Thursday, January 13, 2011

60 Syarikat Seluruh Negara Sertai Kelantan Trade Fair 2011

Pameran industri pembinaan, seni bina dan reka bentuk dalaman (Kelantan Trade Fair 2011) yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok bakal disertai lebih 60 syarikat terkemuka dari seluruh negara yang terlibat dalam industri berkenaan.

Pameran tersebut merupakan anjuran Bahagian Pembangunan Bumiputera, Kementerian Kerja Raya dengan usahasama syarikat tempatan, Elegance Hr Management (Elegance).

Pengarah Urusan Elegance, Nik Mohammad Zaki berkata, selain memberi pelbagai maklumat berguna kepada pengunjung termasuk khidmat nasihat, produk hiasan dalaman dan landskap, pameran itu juga membuka peluang perniagaan kepada mereka.

"Selain pameran, semua syarikat yang terlibat akan turut membuka peluang kepada usahawan di negeri ini yang berminat untuk bekerjasama atau menjadi rakan kongsi bagi menjual produk-produk mereka.

"Elegance sendiri akan berkongsi kepakaran dan pengalaman mengadakan kursus kontraktor selama ini kepada para pengunjung yang berminat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pameran selama tiga hari itu akan diadakan di Pusat Dagangan Kelantan bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang setiap hari.

Sebanyak 90 ruang pameran akan dibuka membabitkan lebih 60 syarikat terkemuka dari seluruh negara yang akan mempamerkan produk masing-masing.

Sementara itu, dua seminar iaitu Ceramah Produk Elektrik dan Ceramah Produk Pembinaan akan turut diadakan pada hari pertama dan ketiga dengan penyertaan adalah percuma.

Nik Mohammad berkata, antara produk pameran yang menanti pengunjung adalah barangan hiasan dalaman dengan reka bentuk eksklusif dan terkini; landskap dan batu hiasan; peralatan pencahayaan dan lampu serta pelbagai jenis pintu; penyaman udara dan pemanas air terkini yang menjimatkan tenaga elektrik.

"Produk pembinaan yang mengikut spesifikasi dan berkualiti tinggi serta banyak lagi produk moden dan menarik akan ditunjukkan untuk pilihan pengunjung.

"Saya menyeru pengunjung agar tidak melepaskan peluang keemasan ini kerana banyak manfaat kepada mereka terutama yang mahu mendapatkan barang untuk rumah mereka," tambahnya.

FAM Beri Seminggu Kemuka Bukti Pemain 'Dicuri'

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi tempoh seminggu kepada pasukan Kelantan, PKNS dan Kuala Lumpur untuk mengemukakan afidavit berhubung dakwaan pemainnya 'dicuri' pasukan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain dan Perpindahan FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga pasukan tersebut sebelum ini membuat aduan mendakwa beberapa pemain mereka yang masih mempunyai baki kontrak, telah berhijrah ke pasukan lain tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata, ia merupakan prosedur baru yang ditetapkan oleh FAM bagi mengendalikan kes membabitkan pertikaian pemain dengan pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Pada Isnin lalu, kita sudah bermesyuarat untuk meneliti aduan yang kita terima daripada tiga pasukan - Kuala Lumpur, PKNS dan Kelantan.

Aduan itu melibatkan pemain yang mereka ikat kontrak tetapi telah 'dicuri' oleh pasukan lain, tetapi kita membuat keputusan memberi tempoh 14 hari untuk kedua-dua pihak mengemukakan afidavit dan menjawabnya.

"Sebagai contoh kes Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), kita beri tempoh tujuh hari untuk KAFA masukkan afidavit atau pengakuan bersumpah mengenai apa yang didakwa, tempoh itu daripada 10 hingga 17 Januari ini.

"Kemudian FAM akan serahkan afidavit ini kepada pemain terbabit untuk menjawab dan pada 26 Januari ini kita akan bersidang semula untuk melihat kedua-dua afidavit sebelum keputusan dibuat dan jika perlu kita akan panggil kedua-dua pihak untuk soal siasat," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, KAFA telah membuat aduan terhadap pasukan T-Team kerana mendakwa mengambil tiga pemainnya iaitu, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose yang masih dalam kontrak.

PKNS pula mendakwa Negeri Sembilan mengikat empat pemainnya, Mohamad Alifi Mahmud, G. Mahatheran, A. Verathan dan Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim, yang masih mempunyai baki kontrak tanpa kebenaran manakala Selangor dikatakan mengambil pemain Kuala Lumpur, Azidan Sarudin.

Takiyuddin berkata, kelapan-lapan pemain dan tiga pasukan itu berhadapan dengan hukuman berat termasuk digantung daripada beraksi dalam Liga Malaysia sekiranya didapati bersalah.

"Jika bersalah, hukuman paling minimum ialah amaran keras diikuti dengan denda dan kemudian digantung daripada beraksi dalam liga.

"Kepada pasukan yang terlibat misalnya didapati bersalah mencuri pemain pasukan lain, mereka boleh dikenakan denda mengikut bilangan pemain yang ditentukan oleh jawatankuasa atau digantung malah pegawai persatuan yang terbabit juga boleh dikenakan tindakan yang sama," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut akan bersidang pada 26 Januari ini untuk mengemukakan keputusan penuh mengenai pertikaian itu.

Sub Inspektor Didakwa Beri Keterangan Palsu Kes Rasuah

Seorang pegawai polis berpangkat Sub Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, semalam terhadap tuduhan memberi keterangan palsu dalam prosiding kes rasuah melibatkan dua pegawai polis pada Selasa.

Sub Inpektor Mohd Ladin Che Ngah, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 petang semalam ketika memberi keterangan sebagai saksi berhubung kes rasuah melibatkan seorang Penolong Penguasa Polis dan seorang Inspektor polis yang dituduh menerima rasuah RM 5,000 daripada seorang ahli perniagaan kedai emas pada 2008.

Mohd Ladin didakwa memberikan keterangan bercanggah dengan laporan yang diberikannya sewaktu soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikutan itu, SPRM telah membuat laporan dan Mohd Ladin ditahan di perkarangan Mahkamah setengah jam kemudian semalam.

Mohd Ladin dituduh mengikut Seksyen 27 (2) Akta Pencegahan Rasuah 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Zainal L.Salleh membenarkan Mohd Ladin diikat jamin sebanyak RM5,000 sehingga sebutan semula kes pada 10 Feb nanti.