Showing posts with label Khairul Fahmi. Show all posts
Showing posts with label Khairul Fahmi. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Kerajaan Kelantan Hadiahkan Khairul Fahmi Sebuah Rumah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan sumbangan kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, sambil dibantu EXCO Kerajaan Negeri Kelantan bagi Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood, pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang Ruku semalam.

Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku semalam.

"Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan adalah satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terbabit dalam gejala najis dadah.

"Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," katanya.

Thursday, December 30, 2010

Terima Kasih Khairul Fahmi Kerana Kembalikan Keseksian Bola Sepak Malaysia - Peminat

Menyelamatkan penalti tendangan kapten Indonesia, Firman Utina.

Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan 'Support Timnas', yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

"Terima kasih kerana mengembalikan 'keseksian' dalam bola sepak Malaysia," kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.

Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 "Like" dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.

Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.

Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya, @rioferdy5.

"Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas. Memang satu pasukan yang bagus," katanya.

Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta 'tweeters', ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai 'friends' Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna.

Ternyara sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.


Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan dan menjadi malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia.

Beliau melahirkan harapan bahawa pencapaian pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi inspirasi kepada belia-belia kita. Najib juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih pasukan Malaysia, K.Rajagobal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua penyokong bola sepak Malaysia.

Berikutan itu, Najib mengisytiharkan Jumaat (esok), 31 Disember sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia.