Tuesday, January 1, 2013

Balak Kepada DAP - Mahu SPRM Lakukan Siasatan Segera


Tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kelantan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang petang semalam, bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera isu tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai, dekat Gua Musang.

Mereka dari Persatuan Belia 4B Gua Musang, Majlis Belia Felda Kelantan dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang diwakili pengerusi persatuan masing-masing kecuali Pemuda Umno diwakili Ahli Jawatankuasa (AJK) pemuda bahagian.

Laporan polis itu dibuat jam 3.15 petang kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubungan kelulusan tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai seluas 4,000 hektar kepada syarikat dipercayai dikuasai Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Selepas itu, NGO terbabit bersama 10 ahlinya mengadakan perhimpunan secara aman di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai yang terletak 64 Kilometer dari bandar Gua  Musang yang habis diterokai untuk pembukaan ladang sawit hingga terdedah kepada kemusnahan alam sekitar.

Blok pisau.net baru-baru ini, mendedahkan Ngeh dan sepupunya yang juga Setiausaha DAP Perak, Datuk Nga Kor Ming diberi kawasan balak seluas lebih 4,000 hektar (10,000 ekar), di Gua Musang sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Koo Ham dan Kor Ming selepas itu pula mengakui mereka melabur dalam Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu, tetapi Exco kerajaan Perak, Datuk Hamidah Osman mendakwa, Ngeh sebenarnya menguasai hampir keseluruhan syarikat berkenaan.

Ngeh didakwa secara peribadi memiliki 49 peratus saham bernilai RM15.5 juta, manakala 51 peratus lagi dikuasainya melalui Efektif Kirana Sdn Bhd, menjadikan pegangan keseluruhannya dalam syarikat itu RM31 juta.

Ini kerana Ngeh menguasai 99 peratus saham dalam Efektif Kirana. Pengerusi Persatuan Belia 4B, Mohamad Nazory Noruddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak sebelum ini berhubung tanah itu mengelirukan rakyat Kelantan dan tidak adil jika puncanya diselindung pihak berkepentingan.

Oleh itu, kata beliau, lebih baik dibuat laporan polis untuk mendesak SPRM menyiasat secara terperinci bagi menentukan kebenarannya kerana bimbang jika tidak berbuat demikian lebih banyak tanah hutan simpan kerajaan diberi kepada syarikat berpentingan politik.

“Kita rasa wajar diserahkan kepada pihak berkuasa menentukan kesahihannya kerana kita mahu keadilan bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Pengerusi MBF Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud pula berkata, pihaknya memang menerima banyak aduan daripada penduduk apabila banyak tanah yang mereka usahakan dengan pelbagai tanaman telah disodok syarikat terbabit.

“Kita rasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan perkara itu kerana pemimpin PAS Kelantan bersama DAP Perak masing-masing ingin melepaskan diri dengan mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung perkara terbabit

“Memanglah mereka tidak mahu bercakap benar kepada rakyat kerana bimbang tembelang yang diselindung selama ini terbongkar terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, AJK Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Wan Zawawi Wan Zain, pula berkata, tidak wajar bagi pemimpin PAS yang sebelum ini banyak bercakap mengenai Islam, tetapi kawasan Hutan Simpan Sungai Relai di luluskan kepada Pengerusi DAP Perak.

“Di mana letak keadilan dan perjuangan PAS dalam membangunkan negara Islam itu kalau kawasan hutan balak di Kelantan diberi keutamaan kepada pemimpin DAP terbabit atas kerjasama perjuangan politiknya,” katanya

Sinar Harian

Veteran UMNO Kelantan Sedia Bersemuka Dengan Hadi, Nik Aziz



Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Kelantan bersedia berdebat dengan mana-mana ulama Pas sebagaimana ajakan Dewan Ulama parti itu berkaitan Amanat Hadi yang didakwa ditimbulkan semula oleh Umno.


Pengerusinya, Profesor Madya Mohd Noor Deris berkata, pelawaan tersebut sudah lama dinanti-nantikan sejak isu ini dihangatkan kembali dan mendapat perhatian pelbagai sudut ahli politik mahupun agama

Menurutnya, beliau juga bersetuju berdebat dengan sesiapa sahaja termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri untuk menjelaskan kepada umum mengenai perkara itu.

“Sudah lama saya tunggu. Saya sanggup berdebat di mana sahaja dan bila-bila masa dimahukan untuk rungkaikan kekeliruan,” katanya kepada Sinar Harian semalam mengulas kenyataan Timbalan Ketua Ulama Pas, Hassan Mahmood yang sudi berdebat dengan ulama Umno berkaitan isu Amanat.

Mohd Noor juga menyuarakan pendapat yang sama dengan Pas iaitu sesi perdebatan kedua-dua parti itu perlu disiarkan secara langsung untuk memperjelaskan kekeliruan dalam amanat tersebut seperti didakwa.

“Biar saya yang berdepan dengan dia (Hadi dan Nik Aziz), biarlah semua tahu Pas sudah menyeleweng dari landasan sebenar sebagaimana dipertikaikan selama ini. Dunia boleh menilainya,” katanya.

Mohd Noor yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan sekiranya amanat Hadi itu dikeluarkan semula sewajarnya Majlis Fatwa Negeri dan Kebangsaan menilai perkara berkenaan malah tidak boleh berdiam diri.

Mohd Noor berkata, Pas sudah tersepit dalam isu amanat ini dan ia sebenarnya merugikan sokongan terhadap parti itu apabila wujudnya kes-kes tertentu didakwa menimbulkan kekeliruan membawa kerosakan akidah.

Wednesday, August 15, 2012

Kecaman Ke Atas Nasharuddin Hanyalah Pembuka Tirai Kearah Menguggurkannya Sebagai Calon

KOMENTAR mStar Oleh ROZAID A. RAHMAN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) mendengar penerangan dari Tokoh Ulama Arab Saudi Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat di sini pagi Isnin. Turut hadir (dari kiri) Mufti Masjid Haram Makkah, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi dan Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

KUALA LUMPUR: Indikasinya lagi jelas dan nyata - dari Dewan Pemuda sehinggalah kepada Menteri Besar PAS - semuanya kini menjurus ke arah 'kempen' untuk menyingkirkan terus bekas Timbalan Presiden mereka, Nasharuddin Mat Isa daripada parti itu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan pada Rabu telah meminta Nasharuddin supaya meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Bachok. Nik Aziz pada hari yang sama memberi kenyataan bernada sindiran yang amat tajam; "Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi presiden PAS pun boleh masuk Umno, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya sebagaimana dipetik oleh Bernama.

Kesemua mereka berkata demikian selepas media massa memaparkan gambar Nasharuddin menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi. Sejak Nasharuddin mencetuskan kontroversi dengan menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS, beliau telah dilihat tidak ubah seperti besi buruk oleh PAS seolah-olah tidak pernah berjasa atau menyandang jawatan sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu. Orang yang paling tidak senang dengannya malah paling lantang menyindir dan mengkritik ialah Nik Aziz.

Kemuncak kepada penentangan ke atas Nasharuddin ialah apabila beliau gagal mempertahankan jawatannya pada Muktamar Agung PAS tahun lepas - ditewaskan oleh seorang yang tidak dilihat sebagai tokoh agama atau ilmuan iaitu Mohamad Sabu. Sehubungan dengan itu Nik Abdul Aziz berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Dan kini giliran Pemuda PAS Kelantan pula untuk mencelah apabila Setiausahanya Mohd Nuri Mat Yaacob berkata; "Jika beliau (Nasharuddin) sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu."

Kata-katanya itu disiarkan oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily. Kenyataan daripada Dewan Pemuda PAS Kelantan itu juga didorong oleh kenyataan Nasharuddin di TV3 yang meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang Hudud. Hakikat bahawa kempen-kempen untuk memperkecilkan Nasharuddin disiarkan oleh organ rasmi parti menunjukkan bahawa bekas timbalan presiden itu telah terkeluar dari arus perdana PAS. Nik Aziz kata, tak menghairankan kalau Nasharuddin masuk Umno.

Tapi sebenarnya yang tak menghairankan ialah jika PAS pecat Nasharuddin atau gugurkannya sebagai calon pilihan raya nanti - sekali gus tidak berupaya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sekarang. Desakan-desakan yang muncul sekarang hanyalah pembuka tirai kepada langkah yang lebih besar iaitu untuk menguggurkannya daripada senarai calon. Dengan trend yang ada sekarang, kita tidak nampak siapakah yang akan mengesyorkan agar namanya dikekalkan sebagai calon.

Mungkin sudah tiba masanya Nasharuddin melupakan politik PAS untuk selama-lamanya dan menumpukan perhatian kepada amal jariah dan juga yayasan yang baru dibentuknya itu. Sayang sungguh, pemimpin semuda dan sebijak itu tidak lagi dianggap relevan dalam PAS. Dan yang lebih menyedihkan, mereka memperlakukannya bukan seperti seorang bekas timbalan presiden. Tiada langsung tanda hormat apatah lagi mengenang jasanya yang banyak dalam PAS.

Dosanya pada PAS tidak ada pun. Beliau hanya cenderung kepada perpaduan ummah. Malangnya usaha dan kecenderungannya itu dianggap sebagai satu dosa dalam PAS termasuklah duduk sekhemah bersama perdana menteri Malaysia.