Sunday, January 23, 2011

5,000 Penduduk Gesa Nik Aziz Baiki Jalan Di DUN Chempaka

"Bukan kami berdiam diri, kami berusaha berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi tetap tidak ada tindakan sewajarnya yang diambil. Ini bukan soal politik, kami hanya mahu kebajikan kami terbela, kami mahu Nik Aziz yang memegang kawasan ini turun dan ambil tindakan sewajarnya selesaikan masalah penduduk," - Pengerusi JKKK

Penduduk di lima buah kampung dalam DUN Cempaka, semalam mengadakan perhimpunan secara aman mendesak Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Cempaka yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.

Demonstrasi secara aman yang disertai 50 orang wakil penduduk kampung itu berlangsung kira-kira 20 minit di Kampung Pantai Sabak iaitu kawasan yang terletak dalam DUN berkenaan.

Dakwa penduduk, mereka kini tiada daya kerana masalah kerosakan jalan telah berlanjutan hampir tujuh tahun dengan pelbagai aduan telah dipanjangkan kepada pihak terbabit namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

"Setiap kali aduan dibuat kepada kerajaan negeri, mereka akan datang dan tabur pelbagai janji kemudian terus senyap..apa lagi yang boleh kami buat kerana kami hanya penduduk kampung yang mengharapkan kebajikan kami dibela," kata Syukri Mokhtar, 50, seorang penduduk Kampung Pantai Sabak.

Syukri berkata laluan tersebut merupakan laluan utama bagi 5,000 penduduk dari lima buah kampung iaitu Kampung Pantai Sabak, Pulau Gajah, Tanjung Kuala, Kemeruk dan Limau Purut selain turut menjadi laluan pelancong untuk ke Pantai Sabak dan ke kampung-kampung berdekatan.

Seorang penduduk Pulau Gajah, Latifah Rani, 40, pula berkata keadaan jalan yang teruk itu membahayakan pengguna kerana keadaan jalannya yang berlubang.

"Pernah suami dan anak saya tergolek di atas jalan apabila motosikal yang dinaiki terjatuh akibat melanggar lubang besar sehinggakan anak saya terpaksa dirawat di hospital. Bayangkanlah, sudahlah cedera, motosikal pula perlu dibaiki kerana rosak," katanya kesal.

Bagi Che Azam Ibrahim, 48, pula, berkata mereka yang memiliki kenderaan juga terpaksa menanggung kerugian kerana jalan yang rosak teruk itu menyebabkan tayar kenderaan sering pancit selain bumper dan rim pecah dan bengkok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Sabak Em Ahmad Rasydan berkata masalah itu telah beberapa kali diadukan kepada pihak kerajaan negeri tetapi akhirnya ia seperti mencurah air ke daun keladi.

"Bukan kami berdiam diri, kami berusaha berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi tetap tidak ada tindakan sewajarnya yang diambil. Ini bukan soal politik, kami hanya mahu kebajikan kami terbela, kami mahu Nik Aziz yang memegang kawasan ini turun dan ambil tindakan sewajarnya selesaikan masalah penduduk," katanya.

Saturday, January 22, 2011

APABILA ADUN PAS MINTA BANTUAN MENTERI UMNO

Entri tiga bahagian Kicikdefella (15,16 dan 22 Januari 2011) Yang Dicantumkan.

Bila Mustapa Mohamed kata dia sudah bersedia, nampaknya ada ADUN veteran PAS segera bertemu Mustapa Mohamed. Apa sudah berlaku?

ADUN Perupok hampir tiga dekad, Dato’ Haji Omar dilihat semalam mengadakan temujanji dan bertemu Mustapa Mohamed di Hotel Sutera Inn Kota Bharu. Pertemuan yang berlangsung selepas Zohor dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tidak disertai oleh wakil lain dari PAS.

Apakah ADUN Perupok itu membawa amanat dari Menteri Besar Kelantan? Atau beliau bertemu atas kapasiti beliau sendiri untuk menyelamatkan dirinya seandainya benar Kelantan akan tumbang kepada Barisan Nasional pada PRU ke 13?

Apapun yang dibincangkan oleh ahli politik veteran PAS dengan pimpinan UMNO Kelantan itu sudah tentu ‘sesuatu’ yang menarik.

Haji Omar adalah seorang ahli politik licik.

Di dalam pertemuan tersebut, dilaporkan bahawa Haji Omar meminta jasa baik Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan supaya membantu membangunkan kemudahan infrastruktur di dalam DUN Perupok dan jajahan Bachok yang diwakili tokoh PAS tersebut. Di antaranya ialah agar kemudahan jalan kampung dan prasarana lain dapat diadakan.

Syabas kepada Haji Omar kerana sedar bahawa didalam soal-soal pembangunan, bahkan di dalam soal-soal kemudahan asas sekalipun ianya hanya akan diperolehi menerusi usaha wakil-wakil Barisan Nasional di dalam Kerajaan Pusat.

Saya yakin sebelum ini Haji Omar sudah tentu berkali-kali menemui Exco Kerajaan PAS Kelantan untuk Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar. Lantaran sudah tentu Exco PAS itu sendiri tidak berupaya melayan permintaan Haji Omar walaupun setiap tahun Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Persekutuan memberi terus kepada potfolia Exco itu Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Di antara 2006 hingga 2010 Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan telah memberikan terus kepada Kerajaan Kelantan sejumlah RM327 juta untuk mengurus, menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan negeri.

Begitu juga dengan Majlis Daerah Bachok yang sepertimana Majlis-Majlis Daerah lain yang menerima geran persekutuan dalam bentuk,

• Geran Tahunan Berasaskan Kaedah Keseimbangan (PBT)
• Bantuan Bayaran Bil Lampu Jalan & Lampu Isyarat PBT


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan menerima sejumlah lebih RM100 juta sepanjang lima tahun yang lalu daripada Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Disebalik peruntukan-peruntukan yang besar yang disalur terus oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan PAS Kelantan, nampaknya veteran PAS Dato’ Haji Omar masih terpaksa menjatuhkan air mukanya dan bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk membangunkan DUN dan jajahannya.

Maka sudah tentulah Haji Omar sendiri tidak percaya Mustapa Mohamed menyekat Kerajaan Pusat daripada membangunkan Kelantan. Kalau benar Mustapa Mohamed begitu, sudah tentu dia tidak akan meminta jasa baik Menteri MITI itu.

Saya suka melihat lebih ramai ADUN PAS Kelantan bertemu dengan Mustapa Mohamed. Atau mungkin Mustapa Mohamed boleh melapangkan masa untuk mengadakan sessi dialog dengan ADUN-ADUN PAS Kelantan untuk mendengar tuntutan pembangunan yang mereka inginkan untuk DUN-DUN mereka.

Namun pertemuan Omar-Mustapa ini tidak berakhir di situ. Dato’ Omar telah memberitahu Mustapa bahawa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Awang Adek Hussin berpeluang cerah menawan semula kerusi Parlimen Bachok daripada Timbalan Presiden PAS.

Menurut Omar, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa telah tidak menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan oleh penduduk di Bachok. Ini menyebabkan timbul keraguan PAS mampu memenangi semula kerusi yang dirampas dari Dato’ Awang pada PRU ke 12 lalu.

Berkat sokongan dan usaha Mustapa membawa pembangunan ke DUN Perupok, bukan sahaja akan dapat membantu Omar dari PAS memenangi semula kerusi itu tetapi juga memberi harapan cerah kepada pengundi di Perupok yang merupakan satu dari tiga DUN dalam Parlimen Bachok memberi undi kepada Dato’ Awang.

Ini adalah ‘Win – Win Situation’ buat Omar dari PAS dan buat UMNO Kelantan di Peringkat Pusat.

Bukan itu sahaja, yang paling utama ia juga memenangkan rakyat!

Isu Bazar Tok Guru: Hanya Kerajaan Negeri Boleh Selesaikan

Isu melibatkan perpindahan 415 peniaga dari Pasar Arked Lambok Uda ke Bazar Tok Guru hanya boleh diselesaikan kerajaan Kelantan, kata Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun katanya, beliau akan berusaha membantu termasuk meminta pemilik Pasar Arked Lambok Uda menangguhkan perpindahan atau menyediakan tapak berniaga sementara.

"Hakikatnya ini masalah yang dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan PAS. Ia hanya boleh diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Saya hanya boleh membantu peniaga sahaja setakat yang boleh," katanya pada sidang media, di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau sebelum itu bertemu dengan Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu yang memohon bantuan Mustapa untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau akan menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta agar isu itu diselesaikan segera.

Sementara itu Pengerusi persatuan Ab. Salim Ahmad mengakui perkara itu sukar diselesaikan kerana tidak ada perjanjian secara hitam putih di antara peniaga dan kerajaan negeri.

"Dulu kerajaan negeri kata tidak perlu pun hitam putih sebab kata-kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz) itu benar dan dia akan buat. Jadi kami percaya dan terima sahaja janji dia tetapi tidak sangka sampai begini janjinya," katanya.

Isu tersebut timbul apabila peniaga berkenaan dijanjikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk menyediakan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi dengan harga RM40,000 di Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun keluasan sebenar lot yang diberikan hanya 1.82 x 2.4 meter persegi dan harga yang ditawarkan pula ialah antara RM80,000 dan RM90,000.

PMBK yang pada awalnya merancang membangunkan sendiri bazar itu mendakwa mereka menanggung kerugian kerana terpaksa menebus balik bazar tersebut daripada sebuah syarikat swasta.

Rancangan Makanan Tambahan - Kerajaan PAS KelaNtan Tidak Pernah Sediakan

"Bersyukur dan berterima kasihlah kepada kerajaan yang mengambil berat soal kebajikan murid miskin yang bukan sahaja dalam aspek pemakanan tetapi melibatkan pembangunan kesihatan, pakaian dan wang saku sekolah.

"Semua ini tidak pernah disediakan oleh kerajaan Kelantan pimpinan Pas walaupun dipilih dan diberi mandat untuk mentadbir Kelantan sejak sekian lama," demikian luahan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Menurutnya, langkah kerajaan menyediakan peruntukan RM247 juta bagi melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada lebih 691,000 murid sekolah rendah di seluruh negara sepanjang tahun ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keluarga miskin.

berkata, ia sudah tentu melegakan banyak pihak terutama golongan miskin yang anak-anak mereka mengharapkan bantuan tersebut untuk mendapatkan makanan berzat.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat jelas bersikap telus untuk mengagihkan bantuan tanpa mengira perbezaan fahaman politik memandangkan RMT amat diperlukan oleh murid-murid miskin tanpa mengira latar belakang keluarga mereka.

"Baru-baru ini Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menubuhkan satu gabungan dalam mencari kesepakatan meminta kerajaan mengkaji semula pemberian bantuan RMT menggunakan senarai e-Kasih menyebabkan ramai pelajar yang miskin tersisih.

"Satu memorandum daripada gabungan PIBG dihantar kepada kepimpinan Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) baru-baru ini dan hasilnya kerajaan akur dengan tuntutan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pembangunan Insan dan Teknikal Program Pembangunan Pembasmian Kemiskinan Parlimen Pasir Puteh Kelmarin.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu kerajaan memperuntukkan RM247 juta bagi melaksanakan RMT kepada lebih 691,000 murid sekolah rendah di seluruh negara sepanjang tahun ini.

RMT yang bermula 16 Januari lalu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM194 juta, berbanding bajet asal hanya RM53 juta.

Zawawi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh berkata, salinan memorendum berkenaan turut dihantar kepada beliau dan hasil kajian semula mendapati ramai anak petani dan nelayan miskin di daerah ini tidak menerima agihan makanan itu.

Usah Pertikai Pelantikan Abu Bakar Sebagai Hakim Syarie Kelantan

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohamad mengingatkan pihak tertentu jangan mempertikaikan pelantikan Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia telah diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan keputusan yang dibuat kerana pelantikan itu dibuat berdasarkan syarat-syarat perjawatan dalam SPN dan diperkenankan oleh Sultan," katanya.

Ada bantahan daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan terhadap pelantikan itu dengan alasan Abu Bakar tidak mempunyai pengalaman sebagai hakim sebelum ini.

Penyelaras persatuan itu, Che Rosmah Mohd Zain berkata, pihaknya meminta agar calon yang dicadangkan persatuan itu iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah sekarang, Che Hashim Deraman, dilantik bagi mengisi kekosongan itu.

Daud berkata pengalaman sebagai hakim di mana-mana mahkamah bukan menjadi syarat pelantikan sebagai hakim kerana jawatan Abu Bakar sebelum ini sebagai Ketua Pendakwa dan Ketua Pendaftar setaraf dengan kedudukan seorang Hakim Syarie.

Malahan, katanya, mana-mana penjawat awam yang dilantik sebagai pegawai syarie di Kelantan layak menjadi hakim mana-mana mahkamah walaupun tidak pernah menjadi hakim.

"Jadi tidak timbul soal beliau (Abu Bakar) tidak layak menjadi hakim Mahkamah Tinggi kerana tidak pernah memegang jawatan hakim mana-mana mahkamah. Ini kerana kedudukan pegawai syarie adalah setaraf dengan hakim kerana ia terletak di bawah Jabatan Kehakiman yang baru diwujudkan di Kelantan," katanya.

Daud berkata kemungkinan pihak yang mempertikaikan keputusan SPN itu tidak faham mengenai kedudukan perjawatan pentadbiran Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun ada antara mereka adalah peguam syarie.

Katanya beliau menerima surat bantahan yang disampaikan wakil persatuan itu pada 16 Jan lepas, tarikh yang sama dengan penguatkuasaan pelantikan Abu Bakar sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan menggantikan Mohd Yusoff Awang kerana tamat kontrak.

Menurutnya Abu Bakar kini mengikuti kursus di Riyadh, Arab Saudi, dalam bidang kehakiman sebelum memulakan tugas rasmi tidak lama lagi.

Beliau menafikan kenyataan persatuan itu bahawa 300 kes tertunggak di Mahkamah Syariah kerana kekurangan hakim untuk mengendalikan kes di mahkamah itu.

"Saya hairan dari mana angka kes tertunggak itu diambil sedangkan Jabatan Kehakimanan Syariah tidak mempunyai rekod itu," katanya.

Kelantan Tidak Tunjuk Minat Sertai ETP

Kerajaan PAS Kelantan dilihat tidak menunjukkan minat untuk menyertai Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan menambah baik pendapatan setiap lapisan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ini, kata beliau berdasarkan kurangnya usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi negeri dan pelaburan.

"Selagi Kelantan tidak menjadi sebahagian ETP ini selama itulah pemandu teksi, kereta sewa dan lain-lain tidak mendapat pendapatan setimpal dengan usaha mereka," katanya selepas pertemuan bersama pemandu kereta sewa di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Sejak pelancaran ETP pada 25 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 18 projek permulaan dan perkembangan berkaitan untuk menjayakan agenda transformasi negara ini.

Mustapa berkata tiada jalan pintas untuk sesebuah negeri meningkatkan ekonomi masing-masing selain menambah pelaburan dan menggalakkan kemasukkan lebih ramai pelabur.

Katanya dengan langkah sebegini barulah ekonomi sesebuah negeri menjadi makmur dan rakyat dapat merasai perolehan peningkatan ekonomi kesan kerancakan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk peluang pekerjaan baru.

"Untuk itu pembangunan negeri hendaklah digerakkan dengan lebih pantas lagi. Negeri Kelantan hendaklah dimajukan tetapi pada masa ini nampaknya tidaklah sebanyak mana walau pun ada kemajuan tetapi tidak seperti negeri-negeri lain," katanya.

Friday, January 14, 2011

Bayi Tujuh Bulan Lemas Dalam Kolam Terbiar

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut apabila terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan terbiar ketika ibunya sedang memasak dalam kejadian di Kampung Atas Banggol, Kok Lanas, kelmarin.

Ibu mangsa, Zurina Ismail, 39, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika anaknya, Mohd Danial Rozmi, ditingggalkan bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya.

"Masa tu saya tengah memasak, Mohd Danial tengah main kat ruang tamu, saya di dapur, tinggalkan dia bermain seorang diri dalam beberapa minit saja tetapi bila saya keluar semula ke ruang tamu saya tengok Mohd Danial dah tak ada," katanya.

"Saya terkejut apabila dengar jiran saya menjerit memanggil nama saya, dalam kekalutan saya menjengah keluar rumah dan melihat jiran menunjuk ke arah kolam yang terletak kira-kira empat meter dari rumah, sebelum ternampak Mohd Danial terapung di dalamnya," katanya.

Zurina berkata dengan pertolongan jirannya beliau kemudian mendapatkan anaknya lalu bergegas ke Klinik Pulai Chondong, Machang untuk rawatan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Kelantan Akan Bayar Insentif Kepada KAFA Sebelum 29 Jan

Kerajaan Kelantan telah memutuskan untuk membuat bayaran insentif sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam satu majlis sebelum perlawanan Liga Malaysia bermula 29 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata mesyuarat mingguan Exco kelmarin juga memutuskan untuk membayar insentif kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) RM100,000 kerana berjaya membawa balik piala Emas Raja-Raja kembali ke Kelantan selepas menjuarai kejohanan piala itu baru-baru ini.

"Kita akan menjelaskan bayaran imbuhan kepada kedua-dua persatuan itu sebelum perlawanan sulung Liga Malaysia bermula 29 Jan ini," katanya di Kota Bharu.

Beliau juga yakin, pihak Perbadanan Stadium Negeri Kelantan akan dapat menyiapkan kerja-kerja membaik pulih stadium Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, termasuk lampu limpah dan padang bagi membolehkan perlawanan bola sepak diadakan pada sebelah malam sebelum tarikh berkenaan.

Katanya, ini sebagai memenuhi syarat-syarat piawaian yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, FAM memutuskan KAFA menganjurkan perlawanan bola sepak untuk musim ini pada sebelah siang sekiranya gagal membaikpulih dan menaikkan taraf stadium itu mengikut piawaian.

Mengenai cadangan KAFA untuk memajak Stadium selama 30 tahun dengan nilai RM10 juta seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, Abdul Fatah berkata, setakat ini pihak kerajaan negeri belum menerima cadangan secara rasmi daripada pihak berkenaan.

Katanya, pada mulanya difahamkan kertas kerja cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis KAFA, tetapi ditarik balik tanpa diketahui alasannya.

Thursday, January 13, 2011

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir gelombang ketiga yang melanda Kelantan sejak minggu lepas pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata kesemua pusat pemindahan banjir ditutup sejak semalam apabila kesemua 3,579 mangsa banjir di enam daerah pulang ke rumah masing-masing.

"Sehingga malam tadi, kawasan yang terakhir masih dilanda banjir ialah daerah Tumpat," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata kesemua laluan yang dinaiki air sebelum ini dibuka kepada semua kenderaan.

Antara daerah yang dilanda banjir di negeri ini ialah Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas dan tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat mula membersihkan lumpur yang memenuhi rumah mereka.

Kejadian banjir kali ini turut mengorbankan tiga nyawa iaitu Siti Aishah Kamarul Zaman, 10, yang lemas ketika bermain air di Kampung Limbat, Pasir Tumboh; Mohd Haikal Sobri, 8, juga ketika bermain air di Sungai Lubok Kuing, Gunung; dan Farid Zulkifli, 17, yang ditemui lemas di Sungai Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat.

Kebersihan Pasar Siti Khadijah Perlu Dipertingkatkan

Kalau cakap peniaga Kelantan di Pasar Khatijah Kota Bharu tidak amalkan kebersihan nanti órang Kelantan’marah.

Bukan semua, kata mereka. Mungkin sebahagian sahaja.

Tetapi kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Kelmarin (Selasa 11 Januari 2011), Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zurina Abdul Samad meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan tahap kebersihan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu selaras dengan kedudukannya sebagai ikon pelancongan utama negeri ini.

Katanya, keunikan pasar tersebut yang dikuasai majoriti peniaga wanita menjadi tarikan utama pelancong tetapi kebersihannya masih kurang memuaskan.

"Status Pasar Siti Khadijah sebagai ikon negeri akan terjejas sekiranya tahap kebersihan tidak diambil berat. Tinjauan yang saya lakukan mendapati kebersihan di kawasan pasar itu kurang dijaga dan pihak yang bertanggungjawab seharusnya meningkatkan usaha menangani keadaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Tourism Kelantan bersama pemain industri pelancongan negeri ini di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu.

Katanya, pihaknya sedia berbincang bagi menjalankan penstrukturan semula keadaan dalam pasar itu bagi memudahkan penjagaan kebersihan oleh peniaga dan pihak berkuasa tempatan.

"Kami sedia mengemukakan idea kepada pihak berkenaan bagi menaik taraf dan menstruktur semula bahagian dalaman tanpa menghilangkan konsep asal Pasar Siti Khadijah.

''Tourism Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab mempromosikan industri pelancongan negara perlukan sokongan banyak pihak bagi memastikan infrastruktur dan fasiliti yang ada dapat memenuhi kehendak pelancong," katanya.

Zurina berkata, usaha penambahbaikan serupa juga perlu dilakukan ke atas lokasi lain seperti kawasan rekreasi di pantai dan air terjun yang didapati terbiar.

Pada masa sama katanya, keunikan negeri ini yang kaya dengan kesenian warisan, makanan tradisional dan keindahan alam semula jadi terus menjadi faktor utama kemasukan pengunjung ke sini.

Beliau berkata, ini terbukti apabila jumlah penginap hotel pada tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus iaitu seramai 638,000 orang bagi tempoh Januari hingga September 2010 berbanding 576,000 orang bagi tempoh sama pada 2009.

Jelas beliau, pihaknya sudah merangka beberapa aktiviti seperti Malaysia Domestic Tourism Fair (MDTF), Promosi Homestay dan Kelantan Explorace bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan tahun ini.

"Kami juga berharap sokongan yang diberikan pejabat Kementerian Pelancongan dan Pusat Penerangan Pelancongan negeri serta agensi kerajaan lain dapat diteruskan dengan lebih erat lagi," katanya.

Pada majlis itu, Zurina turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada keluarga aktivis budaya dan pelancongan negeri, allahyarham Mustafa Ibrahim, yang diterima anaknya Fakrul Anuar, 41.

Mustafa yang dipilih sebagai Pemandu Pelancong Terbaik 2010 meninggal dunia pada usia 62 tahun, 23 Disember lalu akibat kanser paru-paru setelah puluhan tahun bergiat aktif dalam industri berkenaan.

PAS 'Pak Turut' Dalam Manisfesto Terbaru Pembangkang

PAS diminta memperjelaskan kedudukannya dalam pakatan pembangkang kerana tidak ada satu pun perjuangan yang dibawa parti itu dimasukkan dalam Pelan 100 Hari pembangkang.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, perjuangan Pas untuk mengangkat martabat Islam tidak langsung dinyatakan dalam program itu yang dilaksanakan bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, apa yang berlaku jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai suara dalam pakatan itu dan hanya menjadi 'pak turut' semata-mata mahu mendapatkan kuasa.

"Saya nak tanya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini bahawa Malaysia akan menjadi negara Islam dalam tempoh 100 hari.

"Kenapa Abdul Hadi tidak cadangkan hukum hudud yang menjadi perjuangan Pas sekian lama dan kenapa tidak ada pelan untuk menutup semua premis judi, hiburan dan arak dalam tempoh 100 hari selepas pakatan memerintah," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu.

Dalam pada itu, Nik Sapeia mencabar pakatan pembangkang untuk melaksanakan semua janji tersebut di negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang terlebih dahulu sebagai bukti kesungguhan mereka kepada rakyat.

"Sudahlah tidak ada agenda untuk Islam, pakatan pembangkang memberi janji palsu pula. Buktikan dulu di negeri-negeri yang diperintah, baru rakyat boleh percaya. Jika tidak, ia adalah pembohongan kedua selepas mahu mengambil alih Putrajaya pada 16 September 2008.

"Pelik, dahulu kata Kerajaan Pusat sekat laksana hudud di Kelantan tetapi sekarang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini? Sudah sah jadi kerajaan kenapa takut pula, rakyat harus fikir mengenai perkara ini sedalam-dalamnya," katanya.

60 Syarikat Seluruh Negara Sertai Kelantan Trade Fair 2011

Pameran industri pembinaan, seni bina dan reka bentuk dalaman (Kelantan Trade Fair 2011) yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok bakal disertai lebih 60 syarikat terkemuka dari seluruh negara yang terlibat dalam industri berkenaan.

Pameran tersebut merupakan anjuran Bahagian Pembangunan Bumiputera, Kementerian Kerja Raya dengan usahasama syarikat tempatan, Elegance Hr Management (Elegance).

Pengarah Urusan Elegance, Nik Mohammad Zaki berkata, selain memberi pelbagai maklumat berguna kepada pengunjung termasuk khidmat nasihat, produk hiasan dalaman dan landskap, pameran itu juga membuka peluang perniagaan kepada mereka.

"Selain pameran, semua syarikat yang terlibat akan turut membuka peluang kepada usahawan di negeri ini yang berminat untuk bekerjasama atau menjadi rakan kongsi bagi menjual produk-produk mereka.

"Elegance sendiri akan berkongsi kepakaran dan pengalaman mengadakan kursus kontraktor selama ini kepada para pengunjung yang berminat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pameran selama tiga hari itu akan diadakan di Pusat Dagangan Kelantan bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang setiap hari.

Sebanyak 90 ruang pameran akan dibuka membabitkan lebih 60 syarikat terkemuka dari seluruh negara yang akan mempamerkan produk masing-masing.

Sementara itu, dua seminar iaitu Ceramah Produk Elektrik dan Ceramah Produk Pembinaan akan turut diadakan pada hari pertama dan ketiga dengan penyertaan adalah percuma.

Nik Mohammad berkata, antara produk pameran yang menanti pengunjung adalah barangan hiasan dalaman dengan reka bentuk eksklusif dan terkini; landskap dan batu hiasan; peralatan pencahayaan dan lampu serta pelbagai jenis pintu; penyaman udara dan pemanas air terkini yang menjimatkan tenaga elektrik.

"Produk pembinaan yang mengikut spesifikasi dan berkualiti tinggi serta banyak lagi produk moden dan menarik akan ditunjukkan untuk pilihan pengunjung.

"Saya menyeru pengunjung agar tidak melepaskan peluang keemasan ini kerana banyak manfaat kepada mereka terutama yang mahu mendapatkan barang untuk rumah mereka," tambahnya.

FAM Beri Seminggu Kemuka Bukti Pemain 'Dicuri'

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi tempoh seminggu kepada pasukan Kelantan, PKNS dan Kuala Lumpur untuk mengemukakan afidavit berhubung dakwaan pemainnya 'dicuri' pasukan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain dan Perpindahan FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga pasukan tersebut sebelum ini membuat aduan mendakwa beberapa pemain mereka yang masih mempunyai baki kontrak, telah berhijrah ke pasukan lain tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata, ia merupakan prosedur baru yang ditetapkan oleh FAM bagi mengendalikan kes membabitkan pertikaian pemain dengan pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Pada Isnin lalu, kita sudah bermesyuarat untuk meneliti aduan yang kita terima daripada tiga pasukan - Kuala Lumpur, PKNS dan Kelantan.

Aduan itu melibatkan pemain yang mereka ikat kontrak tetapi telah 'dicuri' oleh pasukan lain, tetapi kita membuat keputusan memberi tempoh 14 hari untuk kedua-dua pihak mengemukakan afidavit dan menjawabnya.

"Sebagai contoh kes Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), kita beri tempoh tujuh hari untuk KAFA masukkan afidavit atau pengakuan bersumpah mengenai apa yang didakwa, tempoh itu daripada 10 hingga 17 Januari ini.

"Kemudian FAM akan serahkan afidavit ini kepada pemain terbabit untuk menjawab dan pada 26 Januari ini kita akan bersidang semula untuk melihat kedua-dua afidavit sebelum keputusan dibuat dan jika perlu kita akan panggil kedua-dua pihak untuk soal siasat," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, KAFA telah membuat aduan terhadap pasukan T-Team kerana mendakwa mengambil tiga pemainnya iaitu, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose yang masih dalam kontrak.

PKNS pula mendakwa Negeri Sembilan mengikat empat pemainnya, Mohamad Alifi Mahmud, G. Mahatheran, A. Verathan dan Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim, yang masih mempunyai baki kontrak tanpa kebenaran manakala Selangor dikatakan mengambil pemain Kuala Lumpur, Azidan Sarudin.

Takiyuddin berkata, kelapan-lapan pemain dan tiga pasukan itu berhadapan dengan hukuman berat termasuk digantung daripada beraksi dalam Liga Malaysia sekiranya didapati bersalah.

"Jika bersalah, hukuman paling minimum ialah amaran keras diikuti dengan denda dan kemudian digantung daripada beraksi dalam liga.

"Kepada pasukan yang terlibat misalnya didapati bersalah mencuri pemain pasukan lain, mereka boleh dikenakan denda mengikut bilangan pemain yang ditentukan oleh jawatankuasa atau digantung malah pegawai persatuan yang terbabit juga boleh dikenakan tindakan yang sama," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut akan bersidang pada 26 Januari ini untuk mengemukakan keputusan penuh mengenai pertikaian itu.

Sub Inspektor Didakwa Beri Keterangan Palsu Kes Rasuah

Seorang pegawai polis berpangkat Sub Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, semalam terhadap tuduhan memberi keterangan palsu dalam prosiding kes rasuah melibatkan dua pegawai polis pada Selasa.

Sub Inpektor Mohd Ladin Che Ngah, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 petang semalam ketika memberi keterangan sebagai saksi berhubung kes rasuah melibatkan seorang Penolong Penguasa Polis dan seorang Inspektor polis yang dituduh menerima rasuah RM 5,000 daripada seorang ahli perniagaan kedai emas pada 2008.

Mohd Ladin didakwa memberikan keterangan bercanggah dengan laporan yang diberikannya sewaktu soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikutan itu, SPRM telah membuat laporan dan Mohd Ladin ditahan di perkarangan Mahkamah setengah jam kemudian semalam.

Mohd Ladin dituduh mengikut Seksyen 27 (2) Akta Pencegahan Rasuah 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Zainal L.Salleh membenarkan Mohd Ladin diikat jamin sebanyak RM5,000 sehingga sebutan semula kes pada 10 Feb nanti.

Sunday, January 9, 2011

Masalah Air - Rakyat Kelantan Mahu Tunggu 5 Tahun Atau 14 Tahun?

Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu dalam tempoh satu penggal atau lima tahun jika Barisan Nasional diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata tempoh itu lebih cepat berbanding jaminan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh 17 tahun akan datang.

"Kita tidak mahu rakyat Kelantan menerima kesulitan itu dalam tempoh yang terlalu lama kerana isu itu merupakan antara keperluan asas yang mesti diutamakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata satu projek contoh untuk menyelesaikan isu air bersih akan dibina di Kampung Gunong di Bachok dalam tempoh terdekat.

Projek itu menggunakan sistem bekalan air tiub bagi keperluan 30 rumah yang kini terpaksa menggunakan air dari perigi yang seakan bercampur minyak.

"Jika kaedah itu berjaya kita akan perluaskan ke seluruh Kelantan, itu pun jika rakyat Kelantan memberi kepercayaan," katanya.

RM1,500 Bagi Setiap Keluarga Mangsa Banjir Di Kelantan

Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang masih digenangi air selepas pusat perniagaan itu mula banjir sejak minggu lepas.

Kerajaan Pas Kelantan akan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga dari Tabung Serambi Makkah.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yaakub, berkata mangsa banjir akan diberi RM700 buat permulaan manakala bakinya sebanyak RM800
akan diberikan kemudian.

Beliau semalam menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di mana seramai
50 keluarga yang mendiami kawasan setinggan di Jalan Sungai Chinda di sini
kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran awal pagi kelmarin.

Mereka kini ditempatkan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang.

"Tabung Serambi Makkah mendapat sambutan penderma sepanjang masa," katanya.

Banjir Di Kelantan Bertambah Buruk

Keadaan banjir di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumbuh dekat Tumpat, hari ini dipenuhi banjir sedalam hampir satu meter berikutan limpahan air Sungai Pengkalan Datu dan menyebabkan beberapa rumah ditenggelami serta laluan ke kampung itu terpaksa di tutup dan kebanyakkan penduduk menggunakan sampan dan bot gentian kaca menjalankan aktiviti harian mereka.

Keadaan banjir di Kelantan malam semalam semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat dan meragut satu nyawa.

Bandar Rantau Panjang kini lumpuh apabila semua premis perniagaan ditutup setelah ditenggelami air sedalam satu meter dan jumlah mereka yang dipindahkan sehingga pukul 8 malam ialah 2,777 orang.

Banjir yang melanda pantai timur itu, t mengorbankan nyawa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Siti Aisyah Kamarulzaman yang lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limat, Peringat di sini.

Kanak-kanak itu dilapor lemas pada pukul 11.15 pagi dan mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang.

Sehingga kini 19 sekolah ditutup membabitkan 9,782 pelajar dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Perol mulai ditutup esok manakala 16 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Rantau Panjang juga ditutup Ahad.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sehingga kini 25 pusat pemindahan dibuka di enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

"Daerah Pasir Mas dan kawasan Rantau Panjang yang paling teruk terjejas," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Kilometer (KM) 3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu (Pasir Mas) dan KM9 Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti (Tumpat).

Jurucakap itu berkata Sungai Golok kini melebihi paras bahaya dengan 10.32 meter (bahaya 9 meter) manakala sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga.

Perancangan 'Lebih Kurang' Tidak Akan Mengatasi Punca Banjir

Kerajaan PAS Kelantan diminta supaya membuat perancangan yang teliti dalam membangunkan sesuatu kawasan terutama di bandar ini bagi mengelakkan berlakunya banjir akibat kelemahan sistem perparitan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan yang 'lebih kurang' telah menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan sempurna.

Beliau berkata, masalah itu sewajarnya diberikan perhatian serius oleh Kerajaan PAS Kelantan kerana ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

"Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di Kota Bharu ditenggelami air tetapi ia sepatutnya tidak berlaku kalau sistem perparitan diuruskan dengan baik malah ada di antaranya mengambil masa selama seminggu atau dua minggu untuk kering sepenuhnya.

"Dahulu ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk menyelesaikan masalah banjir di pekan Pasir Mas sekiranya menang.

"Ia terbukti selepas menang, Kerajaan Pusat memberi peruntukan RM10 juta untuk sistem perparitan, hari ini masalah banjir di Pasir Mas telah berkurangan berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Taman 13th Avenue semalam.

Sebanyak 70 buah rumah di kawasan taman tersebut serta kampung berhampiran ditenggelami air disebabkan sistem perparitan yang tidak baik.

Taman perumahan dan kampung itu hanya dinaiki air sejak empat tahun lalu apabila kawasan berkenaan dibangunkan secara mendadak tanpa perancangan yang baik.

Awang Adek - Murid Miskin Diberi Pertimbangan Dapatkan Bantuan

Murid miskin di Kelantan, yang gagal mendapatkan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada pengagihan wang ihsan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihak sekolah, Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) perlu bekerjasama mengenainya.

“Permohonan mereka hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper 1Malaysia kepada 117 penduduk miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pengerusi-pengerusi PIBG di Pasir Puteh bahawa senarai nama murid yang layak mendapat bantuan RMT di sekolah-sekolah telah dipotong sehingga melebihi 50 peratus dan ini menimbulkan keresahan di kalangan ibu bapa miskin terutama ketika menghadapi musim tengkujuh.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pihaknya akan memberi keutamaan jika menerima permohonan daripada pihak terbabit dan pihaknya mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi membiayainya.

Mengenai banjir, beliau berkata Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sedang menyemak senarai nama mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat-pusat pemindahan untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh musim tengkujuh.

Mereka layak menerima bantuan walaupun harta benda dan rumah masih selamat didiami tetapi keadaan banjir menyukarkan mereka melakukan kerja merkipun untuk ke bandar mendapatkan bantuan.

“Dengan syarat kampung mereka diisytiharkan banjir oleh pihak kerajaan,” kata Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau memberi jaminan mereka akan menerima bantuan itu secepat mungkin apabila pihak JPP siap memprosesnya.

16 TABIKA di Rantau Panjang Ditutup Hari Ini

Sebanyak 16 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS di Rantau Panjang akan ditutup esok berikutan keadaan banjir di Kelantan, terutama daerah Pasir Mas yang semakin teruk.

Penyelia Kanan KEMAS Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa, berkata 16 TABIKA itu terdiri daripada TABIKA di Serungga, Tok Derpah, Siram, Bonggor, Bakong, Meranti, Pohon Tanjung, Lubok Setol, Kampung Rahmat, Gual Sitok (1), Gual Sitok NKRA, Taman Rantau Mas (1), Taman Rantau Mas NKRA, Komplek UPP Lubok Gong, Tok Deh dan Gua Periok.

Beliau berkata, penutupan TABIKA berkenaan membabitkan 500 murid. "Sesetengah TABIKA, atau laluan ke arah tabika itu, mula dinaiki air kira-kira satu meter sejak malam tadi. Kami ambil keputusan untuk menutup TABIKA berkenaan, yang pada mulanya dijadualkan memulakan sesi pembelajaran esok," katanya.

Katanya, TABIKA itu akan dibuka semula hanya apabila air sudah surut.

Kanak-Kanak Perempuan Korban Pertama Banjir Di Kelantan

Gayah Hassan, 35, dan suaminya Kamaruzaman Ismail, 41, disamping mayat anak mereka, Siti Aisyah, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Peringat yang lemas ketika bermain bersama rakan berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Belukar Limbat, Kota Bharu, semalam.

Seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pertama banjir yang sedang berlaku di Kelantan apabila dia lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limbat dekat Kota Bharu, pagi semalam.

Ibu mangsa, Gayah Hassan, 35, hanya mampu melihat Siti Aisyah Kamarulzaman, 10, anak ketiga daripada lima beradik itu terkapai-kapai sebelum tenggelam dan dibawa arus. "Setiap tahun kawasan rumah saya akan ditenggelami air.

Anak-anak memang dah biasa main air termasuklah Siti Aisyah. Saya benarkan mereka bermain tetapi betul-betul di hadapan rumah, kira-kira tiga meter dari rumah. "Ketika kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, saya memang ada memerhatikan Siti Aisyah dan adik beradik dia yang lain main air, tetapi tak sangka ada kawasan yang airnya dalam menyebabkan Siti Aisyah lemas," katanya di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Bharu.

Siti Aisyah adalah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Peringat.

Menurut Gayah, selepas melihat anaknya lemas, dia cuba menyelamatkan anaknya bagaimanapun arus deras dan air sedalam satu meter menyebabkannya gagal berbuat demikian.

Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Hasmadi Jusoh berkata, pihaknya menemui mayat kanak-kanak tersebut pada jam 1.30 petang yang tersangkut di dasar tali air kira-kira dua meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

Tuesday, January 4, 2011

Nor Zahidi Berusaha Bantu 2,000 Pesawah Di Tumpat Tak Dapat Tanam Padi

Noor Zahidi Omar (depan) bersama penduduk kampung meninjau kawasan sawah yang dimasuki air masin di Kampung Kubang Bemban, Tumpat, semalam.

Masalah dah berlaku lebih setahun lalu.

Mana Ahli Parlimen PAS Tumpat? Kenapa isu ini berlarutan tanpa adanya pembelaan.

Masalahnya, lebih 2,000 pesawah di beberapa perkampungan di Tumpat tidak dapat mengusahakan tanaman padi sejak setahun lalu dipercayai kerana air masin dari Sungai Golok mengalir masuk melalui satu tali air ke sawah mereka.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Naga Ibu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kacang Sebidang, Kampung Simpangan, Pulau Ular, Kampung Kubang Bemban dan Julok yang merupakan kawasan perkampungan utama masyarakat Siam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, hari ini membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk.

Beliau berkata akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tindakan persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya berharap kerajaan persekutuan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk mengambil tindakan segera membantu pesawah itu," katanya.

"Ini merupakan masalah rakyat, kita tahu untuk menyelesaikan masalah ini memerlukan peruntukan yang besar dan saya akan cuba meminta pihak JPS menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kebanyakan pesawah adalah golongan mudah miskin dan miskin, kalau ia tidak diselesaikan golongan mudah miskin akan menjadi miskin dan yang miskin pula akan menjadi miskin tegar," katanya.

Seorang pesawah, Ariffin Awang Chik, 50, berkata walaupun pembinaan tali air itu bertujuan membantu sistem pengairan di situ tetapi ia telah menyebabkan tanah di kawasan tanaman padi menjadi rendah sehingga memudahkan air masin dari Sungai Golok masuk dan merosakkan tanaman padi.

"Dah beberapa musim kami tak dapat tanam padi. Kami cuba untuk terus bercucuk tanam tetapi kami rugi," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berharap pihak JPS mengambil tindakan segera dengan membina lebih banyak pintu air bagi memastikan aliran keluar masuk dapat dikawal.

Dia yang mengusahakan tujuh hektar sawah berkata, sekiranya masalah itu tidak segera diselesaikan ia akan berulang lagi pada tahun hadapan dan menyebabkan kesemua pesawah mengalami kerugian.

"Saya lihat pintu air yang dibina terlalu kecil dan dibuat ala kadar, saya faham ini melibatkan peruntukan tetapi masalah yang dihadapi penduduk di sini perlu diambil kira kerana kebanyakan kami adalah golongan yang tidak berkemampuan.

"Kami juga mahu supaya Kerajaan PAS Kelantan melihat perkara ini, kami rakyat negeri ini juga dan jangan lepas tangan kepada agensi Persekutuan sahaja. Turun ke bawah dengar masalah yang dihadapi kami," katanya.

Seorang lagi pesawah, Elut a/k Ehock, 55, berkata bahawa sebelum ini petani di kawasan itu sering terdedah kepada kerosakan padi akibat banjir tetapi kerugian dapat diatasi kerana tanaman dapat dijalankan semula sebaik banjir surut.

"Kalau setakat air banjir tidak apa, tapi ini air masin, padi tak boleh kena air masin nanti rosak teruk.

"Bukan itu sahaja, air masin akan meresap masuk ke tanah menyebabkan padi tak mahu hidup walaupun ditanam semula," katanya.

Dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila sawah padinya seluas empat hektar musnah digenangi air masin.

Katanya, jumlah kerugian itu terlalu besar kerana dia bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga dan adalah sukar untuknya mengumpul semula wang sebanyak itu.

"Saya mempunyai tanggungan yang ramai dan bergantung harap kepada hasil tanaman padi, sudah dua musim saya tidak mendapat hasil daripada tanaman padi. Semua ini berpunca daripada tali air yang baru dibina, tujuannya baik untuk memudahkan air keluar masuk tetapi sebaliknya yang berlaku air masin terperangkap dan tidak dapat keluar sepenuhnya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Jejulok, Ghazali Isa berkata, air masin yang memasuki kawasan sawah pada setiap kali musim banjir sukar untuk keluar disebabkan laluan yang terlalu sempit dan memakan masa hampir dua minggu untuk kering sepenuhnya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina beberapa buah pintu air tetapi ia terlalu kecil dan tidak mampu untuk mengeluarkan kesemua air masin yang melimpahi kawasan berkenaan.

"Setiap kali musim banjir perkara ini berlaku dan yang terbaru di kawasan sawah seluas 200 hektar di Kubang Bemban di mana taliair baru jalan yang memisahkan antara taliair dengan sungai terlalu rendah sehingga menyebabkan air masin dapat memasuki kawasan sawah.

"Air masin ini menyebabkan kerosakan tanah dan tanaman akan musnah, setiap kali musim banjir memang air akan melimpahi tetapi masalahnya, air ini tidak boleh keluar dengan cepat dan ia akan terus bertakung dalam sawah, ia mengambil masa satu hingga dua minggu untuk kering sepenuhnya," katanya ditemui pemberita di Kubang Bemban semalam.

Amat jelas, pembelaan tetap menjadi tanggungjawab BN walaupun ia bukan menjadi Kerajaan Negeri dan Tumpat dikuasai PAS, kecuali satu kerusi sahaja - Pengkalan Kubor.

Msyarakat Siam seharusnya berterima kasih kepada Nor Zahidi kerana bertindak cepat dan berusaha menyelesaikan masalah mereka.

SPN Negeri Melayu Bersekutu tiada hak lantik SUK?

Bekas Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memulakan tugas barunya sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS). 3 Jan. 2011 semalam.

Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi, kerana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata seorang penganalisis politik tempatan.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein (gambar kanan) dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), berkata ia berlainan bagi SPN di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah) pula, kerana badan tersebut mempunyai kuasa untuk melantik tiga jawatan tinggi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seharusnya lebih peka mengenai perkara ini dan berhenti mempersoalkan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini.

"Cubaan beliau untuk mempersoalkan pelantikan tersebut dilihat satu usaha yang sia-sia kerana hak eksekutif untuk melantik pegawai divisyen tinggi masih tertakluk kepada kerajaan Persekutuan sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya hari ini.

Mengulas hasrat Abdul Khalid untuk mengadakan sidang tergempar bagi meminda perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, bagi membolehkan kerajaan PKR negeri mempunyai kuasa untuk melantik jawatan tersebut, Ahmad Atory menegaskan pemindaan tersebut hanya akan mengakibatkan krisis undang-undang yang lebih teruk.

Ahmad Atory berkata, mengikut perkara Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan negeri akan terbatal dengan sendirinya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan: "Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu."

Sementara itu, pakar perundangan terkenal, Profesor Salleh Buang, berkata adalah mustahil bagi kerajaan Selangor untuk meminda perlembagaan negeri kerana mereka memerlukan majoriti dua pertiga bagi membolehkan proses tersebut berlaku.

"Dalam Perlembagaan Selangor, memang dah tertulis setiap pemindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga...dan mereka memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi sebelum boleh meminda perlembagaan," katanya.

Ketika ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai 14 kerusi, DAP (13), PAS (8), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 21 kerusi, daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Menurut Salleh, sekalipun pindaan tersebut berjaya, ia masih tidak akan memberi kesan terhadap pelantikan Mohamad Khusrin kerana sebarang pemindaan Perlembagaan tidak bersifat "retrospective" (ke belakang).

Menurut Salleh lagi, sikap Abdul Khalid yang tidak membenarkan SUK sendiri masuk mesyuarat Exco, seolah-olah cuba menafikan hak Mohamad Khusrin, serta menunjukkan pemimpin itu sendiri cuba membelakangi perlembagaan.

Petrol RON 97 Naik Lagi...10 sen

Harga petrol RON 97 dan minyak tanah masing-masing naik 10 sen seliter kepada RM2.40 dan RM2.50 seliter mulai tengah malam ini

Demikian menurut Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia. - BERNAMA

Pertemuan dengan Agong, Najib tiada kaitan politik: Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, baru-baru ini, turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiada kaitan dengan isu politik.

Menteri Besar Kelantan itu, berkata pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini, bulan lalu.

"Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku," katanya dalam satu kenyataan empat perenggan bagi mengelak kekeliruan yang timbul berikutan laporan akhbar hari ini.

Dilaporkan bahawa pertemuan itu antara lain berkisar ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang media yang turut dihadiri Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"Adalah sangat tidak beradab dan beretika bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan ketika menghadap," katanya.

Nik Aziz berkata, ketika beliau berada di hospital USM, beliau telah dikunjungi Abdullah yang membawa titah Tuanku Mizan meminta beliau dan beberapa pemimpin menghadiri majlis santapan malam di Istana Terengganu.

"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya menghadiri majlis tersebut," katanya.

Nik Aziz menyeru media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan menghentikan seberang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Abdul Hadi pula berkata, walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

"Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu," katanya.

Hujan Di Negeri Pantai Timur Sehingga Sabtu

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Kelantan ialah di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang melibatkan daerah Kuantan.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederahana yang kini berlaku di Sabah dijangka berlarutan hingga Jummat. Kawasan yang terlibat ialah di Kudat, Pitas, Kota Murudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai, menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang kini berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga dan lima meter yang kini berlaku di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu merbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil, aktiviti pantai, rekreasi dan sukan laut.

Lima Daripada Sembilan Sekolah Yang Ditutup Akibat Banjir Dibuka Esok

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Nor Ain Razi, 11, (kanan) dan Nur Shahira Yusof, 11, membaca notis dikeluarkan pihak sekolah yang memberitahu sesi persekolahan hanya akan bermula esok untuk memudahkan kerja mencuci bilik darjah yang ditenggelami air akibat banjir di Pekan Rantau Panjang, semalam.
Lima daripada sembilan sekolah yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lalu akan dibuka semula mulai esok (Rabu), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang.

Katanya, ini berikutan keadaan banjir keseluruhan di negeri ini pulih dan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok semakin surut.

"Lima buah sekolah itu semuanya terletak di Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khay Boon, dan SK Lubok Setol.

"Sekolah Kebangsaan Bihai di Gua Musang terpaksa mengambil masa untuk dibuka berikutan jalan menunju ke sekolah itu tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh dan jambatan di situ turut rosak...manakala tiga buah sekolah di Tumpat masih digenangi air," katanya di Kota B haru, hari ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan bangunan sekolah di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan pihak persatuan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata, SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda masih ditutup kerana air yang melimpahi tebing sungai di kawasan sekolah berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Mengenai kedudukan sekolah di kawasan perkampungan Orang Asli SK Bihai, Gua Musang itu, Hussain berkata kerja-kerja membaiki kerosakan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu sedang dijalankan.

"Jika kerja-kerja pembaikian itu berjalan lancar adalah dijangkakan sekolah berkenaan akan dapat dibuka minggu depan," katanya.

Kegagalan Kerajaan PAS Bekalkan Air Bersih Berlanjutan

Kerisauan mengenai sumber air terjejas dan kegagalan membekalkan air bersih terutamanya di kawasan Hulu Kelantan mempunyai asas yang kuat kerana ia bukan mendatangkan masalah kepada penduduk setempat tetapi juga menjadi punca tersebarnya penyakit berjangkit.

Berikutan itu Kerajaan Pas Kelantan didesak supaya merangka satu pelan tindakan untuk memulihara bukit-bukit di negeri ini bagi memastikan sumber air dan mata pencarian penduduk kampung terutama Orang Asli tidak terjejas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, masalah bekalan air di negeri ini semakin memuncak malah menurut laporan Jabatan Kesihatan, masalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada air semakin meningkat dan antara tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, semua ini berpunca daripada kelemahan Kerajaan Pas Kelantan untuk menguruskan sumber air biar pun telah memerintah negeri ini selama 20 tahun.

"Sebagai contoh, di Jeli masalah yang dihadapi ialah penerokaan bukit-bukit. Sebahagian besar penduduk Jeli bergantung kepada bukit untuk bekalan air bersih, air kesihatan sudah berdekad-dekad.

“Bukit adalah sumber air paling utama tetapi dalam tempoh lima tahun sumber air dari bukit berkurangan dan kualitinya terjejas teruk.

Selain itu Mustapa juga menyeru Kerajaan Kelantan mengawal aktiviti penerokaan hutan kerana bimbang sumber air bukit yang kini dinikmati sebahagian besar penduduk di pedalaman terjejas dan menyukarkan kehidupan mereka.

Mustapa berkata penduduk di pedalaman itu banyak membuat aduan bekalan air bukit atau air tandak itu kini sudah terjejas seperti semakin kekurangan air dan kualiti airnya yang rendah.

"Kerajaan Kelantan perlu berhati-hati dalam setiap aktiviti penerokaan seperti penebangan hutan kerana kesannya akan merosakkan sistem pengaliran air bukit ke kampung-kampung.

"Kini keadaan sudah mula dirasai terutama penduduk di Jeli dan kita bimbang ia bukan sahaja menyukarkan kehidupan penduduk tetapi juga penyakit yang datangnya daripada air tercemar itu," katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Penyampaian Anak Benih (Tanaman Tutup Bumi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan di Kampung Bendang Keladi di Jeli semalam. Turut hadir Pengarah JAS Kelantan, Khairuddin Mohd Idris.

Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, berkata kadar penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan taun di Kelantan kini antara yang tertinggi di negara ini dan menuntut agar kerajaan negeri menangani segera keadaan itu.

"Sedihnya Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut gagal memberikan perkhidmatan air bersih kepada penduduk di situ yang mahu tidak mahu terpaksa bergantung hidup kepada air bukit itu," katanya.

Beliau berkata kegagalan AKSB itu membuktikan kegagalan ketara kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk memberikan perkhidmatan asas yang sempurna kepada rakyat meskipun sudah memerintah lebih 20 tahun.

“Kalau 20 tahun tidak dapat diselesaikan ini kelemahan yang ketara, kita sebagai rakyat Kelantan berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Indeks Jenayah 2010 di Kelantan Turun 3 Peratus

Indeks jenayah di negeri Kelantan secara keseluruhannya menurun sebanyak tiga peratus pada 2010 apabila mencatat sebanyak 7,116 kes berbanding 7,306 kes tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, angka itu merangkumi keseluruhan kes jenayah termasuk curi, pecah rumah dan sebagainya.

"Setakat ini kes jenayah di negeri ini boleh dikatakan terkawal. Kadarnya menurun sebanyak tiga peratus pada 2010 dengan catatan 7,116 kes berbanding 7,306 kes pada 2009.

"Bagaimanapun di peringkat jajahan Kota Bharu, Kuala Krai dan Gua Musang kadar itu meningkat," katanya tanpa menyatakan perincian peningkatan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah dan terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Kerajaan Kelantan Hadiahkan Khairul Fahmi Sebuah Rumah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan sumbangan kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, sambil dibantu EXCO Kerajaan Negeri Kelantan bagi Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood, pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang Ruku semalam.

Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku semalam.

"Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan adalah satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terbabit dalam gejala najis dadah.

"Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," katanya.

300 Nelayan Dipastikan Berupaya Peroleh RM1,000 Sebulan

Sejumlah 300 nelayan miskin tegar di Kelantan yang menyertai Projek Penempatan Semula Nelayan yang tersusun akan dipastikan berupaya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan selepas menyertai projek itu pada Ogos depan di Tok Bali Pasir Puteh.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Adnan Wan Ibrahim berkata mereka dipilih daripada senarai pendaftaran e-Kasih, dengan syarat tidak mempunyai rumah dan tanah kediaman sendiri.

Nelayan-nelayan di Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh yang masih tidak mendaftar dengan e-Kasih boleh membuat pendaftaran mulai sekarang," katanya semalam.

Katanya bagi mereka yang tidak mempunyai bot dan peralatan menangkap ikan akan dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan bagi membolehkan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada pihak lain.

Wan Adnan berkata isteri para peserta akan diberi peluang bekerja dengan menceburkan diri dalam projek-projek industri kecil dan sederhana (IKS) seperti projek fertigasi tanaman lada bagi menambah pendapatan keluarga.

Wan Adnan berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan projek berkenaan yang bermula awal tahun lepas dan dijangka siap sebelum Ogos tahun ini.

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang tengah hari semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Roslee Mamat berkata dua pusat pemindahan di daerah Rantau Panjang ditutup pada 1 tengah hari.

"Cuaca di Kelantan hari ini cerah tanpa hujan menyebabkan air di beberapa kawasan perkampungan mulai surut dan mangsa dibenarkan pulang tengah hari semalam.

"Kesemua 406 mangsa dari 124 keluarga yang berada di pusat pemindahan pada sebelah pagi tadi dibenarkan pulang secara berperingkat," katanya/

Beliau berkata sehingga petang semalam, kesemua laluan di daerah Rantau Panjang dan Tumpat dibuka semua kepada semua kenderaan.

UPP Kelantan Rampas Beras Siam Bermutu Tinggi


Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 5,800 kilogram beras Siam bermutu tinggi dilonggokkan berhampiran sebuah setor di Kampung Banggol Stol, Rantau Panjang dipercayai oleh kumpulan penyeludup terancang dalam dua rampasan pada Jumaat lepas.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata sebuah kereta digunakan untuk memunggah guni-guni berisi beras ke lokasi itu turut ditahan bersama 16 kampit beras yang tertera perkataan "Beras Malaysia" pada guni bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Seorang lelaki yang memandu kereta Proton jenis Gen-2 melarikan diri sebaik menyedari diekori anggota UPP di Kampung Banggol Stol," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.

Mazlan berkata rampasan pertama dibuat pada pukul 11 malam 31 Disember lepas oleh sepasukan anggota yang menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan longgokkan guni-guni berisi beras Siam berdekatan sebuah setor di Kampung Banggol Stol.

Beliau berkata sejumlah 100 kampit beras Siam dengan setiap satu beratnya 50 kilogram bernilai kira-kira RM15,000, dipercayai diletakkan penyeludup bagi dimuatkan ke dalam treler ke Kuala Lumpur untuk pasaran, dirampas.

"Berdasarkan maklumat awam juga, tiga jam kemudian pasukannya menahan sebuah kereta jenis Gen-2 yang membawa 16 guni beras Siam bernilai RM2,400 di lokasi yang sama," katanya.

Mazlan berkata kedua-dua rampasan termasuk kereta itu dianggarkan bernilai RM37,400 dan semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Pencegahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut

Monday, January 3, 2011

Dasar PAS Kelantan Hanya 'Hangat-hangat Tahi Ayam'

Umno Kelantan menyifatkan dasar yang dibuat kerajaan negeri Kelantan mengenai beberapa perkara termasuk hiburan hanya berupa "hangat-hangat tahi ayam" semata-mata yang akhirnya tidak membawa apa-apa makna.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata demi mencapai cita-cita politik termasuk untuk mendapatkan pengaruh golongan muda, kerajaan negeri pimpinan PAS itu sanggup berbuat apa sahaja.

"Dulu (dasar kerajaan negeri) adakan konsert hiburan haram kerana bercampur lelaki dan perempuan tetapi kini tidak.

"Dulu ada kaunter bayaran lelaki dan perempuan tapi sekarang sudah tidak diikuti lagi dan banyak lagi contoh yang boleh diberi," katanya selepas melawat mangsa banjir di Rantau Panjang semalam.

Mustapa mengulas persembahan kumpulan popular Indonesia, Wali Band di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Baharu, dua hari lalu anjuran Sekretariat Misi Cakna Palestin dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempersoalkan apakah persembahan pada malam itu tidak membabitkan percampuran penonton lelaki dan wanita.

"Inilah double standard pemimpin PAS yang pandai memutarbelitkan apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka yang semua orang tahu terdapat percampuran antara lelaki dan perempuan pada malam itu," katanya.

Mustapa berharap rakyat Kelantan sedar yang PAS sebenarnya sudah lari daripada landasan menegakkan Islam sebaliknya hanya untuk kepentingan diri pemimpin itu semata-mata.

PAS Parlimen Rantau Panjang Bergolak Hebat?

Adun seorang ini memang licik dalam politik. Selalu bersikap mulut manis jubur masam, kata orang Kelantan. Tetapi kelicitannya bodoh kerana dapat diduga awal. Semasa menjadi ahli Parlimen dulu dia cadangkan supaya calon Parlimen hendaklah mereka yang ada ijazah. Dia cadang begitu sebab dia tidak mahu tanding di parlimen kerana sudah berbau kekalahan. Sebenarnya dia juga tidak memiliki kelulusan peringkat ijazah.

Seorang ADUN PAS yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan (Siapa Dia?) dikatakan sedang menyusun strategi untuk berpindah kawasan bagi menyelamatkan karier politiknya.

Kalau bukan kerana Umno di DUN itu berpecah dan retak, mungkin ADUN itu sudah jadi peraih ikan dalam pasar Pasir Mas atau jadi tukang jolok sawit di Felda Kemahang.

Beliau dikatakan banyak meninggalkan ‘najis dan noda’ ketika menjadi Ahli Parlimen Rantau Panjang dan semuanya sudah dibersih disapu dan disamak oleh Siti Zailah Yusuf ahli Parlimen Rantau Panjang sekarang.

Mengenai perancangan dan strateginya, ADUN ini akan berusaha untuk menolak Nasaruddin Daud, Speaker DUN Kelantan untuk bertanding Parlimen Pasir Mas. Nasaruddin dicadangkan untuk berderpan dengan Datuk Ibrahim Ali. Dalam kata lain dia akan halau Nasaruddin ke parlimen.

Tujuannya mendapatkan kerusi DUN yang kini disandang Nasaruddin iaitu DUN Meranti, Pasir MAS.

Ikuti apa yang ditulis oleh MSO untuk mengetahui lebih jelas!

Kerusi Speaker Dun Kelantan Panas!

KALAU anjing menyalak di balik busut kadang-kadang kita rasakan anjing itu gila. Saja membuat bising. Ataupun sengaja mahu membuang kerisauan dan kerungsingan kerana gagal mengejar betina. Kempunan mengawan kata orang.

Wahlal salakan itu ada maksud dan makna tersendiri. Ada perkara yang disalak dan dikejar di sebalik salakan itu. Ada signal. Selalunya kalau anjing liar dan jahat ia suka salak biawak, ajing adalah spesies makan biawak.

Begitulah apa yang berlaku kepada salah seorang Adun Pas di Kelantan yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan. Sehari dua ini menyalak tidak tentu fasal, melengking lengking. Tunjuk lagak dan tujuk bijak bersikap semua tahu sampai warna baju yang dipakai orang. Ingatkan salak ker
ana banjir, tetapi kawasannya tidak pula ditimpa banjir. Jadi untuk apa dia menyalak dan menyelak situ dan sini hingga ternampak 'batu berapi sendiri?'

Kalaupun banjir Siti Zailah Yusuf ahli Parlimen Rantau Panjang sudah ada. Zailah berkhidmat siang malam untuk membantu mangsa bangsa. Walaupun perempuan, tetapi demi rakyat, Zailah lakukan sendiri. Biar ada orang membenci kerja kebajikannya, dia tidak peduli. Jadi kalaupun Rantau Panjang kini ditenggelami banjir Zailah sudah menyediakan 'pelampung' penyelamat untuk rakyatnya. Zailah senantiasa siap siagap 24 jam untuk membantu rakyatnya tidak kira fahaman ideologi.

Banyak najis dan noda yang ditinggalkan Ahli Parlimen Rantau Panjang (bukan Daing Meriok) sebelum ini. Semuanya dibersih disapu dan disamak oleh Zailah. Akhirnya Rantau Panjang kini bersih dan merupakan kawasan yang mantap di Kelantan. Kerja rajin Zailah disebut dimana-mana. Cuma mereka yang dengki hati busuk saja cuba menidak dan cuba menghalang Zailah dari membantu rakyat. Buruknya perangai orang nak berkhidmat pun dihalang dan dimarahi.

Bak anjing tadi, bila ia menyalak, rupa-rupanya ada sebab yang kita perlu memahaminya. Jadi samalah dengan Adun berkenaan. Dia menyalak kerana dia dalam kesusahan dan kewalangan. Ia bukan setakat sakit perut, tetapi ada masalah lebih besar. Dia jadi macam kucing jatuh anak, fitnah situ fitanh sini, provok itu provok sini kerana kedudukannya kini sudah tidak selesa lagi. Dia sudah risau dengan masa depannya dalam politik.

Dia sudah dapat membaca pilihan raya akan datang kemungkinan dia tidak akan dicalonkan lagi. Dia sudah mengenali penerimaan umum kepadanya sudah berkurangan. Dia juga sedar politik kain pelikat dan janji mulut busuknya sudah dicemuhi rakyat. Beberapa kawasan dalam Rantau Panjang sudah tidak boleh dipijak lagi kerana ditunggu orang dengan batang langsat.

Bayangan mautnya sudah mula datang berbangar-bagar pada dirinya. Dia merasakan ajal kekalahan akan menimpanya. Dalam pilihan raya lalu pun beliaulah yang menang dengan undi terkecil, bawah 456 undi.

Kalau bukan kerana Umno di Dun itu berpecah dan retak, mungkin Adun itu sudah jadi peraih ikan dalam pasar Pasir Mas atau jadi tukang jolok sawit di Felda Kemahang. Sebelum ini pun beliau pernah tertumus di situ beberapa kali. Kalau bukan berkat doa dan aura orang keramat yang ditumpanginya sudah lama dia jadi kuluhum.

Kerana risau akan kekalahan itu maka dia menyalak dan menyelek tidak tentu fasal. Diam-diam menyusun strategi. Inilah dikatakan politik berpandangan jauh walhal dalam konteks ini politik munafik, kohong. Dia terus nak jadi wakil rakyat walaupun sudah tidak popular dan berpenyakit.

Katanya pelan sudah dibuat untuk dirinya sendiri. Beliau tidak akan bertanding di kerusinya sekarang kerana sudah tahu gambaran kalah. Jadi untuk memastikan dia terus berada dalam hegomoni politik dia mencari helah lain. Dia perlu menyelamatkan dengan kerusi free, kerusi speaker. Beliau kini katanya mengidamkan kerusi speaker.

Kerusi ini sudah lama diidamkan. Apabila dia tidak dilantik jadi Exco, dia berharap dia akan dihadiahkan kerusi ini. Malangnya kerusi ini diberikan kepada Nasaruddin. Sepatutnya dia perlu tahu kenapa dia tidak serahkan kerusi ini. Tidak layak lah...tu. Bukan bermakna tua dan lama itu matang, ada juga tua dan lama itu gelonggong.

Dalam perancangan dan strategi ini, katanya dia akan berusaha untuk menolak Nasaruddin Daud ke parlimen Pasir Mas. Nasaruddin dicadangkan untuk berderpan dengan Ibrahim Ali. Dalam kata lain dia akan halau Nasaruddin ke parlimen. Dia akan 'gumba', Nasaruddin mampu untuk menewaskan Ibrahim Ali. Itulah cara nak selamatkan kerusi Pasir Mas dan dia pula dapat kerusi speaker. Soalnya kalau benar nak selamatkan kerusi Pasir Mas, kenapa tidak beliau sendiri melawan Ibrahim?

Apa takut kerana sudah terlalu banyak makan lembu dan duit Ibrahim? Ibrahim Ali akan menceritakan hal ini.

Nasaruddin masih belum mengetahui akan hal ini. Gerakan ini sedang berjalan. Lobi di peringkat tertentu sudah pun berjalan. Kalau Nasaruddin sayangkan kerusi sepaker beliau hendaklah berwaspada dengan Adun ini dan jangan mudah terjerat.

Adun seorang ini memang licik dalam politik. Selalu bersikap mulut manis jubur masam, kata orang Kelantan. Tetapi kelicitannya bodoh kerana dapat diduga awal. Semasa menjadi ahli Parlimen dulu dia cadangkan supaya calon Parlimen hendaklah mereka yang ada ijazah. Dia cadang begitu sebab dia tidak mahu tanding di parlimen kerana sudah berbau kekalahan. Sebenarnya dia juga tidak memiliki kelulusan peringkat ijazah.

Dia turun ke Dun dengan harapan kalau menang dilantik jadi Exco. Malangnya jawatan itu tidak diberikan kepadanya. Separuh hari dia memaki hamun orang yang menjanjikan dia untuk dapatkan Exco itu.

Tidak siapa dengki kalau dia nak jadi spekaer. Tetapi cara nak ambil kerusi itu tidak bermoral macam bubuh racun dalam pisang. Seperkara lagi, bolehkah jadi speaker. Macam mana nak jalankan mesyuarat kalau kita bercakap tergagap-gagap. Ayat Quran dan hadith juga hanya beberapa kerat saja dihafal. Kalau ada masalah dalam Dewan yang perlu diselesaikan dengan ayat Quran macam mana beliau nak uruskan? Kemhiran dan ilmu mantik dimiliki Nasaruddin tidak ada padanya.

Perkembangan ini jangan dipandang ringan oleh Nasaruddin khasnya. Jangan terkejut kalau apa yang dirancangkan ini akan mencapai kejayaan kerana dia ada kepakaran memanipulasikan keadaan termasuk sanggup membohongi Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Lapan Sekolah Tidak Dapat Memulakan Sesi Persekolahan Kerana Banjir

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengumumkan lapan buah sekolah di seluruh negeri ini belum dapat memulakan sesi persekolahan hari ini (Isnin) disebabkan banjir.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata lima sekolah terbabit adalah di daerah Rantau Panjang, dua di Tumpat dan sebuah di Gua Musang.

Sekolah-sekolah di Rantau Panjang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang I; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Kay Boon dan SK Lubok Setol.

Di Tumpat, sekolah terlibat adalah SK Bendang Pak Yong dan SK Simpangan. Sebuah sekolah di Gua Musang adalah SK Bihai iaitu sekolah bagi pelajar Orang Asli.

Hussain berkata keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu dibuat kerana bangunan sekolah terbabit digenangi air atau jalan menuju ke sekolah di tenggelami air menyebabkan terputus hubungan.

"Ini adalah hasil lawatan saya semasa meninjau kawasan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir petang tadi," katanya semalam.

Beliau berkata SK Bihai di Gua Musang terpaksa ditutup kerana tanah runtuh dan jambatan kayu di situ rosak, manakala SK Lubok Setol kerana jalan ke sekolah itu ditenggelami air menyebabkan hubungan terputus.

Katanya sekolah-sekolah terbabit akan dapat memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja banjir pulih dan jalan-jalan di kawasan terbabit siap dibaiki.

Peruntukan RM144 Juta Kemudahan Infrastruktur Kepada Kelantan Tahun Ini

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM144 juta kepada Kelantan tahun ini bagi menyediakan kemudahan infrastruktur negeri ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Hasan Malek berkata peruntukan itu bagi menyediakan bekalan air bersih sebanyak RM14 juta, dan yang lain meliputi bekalan elektrik, jalan dan pembinaan rumah kepada penduduk miskin.

"Kita jangka lebih banyak lagi infrastruktur akan dibina tahun ini dan peruntukan besar itu disalurkan bagi memastikan semua rakyat menerima faedah daripada kerajaan yang memerintah," katanya selepas majlis meraikan Hari Persekolahan Umno Kubang Kerian 2011 semalam.

Pada majlis itu, 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Kebangsaan dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian yang terpilih menerima peralatan persekolahan termasuk baju, seluar dan beg sekolah.

Hasan berkata bagi 2010, sehingga November lepas sebanyak RM120 juta telah disalurkan oleh kementerian itu dengan sejumlah RM78 juta bagi menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, dan air.

Mengenai projek terbengkalai, Hassan berkata hanya 10 peratus projek yang dilaksanakan sepanjang 2010 tergendala dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

"Sebanyak 90 peratus yang diluluskan siap mengikut jadual, ada yang siap sebelum tempoh ditetapkan," katanya.

Mengenai peruntukan besar yang disalurkan kepada Kelantan, Hasan berkata kerajaan negeri perlu turut bertanggungjawab dengan melaksanakan projek rakyat bukannya mengharapkan Kerajaan Pusat semata-mata.

"Kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab dalam membina jalan di Kelantan, janganlah mengharapkan sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat melaksanakan projek di negeri ini," katanya.

Kota Bharu, Rantau Panjang Keutamaan Pembinaan Tebatan Banjir

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan membina tebatan banjir di negeri itu akan diberi kepada Kota Baharu dan Rantau Panjang yang sering terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun pelaksanaan projek tersebut memerlukan perancangan rapi kerana kos membina tebatan di Sungai Kelantan dan Sungai Golok itu adalah sangat tinggi.

"Kosnya pada lima tahun lalu sekitar RM2 bilion dan jika kerajaan mahu membina tebatan itu ia mungkin tidak dilakukan secara sekali gus," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Rantau Panjang, semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata perancangan membina tebatan tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos yang lebih rendah.

Mengulas keadaan banjir kali ini, Mustapa berkata beliau berpuas hati dengan bantuan yang diberi oleh pihak terbabit.

Seramai 409 mangsa banjir telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara sejak pagi ini di jajahan ini, dengan sebahagian besarnya ditempatkan di stesen KTMB itu.