Tuesday, August 17, 2010

AKSB JANJI MASALAH AIR BERSIH DAPAT DISELESAIKAN MENJELANG AIDILFITRI

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan mutu perkhidmatan bekalan air di negeri ini yang melibatkan kos RM180 juta.

Pengurus Besar AKSB, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, berkata antara projek yang dilaksanakan ialah menaik taraf serta membaik pulih tiga loji utamanya iaitu di Merbau Chondong di Machang, Chicha di kota Bharu dan di Bukit Remah, Tanah Merah.

Apabila siap, sebahagian besar pengguna air di kawasan terbabit akan dapat menikmati bekalan air bersih dengan sempurna menjelang musim perayaan Aidilfitri ini, katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, Isnin.

Sebelum ini, pengguna di jajahan Tanah Merah yang menggunakan sumber air dari Loji Bukit Remah mengalami masalah gangguan air kerana kerja-kerja menyelenggara dan menaikkan taraf loji air sedang dijalankan.

Mohd Suhaimi berkata, projek menaikkan taraf dan membaik pulih loji utama itu termasuk di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Selain itu, katanya, AKSB juga sedang menyiapkan kerja-kerja projek bekalan air bersih di kawasan Jeli yang melibatkan peruntukan RM11.5 juta.

Beliau mengakui pihaknya gagal memenuhi permintaan bekalan air bersih kepada penggunanya kerana permintaan meningkat, terutama apabila ramai anggota keluarga pulang ke kampung masing-masing pada setiap kali musim perayaan.

"Ini juga berikutan simpanan tetap air yang ada di negeri ini hanya berada pada tahap empat peratus berbanding tahap 40 peratus ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.

No comments: