Sunday, December 26, 2010

Saidi Diserang Kerana Isu Skandal Khalwat?

Saidi Husin menunjukkan keretanya yang remuk akibat dilanggar oleh kenderaan Toyota Avanza ketika perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang membuat pendedahan mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ditangkap khalwat mendakwa dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh dekat sini malam kelmarin.

Saidi mendakwa, dalam kejadian itu dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat tetakan yang dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 11.30 malam.

Beliau yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan serangan itu berpunca daripada pendedahan mengenai skandal khalwat tersebut dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar kawasan Pasir Puteh baru-baru ini.
“Ketika itu saya baru pulang ke rumah dan semasa mahu menaiki tangga, saya diserang dari arah belakang. Saya terus menjerit dan ketika itu isteri saya membuka pintu rumah dan melihat tiga lelaki telah melarikan diri.

“Saya bernasib baik kerana tidak terkena tetakan itu, hanya bahagian belakang dan lengan baju terkoyak, baju itu telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan, bagaimanapun saya tidak mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di kelmarin.

Sebelum ini, beberapa buah laman blog termasuk Papa Gomo mendedahkan mengenai seorang ADUN Pas dari kawasan Selising telah ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan ADUN tersebut, Drs. Saipul Bahrin Mohamad menyifatkan dakwaan perlakuan zina membabitkan dirinya dengan isteri seorang guru dalam blog Papa Gomo merupakan perbuatan khianat dan fitnah besar untuk menamatkan karier politiknya.

Saidi yang keluar daripada Pas pada Oktober lalu berkata, sebelum itu, keretanya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza secara tiba-tiba dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

“Dalam perjalanan itu, saya telah melihat sebuah Toyota Avanza yang mengekori saya, tetapi saya tidak endahkan kerana sejak pendedahan isu itu, saya telah menjangkakan akan diekori.

“Ketika saya membuat pusingan U dan secara tiba-tiba kenderaan itu telah melanggar saya dengan kuat di bahagian hadapan sisi kanan tempat duduk sehingga menyebabkan saya terhantuk sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi saya percaya mungkin disebabkan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan Pas dibuat kerana kecewa dengan parti tersebut yang tidak melaksanakan apa yang dikatakannya.

“Terlalu banyak contoh untuk dikemukakan, dulu kata hiburan tidak dibenarkan di Kelantan tetapi sekarang pelbagai konsert diadakan di negeri ini malah kita boleh lihat dengan jelas berhala dapat dibina sewenang-wenangnya di negeri ini,” katanya.

1 comment:

melor45 said...

Ustaz nie orang gedebe,kena tetak pung tak lut.Tak ke guna keta viva jah duit hak blanar-lanar tu tukar pakai keta VW Polo baru stail siket jadi JKKP,sedap sikit nak ghi ngorat bini oranghe,demo gedebe ke?Tak takut mati de tak takut ke tuhe.Ustaz one malaysia kata ke,dulu ustaz Hamid Derani hijrah dari umno ke PAS, mu pulak hijrah dari PAS ghi ke UMNO.PAS tak leh bughi pitih dan jawate,dah la nei jadi JKKP boleh elaun 800 rial sebule,pah tu boleh lagi duit poket tiap-tiap bule dari umno pasal rajin buat tubit cerita hak molek-molek pas PAS,ha sene benar demo la nie,taun depe demo hantar ghi mekah le pulak.