Wednesday, September 22, 2010

TUANKU MUHAMMAD FARIS PETRA BERKENAN GUNA GELARAN SULTAN MUHAMMAD KELIMA

Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu.

"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ianya akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

No comments: