Tuesday, June 23, 2009

BUMBUNG STADIUM RUNTUH – PUNCANYA?

Benarkah ini fakta sebenar punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu berharga lebih RM290 juta tempoh hari?

Kijang mengikuti secara menyeluruh sebuah rencana ditulis oleh wartawan veteran, Hambali Abdul Latiff. Menarik dan mengundang seribu pertanyaan.

Blog www.teganuku.blogspot.com yang memetik tiga rencana berkaitan ‘Mencari Fakta Sebenar’ stadium berkenaan oleh Hambali, baik untuk dibaca dan dimengertikan fakta asas dan latar belakang pembinaan dan pengawasan stadium berkenaan.

Ikuti tulisan Hambali:

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR
Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Bahagian Pertama (16 Jun 2009)

Selepas reda dengan pelbagai komen dan respon daripada pelbagai pihak – Kerajaan Negeri, Kementerian Kerja Raya, kontraktor, mereka yang disabitkan serta blogger yang mengemukakan pelbagai pandangan, mulanya saya merasakan tiada apa lagi mahu ditulis.

Malah, adalah lebih baik menunggu sahaja laporan sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bagaimanapun, apabila membaca beberapa blog, ada satu kenyataan menarik daripada sebuah blog yang penulisnya orang Terengganu, membuat saya berusaha menyelidiki beberapa fakta tambahan.

Ini kerana cara beliau menulis sedikit melampau. Kalaupun mahu spin janganlah pula babitkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.

Saya benar-benar tidak faham dan pelik sungguh penulis ini, apabila melalui blognya mengatakan:“Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Melampau sungguh kata-kata ini. Siapa yang kata perkara-perkara tidak baik seperti ini hanya dikalangan orang-orang Idris sahaja?

Seharusnya kalaupun marah kerana sebab-sebab tersendiri, jangan kaitkan nama sedemikian rupa kerana kejahatan dan “yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram” ada di mana-mana mungkin juga pada penulis berkenaan.

Yang pasti sejak tidak ada lagi ‘duit masyuk, tidak lagi dapat ke luar negara dan terpaksa kembali bertugas di tempat asalnya (kerana bos dan turun pangkat), ramai yang merasa terhimpat dan meroyan tidak tentu pasal.

Atau juga mungkin penulis ini sudah mula berpaling tadah dan mengiakan apa yang ditulisnya dan semua perkara buruk itu ada kaitan dengan ‘orang-orang kem Deris Jusoh sahaja”?
Tak faham, tak faham.

Apapun, isu bumbung stadium runtuh ini dijangka akan menjadi salah satu perkara menarik jika ada pihak, khususnya pembangkang mengemukakannya di Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Pengerusi DAP Terengganu, En. Ng Chai Hing berkata DAP akan membawa isu Tragedi Bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2hb Jun lalu ke sidang Parlimen selepas pihaknya membuat laporan di balai polis pada 3hb Jun lalu mengenai kejadian bumbung stadium runtuh.

Beliau berkata ada sesuatu yang tidak kena dalam tagedi bumbung runtuh itu kerana Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, baru berusia setahun.

Apapun, bagaikan saya katakan tadi, nampak gayanya saya akan perturunkan beberapa fakta yang tujuan saya ialah mengajak pembaca dan penjengkuk memikir, menilai dan menyelidik sendiri mengenai kedudukan sebenar pembinaan Stadium Sultan Mizan selain pandangan beberapa pakar mengenai stadium berkenaan.

Bahagian Kedua – Kos & Kontrak (17 Jun 2009)

Difahamkan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya. Bagaimanapun, banyak fakta dan persoalan yang boleh dijadikan modal perbincangan:

Apa yang diketahui umum, kos kontrak asal ialah RM191,181,280.80 bagaimanapun telah meningkat kepada RM226,872,740.80 (berdasarkan ATDA 20 November 2005).

Anehnya ATDA pindaan 16 Julai 2008 memberikan ruang untuk ditingkatkan kos kontrak sehingga RM343,804,800.00.

Walaupun tidak sampai kepada kos ATDA pindaan, namun kos kontrak semasa yang disebut sebanyak RM292,899,941.68 menggambarkan betapa nilai kos stadium ini meningkat lebih RM100 juta daripada kos asal kontrak.

Persoalannya kenapa ia boleh meningkat begitu tinggi dan pindaan melalui ATDA siapa yang putuskan?

Sementara itu, bagi bumbung yang runtuh pula, nombor kontrak ialah JKRNT(T)2/2005.

Maklumat kontrak yang diputuskan bagi kerja-kerja bumbung diperuntukkan sebagai Wang Kos Prima (prime cost sum) ialah sebanyak RM28,000,000.00

Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Perolehan Negeri pada 9 April 2006 memutuskan kontrak diberikan kepada Swissma Building Technologies , Nam Fatt/Sowon Plant Construction Compony Ltd (Korea) JV bernilai RM35,246,600.00

Melihat kembali kepada kos dan kontrak yang ditunjukan di atas, ada beberapa persoalan yang boleh difikirkan bersama:

1. Dalam kes pembinaan bumbung, kenapa kontrak diberikan kepada syarikat Korea?
2. Sistem yang dipakai iaitu Space Truss – sebenarnya teknologi ini turut dimiliki syarikat tempatan tetapi apa kelebihan syarikat Korea berkenaan?
3. Kenapa kosnya berubah begitu banyak antara Wang Kos Prima dengan yang diputuskan lembaga?

Apakah dengan memberikan kontrak kepada syarikat Korea ini ada pihak mungkin mendapat keuntungan tertentu termasuk dibawa melawat beberapa stadium di Korea Selatan dan di Eropah yang menggunakan sistem yang sama.

Saya hanya mengandaikan sahaja, bukan tuduhan dan jika tidak benar, pasti aka nada jawapannya – mungkin melalui blog-blog tertentu yang menjadi jurucakap puak-puak tertentu.

Dan sekali lagi saya ingin ingatkan blog yang mengaitkan isu bumbung runtuh ini dengan Datuk Seri Idris Jusoh serta ‘orang-orangnya’ supaya jangan mengaitkan nama beliau lagi.

Saya tidak mahu lagi mendengar atau membaca kenyataan jahat seperti: “Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Bahagian Akhir – ‘JKR vs JKR”? (22 Jun 2009)

Dalam Bahagian Kedua mengenai ‘Kos & Kontrak’ saya mengatakan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Sebenarnya dalam konteks pengawasan, ia adalah di bawah bidang kuasa Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu dan wakil Pegawai Penguasa pula ialah Pengurus Kanan Pembinaan Pasukan Pengurusan Projek JKR Terengganu.

Sebelum ini saya sudah menyatakan kontraktor mana dan berapa harga diperuntukkan untuk membina stadium ini. Rasanya tidak lengkap kalau tidak memperkatakan mengenai arkitek stadium ini kerana ia sangat penting untuk didalami peranan sebenar arkitek berkenaan.

Ada yang mengetahui dan kenapa yang tidak mengetahui, arkitek terbabit dengan Stadium Sultan Mizan ini ialah Senibahri Arkitek.

Alamat syarikat ini ialah di 41-2, Jalan 2/27F, Seksyen 4 KLSC, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur selain pejabat cawangan di No.30, PT 3525, Tingkat Satu, Pusat Niaga Paya Keladi, 20100 Kuala Terengganu.

Arkitek, konsultan dan kerja pengawasan atau seliaan kepada projek stadium ini dikatakan tidak begitu berfungsi pada ketika pembinaan stadium berkenaan dijalankan.

Saya mendengar khabar bahawa JKR tidak begitu memberikan ruang kepada syarikat arkitek bertanggungjawab untuk ‘memberikan nasihat’ dan ‘menyelia’ projek ini kerana sebab-sebab tertentu.

Dikatakan JKR bertegas menggunakan kepakaran mereka sendiri kerana menganggap syarikat arkitek ini tiada pengalaman dalam konteks pembinaan.

Sejauh mana benar ataupun tidak belum dapat dipastikan namun, adalah pelik sedikit apabila arkitek yang mereka-bentuk stadium ini disisihkan begitu sahaja.

Selain itu dikatakan ketika masa pembinaan, tiada pihak yang benar-benar menyelia dan menjamin supaya pembinaan dan pemasangan atap atau bumbung dilakukan secara sewajarnya.

Benar kontraktor Korea Selatan yang diberikan tugas dalam konteks membeli peralatan dan sebagainya tetapi siapa pula yang memasangnya?

Apakah mereka dilatih untuk memasang bumbung yang bercirikan ‘Space Frame’ berkenaan?

Dengar khabarnya juga, di pihak kontraktor pula, kerana mahu menjimatkan perbelanjaan, mereka tidak meletakkan pengawas atau penyelia di tapak pembinaan dan menurut pakar pembinaan, cara ini salah kerana projek tidak diseliakan dengan betul.

Persoalannya, bagaimana JKR boleh membenarkan kontraktor berbuat demikian untuk menjamin pengawasan rapi?

Persoalannya, jika JKR tidak mempunyai pakar atau cukup kakitangan, kenapa kerja-kerja seliaan mahu dilakukan sendiri?

Selain itu, apakah seliaan dilakukan secara ‘standing’ atau ‘periodic’?

Wajarkah pengawasan dilakukan tanpa sepenuh masa? Apa jadi jika stadium itu runtuh pada malam perasmian stadium atau pada malam perasmian Sukan Sukma atau perlawanan akhir bolasepak antara Perlis dan Terengganu? Boleh dikatakan pada malam itu seramai 40,000 orang berada dalam stadium berkenaan (pada satu masa).

Mungkin orang terbaik boleh menjelaskan sama ada perkara ini benar atau sebaliknya ialah Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah yang ‘banyak tahu’ mengenai pembinaan stadium ini.

Agak menghairan juga apabila Raja Bahrin ‘tidak bercakap banyak’ – apakah beliau cuba melindungi atau tidak mahu ada pihak yang terbabit – terdedah kepada siasatan dan sebagainya.

Dalam konteks peranan arkitek, penyelia atau juga pengawasan ini rasanya dalam konteks pembinaan stadium ini, realitinya ialah ‘JKR vs JKR’.

Maknanya, JKR yang menjadi pengawai terpaksa menilai penyeliaan yang dilakukan oleh kakitangan JKR sendiri, bukannya ‘JKR vs kontraktor’.

Tidakkah mungkin ini antara faktor menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Ada banyak lagi perkara boleh diperkatakan tetapi saya akan menyatakannya secara berasingan kemudian.

Yang pasti keruntuhan itu memberi kesan kepada maruah, nama baik kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, kontraktor Bumiputera dan industri pembinaan negeri seluruhnya.

No comments: