Showing posts with label Red Warriors. Show all posts
Showing posts with label Red Warriors. Show all posts

Friday, August 27, 2010

RED WARRIOR TETAP SERIUS

Berita Harian

Kelantan yang baru sahaja selesai menunaikan umrah akan diberi tugas pertama dalam memastikan kemantapan pasukan mengharungi Piala Malaysia menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Ahad ini.

Jurulatih skuad The Red Warriors, B Sathianathan, berkata walaupun ia hanya perlawanan persahabatan bertemu juara institusi pengajian tinggi itu, namun prestasi mereka akan diambil kira bagi memastikan kesebelasan utama nanti sehebat barisan Liga Super yang muncul naib juara.

Ketika ini, semua pemain tiada dalam senarai tercedera, namun kita akan memastikan mereka berada dalam prestasi diperlukan semantap pasukan Liga Super lalu.

Latihan sudah bermula pada 19 Ogos lalu sebaik saja pasukan kembali dari umrah dan keadaan prestasi masih belum berada pada tahap memuaskan, namun ada masa untuk dipertingkatkan, katanya.

Sathia berkata, selain bertemu UiTM, The Red Warriors juga akan mengadakan dua perlawanan persahabatan lain menentang Felda United pada 3 September ini diikuti T Team, dua hari kemudian.

Pengendali itu menambah, Kelantan tetap akan menggunakan kudrat Indraputra Mahyuddin dibantu pemain utama lain memastikan cabaran mereka mantap dalam Piala Malaysia ini.

Friday, August 13, 2010

UMBRO LEBARKAN PASARAN DI KELANTAN

Selepas diberi hak menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan musim ini, Umbro sekali lagi menempa sejarah apabila cuba menembusi pasaran Kelantan melalui pembukaan rasmi kedai barangan sukannya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Kedai barangan sukan jenama Umbro yang pertama seumpamanya di Kelantan, terletak di Jalan Mahmood itu dibuka secara rasmi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada 26 Julai lalu.

Wakil Umbro, S Muru berkata, pihak Active Sports Centre selaku pemilik kedai barangan sukan itu melabur hampir RM50,000 bagi membuka cawangannya di negeri ini.

“Kota Bharu merupakan cawangan ketiga kami di negara ini, selepas pertama dibuka di George Town dan kedua, Alor Star, Kedah,” katanya.

“Barangan sukan jenama Umbro mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak Kelantan memandangkan Umbro merupakan penaja utama kelengkapan pasukan Liga Super Kelantan musim ini.

“75 peratus barangan yang terdapat di kedai kami merupakan barangan Umbro termasuk juga kelengkapan set jersi Liga Super Kelantan yang boleh dibeli terus di kedai kami selain daripada jenama Nike, Adidas, Lotto dan Puma juga turut dijual di kedai ini," katanya.

Muru berkata, walaupun terdapat jersi tiruan di pasaran tempatan, tetapi peminat Kelantan lebih cenderung untuk mendapatkan barangan yang asli memandangkan kualitinya cukup bagus biarpun harganya sedikit mahal.

“Pihak Umbro dengan kerjasama Kafa bercadang untuk mengeluarkan jersi dengan corak baru pada musim depan, di samping itu dengan bantuan Kafa juga kita akan menaja produk Umbro untuk pemain bola sepak akademik bawah 12 dan 14 tahun pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, pengurus cawangan, Zailani Hanizam Ishak berkata, pihaknya akan mengadakan promosi jualan sempena bulan Ramadan ini bermula 15 Ogos sehingga 9 September depan.

“Pihak kami akan mengadakan promosi jualan di perkarangan kedai bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari bermula tarikh itu dengan menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih.

“Selain itu, kita juga turut menawarkan barangan terbaru dengan harga istimewa selain daripada barangan Warriors yang turut dijual di kedai ini," katanya.

Zailani Hanizam berkata, pihaknya juga turut membuka tempahan bagi mana-mana pasukan yang bercadang membuat tempahan set jersi pasukan di kedainya.

Bagi mana-mana individu atau pasukan bola sepak yang berminat untuk membuat tempahan itu, boleh mengunjungi kedai tersebut atau menghubungi talian 09–747 7192 atau 012–407 7765 untuk berurusan.