Siswazah di negara ini yang berminat memulakan perniagaan disaran memohon kepada Tabung Usahawan Siswazah (TUS) berikutan tabung itu kini masih mempunyai baki terkumpul berjumlah RM23 juta daripada keseluruhan peruntukan yang disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). 
Penolong Pengarah Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Samsu Kadir berkata sejak 2000 hingga Mei tahun ini hanya seramai 1,347 jumlah permohonan diterima daripada siswazah yang berhasrat mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan.
"Daripada jumlah itu sebanyak 659 peserta mendapat kelulusan pinjaman di bawah kerjasama SME Bank.
"Jumlah permohonan yang diluluskan sebanyak 659 permohonan itu yang meliputi 48.9 peratus permohonan daripada jumlah keseluruhan dan hanya 16.7 peratus sahaja daripada peserta yang mengikuti kursus Skim Usahawan Siswazah (SUS) memohon pinjaman TUS," katanya kepada pemberita selepas majlis Latihan Asas Keusahawanan, SUS Siri Kelima di sini, pada Sabtu.
Justeru katanya, MITI kini menggalakkan mana-mana graduan institusi pengajian tinggi supaya merebut peluang menjadi usahawan.
Samsu berkata MITI telah mengadakan pelbagai program latihan seperti SUS dan jumlah peserta SUS dari 2000 hingga 2009 seramai 7,943 orang.
Samsu berkata, sehingga kini terdapat 12 siri pada tahun ini di seluruh Malaysia dan ia merupakan siri kelima diadakan di Kelantan dengan mempunyai peserta seramai 121 termasuk di negeri ini.
"Pihak INSKEN mensasarkan 30 orang bagi setiap program dan sehingga Mei 2010, sebanyak 31 permohonan diterima untuk pembiayaan TUS dan empat daripadanya lulus menerima pinjaman," katanya.
Menurutnya, antara syarat pinjaman yang dikendalikan INSKEN melibatkan syarat kelayakan termasuk peserta perlu berusia 35 tahun ke bawah, wajib menghadiri kursus kendalian MITI, mendapatkan sijil dan menghantar kertas kerja (rancangan kertas kerja INSKEN-Rancangan Perniagaan (RP).
Katanya, had permohonan untuk pembiayaan di bawah TUS ialah RM20,000 hingga RM250,000 dan tempoh bayaran balik maksima sehingga 10 tahun.
Salah seorang calon bagi jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan beliau menaikkan nama Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) bukan berupa tiket untuk beliau dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM.
"Jauh sekali untuk saya menonjolkan diri sebagai hero dalam bidang pengurusan bidang bola sepak musim ini," katanya yang juga Presiden KAFA, apabila ditanya mengenai kesungguhan beliau bertanding jawatan nombor dua persatuan induk bola sepak negara itu.
Pemilihan barisan kepimpinan baru FAM bagi penggal 2010-2014 akan ditentukan pada 31 Julai ini dan buat pertama kali jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) menjadi rebutan ramai calon dan penyandang.
Selain Annuar yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mengisi dua jawatan tersebut, calon lain ialah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Mokhtar Ahmad.
Seorang lagi calon, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan telah menarik diri.
"Apa yang penting penglibatan saya ialah untuk cuba membawa perubahan ke arah penambahbaikan negara dalam bidang bola sepak menerusi satu pasukan dan satu suara dalam FAM," kata Annuar.
Beliau berkata beliau hanya berminat untuk membantu Presiden FAM ke arah kebaikan mutu persatuan di peringkat nasional dan antarabangsa dan tidak berniat untuk mencabar sesiapa.
"Jauh di sudut hati saya, saya ingin membantu apa yang terdaya tugas-tugas yang dijalankan oleh penjawat nombor satu dalam persatuan induk ini," katanya.
Pok Nik Yeh, Kuala Lumpur (Harakahdaily Online)
Saya adalah antara peminat setia bolasepak tanahair sejak bertahun-tahun lamanya. Malah, saya
sentiasa menyeru peminat-peminat bola sepak di Malaysia agar terus memberi sokongan kepada Pasukan Bola Sepak Malaysia kita di corong-corong radio, televisyen, forum-forum dan sebagainya.
Sebelum ini saya hanya sekadar memerhatikan komen-komen sinis penyokong terhadap kerja mulia penjawat utama FAM dari jauh sahaja tanpa mempertikaikan kewibawaan masing2 secara peribadi semasa mereka memegang jawatan tersebut. Namun sejak akhir-akhir ini, apabila Kongres Tahunan FAM yang akan diadakan pada 31 Julai dengan pemilihan pucuk pimpinan baru untuk selama 4 tahun akan datang, tiba-tiba telah menarik minat saya untuk mengikuti perkembangan ini dengan lebih dekat lagi.

Beberapa calon dari kalangan tokoh bolasepak tempatan telah menawarkan diri untuk bertanding didalam berbagai-bagai jawatan tertinggi FAM nanti, mungkin menandakan masih ada minat lagi di kalangan ‘fraternity’ bolasepak Malaysia untuk bersama-sama membantu FAM dalam usaha untuk menaikkan taraf bolasepak tanah air yang sekali lagi akan diterajui oleh Sultan Haji Ahmad Shah. Daulat Tuanku!
Pertandingan untuk merebut jawatan tersebut yang tampak begitu harmoni dan sihat ibarat ianya di dalam suasana kekeluargaan tiba-tiba dikejutkan oleh kenyataan akhbar (Utusan Malaysia 22 Julai 2010) yang dibuat oleh Datuk Che Mat Jusoh, Naib Presiden FAM sekarang yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang memberi amaran kepada calon-calon lain yang akan bertanding.
Setelah beberapa kali dibaca dengan teliti kenyataan tersebut, ianya seolah-olah ditujukan kepada calon-calon lain untuk jawatan Timbalan Presiden terutamanya kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang (yang pernah memegang jawatan Menteri Belia & Sukan Malaysia) yang dilihat antara calon yang mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi jawatan tersebut. Beberapa sindiran dan juga kenyataan yang mempertahankan kewibawaan diri sendiri yang terpapar dengan besarnya menghiasi muka belakang akhbar tersebut telah menimbulkan beberapa persoalan di dalam diri saya dan sudah tentu ramai lagi peminat bolasepak tanah air di luar sana. Apakah motif kenyataan tersebut dikeluarkan?Pelbagai cemuhan terhadap Datuk Che Mat Jusoh dari kalangan peminat bola sepak muncul seperti cendawan selepas hujan. Sehinggakan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), kelab penyokong bola sepak terbesar di Malaysia, mengeluarkan kenyataan rasmi di laman web mereka, mengecam secara rasmi dan terbuka ke atas kenyataan Datuk Che Mat Jusoh tersebut.
Adakah beliau merasa peluang beliau untuk memenangi jawatan tersebut semakin tipis kerana ada calon lain yang lebih menonjol dan berwibawa dari beliau atau beliau merasa kurang selesa dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang mungkin akan memperkasakan lagi bolasepak negara? Kemungkinankah juga Datuk Che Mat berharap Tuanku Sultan Pahang akan memihak kepadanya kerana mempertahankan apakah yang telah dilakukan oleh FAM setakat ini?
Memang tidak dinafikan sebelum ini FAM sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu bolasepak negara dengan membuat berbagai-bagai usaha. Sekalung tahniah juga patut diucapkan kepada FAM kerana telah berjaya memenangi pingat Emas Bolasepak Sukan SEA 2009 selepas penantian selama 20 tahun. Dan tidak pernah juga saya dengar calon-calon yang dimaksudkan mempertikaikan usaha-usaha yang telah dibuat mahupun memperkecilkan jasa-jasa pemegang jawatan dalam badan induk itu selama ini.
Cuma apa yang ingin dikemukakan adalah perkara-perkara baru yang boleh membantu kita untuk mempertingkatkan lagi taraf bola sepak Negara yang pada hemat saya semakin kurang diminati dan semakin disisih oleh rakyat Malaysia. Ianya terbukti apabila stadium kita yang bernilai ratusan juta hanya dipenuhi dengan segelintir penyokong apabila Skuad Malaysia kita beraksi. Apakah cadangan tersebut yang tidak memperlekehkan sesiapa pun dianggap tidak wajar bagi Datuk Che Mat? Saya yakin pendirian Datuk Che Mat itu hanyalah pendirian peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi FAM. Ianya seolah-olah menonjolkan kecetekan pemikiran orang yang dikatakan amat berpengalaman dalam arena bolasepak tempatan.
Mungkinkah ada di kalangan pegawai-pegawai kanan FAM sendiri yang bertungkus lumus turun ke negeri-negeri untuk berkempen agar orang-orang lama FAM dikekalkan di dalam pemilihan akan datang? Mungkinkah juga pelbagai janji ditabur dengan menawarkan jawatan tertentu ataupun kurniaan gelaran tertentu akan diberikan sebagai ganjaran sekiranya orang-orang lama ini memenangi jawatan yang ditandingi? Usaha-usaha yang dijalankan itu, sekiranya benar ianya berlaku tidak akan membawa FAM ke arah yang lebih baik. Campurtangan Tuanku Presiden amat ditagih untuk menghindari amalan yang tidak sihat ini agar ianya tidak berleluasa yang mungkin akan menjejaskan nama baik FAM dan juga baginda sendiri.
Ampun Tuanku. Niat baik Tuanku untuk memajukan bolasepak Malaysia tidak seharusnya dimusnahkan oleh orang-orang yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi yang sentiasa berselindung disebalik kata-kata manis dihadapan sahaja. Inilah masa nya FAM membuat penilaian semula terhadap semua peringkat jawatan agar ianya tidak menggugatkan usaha-usaha untuk menaikkan taraf, sama ada pasukan kebangsaan ataupun keseluruhan aktiviti-aktiviti yang melibatkan bolasepak tanah air. Apakah KPI mereka boleh dibanggakan?
Anggaplah FAM ini sebagai satu pasukan bolasepak yang sedang bermain. Sekiranya didapati mana-mana pegawai/penjawat tidak dapat menyumbang kepada pasukan, keluarkan mereka dan gantikan dengan orang lain yang mungkin dapat memperbaiki kelemahan yang ada.
Kepada Datuk Che Mat yang saya hormati, saya ingin berpesan, tak usah takut pada bayang-bayang sendiri. Biarlah orang menilai kita dengan apa yang kita telah sumbangkan. Tak payahlah nak bersusah-payah menyebut apakah kejayaan kita kerana ianya dapat dilihat oleh semua lapisan masyarakat. Cukuplah kalau saya tonjolkan kewibawaan Datuk kepada umum untuk melihat taraf liga tempatan yang diterajui oleh Datuk sejak kebelakangan ini. Yang lebih diingati lagi adalah tentang kecamukan jadual perlawanan Liga Malaysia sejak Datuk mengambil alih sebagai Pengerusi.
Kepada 38 orang delegasi yang akan mengundi dalam pemilihan FAM nanti, buatlah pemilihan yang tepat agar ianya dapat memberi suntikan baru yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan kemajuan bolasepak Negara. Saya masih optimistik dan yakin, BOLA SEPAK MALAYSIA AKAN KEMBALI GAH dan GEMILANG DARI KEJAYAAN SEBELUM INI!