Tuesday, June 29, 2010

53,000 PETANI KELANTAN HILANG SUMBER PENDAPATAN

Kegagalan kerajaan pimpinan PAS Kelantan mengurus pembangunan Sungai Kelantan menyebabkan air sungai itu semakin cetek pada musim kemarau.

Ini menjadi faktor utama sejumlah 53,000 keluarga petani di kawasan rancangan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hilang punca pendapatan.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, keadaan sungai yang semakin cetek kesan kegiatan menyedut pasir tanpa kawalan menyebabkan penjana pam penyedut air KADA di kawasan Kemubu tidak dapat berfungsi.

Pam itu membekalkan air ke 31,000 hektar sawah di kawasan terbabit dan kini semakin kontang.

Beliau berkata, permasalahan ini sudah kerap disuarakan oleh petani terbabit tetapi tidak mendapat maklum balas dan tindakan susulan daripada pihak berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh bersikap 'lepas pandang' dan tidak melihat isu yang berlarutan ini.

Pada masa yang sama, katanya, petani terbabit juga tidak dapat menikmati pelbagai bentuk subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat secara maksima kerana mereka tidak mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.

"Kegagalan kerajaan negeri itu secara langsung turut menyebabkan kedudukan ekonomi rakyat Kelantan sekarang semakin terhimpit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Repek, Telong di Bachok, kelmarin.

Sebelum ini Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat berkata, tanaman padi luar musim tahun ini yang dijadualkan awal bulan ini terpaksa dibatalkan disebabkan masalah berkenaan.

Ibrahim berkata, kerugian pendapatan itu melibatkan petani di kawasan Pasir Mas, Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh dengan anggaran hasil musim kedua bernilai kira-kira RM150 juta.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Dr. Awang berkata, petani terbabit sepatutnya dapat menikmati subsidi baja, upah membajak, skim subsidi racun dan insentif jualan padi sebanyak RM2,300 untuk sehektar pada setiap musim.


Beliau berkata, kesan keadaan itu petani terbabit kini mengharapkan satu pilihan iaitu mengusahakan tanaman padi bermusim pada bulan November dan Disember dengan mengharapkan bekalan air hujan sahaja.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri yang meluluskan lesen konsesi balak di Ulu Kelantan secara tidak terancang yang mengurangkan kawasan tadahan hujan juga turut menyebabkan air yang membawa sisa hakisan mengalir laju ke sungai utama, mudah berlaku mendapan dan paras air sungai yang cetak.

"Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri juga meluluskan berpuluh-puluh lesen untuk menyedut pasir kepada individu di sepanjang sungai Kelantan menyebabkan aliran air bertambah laju mengalir ke Laut Cina Selatan melalui Kuala Besar.

"Ini menyebabkan paras air Sungai Kelantan cepat menurun dan mengakibatkan penyedut air di Kemubu kini berada tergantung di atas paras air," katanya.

Awang berkata, sepatutnya kerajaan negeri membuat kajian terperinci terhadap fenomena alam dan dasar sungai berkenaan sebelum meluluskan konsesi balak dan lesen menyedut pasir kerana ia boleh memberi kesan yang teruk terhadap ekonomi rakyat negeri ini yang sejak sekian lama bergantung hidup terhadap sumber air sungai berkenaan.

No comments: