Showing posts with label Aurat. Show all posts
Showing posts with label Aurat. Show all posts

Wednesday, July 13, 2016

Baju Berlengan Panjang, Pekerja, Pemilik & Pengusaha Tidak Ada Masalah?


"KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu. Ia dibuat selepas perbincangan dengan kerajaan negeri."

Ada benar dan tidak benar apa yang diperkatakan oleh bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mengenai langkah kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita Islam di restoran makanan segera dan pasar malam memakai baju berlengan panjang.

Bagi  Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu, langkah itu  menunjukkan pentadbiran PAS di negeri itu dalam keadaan terdesak.

Ada persoalan ialah,  apakah majikan dan pengusaha sudah bersedia dengan syarat itu kerana ia membabitkan kos dan menukar budaya berpakaian.


Bagaimana pula dengan syarat terhadap restoran-restoran milik orang Cina dan ‘restoran tom yam’ yang begitu banyak di Kelantan?

Menurut Zaid, kerajaan PAS Kelantan hanya tahu jaga tepikain wanita dan menyelar pembuat dasar di bawah pentadbiran PAS Kelantan yang tidak tahu masalah dihadapi pekerja wanita.

Peraturan itu tidak adil memandangkan ada pekerja wanita yang terpaksa berlengan pendek.

“Mereka (kerajaan negeri) hanya tahu duduk atas kerusi dan keluarkan peraturan. Apa yang mereka tahu? Mereka lebih tertumpu kepada usaha memastikan wanita tutup semuanya.

“Dulu, isu ini tidak menjadi masalah,” katanya, mengulas langkah yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia Dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan pemakaian sopan dan menutup aurat di restoran-restoran makanan segera di negeri ini berkuatkuasa Januari 2017 nanti.


Menurutnya,  perbincangan dengan pemilik pasar raya dan pemilik perniagaan di negeri ini sudah dilakukan.

Bagi pekerja bukan Muslim, ada syarat khas selagi mana ia menjaga kesopanan dan kesantunan, tidak terlalu seksi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan. Tukang masak misalnya, mempunyai pakaian yang sesuai untuk kerja-kerja di dapur.

Beliau berkata, peniaga di pasar-pasar malam juga akan dibudayakan dengan satu pakaian yang walaupun bukan uniform, tetapi menarik sebagai satu tarikan baharu kepada pelanggan.

“Penguatkuasaan ini akan melibatkan KFC, Mc Donalds, Marry Brown dan restoran makanan segera lain di negeri ini. Di bawah PBT, kita sudah adakan perbincangan agar peniaga mengenakan uniform yang sesuai dengan negeri Kelantan.

“Setakat ini, restoran makanan segera KFC sudah melakukan perubahan itu tahun ini, walaupun belum menyeluruh,” katanya kepada media selepas majlis hari raya bersama mahasiswa Kelantan di JKR 10 di Kota Bharu, 10 Julai lalu.
  
KFC sudah mula mewajibkan pekerja wanitanya memakai baju seragam berlengan panjang di cawangan Kelantan sebagai mematuhi peraturan menutup aurat yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri itu tahun depan.

New Straits Times melaporkan KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu.


“Syarikat kami tiada masalah mematuhi peraturan kerajaan negeri Kelantan itu dan kami akan memastikan pekerja wanita memakai baju seragam itu sepanjang masa,” kata seorang jurucakap KFC kepada akhbar terbabit.

Abdul Fattah berkata, yang ditakrifkan dengan pemakaian sopan ialah uniform dikenakan menutup aurat patuh syariah menutup bahagian lengan dan labuh di bawah paras punggung.

 “Kita dalam proses mendapatkan penaja untuk menaja apron kepada peniaga-peniaga pasar malam di negeri ini. Ada yang bersetuju kerana secara tidak langsung ia turut mempromosikan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan dengan menyertai kunjung Inspektor Kesihatan (IK) ke gerai-gerai makan untuk memastikan makanan yang dijual bersih.

Zaid pula berkata rakyat Kelantan harus membantah peraturan yang hanya menyusahkan mereka.

Menurutnya, PAS merupakan parti terdesak tanpa apa-apa perancangan. Suka membuat peraturan. Mereka sanggup melakukan apa-apa supaya kekal relevan.

Apapun, Zaid menyerahkan  kepada rakyat Kelantan sekiranya mereka masih memilih PAS.

Thursday, June 9, 2016

Sempena Ramadan - Operasi Tidak Berpuasa & Aurat Datang Lagi Di Kelantan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh (kanan) bersama anggota penguatkuasa yang akan menyertai operasi pada majlis pelancaran operasi puasa dan aurat di pejabat JAHEAIK, Balai Islam, Lundang, Kota Bharu. 
Istilah tidak menutup aurat di Kelantan bermaksud tidak memakai tudung dan berpakaian ketat serta menyolok mata.

Semalam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melakukan 'Ops Ramadan dan Aurat' sekali lagi. Ini bukanlah kali pertama operasi seperti itu di negeri ‘Serambi Mekah’ berkenaan.

Sesiapa yang ditangkap menerusi operasi tersebut akan dikenakan tindakan dibawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5(1) perbuatan tidak sopan dan Seksyen 26 (KJS 2/85) makan di bulan Ramadan.

Anggota jabatan itu  akan melakukan pemantauan di pasar raya utama di negeri ini bagi mengesan mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan berpakaian tidak seno­noh.

Mereka yang sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam konteks operasi menutup aurat, operasi sebegini turut diadakan di peringat majlis daerah melalui Operasi Gempur Aurat bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita tanggungjawab menutup aurat.

Sebelum operasi, Kempen Menutup Aurat dilakukan di berbagai Pihakj Berkuasa Tempatan bagi memberi kesedaran mengenai tanggungjawab menutup aurat dalam kalangan wanita.


Kempen dilakukan secara berterusan, termasuk melalui khutbah Jumaat di mana melaluinya  dikupas tanggungjawab menutup aurat itu.


Usaha seperti ini dilakukan sebagai  usaha berterusan kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan dan juga pimpinan setempat melaksanakan peraturan menutup aurat tersebut.

Setiap program kerajaan negeri itu akan diselitkan tazkirah yang turut menyentuh isu menutup aurat dengan menyediakan banting ‘Aurat Dijaga’ yang diedarkan ke masjid-masjid bertujuan meningkatkan kesedaran menutup aurat tersebut.


Turut diadakan ialah ceramah agama  bertajuk ‘Aurat Saya Maruah Saya’.

Dalam konteks operasi pula, ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di Kelantan  mengenai kewajipan menutup aurat mengikut Syariat Islam.


Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan.

Semalam, seramai 24 wanita diberi amaran manakala tujuh lagi dikaunseling berikutan mendedahkan aurat. Untuk permulaan, jabatan itu mengeluarkan amaran dan kaunseling kepada wanita yang tidak menutup aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata pihaknya hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan.

Mohd. Rahim Jusoh menunjukkan risalah berkenaan berpuasa dan menutup aurat dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Dari segi operasi terhadap mereka yang tidak berpuasa pula, Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, operasi yang diadakan setiap hari bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang itu turut melibatkan kerjasama seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Operasi tersebut diadakan bagi memberi pendedahan dan ke­sedaran kepada masyarakat di negeri ini supaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan selain perlu menjaga aurat mengikut syariat Islam.

Seramai 89 anggota di seluruh negeri itu  dikerahkan dan jabatan mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar.

Berikutan itu, seluruh umat Islam juga diseru agar dapat mengha­yati bulan Ramadan dan mema­s­­tikan diri tidak terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah.

Anggota pe­nguat kuasa akan dibahagikan tugas melakukan operasi menangkap mereka yang tidak berpuasa dan mengenakan tindakan kepada golongan wanita khususnya yang berpakaian tidak menutup aurat di kawasan tumpuan ramai.

Bagi kesalahan makan di bulan Ramadan, mereka boleh dikenakan denda RM500 atau penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan berikutnya.

“Tahun lepas tidak banyak kes yang direkodkan mengenai ke­salahan tidak berpuasa dan tahun ini, kita ambil langkah awal bagi memberi peringatan kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya.