Friday, February 10, 2012

Beri Peluang Sekali Kepada Mustapa Bangunkan Kelantan

Sewajarnya Mustapa diberikan ruang membangunkan Kelantan yang ketinggalan dalam banyak perkara dan segalanya hanya boleh dilakukan jika Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat sealiran. Sebagai rakyat Kelantan kita hendaklah menilai prestasi Mustapa dari segi keupayaannya, selain beliau adalah tokoh yang dihormati dari segi agama dan keperibadian.

Orang Kelantan patut berbangga mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau membuktikan kepada negara dan rakyat bahawa sebagai pemimpin, beliau mampu melakukan dan menunaikan amanah yang diberikan.

Ternyata beliau berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur asing dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi berjaya untuk pelaburan dan perdagangan.

Walaupun mungkin mulanya agak perlahan tetapi berkat kerajinan dan usahanya yang berulang alik ke luar negara dan tidak membiarkan rakyat Kelantan terus berada dalam kemiskinan, Mustapa sebagai pemimpin tempatan dan antarabangsa memang wajar dikagumi.

Biarpun sibuk dengan urusan UMNO Bahagian Jeli dan Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa berjaya melakukan sesuatu untuk menjamin pencapaian perdagangan antarabangsa Malaysia berada ditahap yang membanggakan.

Tidak siapa boleh mempertikaikan sumbangan tenaga beliau untuk menjamin Malaysia mencatatkan jumlah dagangan paling tinggi tahun lepas iaitu RM1.3 trilion, naik 8.7 peratus daripada 2010.

Tahun ini beliau menyasarkan pertumbuhan antara lima dan enam peratus untuk jumlah dagangan Malaysia.

Laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan membuktikan bahawa Mustafa melakukan dengan jayanya untuk menempatkan Malaysia dalam kedudukan lima teratas dari segi perdagangan antarabangsa, selepas Singapura dan Hong Kong, melepasi Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Kanada dan United Kingdom.

Eksport negara mengembang 8.7 peratus kepada RM694.55 bilion tahun lepas manakala import meningkat 8.6 peratus kepada RM574.23 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 9.4 peratus kepada RM120 bilion.

"Ini merupakan yang ke-14 tahun berturut-turut dicatatkan oleh negara sejak 1998," kata Mustapa.

Beliau berkata permintaan untuk pengeluaran dan barangan pengguna dari pasaran Asia telah merancakkan sumbangan sektor ini sebanyak 71.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Eksport ke Asia mengukuh 11.2 peratus kepada RM495.19 bilion dalam 2011.

"Dalam tempoh lima tahun, penguasaan eksport ke Asia meningkat lapan peratus daripada 63 peratus pada 2007, seiring dengan rantau ini menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu dunia," kata Mustapa semalam ketika mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia untuk tahun lepas.

Barangan perkilangan sekali lagi menjadi penyumbang utama, menguasai 67.7 peratus atau RM470.3 bilion daripada jumlah eksport, kata beliau.

Mustapa juga berkata China, untuk kali pertamanya, muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia pada tahun 2011, dengan eksport ke negara itu mengembang 13.9 peratus kepada RM91.25 bilion.

Kira-kira 70 peratus daripada eksport ke China ialah barangan perkilangan dan ia terdiri terutamanya kimia dan bahan kimia, produk getah, produk elektrik dan elektronik, barangan perkilangan logam, makanan diproses dan produk petroleum.

Sementara itu, eksport ke Asean menguasai 25 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dengan pertumbuhan 5.8 peratus dicatatkan pada 2011 kepada RM171.54 bilion.

Walaupun dengan ketidaktentuan di zon Euro, eksport Malaysia ke semua pasaran utama Kesatuan Eropah, kecuali Belanda dan United Kingdom, mencatatkan peningkatan tahun lepas.

Eksport ke EU menambah 4.7 peratus kepada RM71.95 bilion dengan minyak sawit menguasai eksport terbesar, mencatatkan peningkatan 31 peratus kepada RM6.88 bilion.

Mustapa berkata pasaran pertumbuhan utama pada 2011 ialah Indonesia, Nigeria, Bangladesh, Arab Saudi, Belgium dan Jerman di mana eksport mengembang lebih daripada RM1 bilion untuk setiap negara.

Dengan kejayaan sebegini apakah pemimpin Kelantan ini mahu dinafikan keupayaannya hanya kerana mahu berbangga bahawa Kelantan berada di bawah pemerintahan pembangkang?

Sewajarnya Mustapa diberikan ruang untuk membangunkan Kelantan yang ketinggalan dalam banyak perkara dan segalanya hanya boleh dilakukan jika Kelantan dan Kerajaan Pusat sealiran.

Sebagai rakyat Kelantan kita hendaklah menilai prestasi Mustapa dari segi keupayaannya, selain beliau adalah tokoh yang dihormati dari segi agama dan keperibadian.

Sokongan dan peluang boleh diberikan kepada Mustafa sebaik-baiknya melalui pilihan raya akan datang.

Cubalah sekali lagi seperti yang hampir dilakukan beliau pada pilihan raya umum 2004. Dan jika peluang ditutup untuk beliau, akan rugilah Kelantan dan sayang apabila kita ada tokoh tempatan tetapi ditolak hanya kerana ketaksuban melampau!

No comments: