Monday, October 18, 2010

DUA TONGGAK KEDAH TIDAK BERAKSI

Kedah tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya, Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu, akibat tindakan disiplin, pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, menentang Kelantan, di Stadium Darulaman, di Alor Setar, lusa (Rabu).

Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof (gambar kiri), bagaimanapun, berkata kehilangan khidmat dua pemain itu tidak akan mematahkan semangat rakan sepasukan lain untuk terus memburu kejayaan pada perlawanan itu.

Beliau yakin pemain gantian bagi dua pemain itu dapat memikul tanggungjawab dengan baik bagi memastikan Kedah dapat melangkah ke perlawanan akhir nanti.

Kedah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2 selepas menewaskan Terengganu 3-0 pada perlawanan timbal balik kedua suku akhir di Staium Darulaman malam tadi.

"Memang berlaku sedikit kecacatan apabila Mohd Sabre dan Mohd Khairul Helmi tidak dapat bermain tetapi ia tidak mematahkan semangat pasukan," kata Ahmad Yusof ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada perlawanan semalam, Mohd Sabre menerima kad kuning ke tiga selepas mengasari pihak lawan manakala Mohd Khairul Helmi dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning, dua minit sebelum tamat perlawanan.

Ahmad Yusof berkata pada edisi Piala Malaysia musim ini dua pemain Kedah, Mohd Fazliata Taib dan V. Thirumurugan juga tidak beraksi akibat kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.

No comments: