Friday, August 27, 2010

PROGRAM BASMI KEMISKINAN KADA DATANGKAN IMPAK TINGGI

Ilias Hussein (dua kiri) menyampaikan benih ikan keli kepada salah seorang peserta projek ternakan keli di Kota Bharu, baru-baru ini.

Utusan Malaysia

Program basmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah memberi impak yang tinggi dalam memajukan ekonomi petani dan penternak di negeri ini.

Program itu juga membuktikan bahawa sektor pertanian dan ternakan sememangnya berpotensi sebagai sumber penting untuk menjana ekonomi masyarakat luar bandar.

Inisiatif melaksanakan program itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan hingga ke paras 2.8 peratus menjelang akhir tahun 2010.

Justeru dengan segala kemudahan dan bantuan yang diperuntukkan melalui program ini, tidak ada sebab atau alasan untuk mengatakan golongan miskin tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini telah memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta melalui KADA bagi membangunkan pelbagai program membasmi kemiskinan di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini.

Antara Parlimen terlibat adalah Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Ketereh yang membabitkan seramai 400 petani yang dipilih melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen berdasarkan senarai e-Kasih.

Jumlah peserta terlibat hampir sekali ganda berbanding pada tahun lalu yang hanya seramai 250 orang, membabitkan hanya dua kawasan Parlimen iaitu Tumpat dan Ketereh.

Menurut Pengerusi KADA, Tan Sri Annuar Musa, program tersebut merupakan projek bersepadu kerajaan bagi membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan para petani melalui bidang pertanian dan industri asas tani.

“Ia bermatlamat meningkatkan pendapatan peserta e-Kasih, mengurangkan kadar kemiskinan dan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kelompok miskin tegar dan miskin.

“Di samping itu, ia juga untuk membantu meningkatkan jati diri peserta melalui program pembangunan modal insan dan motivasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif tersebut, KADA menumpukan pada 10 projek yang dikenal pasti berpotensi untuk meningkatkan pendapatan peserta antaranya projek ternakan ikan keli, tanaman cendawan dan ternakan itik dengan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap peserta.

Setiap peserta akan diberikan bantuan dalam bentuk kelengkapan dan input projek selain kursus teknikal sebelum memulakan projek.

Selain itu, KADA juga memberikan khidmat nasihat dan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berdaya maju dan mencapai matlamatnya.

Bagi memantapkan pelaksanaan sistem projek berkenaan, KADA baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan empat syarikat yang akan mengurus dan memasarkan hasil pertanian yang dikeluarkan.

Syarikat terbabit adalah Belia Bela Diri Jajahan Bachok dan Koperasi Bela Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat yang akan menguruskan pemasaran cendawan.

Sementara dua syarikat lagi iaitu Perniagaan RZ Maju Jaya untuk ternakan ikan keli dan syarikat Itik Maju Trading yang berpejabat di Kuala Lumpur pula terlibat dalam ternakan itik.

Annuar berkata, melalui perjanjian tersebut petani adalah pemilik projek, KADA pula merupakan agensi pelaksana dan pemantau manakala empat syarikat terbabit akan mengendalikan projek termasuk membekalkan benih, khidmat bimbingan dan memasarkan hasil.

Jelasnya, keuntungan projek akan diberikan kepada petani dan sebahagiannya akan disalurkan ke dalam tabung projek sebagai modal pusingan untuk menjalankan projek pusingan kedua dan seterusnya.

“Kita sasarkan pendapatan mereka melepasi graf kemiskinan tegar golongan itu sekarang,” tambahnya.

Annuar berkata, bagi memperkasakan lagi usaha membasmi kemiskinan di kalangan petani, KADA juga telah memperuntukkan hampir RM100,000 bagi membantu meningkatkan pendapatan 93 petani di Kampung Cherang Hangus, Bachok melalui projek ternakan ikan keli.

Jumlah tersebut merangkumi segala bentuk keperluan berkaitan bagi membolehkan peserta terlibat menjalankan projek berkenaan tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah projek itu, Datuk Dr. Ilias Hussein memberitahu, setiap peserta dianggarkan menerima peruntukan sebanyak RM2,000 selain bantuan 200 ekor anak ikan keli dan sangkar.

Menurut Ilias, peserta terpilih akan menjalankan projek ternakan di tali air KADA yang terdapat di kampung mereka.

Langkah tersebut katanya, dianggap praktikal dari segi penjimatan kos memandangkan peserta tidak perlu menggali kolam atau menyediakan kolah untuk menjayakan projek tersebut.

Justeru beliau berharap, setiap peserta dapat mengusahakan projek tersebut dengan jayanya kerana mereka hanya diberikan bantuan sekali sahaja.

“Lakukan, gunakan peluang ini sebaik mungkin agar dapat mengumpul modal sendiri bagi menjayakan projek berkenaan untuk kali yang seterusnya,” katanya.

No comments: