Friday, October 7, 2016

Bantahan Orang Asli – Dipergunakan Atau Kerajaan PAS Kelantan ‘Tidak Peduli’...


Mana yang benar -  Orang Asli dipergunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang politik dan parti politik atau Kerajaan Negeri Kelantan mengabaikan hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.

Selain itu, benarkah bantahan lebih 200 penduduk Orang Asli ke atas aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang adalah berpunca daripada salah faham?

Pada ketika Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata isu itu boleh diselesaikan, Timbalannya  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik supaya tidak menggunakan isu berkaitan masyarakat Orang Asli untuk kepentingan tertentu.

Mohd Amar berkata NGO yang mewakili masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga diharap dapat hadir ke Kompleks Kota Darul Naim bagi berbincang dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Kumpulan Orang Asli itu menggesa semua aktiviti pembalakan di hutan kekal berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan memupus hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Konflik antara pembalak dan Orang Asli tercetus akhir bulan lepas kerana mereka membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah.

Laporan Malaysia Dateline semalam, menyebut kemuncak pergelutan antara syarikat pembalak dengan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan sehingga berlaku tembakan, 28 September lalu dilihat akibat pengabaian kerajaan negeri terhadap hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.


Memetik sumber Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, isu berkaitan kawasan rayau atau saka masih gagal ditangani ketika Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi alasan kononnya operasi syarikat pembalakan di kawasan itu adalah berlesen.

“Bila kita sebut tentang kawasan rayau, di sinilah peranan kerajaan negeri. Kita (JAKOA) cuma boleh maklumkan berkenaan kawasan rayau tapi hak milik adalah kerajaan negeri,” ujar sumber berkenaan yang mahu dikenali sebagai Razak ketika dihubungi Malaysia Dateline.


Ditanya tentang peranan yang wajar diambil bagi mengelak ancaman berterusan aktiviti pembalakan terhadap masyarakat Orang Asli, beliau mengakui hal tersebut sama sekali bukan dalam pertimbangan kerajaan negeri.

“Terus terang, kawasan rayau ini tidak pernah pun diambil berat oleh kerajaan negeri sebab tidak ada dalam undang-undang. Pejabat Menteri Besar tidak peduli walaupun memorandum dan bantahan pernah dibuat.

“Sebabnya, kerajaan negeri sudah ada perjanjian dengan syarikat balak tersebut. Banyak kelompangan dalam aspek berkaitan undang-undang berhubung hak Orang Asli,” ujarnya.

Sumber itu menjelaskan, tuntutan Orang Asli juga berdepan cabaran besar apabila Akta 134 tidak mengandungi istilah kawasan rayau walaupun wilayah itu turun-temurun didiami Orang Asli.

“Ancaman pembalakan kepada Orang Asli ini memang banyak. Sungai mereka bergantung tercemar, hasil hutan berkurangan, tanah-tanah yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan Orang Asli juga musnah,” tegasnya.

Menurutnya pihak JAKOA telah menyatakan pendirian supaya dalam pengurusan hutan termasuk di negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan mesti mengambil kira kepentingan masyarakat setempat khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan aktiviti sosioekonomi setempat seperti bercucuk tanam dan mencari hasil hutan.


Hal itu, ujarnya, antara rumusan daripada mesyuarat JAKOA bersama pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, syarikat serta wakil komuniti Kampung Kuala Bering, Gua Musang pada 5 Mei lalu yang kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam surat bertarikh 28 Jun yang ditunjukkan kepada Malaysia Dateline itu, turut dimaklumkan bahawa pihak syarikat telah menggantung semua operasi pembalakan ekoran bantahan penduduk tempatan.

“Sebarang perancangan, permohonan, kelulusan, pengeluaran permit, perjanjian, hasil, keluasan kawasan untuk pembalakan dan penguatkuasaan hutan adalah di bawah seliaan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri,” dipetik daripada surat ditandatangani Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Jamalludin Kasbi.

Untuk rekod, Perkara 7(3) Akta 134 memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan, meminda dan mengubah mana-mana pengisytiharan mengenai rizab Orang Asli yang dibuat di bawah Seksyen 3(1).

Mohd Amar kelmarin  menegaskan,  isu berkaitan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Gua Musang tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia berkaitan pentadbiran kerajaan negeri semata-mata.

“Saya harap mereka yang terlibat dalam isu ini betul-betul nak membantu Orang Asli, bukan untuk mengambil kesempatan. Jangan gunakan Orang Asli untuk ‘mileage’ tertentu. Itu harapan kitalah. Tak kira siapa-siapapun termasuk parti-parti politik, NGO pun jangan ambil kesempatan atas isu menggunakan Orang Asli sebagai batu loncatan untuk dapat nama dan kredit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Anggota Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim semalam.


Ahmad ketika mempertahankan keputusan kerajaan negeripula menganggap bantahan Orang Asli  ke atas aktiviti pembalakan di Gua Musang itu berpunca daripada salah faham dan boleh diselesaikan.

Menurutnya, mereka perlu memahami bahawa aktiviti pembalakan merupakan  sumber hasil kerajaan negeri dan mereka tidak boleh mendesak agar aktiviti itu dihentikan tanpa alasan kukuh.

"Lagi pun,segala aktiviti pembalakan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Perhutanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing di Pos Brooke semalam.

Ahmad mengulas mengenai tindakan penduduk Orang Asli yang berhimpun dan membina sekatan di laluan keluar-masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering sejak 26 September lepas.

Pada Isnin lepas kerajaan negeri mengarahkan syarikat pembalakan agar menangguhkan operasi berkaitan pembalakan di kawasan terbabit sehingga semua isu yang timbul dapat diselesaikan.

Beliau bertegas,  kerajaan negeri tidak akan menghentikan selama-lamanya aktiviti pembalakan atas sebab salah faham kumpulan penduduk tertentu yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan.

Ini kerana  jika aktiviti pembalakan dihentikan, ia akan menjejaskan sumber hasil kerajaan negeri dan merencatkan faedah yang dinikmati rakyat.

Lagipun tindakan Orang Asli itu akibat hasutan pihak tertentu, malah  perbuatan itu tidak harus berlaku kerana ia tidak memberi sebarang faedah.
 

Monday, October 3, 2016

Husam - Berapa Kekayaan Sebenar Hutan & Berapa Bayaran Kepada KPK?


Hari ini Kerajaan Kelantan mengeluarkan arahan menghentikan kegiatan pembalakan serta merta di Hutan Simpan Balah sehingga dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Zahari Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat pagi ini.

Berita baik ini bukan sahaja wajar diterima baik oleh pihak berkepentingan tetapi khusus buat Ahli Dewan Undangan Salor, Datuk Husam Musa.

Semalam beliau mencadangkan pembalakan di kawasan protes Orang Asal dihentikan.

Pengumuman oleh Kerajaan Kelantan mengarahkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang dihentikan sementara berkuat kuasa hari ini berikutan bantahan daripada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan, memang dialu-alukan.

Husam, melalui Facebooknya berkata, langkah pembekuan sementara bagi dua blok pembalakan di Hutan Simpan Balah adalah sangat tepat. Ia selari dengan cadangan beliau kelmarin.

“Tidak sukar untuk Kerajaan Kelantan menunjukkan keprihatinan selanjutnya seperti diajar oleh Islam. Antaranya dengan melaksanakan kajian Impak Sosial dan Ekologi sepenuhnya, menimbangkan pewartaan zon kekal tanpa pembalakan untuk kelangsungan kesejahteraan Orang Asli dan menimbang pemberian hak milik,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan mesti telus memaklumkan kekayaan sebenar isi hutan terlibat, katanya.

Selain itu menurut beliau, jika dakwaan Persatuan Pembalak Kelantan mereka mengalami kerugian sebanyak RM 50 juta kerana LIMA HARI SAHAJA operasi tidak dapat dijalankan adalah benar, bayangkan kekayaan sebenar hutan berkenaan.

Kawasan ini, ikut kenyataan Pengarah Hutan sebelum ini, adalah dalam Kawasan konsensi Kompleks Perkayuan Kelantan(KPK).

“Sebelum ini saya telah nyatakan KPK telah gagal meletakkan nilai yang setara dengan kawasan pembalakan miliknya. Jika kerugian RM 50 juta itu termasuk dua blok milik KPK, berapakah jumlah bayaran yang diterima oleh KPK?” tanya beliau

Zahari,,.umum keputusan pagi ini.
Husam seterusnya berhujah,  “Sepadankah perolehan KPK dan hasil kayu yang diperolehi pembalak? Ketelusan Kerajaan Negeri Kelantan sekali lagi dituntut.”

Pada Rabu lepas, sekumpulan lebih 200 Orang Asli dilaporkan membuat bantahan supaya aktiviti pembalakan itu dihentikan termasuk dengan membuat sekatan bagi menghalang pengeluaran balak dari kawasan berkenaan dan tindakan pembalak merobohkan sekatan itu telah mencetuskan kekecohan.

Penduduk Orang Asli berkenaan mendakwa kawasan antara Pos Tohoi dan Pos Simpor, Gua Musang itu adalah tanah nenek moyang mereka yang diceroboh pembalak manakala pembalak pula mendakwa mereka mempunyai lesen sah untuk melakukan kerja pembalakan.

Dalam kenyataannya  kelmarin, Husam berkata bagi kebaikan semua pihak, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri serta merta membekukan kegiatan pembalakan di kawasan berkenaan buat sementara waktu.


Dengan berbuat demikian katanya, bolehlah pihak Kerajaan Negeri melantik konsultan bebas menjalankan kajian Impak Sosial dan Ekologi kepada komuniti berkenaan untuk menilai samada kegiatan berkenaan boleh diizinkan semula atau memerlukan pengubahsuaian atau pembatalan.

"Pemimpin Kerajaan Negeri sendiri dalam situasi seperti ini perlu melawat kawasan terbabit, berdialog dengan komuniti terlibat dan jika perlu, membayar ganti rugi yang sesuai.

"Ini boleh membantu membuang kekeruhan dan pandangan negatif masyarakat Orang Asli kepada pihak-pihak tertentu secara keseluruhan," katanya.

Bagi Husam, Kerajaan Negeri dan agensi terbabit seharusnya sedar tanggung jawab sosial sewajarnya mengatasi pertimbangan komersil semata-mata.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutangan Kelantan, keputusan itu dibuat untuk memastikan situasi aman di kalangan Orang Asli dan pembalak yang berhadapan halangan Orang Asli di kawasan itu.



Menurutnya,  keputusan oleh kerajaan PAS negeri itu turut mendapat persetujuan semua pihak.

Sebelum ini, pihak yang tidak bersetuju dengan kegiatan pembalakan itu telah menghalang kegiatan berkenaan di hutan simpan itu bagi mengelak lori daripada keluar kawasan berkenaan.

Halangan ke kawasan itu dibentuk di dua lokasi iaitu kira-kira 70 kilometer dari Gua Musang dan di Pos Tohoi-Pos Gob serta satu lagi di Kampung Berik di Pos Pasik.


Pada ketika keadaan tenang ini sewajarnya kerajaan negeri Kelantan wajar mencari jalan penyelesaian isu untuk untuk kepentingan semua pihak.

Friday, September 30, 2016

Durian Kunyit Projek Perintis – Jabatan Perhutanan Kelantan

Zahari Ibrahim...dakwaan tidak tepat
Jabatan Perhutan Kelantan  menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kelulusan projek pembangunan di kawasan teroka haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 1,697 hektar adalah tidak tepat.

Malah,  penanaman durian kunyit di kawasan berkenaan merupakan projek perintis sebelum ia dilaksanakan lebih meluas.

Mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Hutan Simpan Sungai Brok, hasil semakan jabatan itu mendapati dakwaan itu tidak tepat dan tidak berasas berikutan pelan kawasan yang dinyatakan adalah Hutan Simpan Ulu Galas.

Pengarah Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata kelmarin (dilaporkan akhbar semalam) semakan juga mendapati tiada sebarang arahan kepada Pejabat Hutan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Renjer Hutan untuk melaksanakan semakan dan bancian dalam kawasan yang dimaksudkan.

Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati dakwaan yang dikemukakan pihak tersebut mempunyai fakta-fakta yang mengelirukan.

Ia tidak memahami proses kelulusan serta perlesenan pentadbiran perhutanan negeri.

Zahari berkata, kini sejumlah 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar Hutan Simpan Kekal diteroka secara haram di seluruh Kelantan sejak 1980-an.

Kawasan itu diteroka peneroka tegar yang telah mengusahakan tanaman pertanian dan peneroka baharu yang cuba meneruskan penerokaan haram itu.


Kawasan itu ditanam pelbagai spesies tanaman termasuk kelapa sawit manakala ada yang dibangunkan sebagai kawasan perkampungan.

"Jawatankuasa Penguatkuasaan Tanah Hutan Simpan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah itu," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, lewat petang semalam.

Beliau berkata, untuk mengatasi masalah itu syarikat-syarikat yang berminat digalakkan menghutankan semula kawasan yang diteroka haram itu dengan pokok hutan bersesuaian.

Zahari berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri sudah meluluskan lesen kepada dua syarikat sahaja iaitu Gunung Basor Enterprise dan Kundor Tegoh Solution Sdn. Bhd. membabitkan kawasan seluas 100 hektar.

"Bagi penerokaan tanah baharu secara haram, kami akan terus membasminya dengan memusnahkan tanaman yang ditanam sepertimana tindakan yang dijalankan ke atas ladang kelapa sawit di kawasan seluas empat hektar di Gunung Rabung, Kuala Krai, baru-baru ini," katanya.

Dalam operasi itu kakitangan jabatan berkenaan bertindak meroboh pagar dan membuat parit halangan agar tidak boleh dimasuki kenderaan peneroka haram mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984.
  
Untuk ulasan lanjut Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, berhubung isu kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan penanaman spesies Pokok Durian Kunyit dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Negeri Kelantan.ikuti kenyataan berikut:

Berhubung dengan dakwaan yang menyatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok, hasil semakan JPNK mendapati dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas. Ini kerana hasil semakan adalah seperti berikut:

1.      Pelan kawasan yang tertera dalam kawasan tersebut adalah tidak merujuk kepada Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok. Ini kerana pelan kawasan yang dinyatakan adalah di Hutan Simpan Ulu Galas;

2.      Semakan juga mendapatitiada sebarang arahan kepada Pejabat Hutan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Renjer Hutan untuk melaksanakan semakan dan bancian dalam kawasan yang dimaksudkan. Jadi, bagaimana dakwaan menyatakan mendapat laporan daripada Renjer Hutan beserta dengan keadaan dan stok kandungan boleh diperolehi?

3.      Semakan rekod pelan, tiada apa-apa kelulusan atau pengecaman yang dibuat atas Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok.

Pemilihan spesies Pokok Durian Kunyit dalam Program Penghutanan Semula di kawasan teroka haram adalah sebahagian pokok hutan yang dibenarkan dalam projek perintis ini.

Kesemua pemilihan jenis pokok hutan dan kaedah penanaman pokok hutan sama ada secara reka bentuk pepagar (perimeter design) atau sulaman antara barisan pokok kelapa sawit (interplanting) akan diperincikan setelah pihak syarikat mengemukakan Rancangan Penghutanan Semula yang perlu disediakan kepada JPNK sebagai salah satu syarat-syarat kelulusan.

Durian Kunyit adalah durian klon daripada spesies asal Durio Zibethinusyang merupakan spesies pokok hutan tempatan berbanding Getah Klon Balak yang merupakan tumbuhan yang dibawa masuk dari luar Negara.

Durian Kunyit juga boleh mengeluarkan hasil buah-buahan durian yang bernilai dalam jangka masa pendek dan dapat menghasilkan kayu balak yang bermutu tinggi setelah pokok ini mencapai tahap kematangan.

Pokok Durian termasuk di dalam senarai pokok hutan dalam Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Kelantan 1985.

Ini kerana pokok durian merupakan hasil hutan utama dan perlu dikutip cukai sekiranya ditebang untuk dibawa keluar dari Hutan Simpan, Tanah Kerajaan atau Tanah Milik.

Selain itu, Negeri Sarawak telah pun menanam pokok durian di kawasan pertanian pindah bagi menyelesaikan isu-isu sebegini kerana selain dapat meningkatkan hasil kerajaan ianya turut dapat memulihkan kawasan-kawasan hutan yang telah diteroka secara haram.

Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar kepada empat buah syarikat sahaja.

Daripada jumlah tersebut hanya dua syarikat sahaja diberi kelulusan perlesenan yang melibatkan kawasan seluas 100 hektar iaitu Syarikat Gunung Basor Enterprise dan Syarikat Kundor Tegoh Solution Sdn. Bhd.

Dakwaan yang menyatakan kelulusan pembangunan kawasan teroka haram dalam KSK seluas 1,697 hektar adalah tidak benar.

JPNK mendapati dakwaan yang dikemukakan adalah mengelirukan dan tidak memahami proses kelulusan dan perlesenan Pentadbiran Perhutanan di Negeri Kelantan.

Kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada syarikat pemaju di atas adalah satu inisiatif yang baik dalam membangunkan semula kawasan HSK yang telah diteroka haram dan mengawal penyusutan keluasan HSK di negeri Kelantan disamping mengambil kira pulangan hasil ekonomi, kestabilan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.