Thursday, October 23, 2008

JANGAN BIARKAN KARPAL SEMAKIN KURANG AJAR

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh digantung selama dua hari bermula hari ini kerana menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menuduh dan mencabar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya beliau `bersikap tidak serius dan main-main’ semasa persidangan.

Karpal juga mempertikaikan semua keputusan yang dibuat Pandikar Amin selama ini dan akhirnya akur dengan keputusan itu dan dibawa keluar oleh Bentara kira-kira pukul 11.35 pagi ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya perkara itu dibincangkan, namun Pandikar Amin tetap dengan keputusannya mengikut Perkara 44 (3) kerana Karpal menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker.

Karpal ini semakin naik minyak sejak kerajaan melewat-lewatkan bentuk tindakan terhadapnya kerana ‘menghina’ Sultan dan perbuatan lain.

Awal Mei lalu, Karpal dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal mempertahankan kenyataannya itu dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak kerana berpendapat bahawa kenyataan tersebut bersabit isu perundangan.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal, namun Peguam Negara pada 5 Jun lalu mengarahkan siasatan lanjut dijalankan.

Buruk sungguh perangai Karpal kerana setahu Kijang dialah orang pertama yang menggelarkan Speaker sebagai’kurang ajar’. Yang lain selalunya dihalau keluar dewan kerana tindakan mereka yang bersifat ‘melawan’ dan ‘tidak mematuhi arahan Speaker’.

Tetapi lain sekali dengan Karpal. Mulutnya kini kurang ajar apabila berani berkata ‘kurang ajar’ kepada Speaker.
Sewajarnya tindakan mengajar Karpal dijalankan segera kerana banyak pihak menyuarakan kekesalan mereka terhadap sikap berlengah pihak-pihak tertentu dalam mengambil tindakan terhadap Karpal.

Pada 23 September lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut tindakan lanjut ke atas Pengerusi DAP itu berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury disegerakan.

Kesemua NGO berkenaan rata-ratanya mahukan kes itu digerakkan dan mempersoalkan kenapa ia didiamkan sedangkan melibatkan maruah raja Melayu yang sangat mulia kedudukannya dalam masyarakat Melayu.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, rakyat perlu mengetahui apakah penghujung kepada siri laporan polis yang dibuat pelbagai pihak ke atas Karpal dan mengapa tiada tindakan diambil sehingga kini.

Sebelum itu pada 18 September lalu, dua buah NGO iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), mempersoalkan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap Karpal berhubung isu tersebut.

Pada 24 September pula, pemimpin politik terus meminta tindakan segera dikenakan terhadap Karpal berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Said Anwar Said Ahmad berkata, tindak-tanduk Karpal itu seperti mencabar institusi raja berperlembagaan di negara ini dan dilihat boleh menggugat kestabilan serta keamanan negara.

Said Anwar kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil meskipun isu tersebut sudah berlalu selama empat bulan.

"Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail turut dikenakan tindakan apabila mengeluarkan kenyataan kontroversi yang dikatakan berbaur perkauman tetapi apa yang berlaku kepada Karpal adalah sebaliknya,'' katanya.

Pada 6 Oktober lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung status siasatan kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat terkini berhubung kes itu dan akan meminta penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara.

Jadi tunggu apa lagi pejabat Peguam Negera?

Kijang pun turut sama hairan kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut berhubung siasatan berkenaan dan memang patut jika ditimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang terlalu lama.

No comments: