Sunday, July 26, 2009

TUGAS TOK PA DI KELANTAN BUKAN MUDAH

Jangan cepat terpengaruh dengan undi di Manek Urai.

Tahniah kepada Datuk Mustapa Mohamad kerana mahu menggerakkan jentera parti UMNO di Kelantan secepat mungkin.

Walaupun undi pada pilihan raya kecil Manek Urai membawa gambaran baru rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO, PAS kalah kecil kerana berdepan jentera Persekutuan.
Kalau negeri dengan negeri, belum tentu.

Bagi Tok Pa, pilihan raya kecil Manik Urai baru-baru ini membuktikan rakyat sebenarnya tidak menolak Barisan Nasional (BN). “Untuk itu, mulai sekarang kita akan atur strategi untuk menembusi Kelantan daripada kekangan PAS," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di Kompleks Umno Bahagian, semalam.

Kata Tok Pa: "Ia memberi petanda baik kepada kita... termasuk dalam usaha menawan kembali Kelantan yang telah dikuasai PAS hampir 20 tahun lalu."

Keputusan pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai lepas menyaksikan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mendapat 5,348 undi, menang tipis 65 undi menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang memperoleh 5,283 undi.

Apapun hakikatnya, ketika itu PAS ada krisis – sementara UMNO pula krisis memanjang di Kelantan!

Hakikatnya, UMNO Kelantan kena terima hakikat bahawa sejak lepas pilihan raya umum 2008, jentera UMNO Kelantan bagaikan ‘tidak bernyawa’.

Panggung ODEON – Pejabat UMNO Kelantan sunyi sepi, tidak ada orang UMNO datang dan aktiviti pula bagaikan tiada langsung.

Nak kata makan gaji buta staf di situ tidak benar tetapi hakikatnya amat kurang kerja pada tempoh itu.

Ia berpunca daripada pucuk pimpinan UMNO Kelantan ketika itu seolah-olah ‘mati kutu’ menunggu pengumuman bakal pemimpin baru.

Jadi, apabila Tok Pa dah dapat balik jawatan itu yang disentak daripada beliau selepas kejayaan pilihan raya umum 2004, beberapa jentera UMNO yang sebelum itu tidak bergerak berfungsi kembali.

Namun Tok Pa jangan lupa bahawa jentera yang bergerak antara 2005 dan 2008 itu mungkin akan ‘mati’ pula ketika ini.

Tugas Tok Pa berat di Kelantan.

Semua orang tahu Tok Pa meletakkan Jeli lebih penting daripada Kelantan. Bagi Tok Pa mungkin kalah Kelantan tidak apa tetapi jangan kalah Jeli.

Persepsi ini Tok Pa kena buang jauh-jauh. Biar orang kata Tok Pa pemimpin UMNO Kelantan, bukan pemimpin UMNO Jeli Kelantan.

Tok Pa mungkin bersikap begini kerana pengalaman 1999 begitu menakutkan Tok Pa. Tak ‘jendera tidur’, kata orang Kelantan.

Tok Pa rasa seksanya daripada Menteri di dua portfolio hanya tinggal Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu. Rumah Tok Pa di atas bukit belakang The Mall sunyi sepi.

Berbalik kepada jentera Tan Sri Annuar Musa, Tok Pa mungkin akan menghadapi masalah kerana ketaatan penyokong Annuar lain sedikit.

Orang Kelantan dapat menyaksikan bagaimana jentera itu tiba-tiba lumpuh selepas Datuk Awang Adek diumumkan sebagai bakal Menteri Besar ketika pilihan raya umum lalu.

Dengan kedudukan Awang Adek menjadi Pengarah Pilihanraya, sebaik pengumuman itu ‘cah keting’ pun berlaku.

Semua kerja tak bergerak ketika itu. Awang Adek terkial-kial – hinggakan manifesto pilihan raya pun tidak dapat dicetak dan diedar awal.

Tidak percaya tanyalah Datuk Hassan Harun, bekas Pengerusi Eksekutif KUB dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Orang Kelantan tahu siapa orang kuat Annuar. Juga orang ini tahu bagaimana mahu melemahkan kepimpinan orang lain.

Lagipun kalau sebelum ini Tok Pa Menteri Pertanian, Annuar kena hormat sikit sebab KADA yang beliau jadi Pengerusi di bawah kuasa Tok Pa.

Tapi dengan Tok Pa dok tenguk perdagangan luar, Annuar bolehlah buka langkah sikit.
Tidak seperti pengikut Tengku Razaleigh Hamzah atau panglima lain, pengikut Annuar bukan sahaja ‘keras’ tetapi boleh menyukarkan Tok Pa.

Cuma Tok Pa ada kelebihan iaitu pegawai kerajaan banyak menyokong beliau lebih-lebih lagi Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Shukry Salleh yang memang ‘favour’ Tok Pa berbanding Annuar.

Rasanya sokongan kepada BN dan UMNO di kalangan kakitangan kerajaan akan berubah sikit.
Satu perkara lagi, jika masa Annuar, orang PAS termasuk Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak mahu pandang muka orang UMNO langsung, kali ini sudah berubah.

Tetapi perubahan itu juga perlu diteliti dengan baik oleh Tok Pa.

Annuar banyak kali mengeluh apabila berdepan dengan JPP yang kadangkala nampak seperti menyusahkan Annuar. Orang Annuar juga ramai yang mengeluh apabila berdepan dengan Shukry dalam banyak hal.

Kenyataan Tok Pa bahawa Umno Kelantan kini mulai menggerakkan jentera parti dalam usaha menawan kembali Kelantan daripada PAS dengan menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai baru-baru ini sebagai momentumnya ok tetapi banyak perkara lain lagi yang perlu dibereskan dahulu.

Soal perpaduan UMNO Kelantan, khususnya kesan pemilihan UMNO pun kena lihat juga.
Jangan lupa bahawa pihak yang terguris mungkin akan membawa diri. Mereka ini perlu dikembalikan ke dalam pasukan UMNO Kelantan.

Dengan kenyataan beliau untuk memperkemaskan pengurusan parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak diharapkan UMNO Kelantan bertaut kembali dan stabil seperti ketika menghadapi pilihan raya 2004.

Lagipun beberapa panglima atau hulubalang yang tersingkir, disingkir atau menyingkirkan diri kini tiba masa untuk mereka menyokong dari belakang.

Sedarlah waktu ini bukan lagi untuk mereka. Berilah peluang sekali lagi kepada Tok Pa untuk memperbetulkan yang bengkok dalam UMNO Kelantan.

Tok Pa juga kena tenguk beberapa bahagian yang ada masalah ketika pemilihan lalu untuk diperbetulkan, khususnya Bahagian Kota Bharu, Kubang Kerian dan Bahagian Tanah Merah.
Apa dah jadi dengan kumpulan Nik Kemaruzaman Sulong, Datin Suhaini Deraman dan ramai lagi.

Perpecahan berterusan tidak baik untuk UMNO Kelantan.

No comments: