Saturday, November 22, 2008

KEDAH JELAPANG PADI, BUKAN JELAPANG BABI

Tak habis-habis dengan isu babi.

Sebelum ini Selangor dan Negeri Sembilan. Kelmarin, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PAS berkata pihaknya hanya akan membuka ladang babi moden secara berpusat di kawasan Bukit Selambau dekat Sungai Petani jika ia tidak mendapat bantahan daripada penduduk tempatan.

Kerajaan negeri dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-12 memberitahu, tapak seluas 162 hektar itu telah diluluskan pada 4 Disember tahun lalu.
Jawapan bertulis itu juga menyebut, hanya satu syarikat dikenal pasti untuk mengendalikan ladang babi tersebut.

Sebanyak 46,000 ekor babi dibenarkan diternak di ladang berkenaan.

Tunggu dulu. Kerajaan Negeri pimpinan PAS hanya mengambil alih selepas pilihan raya umum Mac lalu. Jadi cadangan ini bukan daripada PAS, ia sudah dipersetujui sejak Barisan Nasional memerintah lagi. UMNO pun terpalit sama.

Baguslah kalau Kerajaan Negeri mahu mengambil kira pandangan penduduk.

Kijang kesian kepada penduduk pekan Bukit Selambau dekat Sungai Petani yang bimbang dengan projek berkenaan.

Adalah wajar jika mereka membuat rayuan kepada kerajaan Negeri Kedah agar menjalankan kajian impak secara mendalam sebelum melaksanakan projek pembinaan ladang ternakan babi di sekitar kawasan itu.

Mereka meminta agar Kerajaan Negeri sewajarnya diberikan perhatian berat mengenai perkara ini.

Menurut mereka, kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu memandangkan ia berkait rapat dengan isu alam sekitar dan keharmonian hidup penduduk setempat.

Mereka berharap kerajaan negeri harus mengambil kira sensiviti masyarakat tempatan memandangkan mereka merupakan golongan yang merasai kesannya jika projek itu dilaksanakan.

Sejak isu berkenaan timbul, penduduk bimbang nilai hartanah di kawasan itu turun ekoran pembinaan ladang tersebut.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, penduduk bimbang kesan sampingan yang mungkin timbul akibat pembukaan ladang tersebut kelak.

Walaupun kerajaan negeri berjanji ia kandang tertutup tapi sejauh mana janji itu dapat ditunaikan? tanya seorang penduduk.

Lim Choon Ooi, 57, menyambut baik cadangan tersebut yang disifatkan boleh mengurangkan kos makanan tetapi beliau harap kerajaan negeri mendapatkan maklum balas semua pihak terlibat terlebih dahulu.

"Kena dapatkan pandangan umum, kalau kebanyakan kata tak dapat terima tak payah buat,'' katanya.

Seorang petani berketurunan Siam dari Kampung Padang Sekawan, Somlai Endin Ban, 58, berkata, sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubung projek pembangunan perlulah mendapat restu daripada penduduk tempatan.

No comments: