Wednesday, October 20, 2010

GALAS - PAS UMUM CALON KHAMIS INI

PAS akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata nama calon itu akan diumumkan di sini dan calon itu merupakan seorang tokoh yang disukai oleh penduduk Galas.

"Kita ada ramai calon dalam senarai pemilihan," katanya semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 Nov ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

Bernama difahamkan antara pemimpin tempatan yang disebut bakal menjadi calon PAS ialah Ketua Perhubungan Orang Asli kawasan Galas, Pandak Panjang Ey dan Timbalan yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Selain itu, nama Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein, Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong dan Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad turut disebut-sebutkan dalam senarai itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

FAS DIDENDA RM67,500, KAFA 57,500

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Selasa menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM67,500 terhadap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan RM57,500 ke atas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berikutan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.

Pengerusi khas jawatankuasa pertandingan tempatan FAM Datuk Dr.Omar Othman berkata FAS didenda kerana melakukan tiga kesalahan manakala KAFA bagi dua kesalahan.

"Setelah meneliti laporan daripada semua pihak, kita dapati bahawa kedua-dua pasukan terbabit dalam pergaduhan yang berlaku di dalam dan luar stadium," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma FAM semalam.
Omar yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Pahang berkata, setiap pasukan didenda RM50,000 kerana melanggar peraturan Liga Malaysia.

"FAS dan KAFA juga perlu berkongsi untuk membayar kerosakan Stadium Shah Alam bernilai RM15,000, (iaitu) sebanyak RM7,500 bagi setiap pasukan" katanya.

Beliau berkata, FAS sebagai tuan rumah, turut didenda RM10,000 kerana gagal memenuhi ciri-ciri keselamatan stadium seperti yang ditetapkan oleh peraturan Liga Malaysia.

"Keputusan ini dibuat secara adil kerana ia mengambil kira penjelasan kedua pihak, laporan polis dan laporan perlawanan daripada jawatankuasa FAM," katanya.

Omar berkata FAM berharap tindakan terhadap FAS dan KAFA akan menjadi pengajaran kepada semua pasukan bolasepak lain yang terlibat dalam Liga Malaysia.

"Bermula dari insiden ini, FAM akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pasukan yang didapati bersalah dan tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan," katanya.

Pada musim lepas, KAFA didenda RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokongnya ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, pasukan berkenaan turut diarah menanggung kos kerosakan stadium yang berjumlah RM138,150.

Tuesday, October 19, 2010

USAHA BANGUNKAN PINTU MASUK NEGARA DI RANTAU PANJANG

Pelbagai usaha dibuat untuk membangunkan pintu masuk Malaysia-Thailand di Rantau Panjang agar setanding dengan pembangunan di pintu masuk negara yang lain, Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata antaranya mengecat semula bangunan sedia ada, membaikpulih tandas awam, menaiktaraf landskap kawasan persekitaran, membina siarkaki dan menaiktaraf laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan sekitar Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

"Selain itu, kita juga mengambil inisiatif membina tiga tingkat Kompleks Bazaar Rantau Panjang yang dijangka siap akhir tahun ini untuk menggantikan pasar lama yang sangat uzur dan berkeadaan teruk," katanya pada sesi soal jawab di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu rancangan pembangunan kawasan itu serta perancangan penambahbaikan untuk menarik pelancong dan meningkatkan imej negara dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

Ng berkata sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan dalam RMK10 untuk menaiktaraf Zon Bebas Cukai Rantau Panjang itu bagi membolehkannya beroperasi pada waktu malam berbanding sehingga pukul 6 petang sekarang.

Beliau berharap majlis daerah dapat terus menyelenggara kawasan itu dengan baik selepas projek yang dilaksana kementerian itu diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

"Ini kerana zon itu merupakan salah satu daripada 10 ikon pelancongan di negeri Kelantan dan sejak tahun 2006, kemasukan pelancong asing melalui Rantau Panjang juga meningkat dengan kadar purata seramai 370,000 pelancong setahun," katanya.