Showing posts with label Zakat. Show all posts
Showing posts with label Zakat. Show all posts

Wednesday, August 25, 2010

JP KELANTAN SAMPAIKAN WANG ZAKAT

Shukri Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada wakil keluarga miskin di Kota Bharu, semalam.

Majlis Jaksa Pendamai (JP) negeri menyampaikan wang zakat berjumlah RM34,000 kepada 340 orang fakir miskin terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.

Penyerahan wang zakat itu disampaikan oleh Presiden JP negeri, Datuk Shukri Mohamad dalam satu majlis di Berek 12 di Kota Bharu, semalam.

Shukri ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan program tahunan JP setiap kali Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengumpulkan wang zakat di kalangan ahli-ahli untuk diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti oleh wakil-wakil JP di seluruh negeri.

"Pihak kami merasakan turut bertanggungjawab meringankan perbelanjaan mereka sepanjang bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya ini," katanya di sini, semalam.

Shukri berkata, selain anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, turut menerima bantuan wang zakat itu ialah pelajar tahfiz.

Beliau mengakui, ada sesetengah individu yang berasa malu untuk menerima bantuan wang zakat sungguhpun mereka hidup dalam kemiskinan.

Justeru katanya, pihaknya terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan bagi membolehkan golongan tersebut dapat disenaraikan sebagai antara penerima bantuan.

"Kita berharap sumbangan ini membolehkan mereka membuat persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dan sama-sama meraikannya dengan rasa gembira," katanya.

Tuesday, August 3, 2010

MAIK PERKENAL 'WAAD' UNTUK PEMBAYAR ZAKAT

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenalkan kaedah 'Waad' iaitu memberi hak kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sebahagian wang zakat kepada umat Islam yang tergolong dalam lapan asnaf.

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata kebanyakan pembayar zakat harta itu terdiri daripada badan-badan swasta, golongan korporat dan orang perseorangan.

"Menerusi kaedah ini, MAIK membenarkan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan zakat yang dikeluarkan kepada MAIK diagihkan sendiri mengikut kemahuan pembayar zakat kepada golongan terbabit menerusi suatu perjanjian aku janji bertulis," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamaruddin berkata MAIK tahun lepas berjaya memungut RM66.5 juta zakat harta berbanding RM58 juta pada tahun sebelumnya.

Menurutnya peningkatan pungutan zakat harta itu menunjukkan kesedaran umat Islam terhadap kewajipan mengeluarkan zakat harta walaupun dalam keadaan ekonomi merudum kerana menyedari wang zakat tersebut akan diagihkan kepada mereka yang layak.

Katanya sebagai contoh, MAIK telah membina 501 unit rumah rakyat miskin di seluruh negeri berharga antara RM28,000 hingga RM30,000 seunit sejak 2004 hingga tahun ini.

ZAKAT FITRAH KELANTAN RM7 TAHUN INI

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah tahun ini RM7, iaitu naik 10 sen berbanding tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Fatwa Ulama MAIK sebelum ini selepas mengambil kira harga semasa beras yang menjadi makanan umat Islam di negeri ini.

Dengan pengumuman itu, Kelantan adalah negeri kedua selepas Pahang yang mengisytiharkan kadar bayaran zakat fitrah di seluruh negara.

MAIK menjangkakan dapat mengutip sebanyak RM7.5 juta zakat fitrah tahun ini berbanding RM7.3 juta tahun lalu, katanya pada sidang akhbar di Pejabat MAIK di Kompleks Balai Islam, di sini pada Selasa.

Katanya MAIK akan melantik 571 amil terdiri daripada imam dan pegawai masjid, termasuk pegawai agama di kem tentera, polis, penjara dan pusat tahanan serenti di seluruh negeri untuk mengutip bayaran zakat.

Bagi kemudahan pembayar zakat, MAIK akan membuka kaunter bayaran zakat tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan pada waktu pejabat di pejabat MAIK termasuk hari cuti am dan kelepasan, katanya.