Tuesday, March 4, 2014

Kerajaan Persekutuan Tambah RM1.5 Juta Projek Empangan Rendah Di Kelantan

Kerajaan Persekutuan menambah RM1.5 juta untuk projek empangan rendah di Sungai Kelantan, yang akan dibina di kawasan Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas bagi meningkatkan paras air sungai untuk dipam ke kawasan tanaman padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata sebelum ini RM39 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan empangan itu bagi memastikan 18,000 hektar kawasan tanaman padi di Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh dapat diusahakan dengan baik.

"Tambahan ini untuk membaiki tebing runtuh akibat banjir Disember lalu dan saya telah kemukakan di peringkat kementerian. Kementerian memberi kelulusan segera bagi memastikan empangan itu siap akhir Mac ini," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas acara menuai padi projek penanaman padi di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Tegayong, di Kota Bharu, semalam.

Md Alwi berkata pihaknya telah juga memohon kerajaan untuk menambah keluasan NKEA di bawah Kada bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di negara ini, sekali gus bagi meningkatkan pendapatan petani.

"Sebagai contoh kalau dahulu kawasan ini hanya mampu mengeluarkan tiga tan setiap musim dan kini saya rasa ia mampu hasilkan tujuh atau lapan tan bagi satu musim," katanya.

No comments: