Friday, August 6, 2010

ISU UMNO RANTAU PANJANG AKAN SELESAI DALAM MASA TERDEKAT

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mohd Yassin berkata semalam, krisis pentadbiran UMNO bahagian Rantau Panjang dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat selepas pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Harapannya begitulah. Mudah-mudahan.

Tidak ada maknanya pegang jawatan penting dalam parti tetapi kalah pilihan raya.

Abdullah berkata beliau dan bekas kepimpinan lama UMNO bahagian itu akan hadir pada mesyuarat pertama yang akan dipengerusikan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu petang ini.

"Pada asasnya, semua program UMNO Bahagian Rantau Panjang berjalan seperti biasa di bawah pentadbiran saya selaku Ketua Bahagian, cuma pentadbiran diambil alih sementara oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri," katanya.

Abdullah berkata demikian diminta mengulas kenyataan Mustapa yang dilaporkan berkata di Jakarta kelmarin, bahawa antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah mengukuhkan perpaduan anggota parti bahagian itu dan merangka program dalam usaha memenangai pilihan raya umum akan datang.

Mustapa berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat itu ialah mengukuhkan perpaduan anggota dan merangka program-program bagi mengembalikan kekuatannya dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Suatu masa dahulu Rantau Panjang merupakan kubu kuat Barisan Nasional di Kelantan dan kita rasa ada potensi sekiranya pihak-pihak yang bertelagah dapat bekerja sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita di akhir lawatan tiga hari ke Indonesia di Jakarta.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan pada Jun lepas.

Satu mesyuarat dijalankan oleh Abdullah manakala satu lagi oleh bekas ketua bahagian itu Datuk Mohd Zain Ismail.

Berikutan itu Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan meminta Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

Abdullah berkata beliau tidak menghadapi masalah dalam mentadbir UMNO bahagian itu dan sentiasa turun ke peringkat akar umbi dalam menjalankan apa-apa program berkaitan dengan parti.

Katanya beliau yakin 27,000 anggota UMNO dalam bahagian itu boleh menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

No comments: