Sunday, June 13, 2010

PERBAHASAN SEKADAR KUTUK UMNO,BN

Daripada BERITA MINGGU

MASIH belum ada tawaran menarik daripada PAS kepada rakyat bagi menunjukkan parti itu boleh membentuk kerajaan yang ampuh seperti Barisan Nasional (BN) walaupun Muktamar Tahunan ke-56 parti itu sudah masuk hari yang terakhir hari ini.

Malah perbahasan ketiga-tiga sayap parti itu, Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat hambar tanpa sebarang kritikan daripada perwakilan dan kalau ada pun hanya seorang dua perwakilan yang lantang serta berani menegur kesilapan pemimpin mereka.

Ketika PAS sibuk untuk meraih sokongan bukan Islam bagi merealisasikan impian untuk ke Putrajaya tercapai sehinggakan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), ia tidak lebih sekadar gimik untuk meraih sokongan bukan Melayu.

Dalam kalangan perwakilan parti itu, mereka melihat keghairahan PAS menarik sokongan bukan Islam sehingga mengabaikan pengundi tradisi boleh membawa kepada kejatuhan parti itu. Mereka menyifatkan pengundi tradisi terutama umat Islam adalah teras sebenar kekuatan parti itu, bukannya pengundi bukan Islam yang hadir secara bermusim.

Bagi perwakilan, pengundi Melayu yang dikatakan lebih memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh kepemimpinan parti untuk meraih sokongan mereka, bukannya memberi tumpuan kepada pengundi bukan Islam sehingga melupakan pengundi asalnya.

Tindakan PAS yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum akan datang, juga menimbulkan pelbagai persoalan kepada akar umbi. Tanda tanya timbul adakah calon bukan Islam akan terus setia bersama PAS atau meninggalkan parti itu jika berdepan masalah seperti dialami rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehingga kini rekod PAS masih cemerlang tanpa sebarang tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya, malah kerajaan PAS Kelantan yang pada satu ketika hanya berbeza satu kerusi dengan BN juga masih mampu mempertahankan kerajaan mereka, tetapi dibimbangi rekod itu akan rosak apabila calon bukan Islam bertanding, kerana bukan Islam tidak boleh berbaiah seperti mana wakil rakyat Islam.

Malah tindakan PAS yang sanggup menerima bukan Islam sebagai calon parti itu juga menimbulkan pelbagai tanggapan kurang menyenangkan sama ada parti itu mahu mengorbankan prinsip yang didukung sebelum ini atau PAS sudah tiada bezanya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang seperti PKR.

Keterbukaan PAS itu juga mungkin menimbulkan rasa kurang senang rakan sekutu mereka iaitu DAP. Apakah PAS sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan DAP atau sekadar 'bersama' untuk mencari peluang keemasan dan akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas sokongan rakyat pelbagai kaum diraih.

Dengan kata lain akar umbi masih belum bersedia untuk membuka ruang kepada bukan Islam menjadi calon parti itu kerana bimbang ia akan merosakkan dasar perjuangan PAS. PAS masih dianggap parti eksklusif orang Islam kerana kekuatan parti itu ditunjangi oleh orang Melayu beragama Islam sejak dari asal penubuhannya.

Ketika PAS sedang menanam impian melangkah ke Putrajaya, masih ada dalam kalangan perwakilan yang menyifatkan impian itu tidak akan tercapai jika tunjang kepada kekuatan UMNO dan BN masih gagal ditawan parti itu terutama pengundi kawasan FELDA yang tetap setia bersama BN.

Perwakilan juga mengkritik PAS kerana tidak memberi tumpuan kepada pengundi Felda dan hanya menemui pengundi teras kepada kekuatan BN itu apabila tiba pilihan raya. Lebih daripada itu pemimpin PAS yang masuk ke kawasan FELDA hanya bercakap isu nasional dan antarabangsa, bukannya usaha membela nasib warga FELDA.

Bagi penyokong PAS, jika Pahang yang memiliki kawasan FELDA paling banyak di negara ini gagal dikuasai pembangkang, PAS tidak perlu menaruh harapan untuk membentuk kerajaan baru pada pilihan raya umum akan datang. Ia masih jauh dan banyak lagi perlu diperbaiki.

Walaupun PAS dikatakan sedang melalui proses transformasi untuk menuju ke Putrajaya, hakikatnya perkara itu masih kabur dan parti itu kini dilihat tanpa hala tuju jelas.

Agak mengecewakan tahap perbahasan dalam kalangan perwakilan masih pada takuk lama, hanya sekadar menjadikan muktamar sebagai medan untuk mengkritik UMNO dan BN.

Tiada perbincangan khusus dengan lontaran idea bernas dikemukakan ahli dan kepemimpinan parti itu untuk membawa parti melangkah jauh ke depan. PAS kini cuba meniru gaya kepemimpinan PKR yang asyik memasang impian ke Putrajaya dengan beretorik.

Wednesday, June 9, 2010

KAJI SEMULA LARANGAN TERHADAP MAK YONG

Seorang penggiat makyong terkenal di Kelantan meminta kerajaan negeri itu mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung di dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.

Rohani Mat Zain, 55, yang dianggap sebagai primadona makyong selepas era Allahyarham Khadijah Awang berkata ini kerana persembahan kesenian itu tidak lagi mengamalkan aspek pemujaan seperti sebelum ini.

"Kami kini sudah memulakan persembahan dengan membaca doa selamat dan tidak lagi ada unsur pemujaan seperti dulu.

"Cuma kami akui artis yang mempersembahkan teater makyong ini adalah campuran lelaki dan perempuan bagi menghidupkan watak-watak tertentu dan juga pemuziknya adalah lelaki," katanya di Jeli semalam.

Sejak PAS mentadbir Kelantan pada 1990, beberapa persembahan kebudayaan negeri itu beransur-ansur dilarang daripada dipersembahkan secara terbuka kerana didakwa mengandungi unsur khurafat serta melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan.

Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi peresembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.

Namun selepas pengubahsuaian beberapa persembahan seperti wayang kulit , tinju siam termasuk snuker telah kembali dibenar diadakan secara terbuka di negeri itu.

Makyong antara kebudayaan Kelantan tertua di negeri itu yang telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli meminta kerajaan Kelantan melonggarkan syarat persembahan kesenian makyong di Taman Budaya Negeri apabila pusat kesenian pertama di Kelantan yang bernilai RM15 juta itu siap dan beroperasi sepenuhnya September ini.

Norliza dilapor berkata jika syarat itu tidak dilonggarkan ianya akan membantutkan usaha pihak jabatan untuk mengetengahkan kesenian tersebut sebagai warisan dunia.

Mengulas lanjut, Rohani berkata sebagai warisan dunia, makyong tidak seharusnya sepi di tempat sendiri sedangkan di negara luar persembahan kebudayaan itu dikagumi masyarakat antarabangsa.

Pernah mengadakan persembahan di beberapa negara asing, Rohani yang kini mengetuai Kumpulan Warisan Sari menyatakan kesanggupannya untuk bertemu sendiri Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu.

"Saya sanggup bertemu Datuk Nik Aziz bagi menyatakan harapan kami agar persembahan ini dibenar dipentaskan secara terbuka dan menarik semula larangan itu," katanya.

Beliau juga bimbang persembahan itu akan pupus memandangkan ada ibu bapa melarang anak-anak mereka daripada mempelajari seni tersebut.

Sementara itu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk membenarkan persembahan makyong diadakan secara terbuka sekiranya tokoh budaya dan seni mampu membuktikan persembahan kesenian itu tiada unsur khurafat yang bercanggah dengan hukum Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau pernah meminta tokoh budaya dan seni agar memberikan input bahawa kandungan seni seperti menora, main puteri dan makyong tidak bercanggah dengan hukum Islam.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk bersikap adil kepada penggiat seni di negeri ini dan keputusan larangan persembahan kesenian tersebut sebelum ini tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan yang menyatakan persembahan itu didapati mengandungi unsur yang bercanggah dengan Islam," kata beliau.

"Sebagai contoh persembahan yang ada jampi, kalau boleh dibuktikan bahawa ia bukan satu pemujaan dan satu benda yang tidak bercanggah, kita boleh pertimbang balik," katanya di Kota Bharu semalam.

Menurutnya kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dan mendengar hujah daripada tokoh budaya berhubung perkara itu.

"Secara peribadi saya pun tidak faham apa maksud jampi serapah itu, bagaimanapun saya cuba mengambil contoh orang main bola, kena pemanasan dulu, boleh jadi, apa yang dianggap jampi itu adalah sebagai pemanasan (dalam persembahan makyong) untuk hilangkan gemuruh sebelum membuat persembahan," kata Takiyuddin.

Kerajaan negeri sentiasa bersikap adil dalam memastikan seni itu kekal apa lagi seni makyong yang sememangnya sudah lama wujud dan bertapak di negeri ini, tetapi jangan ada elemennya yang bercanggah dengan hukum Allah tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa penggiat makyong Kelantan semalam yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.

Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi persembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.

Monday, June 7, 2010

LESEN JUDI SUKAN BELUM DIKELUARKAN

Daripada Malaysiakini

Kementerian Kewangan masih belum mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kerana kerajaan masih mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.

Pada satu jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat,
kementerian itu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan/memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

"Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di malaysia.
"Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," kata kenyataan bertulis itu.

Jawapan ber tulis itu dikeluarkan bagi jawapan soalan Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Tian Chua (Batu) dan Loke Siew Fook (Rasah).

Pada sidang medianya, Tian Chua yang menerima jawapan bertulis itu mempertikaikan kenyataan awam Ascot Spot yang dibuat oleh pemiliknya, Tan Sri Vincent Tan.

"Ini adalah jawapan yang mengejutkan kerana sejak seminggu lalu, Vincent bercakap seolah-olah dia telah memiliki lesen itu. Malah dia dilaporkan berkata yang Pakatan Rakyat akan diheret ke mahkamah, jika negeri-negeri itu mengharamkan pertaruhan sukan,” katanya di lobi parlimen.

Tambahnya, jawapan itu tidak menjelaskan keadaan yang sebenar dan ada pihak yang menipu.

Pengarah strategi PKR itu juga mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang mengubah pendiriannya kerana gusar dengan kemarahan rakyat ataupun mungkin Tan tidak bercakap benar.

"Jawapan itu amat berlainan dengan gambaran yang diberikan oleh Vincent, adakah beliau begitu yakin akan diberikan lesen berkenaan?” katanya.