Showing posts with label SPRM. Show all posts
Showing posts with label SPRM. Show all posts

Saturday, December 10, 2016

SPRM Siasat Lebih Tiga Kes Libatkan Jutaan Ringgit Di Kelantan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang menyiasat lebih tiga kes rasuah berprofil tinggi di negeri ini yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata siasatan yang masih di peringkat awal itu melibatkan organisasi, individu dan pegawai kanan kerajaan.

"Kes itu membabitkan kesalahan mengganggu hasil kerajaan, merencatkan hasil kerajaan, merugikan kerajaan dan pembangunan yang tidak mengikut peraturan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri 2016 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, hari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan majlis berkenaan.

Pada 16 Disember 2015, SPRM menegaskan agensi itu masih menjalankan siasatan ke atas dakwaan salah laku rasuah pembalakan bernilai RM5 juta di Kelantan.

SPRM menyebut, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan tersebut.


Sinar Online pernah melaporkan seorang pengundi muda dari Kelantan, Mohd Afiq Ayob berasa kecewa apabila SPRM didakwa tidak menyiasat laporannya mengenai isu rasuah pembalakan bernilai RM5 juta di negeri itu.

Kemudian, pada 14 Julai 2016 lalu, Moh Shamsudin berkata sejak Januari hingga Jun lepas, SPRM Kelantan membuat tangkapan ke atas 11 individu berkaitan kes rasuah.
    
Katanya dalam tempoh sama juga sebanyak 114 laporan kes rasuah diterima sama ada melalui pegawai yang bertugas atau melalui surat.    

Daripada jumlah itu, 22 kertas siasatan dibuka, 30 kes dirujuk kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan dalaman dan selebihnya masih dalam tindakan kerana kekurangan bukti.

Berkaitan tiga kes rasuah berprofil tinggi itu, Moh Samsudin hari ini meminta mereka yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan tampil untuk membantu siasatan.

Beliau juga berkata sejak Januari hingga Jumaat, pihaknya telah membuka 31 kertas siasatan berhubung aduan kes rasuah oleh pelbagai pihak di negeri ini.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 kes sudah selasai siasatan manakala baki 12 kes lagi belum disiasat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menggunakan seni budaya negeri ini seperti dikir barat dan wayang kulit, bagi menyampaikan mesej berkaitan kempen kesedaran anti rasuah kepada masyarakat.


Beliau juga meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan individu melaporkan kegiatan rasuah supaya tindakan segera dapat diambil.

Tuesday, January 1, 2013

Balak Kepada DAP - Mahu SPRM Lakukan Siasatan Segera


Tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kelantan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang petang semalam, bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera isu tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai, dekat Gua Musang.

Mereka dari Persatuan Belia 4B Gua Musang, Majlis Belia Felda Kelantan dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang diwakili pengerusi persatuan masing-masing kecuali Pemuda Umno diwakili Ahli Jawatankuasa (AJK) pemuda bahagian.

Laporan polis itu dibuat jam 3.15 petang kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubungan kelulusan tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai seluas 4,000 hektar kepada syarikat dipercayai dikuasai Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Selepas itu, NGO terbabit bersama 10 ahlinya mengadakan perhimpunan secara aman di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai yang terletak 64 Kilometer dari bandar Gua  Musang yang habis diterokai untuk pembukaan ladang sawit hingga terdedah kepada kemusnahan alam sekitar.

Blok pisau.net baru-baru ini, mendedahkan Ngeh dan sepupunya yang juga Setiausaha DAP Perak, Datuk Nga Kor Ming diberi kawasan balak seluas lebih 4,000 hektar (10,000 ekar), di Gua Musang sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Koo Ham dan Kor Ming selepas itu pula mengakui mereka melabur dalam Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu, tetapi Exco kerajaan Perak, Datuk Hamidah Osman mendakwa, Ngeh sebenarnya menguasai hampir keseluruhan syarikat berkenaan.

Ngeh didakwa secara peribadi memiliki 49 peratus saham bernilai RM15.5 juta, manakala 51 peratus lagi dikuasainya melalui Efektif Kirana Sdn Bhd, menjadikan pegangan keseluruhannya dalam syarikat itu RM31 juta.

Ini kerana Ngeh menguasai 99 peratus saham dalam Efektif Kirana. Pengerusi Persatuan Belia 4B, Mohamad Nazory Noruddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak sebelum ini berhubung tanah itu mengelirukan rakyat Kelantan dan tidak adil jika puncanya diselindung pihak berkepentingan.

Oleh itu, kata beliau, lebih baik dibuat laporan polis untuk mendesak SPRM menyiasat secara terperinci bagi menentukan kebenarannya kerana bimbang jika tidak berbuat demikian lebih banyak tanah hutan simpan kerajaan diberi kepada syarikat berpentingan politik.

“Kita rasa wajar diserahkan kepada pihak berkuasa menentukan kesahihannya kerana kita mahu keadilan bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Pengerusi MBF Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud pula berkata, pihaknya memang menerima banyak aduan daripada penduduk apabila banyak tanah yang mereka usahakan dengan pelbagai tanaman telah disodok syarikat terbabit.

“Kita rasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan perkara itu kerana pemimpin PAS Kelantan bersama DAP Perak masing-masing ingin melepaskan diri dengan mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung perkara terbabit

“Memanglah mereka tidak mahu bercakap benar kepada rakyat kerana bimbang tembelang yang diselindung selama ini terbongkar terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, AJK Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Wan Zawawi Wan Zain, pula berkata, tidak wajar bagi pemimpin PAS yang sebelum ini banyak bercakap mengenai Islam, tetapi kawasan Hutan Simpan Sungai Relai di luluskan kepada Pengerusi DAP Perak.

“Di mana letak keadilan dan perjuangan PAS dalam membangunkan negara Islam itu kalau kawasan hutan balak di Kelantan diberi keutamaan kepada pemimpin DAP terbabit atas kerjasama perjuangan politiknya,” katanya

Sinar Harian

Friday, November 19, 2010

SPRM SENGAJA LENGAHKAN SIASATAN TERHADAP NIK AZIZ, MENANTU?

"Beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang..."

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan agar tidak melewat-lewatkan sebarang siasatan terhadap mana-mana isu yang timbul meskipun ia melibatkan individu yang dipuja atau diagung-agungkan oleh sesetengah pihak.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Zahari Kechik berkata, sebarang kelewatan yang berlaku hanya akan menimbulkan persepsi atau spekulasi negatif bukan sahaja ke atas SPRM sendiri sebaliknya kepada pihak yang disiasat.

Justeru, katanya, hasil siasatan sama ada masih di peringkat awal atau sudah ada keputusan perlu diumumkan untuk membuktikan keadilan sudah terlaksana dan dapat diketahui rakyat.

“Jadi persoalan yang mahu dibangkitkan di sini adalah kenapa SPRM hanya berdiam diri tanpa ada sebarang keputusan hitam atau putih mengenai siasatan mereka.

“Sebarang kelewatan dan sikap berdiam diri seperti ini hanya akan memburukkan keadaan di mata kasar rakyat dan SPRM sendiri pasti tidak terlepas daripada menerima tohmahan,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Zahari merujuk kepada hasil tulisan pendapat oleh Abu Hassan Abdul Aziz dari Gua Musang yang disiarkan Utusan Malaysia kelmarin dalam ruangan pendapat.

Abu Hassan dalam penulisannya bertajuk “Umum hasil siasatan ke atas Nik Aziz, Ariffahmi’ meminta SPRM menjelaskan perkembangan terkini beberapa siasatan mereka di negeri ini termasuk membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantu beliau, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang dibuka kertas siasatannya tahun lalu.

Dalam kupasannya, Abu Hassan turut menyatakan beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang.

Zahari berkata, siasatan itu membabitkan individu berprofil tinggi seperti Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, justeru perkembangan siasatan itu tidak boleh dilengahkan.

Katanya, MTRK meminta SPRM agar tegas dalam isu ini terutama selepas beberapa kenyataan suruhanjaya itu bahawa siasatan mereka ‘tidak memilih bulu’.

“Sewajarnya setelah lebih setahun keputusan siasatan sepatutnya sudah diperolehi atau sekurang-kurangnya kita ketahui perkembangannya.

“Tidak ada orang yang kebal dalam konsep undang-undang negara kita, jadi janganlah kerana melihat kepada taraf yang diangkat oleh sesuatu pihak kepada mana-mana individu maka perkara ini didiamkan.

“Konsep undang-undang negara ini adalah keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ia perlu dilihat untuk dilaksanakan,” katanya.

Semalam pula Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin berkata, SPRM sepatutnya mengambil kira rungutan di kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang hasil siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya.

Beliau mendesak SPRM mendedahkan segera hasil penyiasatan mereka ke atas Menteri Besar Kelantan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu.

“Semalam pun ada keluar rungutan pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia yang mahukan penjelasan tentang perkembangan siasatan.

“Itulah yang kita harapkan agar SPRM dapat memberi kata putus dalam soal siasatan ini sama ada kes itu dapat kita bawa ke mahkamah atau sebaliknya kerana rakyat ingin tahu.

“Benda (siasatan) ini sudah menjadi pengetahuan umum jadi kita mahu SPRM dedahkan sama ada boleh didakwa atau tidak,” katanya pada Majlis Korban Hari Raya Aidiladha Parlimen Pengkalan Chepa semalam.

SPRM pada hujung tahun lalu membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.

Friday, August 13, 2010

BEKAS KETUA CAWANGAN UMNO DIPENJARA

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam menyaksikan seorang bekas ketua cawangan UMNO dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM10,000 atas kesalahan memberi keterangan berbeza kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Harun, 51 selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad didakwa memberi keterangan berbeza semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen 2 dekat Kota Bharu pada 16 Mac lalu kira-kira jam 2.45 petang iaitu “Anuwari datang bayar wang saya sebanyak RM400. Dia berhutang dengan saya”.

Keterangannya itu didakwa tidak selaras dengan keterangannya kepada pegawai penyiasat SPRM, Syamsul Arifin Othman pada 4 Ogos 2008 iaitu “ Encik Anuwari Muhamad telah datang ke rumah saya. Beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM400 kepada saya. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang tersebut. Tujuan wang tersebut diserahkan adalah untuk diagihkan kepada Ketua-Ketua UMNO cawangan”.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohamad yang diwakili peguam Zahari Kechik kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.

Zahari berkata, tertuduh sekarang berusia 51 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 10 anak.

“Daripada 10 anaknya itu, tujuh masih lagi bersekolah. Tertuduh (Mohamad) sekarang mengusahakan kedai runcit di rumahnya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

“Buat masa sekarang, tertuduh boleh dikatakan aktif dalam politik kerana pernah memegang jawatan sebagai ketua cawangan dalam sebuah parti politik,” katanya.

Selain itu, Zahari berkata, pengakuan salah yang dibuat tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk meneruskan perbicaraan kes-kes lain.

“Tertuduh juga telah sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan seperti itu lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zakiah Che Man pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi dan tertuduh tahu implikasi atau risiko yang akan diterima atas pengakuan tersebut.

“Saya mohon hukuman sewajarnya dikenakan kerana sikap sesetengah pihak yang beginilah menyebabkan pihak SPRM menghadapi masalah di mahkamah sekali gus menjejaskan kes-kes SPRM,” katanya.

Menurutnya, kesan dan akibat daripada tindakan tertuduh memberi keterangan di mahkamah yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada pihak SPRM mengakibatkan persepsi masyarakat mengatakan pihak SPRM hanya menjalankan kes-kes terpilih sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya, SPRM sebenarnya menghadapi masalah dengan saksi-saksi sebegini,” katanya.

Rofiah semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, setelah mahkamah mempertimbangkan semua rayuan peguam bela tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah jatuhkan hukuman penjara satu hari berkuat kuasa semalam dan denda RM10,000 ke atas tertuduh.

“Jika denda tersebut tidak dibayar, tertuduh akan dipenjara selama dua tahun,” katanya.

Friday, August 14, 2009

TEOH BENG HOCK BUNUH DIRI?

Analisis Kumbang.. (http://analisisringan.blogspot.com)

Kumbang pernah mengulas mengenai tentang teori kematian Teoh pada bulan lepas. 4 teori Kumbang kemukakan antaranya Teoh ditolak SPRM ketika dalam siasatan,bunuh diri,kaitan kongsi gelap dan teori konspirasi di dalam konspirasi. Sila klik sini untuk melihat artikel Kumbang mengenai teori kematian Teoh.

Justeru itu setelah hampir sebulan tragedi ini berlaku dan membaca serta mendengar cerita mengenai kematian Teoh. Kumbang merasakan teori Teoh membunuh diri merupakan teori yang paling kuat dan paling berkemungkinan. Bukan ingin membuat komen subjudice tetapi Kumbang berkata begitu setelah meneliti dan menganalisa fakta daripada pelbagai sumber.

Apabila disambung semua penceritaan mengenai kematian Teoh, rumusan yang Kumbang buat begini.

SPRM telah menerima aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri Selangor pada pertengahan julai lalu dan datang ke pejabat Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah untuk menemuduga saksi serta mereka yang terlibat pada hari rabu,15 julai 2009. Malangnya apabila mengetahui perkara ini pihak DAP dan Pakatan Pembangkang dengan sengaja memanggil ramai wartawan untuk memastikan SPRM tidak dapat menjalankan tugas temuduga di pejabat exco tersebut.

Justeru itu pihak SPRM telah memberi Teoh 2 pilihan samada Teoh diberi order(waran) atau datang sendiri ke pejabat SPRM untuk ditemuduga sebagai saksi. Teoh memilih untuk datang sendiri ke pejabat SPRM. Atas sebab datang sendiri inilah tidak timbulnya isu Teoh dilayan sebagai pesalah dan hanya dilayan sebagai saksi.

Pada ketika itu juga SPRM ingin mengambil laptop dan CPU Teoh tetapi tidak dibenarkan oleh Teoh dan Teoh ingin membawa sendiri Laptop serta CPU ke pejabat SPRM.

Setelah sampai di pejabat SPRM. SPRM mengarahkan Teoh untuk membuka laptop beliau. Tetapi Teoh enggan memberikan Password. Setelah dipujuk oleh SPRM barulah Teoh memberikan Password dan SPRM membuka laptop beliau dengan password yang diberi. Selepas itu barulah tanpa disengajakan SPRM menjumpai invoice dan dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri Selangor di dalam laptop Teoh. Teoh pada ketika itu kelihatan agak risau dan terus menafikan segala kaitan beliau dengan invoice dan dokumen yang dijumpai SPRM itu.

Sebelum Kumbang menyambung cerita. Daripada beberapa sumber yang Kumbang dengar, Lee Wye Wing (turut menjadi saksi pada malam itu) mempunyai peranan menyiapkan semua invoice yang terdapat di dalam laptop Teoh dan Teoh hanya berperanan menguruskan claim atau tuntutan invoice tersebut ke pejabat tanah daerah.

Ada sumber juga menyatakan Lee Wye Wing dan Teoh sendiri akan menerima 5 % komisyen jika claim atau tuntutan yang dibuat bernilai RM 5 ribu ke bawah dan memperoleh 10% jika claim atau tuntutan bernilai lebih RM 5 ribu dan RM 10 ribu ke atas.

Bersambung pada cerita tadi,disebabkan Teoh sendiri yang melakukan tuntutan pada pejabat daerah, Teoh dikatakan menggelabah dan takut kerana invoice tuntutan yang beliau uruskan itu telah terbongkar kerana dijumpai SPRM.

Pada masa yang sama, Tan Boon Hwa juga sedang ditemuduga oleh SPRM. Apa yang menarik mengenai beliau, beliau dikatakan tidak mahu pergi sendiri ke pejabat SPRM dan meminta supaya dibawa ke pejabat SPRM menggunakan kenderaan SPRM untuk ditemuduga.

Proses temuduga Tan Boon Hwa berakhir dengan beliau bersetuju untuk memberi kerjasama dan berjanji untuk meminta isterinya membawa dokumen yang diperlukan keesokan harinya, walaupun sehingga kini dokumen yang dijanjikan tidak pernah sampai ke pejabat SPRM.

Selepas siasatan beliau pada pukul 1.30 pagi, Tan Boon Hwa dibenarkan pulang ke rumah dan ditawarkan untuk dihantar pulang oleh SPRM tetapi beliau enggan kerana mungkin ingin menunggu sesi temuduga kedua pada pukul 1.30 tengahari.

Selepas sesi temuduga Teoh selesai pada pukul 3.45 pagi. Seorang pegawai SPRM telah mendengar pertengkaran berlaku antara Teoh dan Tan di dalam tandas pada ketika itu. Pertengkaran ini mungkin disebabkan invoice dan dokumen yang dijumpai SPRM di dalam laptop Teoh. Hal ini berkemungkinan menyebabkan Teoh merasa bersalah dan mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Perkara ini disokong oleh kenyataan yang mengatakan Teoh ingin berhenti kerja selepas berkahwin mungkin disebabkan menyedari kebobrokan yang berlaku di pejabat tempat beliau berkerja. Apatah lagi beliau yang menguruskan segala tuntutan wang daripada pejabat daerah.

Semalam (11 ogos 2009) juga menyaksikan perunding kanan Bahagian Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang melakukan pemeriksaan pada badan mendiang Teoh berkata tidak terdapat kesan kecederaan akibat pergelutan ketara pada tubuh si mati dan juga tidak terdapat tanda-tanda kecederaan ketara akibat menangkis serangan di bahagian luar tangan.

Kumbang juga pernah mendengar daripada rakan Teoh di dalam parti DAP yang menyatakan pada Kumbang bahawa Kelakuan Teoh sememangnya agak abnormal dan emosional berbanding orang lain. Mungkin disebabkan hal ini,Teoh tidak dapat mengawal diri dan emosi apabila beliau dikaitkan dengan tuduhan salahlaku serta rahsia yang disimpan untuk bosnya telah terbongkar.

Terbongkarnya invoice dan dokumen itu juga mungkin menyebabkan keselamatan beliau terancam dan ada pihak yang mengandaikan Tan telah mengugut Teoh ketika bertengkar di dalam tandas.

Ada pihak juga yang menyatakan Teoh takut untuk turun mengambil keretanya di tingkat bawah plaza Masalam ketika selesainya temuduga dan mengambil keputusan untuk berehat di bilik menunggu pejabat SPRM.

Atas sebab apakah Teoh takut untuk turun mengambil keretanya?
Adakah beliau takut dengan gengster yang sedang menunggu beliau di bawah?
Apakah kaitan perkara ini dengan Tan Boon Hwa?

Mengulas mengenai pertengkaran yang dikatakan berlaku di dalam tandas selepas temuduga Teoh tadi.

Adakah sememangnya benar berlaku pertengkaran antara Teoh dan Tan sejurus selepas temuduga Teoh selesai?
Apakah yang mereka berdua bincangkan pada ketika itu sehingga mereka bertengkar antara satu sama lain?

Kumbang persilakan anda semua untuk memikirkan persoalan-persoalan ini.

Adalah lebih baik Gobind Singh Deo seorang 'pejuang keadilan dan integriti' menanya dan merungkai persoalan-persoalan ini di dalam Inkues Kematian Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung sekarang. Tanyakan sahaja pada Tan Boon Hwa. Beliau pasti tahu apa yang kita semua tidak tahu.

Harapan Kumbang, tiada sebarang fakta digelapkan untuk memastikan kematian Teoh terbela dan keadilan dapat kita tegakkan.

Persoalannya adakah Gobind dan Tan Boon Hwa berani?

P/S : Kumbang meminta maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock jika mereka berasa sedih kerana persoalan Teoh membunuh diri dibangkitkan Kumbang. Niat Kumbang cuma satu, jika benar Teoh membunuh diri. Sebab,desakkan dan punca Teoh membunuh diri perlu kita bongkar agar kematian Teoh dapat kita bela.

Sumber : NTAnwar

Thursday, March 12, 2009

AZALINA TERLIBAT POLITIK WANG?

Sukar mempercayainya. Apa dah jadi jadi ni?

SPRM 'serbu' pejabat Azalina kerana dakwaan politik wang.

Apakah beliau terlibat? Lebih baik tunggu sehingga selesai siasatan.

Yang pasti, selepas seminggu menahan setiausaha politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menyerbu' pejabat Menteri Pelancongan di ibu negara pagi semalam.

Tiga pegawai SPRM menghabiskan hampir tiga jam untuk mendapatkan bukti susulan dipercayai berhubung amalan politik wang menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

Laporan Berita Harian menyebut, SPRM dijangka memanggil Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Ini berikutan serbuan pegawai SPRM ke pejabat Kementerian Pelancongan di Tingkat 36, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pemeriksaan oleh dua pasukan itu, SPRM turut merampas sejumlah dokumen dan menyoal siasat beberapa pegawai.

Utusan Malaysia melaporkan, lapan pegawai kanan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen.

Difahamkan ketika soal siasat dijalankan menteri terlibat tiada di dalam pejabat.
“Setakat ini tiada serbuan, rampasan atau pun penahanan dilakukan. Semua pegawai terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut sumber rapat kementerian itu di sini hari ini.
Pada 6 Mac lalu, setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet ditahan di sebuah restoran di sini kelmarin kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam 40-an tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurut sumber, pegawai-pegawai SPRM keluar dari pejabat menteri berkenaan dengan membawa keluar beberapa dokumen.

Dua fail berkaitan dengan perwakilan Umno Wilayah Persekutuan dipercayai dibawa keluar ekoran kunjungan tersebut.

Malah mereka juga menemu bual dua pegawai kanan di pejabat Datuk Azalina Othman yang terletak di Menawa Dato Onn, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pegawai pejabat Azalina, SPRM tidak merampas apa-apa dokumen dari pejabat mereka.

Rabu lalu, SPRM menahan pegawai tersebut - setiausaha politik, didapati membawa bersama wang tunai RM75,000 dalam keretanya.

Setiausaha Politik itu dan menterinya turut layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi.
Dia telah dibebaskan awal Khamis lalu selepas kenyataannya diambil.

Dalam pada itu, pegawai-pegawai Azalina menafikan kunjungan MACC ada kaitan dengan isu wang tunai tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pejabat Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepdada SPRM berhubung isu tersebut.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap MACC dan yakin bahawa kami akan dibersihkan menerusi siasatan mereka," katanya.

SPRM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta SPRM menyegerakan siasatan terhadap setiausaha politik berkenaan.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, pegawai kanan tersebut harus dibebaskan jika tidak bersalah.

Beliau berpendapat kes tersebut kemungkinan menjejaskan peluang setiausaha politik berkenaan jika bertanding dalam pemilihan Umno pada 26 Mac ini.

"Jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk dakwaan politik wang, saya berharap dia akan dibebaskan dengan secepat mungkin.
"Kemungkinan dia bertanding... jadi jangan tangguhkan (siasatan)," kata beliau.