Thursday, October 9, 2008

TUAN HASHIM ROSAKKAN UMNO KELANTAN (1)

Oleh Veteran Bukit Marak

Umno Bahagian Tanah Merah semalam (7 Oktober 2008) membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu.

Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sejak Sabtu lalu hingga esok dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob.

Pemangku ketuanya, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.

Bagaimana UMNO Kelantan boleh melantikTuan Hashim Tuan Yaakob, kroni Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sedang dipersoalkan?

Tuan Hashim yang dikatakan orang paling berkuasa di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan bukan sekadar diserahkan tugas penting seperti ini tetapi pada pilihan raya lalu, beliau mengatasi peranan pemimpin UMNO Kelantan yang lain termasuk Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi, Datuk Awang Adek Husin.
Sebagai orang yang dipercayai Annuar, Tuan Hashim dikatakan ‘membekukan’ beberapa aktiviti UMNO Kelantan, termasuk kerja-kerja kempen, publisiti, hebahan, gerakan saraf dan berkaitan dengannya.

Petugas yang diamanahkan untuk kerja-kerja berkenaan menghadapi masalah kerana sering disekat untuk berhubung terus dengan Annuar dan juga Bendahari UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar.

Dikatakan juga,Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Alwi yang kini Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Adun Ketereh, turut mempunyai masalah dengan beliau.
Malah ada mengatakan, orang kuat Annuar, Rahime Yusof, turut berdepan dengan pelbagai halangan yang dibuat-buat Tuan Hashim.

Menghairankan sekali dalam soal ini Setiausaha Kerja UMNO Kelantan, Haji Idris Muhamood bagaikan tidak berfungsi langsung.
Jadi tidak peliklah kalau wujud bantahan sedemikian dibuat oleh Nik Kemruzaman kerana Umno bahagian Tanah Merah beranggapan tanggungjawab menguruskan perjalanan persidangan cawangan berkenaan tidak harus diberikan kepada Tuan Hashim.

Beliau berkata, antara kes yang dikesan termasuk kejadian individu yang menyamar sebagai ahli Umno dan dibenarkan hadir dalam persidangan di beberapa cawangan terbabit serta kegagalan jawatankuasa itu menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada cawangan dan bahagian untuk direkodkan.

"Kehadiran pihak yang menyamar sebagai ahli Umno pada persidangan itu tidak dapat dihalang kerana jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu tidak membenarkan Umno bahagian Tanah Merah menghantar pemerhati bagi mengenal pasti ahli terbabit dan kita sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Pada masa sama, Biro Politik Umno bahagian akan memohon mengadakan pertemuan segera dengan Timbalan Presiden Umno merangkap Pengerusi Pengurusan Umno, Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan penghantaran surat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan pemantauan Umno Kelantan daripada meneruskan persidangan cawangan dalam bahagian ini," katanya.

Lebih malang, menurut Nik Kemruzaman, selaku Pengerusi MAYC Kelantan, Tuan Hashim turut mempunyai hubungan langsung dengan seorang calon yang dijangka menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno bahagian itu.
Proses persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian Tanah Merah diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan menerusi jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu, ekoran pelbagai masalah yang berbangkit terutama membabitkan isu keahlian peringkat cawangan.
(Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul nanti)

Wednesday, October 8, 2008

JK PEMANTAU SEMAKIN MENJADI TANDA TANYA

Jelas kini bukan beberapa UMNO Bahagian di Kelantan sahaja yang tidak puas hati dengan Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan yang ditubuhkan untuk menyelesaikan kemelut mesyuarat cawangan.

Tetapi kini Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Mesti ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan banyak pihak mempertikaikan keupayaan jawatankuasa berkenaan.

Rozali melahirkan rasa kecewa dengan peranan jawatankuasa itu ysemalam yang disifatkan sebagai gagal menjalankan tugas untuk menentukan perjalanan mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan teratur.

"Apa yang kita lihat sekarang jelas menampakkan jawatankuasa pemantau tidak menjalankan tanggungjawab dengan profesional sebagaimana digariskan dalam perlembagaan," katanya.

Beliau menyatakan perrkara ini pada ketika jawatankuasa itu menerima lebih 500 bantahan mengenai perjalanan mesyuarat Umno cawangan di seluruh negeri itu.

Setiausaha jawatankuasa itu, Mirza Askary Abdul Wahab dilaporkan berkata, antara bantahan itu ialah mesyuarat yang diadakan tidak mempunyai notis, mesyuarat tidak cukup korum, pindaan persidangan tanpa pengetahuan dan anggota tidak menandatangani senarai kehadiran.

"Kami menganggap bantahan ini sebagai perkara biasa dan boleh diselesaikan sebelum mesyuarat peringkat bahagian bermula Khamis ini," katanya.

Mirza Askary berkata cawangan-cawangan yang terlibat adalah dalam bahagian Rantau Panjang, Kubang Kerian, Kota Baharu, Kuala Krai, Pengkalan Chepa dan Pasir Puteh.
Persoalannya, dalam kerja-kerja berat seperti ini kenapa beberapa pegawai penting Pejabat UMNO Kelantan disisihkan, umpamanya Setiausaha Kerjanya, Haji idris Muhamood.
Apakah ini permainan Pengerusi Jawatankuasa, Tuan Hashim Tuan Yaakob?

ROSMAH PENINGKAN NAJIB

Apa yang melanda Datuk Seri Mohd Najib akhir-akhir ini membimbangkan.

Selepas dikaitkan dengan isu Altantuya, kini isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula dikatakan menghabiskan RM7juta beli 14 buah jam tangan.

Tuduhan ini memerlukan jawapan segera pada ketika proses peralihan kuasa sedang berlaku.

Laporan Harakahdaily, 7 Oktober lalu mempersoalkan apakah benar Rosmah menghabiskan sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 buah jam tangan di Hong Kong?

Kickdefella atau Syed Azidi Aziz atau Sheih telah menimbulkan persoalan tersebut menerusi posting terbaru beliau di blognya http://kickdefella.wordpress.com.
Sheih yang baru-baru ini ditahan di bawah Akta Hasutan selama empat hari turut memaklumkan bahawa jam-jam tersebut dibeli untuk dihadiahkan kepada kepada beberapa individu di beberapa kementerian.
Namun begitu Sheih enggan mendedahkan nama pemberi maklumat tersebut dengan merujuk kepada wartawan di barat yang sanggup dipenjara daripada mendedahkan nama pemberi maklumat.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Sheih ini merupakan siri pendedahan terbaru beliau sejak dibebaskan pada 20 September lalu.
Beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri beliau turut mendedahkan bagaimana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan kedudukan beliau selaku Menteri Pertahanan untuk menambahkan kekayaan anak beliau Kamaluddin.
Pada hari raya kedua pula, Sheih mendedahkan Abdullah telah menerima RM200 juta daripada Rosmah. Wang tersebut merupakan sebahagian daripada komisen pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan kematian Altantuya.