Wednesday, December 29, 2010

Kes Penyeludupan Di Sempadan Berkurangan Tahun Ini

Kadar penyeludupan di semua sempadan negara sejak Januari tahun ini hingga 20 Dis lepas, telah berkurangan sebanyak 616 kes daripada 3,741 kes tahun lepas kepada 3,125kes tahun ini, kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga seramai 4,035 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan penyeludupan berbanding 2,903 orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap pada Perasmian Pontoon Baru Markas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor hari ini, katanya pasukan itu juga telah merampas barang-brang seludup bernilai lebih RM26 juta pada sepanjang tempoh itu berbanding dengan RM33 juta pada tahun lepas dengan kesalahan utama di bawah Akta Perikanan bernilai RM746,440.

Yang turut hadir timbalannya Datuk Salleh Mat Rasid, Komander Pasukan Gerakan Am (PGM) Datuk Isa Munir, Komander Wilayah Tiga (3) ACP Salleh Mat Jani dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supt Azli Mohd Nor.

Beliau juga berkata pihaknya telah menahan seramai 1,400 orang pendatang tanpa izin yang masuk ke negara ini tanpa dokumen berjalanan yang sah tahun ini berbanding 2,390orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai banjir yang mungkin melanda lagi negara, Khalid berkata polis telah bersiap sedia dengan pelbagai kemudahan lojistik dan kepakaran termasuk helikopter bagi memindahkan mangsa yang terlibat dengan ancaman bencana itu.

Mengenai keselamatan anggota di sempadan ketika menjalankan tugas, beliau berkata amat memuaskan dan tiada ancaman yang membimbangkan pasukan daripada pihak lain semasa menjalankan tugas.

"Perkara biasa dan semua anggota telah dilatih dan setakat ini tidak ada masalah sekiranya ada ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengenai pembinaan pontoon (jeti bot kecil) tersebut, beliau berkata ia telah siap pada Disember tahun lalu dengan kos pembinaan sebanyak RM1.526 juta bagi menempatkan bot-bot laju kecil milik PGM.

No comments: