Wednesday, January 22, 2014

Kemelut Kes Azmin Semakin Serius, Pengurus Besar PKNS Jadi 'Kambing Hitam'?

"Pengurus Besar (PKNS) (Othman Omar) tidak boleh tulis surat (pelantikan dan peletakan jawatan). Yang boleh tandatangan surat itu selain Menteri Besar adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Muhammad Khusrin Munawi) selaku Timbalan Pengerusi PKNS."
-  Tan Sri Khalid Ibrahim

Isu yang melanda negeri yang diperintah pakatan pembangkang, Selangor semakin bersimpang-siru. Banyak selekoh dan sukar untuk diperbetulkan semula.

Silap haribulan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin hilang jawatan.

Khalid semalam berkata beliau bersetuju untuk mendedahkan minit mesyuarat exco negeri yang ada kaitan dengan isu pemecatan Azmin Ali dari lembaga pengarah PKNS kepada umum atas faktor ketelusan.

Sampai begitu sekali seriusnya kes  Azmin Ali ini?

"Pagi tadi (Selasa) saya telah minta Setiausaha Kerja saya untuk menyenaraikan dokumen-dokumen berkaitan, saya sebagai Menteri Besar bagi kuasa sebarkan minit mesyuarat ini. Boleh jadi hari ini (Selasa) atau esok (Rabu) melalui kenyataan akhbar atau e-mel," tambahnya.

Othman memandai-memandai?
Beliau berkata kes itu juga telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International untuk meneliti semua dokumen yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri, Pengurus Besar serta Setiausaha Kerja PKNS bagi tujuan siasatan, sekiranya terdapat elemen penyelewengan.

Sampai begitu sekali seriusnya kes Azmin Ali ini?

"Kes Pengurus Besar PKNS ini melibatkan isu integriti sebab ada surat-surat yang diculik serta dipertikaikan dari tanggungjawab beliau dan beliau juga tidak terima arahan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang pembuatan getah Top Glove di Klang.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menegaskan beliau tidak menandatangani surat pelucutan jawatan Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Yang berhak untuk membuat keputusan itu adalah Menteri Besar, so sekiranya Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) bersetuju, surat pelantikan dan surat meminta peletakan jawatan mesti ditandatangani Menteri Besar.

"Pengurus Besar (PKNS) (Othman Omar) tidak boleh tulis surat (pelantikan dan peletakan jawatan). Yang boleh tandatangan surat itu selain Menteri Besar adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Muhammad Khusrin Munawi) selaku Timbalan Pengerusi PKNS," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah membuat keputusan untuk menggantung tugas Othman dan Setiausaha Kerja (PKNS) Norita Mohd Sidek yang telah ditukarkan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa semalam sehingga kes itu selesai disiasat.

Katanya tempat Othman itu kini dipangku oleh Azlan Md Alifiah, yang juga Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"Sementara itu kedua mereka (Othman dan Norita) tidak memegang apa-apa jawatan dan berada di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mereka ini jawatan sahaja kita gantung tetapi mempunyai gaji serupa macam dahulu (sebelum digantung)," jelasnya.

Penggantungan mereka adalah sehingga selesai siasatan dijangka selepas Tahun Baharu Cina, sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka diputuskan, katanya.

Pemecatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS pada 8 Januari lepas menjadi kontroversi selepas Abdul Khalid menafikan terlibat dalam keputusan itu, sebaliknya mendakwa tindakan menggugurkan Timbalan Presiden PKR itu dilakukan Othman dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) hanya bersetuju dengan perkara itu.

Kenyataan Menteri Besar itu dinafikan oleh Norita yang berkata kuasa melantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS terletak di tangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid dan bukan Othman selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Sementara itu, Mohammed Khusrin semalam  berkata Kerajaan Negeri tidak pernah mengarahkan PKNS menarik balik surat penamatan perkhidmatan Azmin selaku Anggota Lembaga Pengarah perbadanan itu. 

Othman yang mendakwa Kerajaan Selangor telah mengarahkan supaya surat bertarikh 8 Januari yang menamatkan perkhidmatan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu ditarik semula dan dianggap terbatal.

"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan Pengurus Besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar.

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik semula surat penamatan perkhidmatan YB Tuan Mohamed Azmin Ali yang bertarikh 8 Januari 2014," katanya.

Mohammed Khusrin berkata isu ini akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Pihak pengurusan PKNS juga telah diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, katanya.

Sementara itu, beliau berkata siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas Pengurus Besar PKNS dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek bagi merungkai perkara sebenar di sebalik isu ini. 

"Saya meminta kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak sahih berkenaan isu ini sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan," katanya.

No comments: