan yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000?

Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata suspek berusia 35 tahun ditahan di pejabatnya di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya semalam.

"Dia dibawa ke Kota Bharu malam tadi untuk membantu siasatan kes itu," katanya.

Ada diviralkan bahawa bekas pengarah berkenaan rapat dengan seorang menteri.

Petang ini, MITI mengatakan akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000 oleh seorang pegawai kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada SPRM.

"Saya percaya siasatan akan dilaksanakan secara adil dan telus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd Husin mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan

Ketika ditemui di Kota Bharu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata, suspek berumur 35 tahun itu ditahan di pejabatnya di sebuah jabatan di Putrajaya kira-kira pukul 6 petang semalam.

"Pegawai kita ke pejabat JPA untuk membuat tangkapan sebelum membawa suspek malam tadi ke Kelantan untuk direman.

"Suspek dipercayai membuat tuntutan palsu berjumlah RM190,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu," katanya.