Showing posts with label Petronas. Show all posts
Showing posts with label Petronas. Show all posts

Saturday, August 13, 2016

Isu Bertam 307: Husam Gesa Kerajaan Gazet Sempadan Laut


Isu perebutan telaga minyak Bertam tercetus kerana kerajaan Persekutuan tidak pernah menggazetkan sempadan laut antara negeri-negeri, kata pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti dan Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Menurut Husam, isu yang sama juga pernah berlaku antara Kelantan dan Terengganu apabila berlakunya pertindihan telaga minyak dan gas di kedua negeri tersebut.

Kekeliruan itu boleh menyebabkan wang royalti atau wang ihsan disalah bayar terhadap negeri yang sepatutnya menerima wang tersebut, kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu.

"Selain menentukan sempadan, penentuan sebenar rizab minyak di bawah laut juga perlu dilakukan supaya Terengganu tidak dirugikan dengan hasil royalti," katanya kepada Malaysiakini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu telaga minyak Bertam yang menjadi pertikaian sama ada milik Terengganu atau Pahang.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, isu perebutan telaga minyak akan berterusan selagi sempadan laut negeri-negeri tidak ditentukan.

Sehubungan itu, katanya, bagi memaksa kerajaan Pusat mewartakan sempadan laut, negeri-negeri boleh memutuskannya semasa mesyuarat tahunan Majlis Tanah Negara yang akan diadakan pada Oktober depan.

"Kerajaan Terengganu yang berkepentingan secara langsung dalam isu ini sepatutnya mengambil langkah berkenaan. Jabatan Ukur dan Pemetaan wajib menentukan sempadan laut.

"Selepas sempadan laut ditentukan, dengan sendirinya telaga itu milik siapa, mudah untuk ditentukan. Lazimnya setiap negeri telah mempunyai asas untuk menentukan sempadan laut dengan negeri jiran," katanya lagi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin pula memberitahu bahawa sehingga hari ini tiada sebarang pengesahan yang dibuat oleh Petronas tentang status telaga minyak berkenaan.

Menurutnya, kekeliruan timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Bertam 307 milik Pahang dengan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun akan diperolehi negeri berkenaan hasil daripada telaga minyak tersebut.

Ahmad Said...sah dalam perairan Terengganu.
"Badan perunding dari Sweden dah buat penilaian bahawa ia milik Terengganu. Tetapi yang peliknya (menteri besar Terengganu) Ahmad Razif (Abdul Rahman) pula menyatakan Bertam bukan hak Terengganu tetapi kerajaan Pusat.

"Kalau dia nak beri hujah sedemikian, dia perlu kukuhkan dengan beritahu ia berasaskan apa sehingga menjadi milik Pusat," ujarnya.

Isu Bertam 307 menjadi pertikaian selepas Najib mengumumkan telaga minyak itu milik Pahang pada 2012.

Selepas menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, Ahmad Razif dilaporkan tidak menandatangani sebarang dokumen mengenai telaga minyak Bertam kerana kawasan itu dikatakan bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

Sehingga kini, Ahmad Razif dilaporkan berkata bahawa pihaknya masih berusaha membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan agar Terengganu memperoleh pendapatan dari telaga minyak terbabit.

Menurutnya, Bertam 307 tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata sebaliknya apabila mengatakan bahawa Blok PM307 Bertam disahkan berada di kawasan perairan Terengganu.

Malah, ADUN Kijal itu pula berkata medan minyak yang ditemui oleh syarikat perunding, Lundin Oil itu terletak 120 kilometer dari Pantai Geliga.

Telaga minyak itu mengeluarkan hasil pertama pada 4 Mac 2015, katanya.

Menurutnya, semasa menjadi menteri besar, beliau pernah menulis surat kepada Lundin Oil dan syarikat itu mengesahkan bahawa Batam 307 berada di perairan Terengganu.

Ia melibatkan empat telaga daripada 15 telaga minyak di kawasan berkenaan yang secara keseluruhannya, Bertam boleh mengeluarkan kira-kira 18,000 tong sehari.

"Kita ada peta. Bertam 307 ini di Pantai Geliga, 120 kilometer dari Pantai Geliga. Sempadan ini bukan berubah setiap minggu. Yang temui telaga minyak itu, Lundin Oil telah hantar surat kepada SUK Terengganu, Maritim dan pihak polis cuma tak sempat hantar pegawai mereka untuk jumpa saya (semasa jadi menteri besar).

"Najib kata milik Pahang tetapi saya kata ia hak Terengganu. Kita ada hak lima peratus, walaupun lima peratus itu hak kita," kata Ahmad Said.

Tuesday, August 31, 2010

SAMAN - STRATEGI PERMULAAN PAS HADAPI PRU13?

Dah mula dah...godam Petronas samalah dengan godam kerajaan pusat.

Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan memulakan tindakan undang-undang dengan menyaman syarikat minyak negara, Petronas kerana tidak membayar royalti semalam dilihat satu langkah untuk ke arah persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan ini mendapat restu dari rakan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat pusat yang akan menjadikan isu tersebut sebagai ‘bom jangka’ yang memberi kekuatan kepada gabungan tersebut bagi meraih sokongan rakyat.

Isu royalti minyak yang berlanjutan selama ini, timbul semula sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai tahun lalu.

Ini diikuti dengan tindakan kerajaan pusat pula menyiarkan beberapa dalam akhbar berbahasa Melayu, menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta.

Hujah berkenaan bagaimanapun disangkal oleh bekas naib presiden Umno dan juga bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkannya sebagai "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.

Saman pemula semalam (30 Ogos 2010) merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan pimpinan PAS Kelantan pada Mac lalu melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding negeri itu untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Kelantan didakwa berhak menerima bayaran royalti minyak antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan.

Exco Kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nizamuddin berkata, tindakan PAS Kelantan menyaman Petronas secara tidak langsung memberi kekuatan kepada parti itu untuk mengekalkan pentadbiran parti itu di Kelantan.

Sehubungan dengan itu katanya, Barisan Nasional (BN) perlu memasang strategi baru untuk mengelak ia menjadi isu yang boleh membawa bebanan kepada komponen parti bagi menghadapi pilihan raya seterusnya.

“Apabila ia dibawa ke mahkamah, jangka masa diambil lama dan ia akan berlarutan sehingga bertahun-tahun, oleh itu sekiranya pilihan raya umum akan berlaku dalam masa terdekat ini, isu ini akan menjadi modal politik yang baik untuk berkempen.

“Secara tidak langsung, rakyat negara ini khususnya di Kelantan bersimpati dengan apa yang berlaku dan dizahirkan dalam bentuk undi, ini yang diperlu dan dimahukan PAS,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Nik Aziz yang diiringi oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, menyaksikan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur pagi ini. Turut hadir ialah bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramlli.

Peguam kanan Tommy Thomas mewakili kerajaan Kelantan.

Notis sepanjang 47 halaman itu antara lainnya menuntut:

1. Pelaksanaan spesifik perjanjian petroleum Kelantan.

2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.

3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.

4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.

5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.


Ahmad Nazimuddin menambah apa pun keputusan yang diambil oleh mahkamah, sama ada royalti tersebut dikembalikan atau pun tidak, PAS akan memperoleh kemenangan moral untuk parti itu di masa hadapan.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, seorang lagi penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, tindakan PAS menyaman Petronas ini jika dilihat dari sudut politik tepat pada masanya kerana ia dibuat semasa rakyat mula membicarakan soal pilihan raya.

Berlainan dengan di Terengganu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu melihat isu tuntutan minyak di Kelantan dilihat lebih unik lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri masih lagi di bawah pentadbiran PAS yang telah 20 tahun memerintah.

“Bagaimanapun secara peribadi, saya merasakan isu ini harus diselesaikan di luar mahkamah, perkara ini merugikan rakyat yang berada di tengah-tengah, pertelingkahan dua peringkat kerajaan,” katanya.

Friday, August 27, 2010

PAS TETAP SAMAN PETRONAS ISNIN INI

Kerajaan PAS Kelantan akan mengemukakan saman terhadap PETRONAS berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa dikeluarkan dari perairan negeri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata langkah menyaman PETRONAS itu diputuskan pada Mesyuarat EXCO yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Kota Darul Naim, kelmarin.

Katanya, Nik Aziz dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yaakub, dijangka hadir di Mahkamah Tinggi itu selepas mengetuai solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan bagi memohon keberkatan Ilahi supaya PETRONAS terbuka hati mengambil keberkatan Ramadan.

Solat hajat diadakan supaya PETRONAS terbuka hati pada Ramadan ini untuk membayar royalti sebelum hari raya.

Saman ini hanya membabitkan PETRONAS. Kita baik dengan Kerajaan Malaysia, kita tidak bergaduh, katanya selepas mesyuarat itu semalam.

Husam berkata, dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan tuntutan yang dibuat, sebaliknya terserah kepada mahkamah menentukannya.

Wednesday, August 25, 2010

Keputusan Kelantan Saman Petronas Berhubung Royalti Minyak Diketahui Hari Ini

Keputusan untuk menyaman Petronas berhubung tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan akan diketahui hari ini selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri membuat keputusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata peguam yang dilantik mengenai urusan itu terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

"Jika semua berjalan lancar fail saman itu akan didaftarkan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini iaitu sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan.

"Perbincangan esok bagi membolehkan pihak peguam membuat penjelasan dan berbincang mengenai draf writ saman yang akan dikemukakan nanti," katanya semalam.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil sebarang tindakan termasuk tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf penyaluran wang ihsan menggantikan royalti minyak oleh kerajaan pusat, dan telah menuntut lebih RM1 bilion royalti tersebut berikutan hasil minyak yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM25 juta yang telah diberikan kepada rakyat Kelantan pada Mei lalu.

Mengulas perkara itu lagi Husam berkata mantan Pengerusi Petronas yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan persetujuan untuk memberikan afidavit bertulis dalam kes saman itu nanti.

"Apa pun pintu rundingan masih terbuka antara kerajaan Kelantan dan Pusat dan terpulanglah bagaimana kaedah untuk menyelesaikannya," katanya.