Thursday, August 19, 2010

OPS KESAN MAJIKAN TIDAK MENCARUM

Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan melancarkan "Ops Kesan" di seluruh negeri bagi mengesan majikan yang gagal mematuhi peraturan, termasuk tidak mencarum pekerja mereka dengan jabatan itu.

Pengarah Perkeso negeri Zaini Ab Latiff berkata tahap kesedaran majikan dalam menjaga kepentingan pekerja melalui pertubuhan itu masih rendah walaupun pelbagai kempen diadakan.

Kebanyakan majikan yang gagal berbuat demikian ialah di kalangan kontraktor, pengusaha kantin dan salon kecantikan yang kebanyakannya menggunakan pekerja sementara, katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Beliau berkata mengikut Akta Keselamatan Sosial (AKS) 1969 majikan yang mempunyai sekurang-kurangnnya seorang pekerja wajib didaftar dan mencarum pekerjanya dengan Perkeso dan mereka yang gagal mematuhinya boleh dipenjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Zaini berkata mengikut akta itu, majikan juga dikehendaki mengemukakan laporan kepada Perkeso jika berlaku kemalangan di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi balik.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan program kesedaran melalui majlis taklimat dan ceramah kepada majikan, penghulu dan penyelia mukim, di samping program seranta kepada majikan terutama yang baru berdaftar dengan Perkeso.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Jun lepas, Pejabat Perkeso Kelantan membuat pembayaran faedah berjumlah hampir RM3 juta membabitkan 800 kes tuntutan kemalangan pekerja.

No comments: