Sunday, April 24, 2016

Kelantan Berpesta Gol Atasi Terengganu, Kedah, JDT Kongsi Mata

PEMAIN Kelantan, Mohd Khairul Izuan dihalang pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bika (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - Foto Berita Harian
Kelantan merakam kemenangan bergaya selepas menewaskan Terengganu 3-0 ketika langkah juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus disekat Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi.

Memanfaatkan aksi di laman sendiri, Kelantan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan berbahaya kepada pelawat sebelum gol pertama diperoleh pada minit ke-14 permainan menerusi pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Mendahului 1-0 berakhir babak pertama, anak buah K Devan tampak terus bernafsu menjaringkan gol, namun jaringan kedua hanya hadir pada minit ke-63 permainan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Seminit sebelum masa permainan berakhir, gawang Terengganu yang dikawal Mohd Amierul Hakimi Awang sekali lagi bocor menerusi jaringan Fakhrul Zaman. 

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hasrat JDT untuk membalas dendam kekalahan 2-1 dalam kempen Piala FA kepada Kedah, minggu lalu tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1.

Sebaliknya, tuan rumah bermula garang dan berjaya mengejutkan JDT seawal minit pertama perlawanan menerusi jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menyempurnakan hantaran Farhan Roslan.

Tersentak dengan gol awal Kedah, JDT membuat serangan balas dan melancarkan beberapa serangan melalui Pereyra Diaz (m19) namun gagal menewaskan gawang tuan rumah.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, penantian JDT untuk meledak gol berakhir selepas dianugerahkan sepakan penalti apabila Pereyra Diaz dijatuhkan oleh Bang Seung Hwan.

Penyerang dari Argentina, Juan Martín Lucero memanfaatkan sepakan penalti dengan sepakan yang mengelirukan ke penjuru kanan pintu gol Kedah untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sekali pun perlawanan tambah rancak pada babak kedua termasuk beberapa peluang terhidang, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan untuk berkongsi satu mata.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM bukan saja tidak memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri, malah gagal mengambil kesempatan ke atas Selangor yang beraksi 10 pemain apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0.

Terdesak untuk bangkit dari kekalahan kepada pendahulu liga FELDA United sebelum ini, skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus itu berjaya melakukan dua percubaan bahaya pada babak pertama namun gawang membolosi gawang pelawat.

The Red Giants turut berpeluang untuk membocori jaring tuan rumah muncul tetapi sepakan percuma Patrick Ronaldinho dari jarak kira-kira jarak enam meter pada minit ke-26 hanya tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Pada minit ke-70 permainan, Selangor terpaksa beraksi kurang seorang pemain apabila pemain tengah kebangsaan, Mohd Nazmi Faiz dilayangkan kad merah akibat mengasari Andre Williams.

Permainan tetap berlangsung rancak di sebalik ketiadaan Nazmi dengan rentetan serangan dilakukan PDRM namun tetap gagal menerjah gawang menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata.

Pada perlawanan lebih awal, Sarawak gagal memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat Pahang 1-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Sumber - Berita Harian

No comments: