Friday, September 24, 2010

DERMA RM4b - SSM SIASAT I' DA WORLD

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memulakan siasatan awal terhadap syarikat I'Da World Group Sdn Bhd yang mendakwa menyumbang RM4 bilion kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan negeri itu.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Muhd. Redzuan Abdullah ketika dihubungi mStar Online pada Khamis berkata, pihaknya sedang menyiasat kewujudan syarikat tersebut melalui data suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, menurutnya siasatan masih belum menjurus kepada sebarang keraguaan yang membolehkan pihaknya meneruskan siasatan lanjut.

"Setakat ini kita hanya menyiasat daripada data-data yang terdapat di SSM. Kita baru menyiasat butiran mengenai syarikat itu. Setakat ini tiada sebarang keraguaan yang timbul mengenai syarikat itu.

"Jika mempunyai asas yang cukup kita pasti akan mengambil tindakan," katanya.
Dalam pada itu, Riduan berkata pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa mengenai perkembangan syarikat itu dan setakat ini tiada pihak tampil membuat aduan mengenai syarikat tersebut.

Sementara itu, difahamkan dua pegawai daripada SSM mengunjungi pejabat I'Da World yang terletak di Kelana Jaya bagi memeriksa status syarikat berkenaan dan pegawai berkenaan dilihat turut mengambil gambar di pejabat tersebut semalam.

Ahad lalu, I’Da World mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada Pas Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan di sebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adik kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz bagaimanapun dalam kenyataannya memberitahu beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu serta tidak mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan dan beliau telah menyenaraihitamkan syarikat tersebut.

No comments: