Showing posts with label Calon PAS. Show all posts
Showing posts with label Calon PAS. Show all posts

Thursday, January 13, 2011

PAS 'Pak Turut' Dalam Manisfesto Terbaru Pembangkang

PAS diminta memperjelaskan kedudukannya dalam pakatan pembangkang kerana tidak ada satu pun perjuangan yang dibawa parti itu dimasukkan dalam Pelan 100 Hari pembangkang.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, perjuangan Pas untuk mengangkat martabat Islam tidak langsung dinyatakan dalam program itu yang dilaksanakan bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, apa yang berlaku jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai suara dalam pakatan itu dan hanya menjadi 'pak turut' semata-mata mahu mendapatkan kuasa.

"Saya nak tanya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini bahawa Malaysia akan menjadi negara Islam dalam tempoh 100 hari.

"Kenapa Abdul Hadi tidak cadangkan hukum hudud yang menjadi perjuangan Pas sekian lama dan kenapa tidak ada pelan untuk menutup semua premis judi, hiburan dan arak dalam tempoh 100 hari selepas pakatan memerintah," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu.

Dalam pada itu, Nik Sapeia mencabar pakatan pembangkang untuk melaksanakan semua janji tersebut di negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang terlebih dahulu sebagai bukti kesungguhan mereka kepada rakyat.

"Sudahlah tidak ada agenda untuk Islam, pakatan pembangkang memberi janji palsu pula. Buktikan dulu di negeri-negeri yang diperintah, baru rakyat boleh percaya. Jika tidak, ia adalah pembohongan kedua selepas mahu mengambil alih Putrajaya pada 16 September 2008.

"Pelik, dahulu kata Kerajaan Pusat sekat laksana hudud di Kelantan tetapi sekarang kenapa tidak dimasukkan ke dalam program ini? Sudah sah jadi kerajaan kenapa takut pula, rakyat harus fikir mengenai perkara ini sedalam-dalamnya," katanya.

Friday, November 5, 2010

PAS bedah siasat gagal pertahan Galas

PAS akan melakukan bedah siasat terhadap kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada pilihan raya kecil yang diadakan semalam.

Biar pun begitu jentera pilihan raya PAS Kelantan berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang dijalankan dan bantuan jentera dari luar serta rakan-rakan dari Pakatan Rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, kesungguhan ditunjukkan jentera kempen begitu memberangsangkan sekali sehingga ramai tenaga dari luar datang membantu.

“Namun kita juga mengesan ada penyokong di peringkat Unit Peti Undi (UPU) tidak keluar mengundi mungkin berpunca dari masalah tertentu.

“Kegagalan mereka keluar mengundi menyebabkan prestasi pilihan raya umum lalu gagal dipertahankan,” katanya.

Pada pilihan raya kecil semalam, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 undi, manakala calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi.

BN mendapat majoriti sebanyak 1,190 undi. Dan peratusan keluar mengundi sebanyak 83 peratus.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Abdul Fatah yang juga Adun Bukit Tuku berkata, faktor peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN kerana penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.
Katanya, penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

“Biar apa pun PAS akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan undi pada pilihan raya kecil ini. Selain jentera kerajaan pusat kita perlu lihat ada faktor sampingan lain,” ujarnya

Harakah Online

Thursday, November 4, 2010

KENAPA GALAS PENTING BAGI PAS?

Pilihanraya kecil di Galas ini memang menarik, tidak pernah sebelumnya berlaku peristiwa menabur wang ringgit secara terbuka oleh pihak PAS dalam usaha memastikan kemenangan PAS di Galas. Terbaru pemberian RM 300 kepada saudara baru yang memeluk Islam oleh Mursyidul Am yang ditayangkan dalam Buletin Utama semalam.

Sedangkan jika dikira logik, tiada apa yang akan berubah dengan pentadbiran kerajaan Kelantan yang buat masa ini didominasi oleh PAS daripada keputusan pilihanraya ini. Tapi kenapa beria benar PAS berusaha memastikan kemenangan termasuk menggunakan cara yang dulu dianggapnya rasuah dan membeli undi, memang menarik untuk kita kupas kali ini.

Walau cuba dinafikan banyak kali oleh para pimpinan PAS, khalayak memang mengetahui bahawa PAS sudah terkeluar dari landasan perjuangannya yang sebenar, iaitu menegakkan sebuah negara Islam yang perlembagaannya berteraskan Al-Quran dan Sunnah dengan sesuatu yang lebih liberal dan sekular bentuknya. Perubahan ini sedang rancak berlaku di luar Kelantan dengan para trojan horse Anwar di dalam PAS sedang menggerakkan kempen meliberalkan PAS.

Perubahan ini bagaimanapun telah menarik keluar sokongan kepada PAS oleh masyarakat melayu dan menyaksikan undi melayu yang diberi kepada PAS berkurang dengan banyak sekali seperti yang ditunjukkan dalam kempen pilihanraya Bukit Gantang dan Manek Urai dimana PAS bertanding. Manek Urai merupakan contoh terbaik bila PAS hanya menang dengan majoriti tipis 65 undi dibanding 1,325 sebelumnya.

Sebaliknya pula berlaku di kalangan pengundi cina yang melihat PAS mudah diperkotak-katikkan oleh DAP/Anwar dan oleh itu tidak takut memberi undi kepadanya tanpa ada kerungsingan langsung bahawa PAS akan menggunakan kemenangan itu untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Tidak hairan jika ada dikalangan orang PAS sendiri yang melihat kejatuhan PAS di Galas menggambarkan kejatuhan kerajaan PAS Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Pimpinan PAS yang menyedari hakikat ini, menjadikan Galas sebagai eksperimen untuk menilai tahap sokongan pengundi melayu kepada mereka

Oleh itu PAS mengharapkan pengundi luar Galas yang sesekali merasa keperitan hidup di Kelantan amnya dan Galas khasnya yang serba serbi kekurangan (waktu balik kampung saja) untuk memberikan undi kepada mereka, maka itu RM 200-RM250 seorang yang dikeluarkan dikira berbaloi.

PAS sanggup melabur besar dalam pilihanraya kali ini bagi mengelakkan persepsi bahawa sokongan kepada mereka semakin merosot oleh kerana kerjasama dengan DAP dan PKR yang menyaksikan PAS meninggalkan terus asas perjuangannya selama ini.

Logiknya, jika di negeri yang diperintah selama 20 tahun pun sokongan semakin merosot, apa lagi yang di luar? Inilah yang pemimpin PAS takut sangat.

Sumber : mykmu.net

Monday, November 1, 2010

PAS CUBA TIPU WARGA EMAS

Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas mula dicemari dengan taktik kotor Pas apabila parti itu cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi Pas masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak enam hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya Pas.

''Saya tidak sangka yang Pas masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

''Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan Pas," katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.

Hamidah berkata, beliau dan anggota Wanita Wanita lain perlu membuat penjelasan itu supaya para pengundi mereka dapat gambaran yang jelas mengenai Pas.

''Islam dan Pas merupakan dua perkara berbeza. Islam adalah agama paling suci manakala Pas hanya sekadar sebuah parti politik yang berusaha meraih sokongan rakyat.

''Kami terpaksa melakukan peranan ini kerana kami tidak mahu penduduk di sini terutama warga emas terus terpengaruh dengan dakyah-dakyah Pas yang tidak berasas," katanya lagi.

Beliau berkata, hakikatnya, Pas kini tidak lagi memperjuangkan penubuhan negara Islam seperti mana sebelum ini apabila parti tersebut membuat keputusan untuk bersahabat dengan DAP.

''Inilah antara perkara-perkara utama yang kita maklumkan kepada pengundi-pengundi di sini. Biar mereka tahu siapakah Pas yang sebenar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, strategi kempen Wanita UMNO kali ini lebih menjurus kepada usaha mendampingi rakyat secara kumpulan-kumpulan kecil.

''Kebiasaannya bilangan penduduk bagi setiap kumpulan adalah antara 20 hingga 30 orang. Di dalam kumpulan ini kita akan menerangkan faedah serta kebaikan yang diperolehi sekiranya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Saturday, October 30, 2010

PAS SOGOK WANG PADA PRK GALAS


http://gtpm-malaysia.blogspot.com/

Kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas telahpun bermula. Parti-parti yang bertanding akan mempertaruhkan strategi masing-masing. Seperti mana yang kita maklum PRK DUN Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dengan UMNO. Untuk rekod PAS merupakan penyandang kerusi DUN Galas sebelum ini, Adakah PAS berjaya mempertahankan kerusi ini? Jawapanya pada 4 November ini.

Parti-parti yang bertanding sudah tentu mempunyai strategi masing-masing terpulang kepada pendekatan yang digunakan parti masing-masing. Apa yang tak sedapnya, apabila pada PRK kali ini PAS dikatakan telah cuba menyogok RM500 sebagai memancing undi sepertimana yang dilaporkan oleh Gelombang Rakyat.

Sebelum ini, PAS mendakwa BN suka menyogok rakyat, kini apa pula jawapanya apabila PAS sendiri yang menyogok rakyat? Jangan pula selepas ini 'tindakan PAS' ini dihalalkan oleh Mursyidul Am Mereka. Kalau ini terjadi terbuktilah PAS mengamalkan politik "Wal Haram Mu, Wal Halal Ku".

GTPMM Crew hairan juga kenapa PAS begitu terdesak sehingga sanggup menggunakan strategi 'sogok wang' untuk memenangi PRK DUN Galas, sedangkan kalau mereka kalah sekalipun ia tidak akan menggugat Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS. Apa nak ditakutkan setakat hilang satu kerusi dan bukanya 20 mahupun 10 kerusi.

Hairan juga apa yang ditakutkan PAS sehingga sanggup 'menggadai prinsip' demi memenangi PRK DUN Galas kerana bagi GTPMM Crew sekiranya PAS tewas ia langsung tidak akan meninggalkan kesan terhadap PAS dan juga Kerajaan Negeri Kelantan.

Lagipun peluang untuk PAS memenangi PRK ini adalah cerah memandangkan calon yang diketengahkan oleh PAS lebih tinggi taraf pendidikanya berbanding calon yang dipertaruhkan BN, jadi tak perlu lah PAS menggunakan strategi yang menampakkan PAS seolah-olah terdesak.

Komen GTPMM Crew: Apa nak jadi dengan PAS sekarang ni?

Tuesday, October 26, 2010

CALON PAS, DR. ZUL SAH TAK KAWIN LAGI - FITNAH ATAU REALITI ??

"Pihak media juga kebingungan dengan status perkahwinan Dr. Zulkefli kerana menurut mereka yang hadir sewaktu pengumuman nama calon PAS minggu lepas, Dr. Zulkefli dikatakan sebagai seorang bujang. Tetapi di dalam sidang media menafikan beliau pernah ditangkap basah, Dr. Zulkefli dikatakan menyebut nama seorang perempuan sebagai isterinya." Sumber Blog Kickdefella

Inilah yang menjadi tanda tanya kesemua pihak. Agaknya pihak penyokong PAS sendiri keliru dengan status ini. Jika benar calon PAS, Dr. Zulkefli masih bujang, maka beliau mesti dirujuk semula ke mahkamah syariah atas tuduhan Khalwat beliau bersama insan yang dikatakan isterinya, Zainab Jalar.

Harap pihak PAS terutamanya Dr. Zul dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini agar masyarakat tidak memandang serong terhadap anda.

Bukannya hendak mempertikai status anda. Sekadar merujuk blog Kickdefella, sebuah blog kebanggaan PAS suatu ketika dahulu.

Post by... Melayu CinDia

N45 GALAS - PAS LAWAN BARISAN NASIONAL

Calon BN, Abdul Aziz (kiri) dan Zulkefli (kanan)

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan pada 4November ini seperti dijangka menyaksikan saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili Ab Aziz Yusoff, 49, manakala PAS diwakili Zulkefli Mohamed, 44.

Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Galas, Wan Mustapha Abd Hamid membuat pengumuman tersebut di pusat penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada Selasa.

Pencalonan Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang dicadang oleh Mohd Azmi Mahmood dan disokong oleh Chong Kam Siong.

Sementara itu pencalonan Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PASGua Musang dicadang oleh Mohamed Noor Awang Hamat dan disokong olehAbdullah Hussein.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan PAS pada pilihan raya kecil kali ini. Saya yakin jentera parti akan digerakkan agar kerusi ini kekal menjadi milik PAS," kata Zulkefli kepada pemberita selepas ditemui di pusat penamaan calon di Gua Musang, pada Selasa.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnyaChe Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibatkanser usus pada 27 September lalu.

Bagi Ab Aziz, ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding dikawasan DUN, sekaligus menjadikannya sebagai muka baru yang diberimandat oleh kepimpinan Umno.

Berbeza dengan calon BN, Zulkefli yang juga seorang doktor adalah mukalama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musangsebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namuntewas di tangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku RazaleighHamzah.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinankukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkanKetua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317undi.

Saturday, October 23, 2010

TUDUHAN KHALWAT TERHADAP CALON PAS – APA NI UMNOONLINE?


Dengan bangganya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menasihatkan ahli UMNO jangan baca blog lain – termasuk blog proUMNO – tetapi hanya umnoonline untuk mendapatkan berita yang tepat mengenai UMNO.

Jadi ahli UMNO yang ‘patuh’ kepada arahan mungkin dapatkan berita hanya melalui umnoonline, termasuk mengenai Galas.

Namun, apa yang mengejutkan, semalam umnoonline dikatakan membuat fitnah terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Ini bermakna bahawa calon PAS ini menjadi sasaran umno-online tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dan mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang, menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Malaysiakini yang memetik kenyataan Dr Zulkifli menyebut, media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, umnoonline juga cuba memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Persoalannya kenapakah umnoonline berharapkan blog lain yang bukan menjadi pilihan Tengku Adnan untuk dijadikan sumber berita?

Saya tabik kepada blog parpukari dan the unspinners dalam kerja mereka untuk Galas tetapi kedua-duanya kalau menurut analogi Tengku Adnan tidak layak untuk dijadikan rujukan kerana tidak ‘setanding’ umnoonline.

Lebih malang, apa yang dipetik oleh umnoonline itu disifatkan ‘berunsur fitnah’ dan boleh memalukan UMNO (ikut standard Tengku Adnan).

Dengan kedudukan ini, tidakkah perbuatan umnoonline ini dengan sendirinya memalukan Tengku Adnan yang mengharapkan portal berita umno itu sebagai sumber rujukan utama dan boleh dipercayai?

Bergantung kepada Tengku Adnanlah untuk memperbetulkan keadaan ini kerana beliau juga yang meletakkan umno-online kononnya satu-satunya online yang perlu dirujuk mengenai apa sahaja berkenaan UMNO.

Cuma sedikit memalukan ialah portal yang sepatutnya menjadi rujukan menjadi sebaliknya dan kini didakwa membawa ‘fitnah’ kepada calon PAS Galas.

Jangan perkecilkan perkara ini kerana ia akan menjadi bahan kempen untuk menempelak UMNO!

Wednesday, October 20, 2010

GALAS - PAS UMUM CALON KHAMIS INI

PAS akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata nama calon itu akan diumumkan di sini dan calon itu merupakan seorang tokoh yang disukai oleh penduduk Galas.

"Kita ada ramai calon dalam senarai pemilihan," katanya semalam.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 Nov ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

Bernama difahamkan antara pemimpin tempatan yang disebut bakal menjadi calon PAS ialah Ketua Perhubungan Orang Asli kawasan Galas, Pandak Panjang Ey dan Timbalan yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Selain itu, nama Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein, Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong dan Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad turut disebut-sebutkan dalam senarai itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Saturday, October 16, 2010

CALON DUN GALAS - PAS GUNA KAEDAH MENGUNDI

PAS akan menggunakan kaedah mengundi dalam menentukan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November depan.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kaedah itu biasa dilakukan bagi menentukan calon yang benar-benar layak atau sesuai walaupun beliau diberi mandat sebagai kata pemutus dalam menentukan nama calon.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata tiga nama telah dikenal pasti dalam senarai pendek calon PAS yang akan diletakkan dalam pilihan raya kecil DUN itu.

"Kita akan menentukan dengan cara wakil dari Dewan Harian dan Badan Perhubungan mengundi pada kertas kosong dan menulis dengan nama Allah bersama nama calon yang dipilih sebelum saya membuat keputusan.

"Cara demikian dapat mengelakkan ada perwakilan berasa segan terhadap calon yang tidak terpilih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, semalam.

Selasa lepas, Timbalan Pesuruhjaya PAS (1) Datuk Ahmad Yakub berkata Dewan Ulama Syura telah menyerahkan mandat kepada PAS Kelantan untuk menentukan calon yang bakal dipilih untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas itu.

Bagaimanapun, Dewan Harian yang bermesyuarat pada hari berkenaan menyerahkan pula mandat kepada Nik Abdul Aziz untuk memberi kata putus bagi menentukan nama calon terbabit.

Nik Aziz berkata: "Dalam pengundian itulah saya bertanggungjawab menentukannya. Kalau undi itu sama banyak, misalnya yang satu dapat 10 dan yang lain dapat 10, maka saya yang menentukannya.

"Biasanya saya bagi kertas kosong, saya tak suka angkat tangan takut malu mata, saya beri kertas kosong, betul atau pangkah. Itu biasa bagi kita," katanya.

Beliau juga belum dapat menentukan sama ada pengumuman calon akan dibuat pada 22 Okt ini kerana mesyuarat mengenai perkara itu belum diadakan lagi.

Katanya mungkin perkara itu telah dibuat ketika beliau berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri beberapa program di sana.

Sunday, October 3, 2010

PAS LETAK SYARAT TIDAK MEROKOK

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menetapkan syarat tidak merokok sebagai kriteria calon PAS yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dalam Parlimen Gua Musang.

Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau menolak calon itu jika individu itu adalah perokok. Individu itu juga, kata harus patuh ajaran agama termasuk tidak meninggalkan solat, sentiasa menjaga pertuturan dan dihormati masyarakat sebagai calon mewakili PAS.

"Kalau orang merokok memang saya tak terima menjadi calon sejak awal-awal lagi.

Calon juga seseorang yang dihormati masyarakat, tidak meninggalkan sembahyang, tidak merokok, menjaga tutur kata, tidak terbabit perkara mungkar dengan perempuan, tidak berjudi atau sebarang perkara tidak elok,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-XIII Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Ditanya sama ada golongan ulama mungkin dipertimbangkan menjadi calon, Nik Aziz bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenainya.

Di MARANG, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS Pusat akan bermesyuarat hari ini bagi merencanakan persiapan dan mengenal pasti calon yang akan bertanding berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah persiapan pilihan raya DUN Galas.

“Kita sudah senarai pendek beberapa tokoh di peringkat negeri Kelantan untuk diperhalusi di peringkat PAS Pusat sebelum dibawa pula untuk diputuskan dalam Majlis Syura,” katanya selepas perasmian Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan di Masjid Rusila

Tuan Ibrahim menegaskan PAS akan memilih calon kalangan anak tempatan yang disifatkan faktor penting dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam senarai yang ada beberapa nama (calon) itu, ada beberapa tenaga muda dan profesional tetapi keutamaan kita lihat faktor calon itu sendiri,” katanya.