Thursday, May 26, 2016

Taman Halal Pasir Mas Bakal Tarik Lebih Ramai Pelabur Ke Kelantan

Kita yakin projek yag diumumkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mewujudkan Taman Halal Pasir Mas (PMHP) akan menjadi kenyataan.

Ia akan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha Kelantan dan bukan seperti beberapa projek ‘Mat Jenin’ yang diumumkan oleh kerajaan PAS Kelantan sebelum ini.

Kerjasama ECERDC dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu dijanga dapat menarik lebih ramai pelabur swasta selepas selesainya pembangunan fasa satu.

Pusat Perniagaan Usahawan yang telah siap di bawah fasa pertama juga dijangka menyediakan lebih banyak peluang bagi pelabur untuk memindahkan operasi mereka ke taman itu, kata ECERDC dalam satu kenyataan semalam (25 Mei).

Pembangunan fasa kedua PMHP dijangka dimulakan pada Jun 2016.

Dari 2007 sehingga April 2016, ECERDC berkata, nilai pelaburan yang dijanjikan atau diluluskan di Kelantan berjumlah RM12.5 bilion dan telah mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

"Bahagian terbesar pelaburan masih lagi datang daripada sektor pembuatan, diikuti sektor logistik dan pelancongan. Tiga sektor utama ini menyumbang 83 peratus daripada jumlah pelaburan di negeri itu.

"Ketika ini ECERDC bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan negeri Kelantan untuk menarik lebih banyak pelabur swasta ke PMHP bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di negeri itu menerusi peningkatan industri berorientasikan perdagangan dan eksport," kata majlis itu.

Sementara itu, ECERDC berkata Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) seluas 80.94 hektar di Pasir Puteh merupakan inisiatif strategik untuk menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan permintaan bagi pendaratan ikan di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata majlis itu akan terus mempromosikan peluang pelaburan di Kelantan terutamanya menerusi PMHP dan TBIFP.

"Kedua-dua taman ini mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau bagi sektor masing-masing -- PMHP sebagai hab bagi pembuatan dan pemprosesan produk makanan halal manakala TBIFP boleh berfungsi sebagai hab bagi aktiviti ekonomi berasaskan ikan dan marin," katanya.


Taman itu akan meningkatkan potensi eksport makanan diproses termasuk produk berasaskan ikan dan menyokong industri seperti kilang pembuatan ais dan pembaikan kapal perindustrian, dengan penyepaduan ekopelancongan marin dan hospitaliti.

Rumah ‘Generasiku Sayang’ Untuk Remaja Hamil Tanpa Nikah

Isteri Tengku Temenggong Kelantan, Tunku Datuk Noor Hayati memotong riben sempena pelancaran rumah di bawah Program Generasiku Sayang di Tumpat hari ini sambil disaksikan Dr Ahmad Razin (kanan). - Berita Harian
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaporkan bilangan anak tidak sah taraf di Kelantan pada 2013 ialah seramai 450 orang dan meningkat kepada 524 orang pada 2015.

Angka ini sudah pasti membimbangkan, bukan sahaja dalam konteks moral dan agama tetapi persediaan mereka ketika sebelum dan selepas bersalin.

Mungkin ada yang terbiar, di halau keluarga dan dinyah keluar dari masyarakt setempat tetapi persoalannya ke mana mereka akan membawa diri untuk perlindungan?

Langkah menyediakan rumah perlindungan untuk remaja hamil tanpa nikah yang akan mula beroperasi di Tumpat, Jun ini, adalah langkah mulia dan wajar disokong.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata rumah 'Generasiku Sayang' akan dikendalikan kakitangan jabatan berkenaan.

Rumah Penjagaan yang terletak di Jalan Istana Bukit Tanah, itu  diwujudkan bagi menangani masalah sosial yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini di Kelantan.

Pengarah JKN, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata seramai 11 penyelia terdiri daripada kakitangan hospital akan menyelia bakal penghuni yang akan mendaftar pada bulan depan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan atau dana bagi membiayai kos harian dan penyelengaraan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Program Generasiku Sayang di Tumpat, Isnin (23 Mei lalu).

Rumah itu, yang boleh menempatkan enam penghuni dan dua bayi pada sesuatu masa, dirasmikan isteri Tengku Temenggung Kelantan Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj selaku penaung program itu.

Ahmad Razin yang juga pengerusi program Generasiku Sayang berkata objektif khusus penubuhan rumah perlindungan itu adalah bagi memastikan remaja terbabit mendapat sebelum dan selepas bersalin dengan sebaik-baiknya.

"Sebagai masyarakat, kita perlu bimbing golongan ini bagi membolehkan mereka membina kembali jati diri dan bersedia untuk kembali kepada masyarakat," katanya.

Remaja terbabit akan ditempatkan di rumah itu sehingga bayi yang dilahirkannya berusia tiga bulan sebelum kembali ke pa
ngkuan keluarga masing-masing.


Rumah itu, yang kali pertama diwujudkan di Kelantan, akan turut menyediakan rawatan sokongan psikososial selain bimbingan kerohanian terhadap remaja berkenaan.

Dr Ahmad Razin berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pelbagai agensi lain untuk memberi sokongan, kaunseling, pendidikan agama dan ilmu kemahiran kepada penghuni di rumah penjagaan itu nanti.

Friday, May 20, 2016

Apakah Husam Bohong Mengenai Gerakan BN Demi Tonjolkan Dirinya?


Apakah benar wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Kelantan?

Diberitakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kelantan telah bersetuju untuk membuat akuan bersumpah (SD) bagi tujuan tersebut.

Perkara ini didedahkan oleh  bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa pada sesi ‘Dialog bersama Husam Musa’ dengan tajuk 'Mara kehadapan' - di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Kuala Lumpur.

Namun Husam menolak tawaran BN itu kerana tidak mahu kerajaan PAS Kelantan tumbang dengan hina.

Pada 1977, Menteri Besar ketika itu, Datuk Muhamed Nasir dituduh mengingkari arahan PAS. Usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri dengan 20 ADUN PAS menyokong sementara 13 ADUN UMNO dan seorang ADUN MCA keluar dari dewan tanda protes.

Beberapa siri demonstrasi dan kekacauan memaksa Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan ketika itu mengisytiharkan darurat pada 8 November 1977 yang seterusnya menjurus kepada keputusan PAS dikeluarkan daripada gabungan BN ketika itu.

Jadi, untuk apa Husam dedahkan ini selepas beliau dipecat oleh PAS? Untuk menunjukkan beliau masih sayang kepada parti berkenaan?

Untuk membuka jalan kepadanya kembali ke pangkuan PAS?

Husam yang lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan PAS Kelantan, dipecat parti Islam itu berkuat kuasa 23 April lalu kerana didapati melanggar Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f) Perlembagaan PAS.

Ketika diasak dengan pelbagai soalan daripada hadirin pada dialog itu mengenai masa depannya, juga desakan menyertai AMANAH atau PKR untuk memimpin Pakatan Harapan di Kelantan, Husam memilih untuk mendiamkan diri.

Sebaliknya Husam kemungkinan kembali kepada PAS, memandangkan beliau masih ada 20 hari untuk mengemukakan rayuan.


Beliau akan menulis surat kepada presiden parti untuk menyatakan pemecatannya tidak adil dan menjelaskan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Husam yakin dengan surat itu Jawatankuasa Displin PAS akan menarik balik keputusan memecat keahliannya.

Menurut Husam, dalam dua tiga bulan lepas, ADUN BN bersetuju untuk akuan bersumpah untuk turunkan Datuk Ahmad Yakob dengan disokong oleh ADUN (PAS) yang punyai hubungan dengan beliau (husam).

Mereka hanya mahu turunkan MB, siapa akan jadi MB dia serah kepada yang mengetuai gerakan tersebut.

Husam menjangkakan akan ada ADUN BN yang nafikan, walaupun hakikatnya ADUN terbabit telah berjumpa dan berbincang dengan beliau mengenai perkara itu.

Apapun, Husam memberitahu mereka yang hadir pada dialog itu, beliau beliau tidak akan bertindak sedemikian.

PAS kini mempunyai 32 kerusi, PKR 1 dan BN 12 daripada keseluruhan 45 kerusi DUN di Kelantan.   Untuk menukar MB Kelantan, gerakan tersebut perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 23 ADUN.

Ada beberapa perkara menarik daripada pendedahan Husam ini:

BN (kalua benar pendedahan Husam) memang berusaha mengambil Kelantan walau apa cara sekali pun.

Jika tidak benar, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed perlu menafikan cakap-cakap Husam ini. Malah kalau Tok Pa tidak mahu cakap, serahkan kepada mana-mana ADUN BN yang berkredibiliti untuk menafikannya;

Ahmad Yakob terlepas daripada ‘serangan BN’ kerana keengganan Husam bekerjasama.

Ini bermakna, Ahmad Yakob sepatutnya membela Husam kerana beliau kekal sebagai Menteri besar Kelantan, dan begitu juga dengan pemimpin, termasuk Timbalan Menteri Besar dan barisan Exconya;

Husam secara jelas berkata: "ADUN berkenaan ada bincang dengan saya. Dia nak tunjuk akuan bersumpah itu kepada saya tetapi secara prinsipnya saya tolak.

"Jadi (sekarang) Datuk Ahmad Yakob masih terus jadi menteri besar. Jangan bimbang. Kalau nak suruh usul undi tidak percaya tidak payah, kita tidak akan buat," kata Husam.

Malah, Husam berkata sekiranya rakyat Kelantan mahukan perubahan seperti mana kerajaan pimpinan bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz,  ia hanya akan berlaku pada pilihan raya akan datang.  

Walaupun tidak disebut secara direct, sudah pasti tawaran menjadi MB Kelantan sedikit sebanyak dapat dikaitkan dengan Husam sendiri kerana ADUN UMNO datang bertemunya.

Apakah Husam mahu menunjukkan beliau tidak tamak atau berjuang demi jawatan Menteri Besar Kelantan?

Ketika ini mungkin Husam sedang merangka dan  mencari strategi untuk “menakluk” Kelantan.

Beliau sudah kenal pasti 25 DUN daripada PAS dan UMNO yang boleh dimenangi. Tujuannnya untuk membuat perubahan di Kelantan.

Persoalannya mungkin Husam turut melihat politiknya dalam kerangka yang lebih besar.

Pengaruhnya di Putrajaya tetap ada walaupun kalah keerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum lalu.

Dengan kemelut politik BN dan UMNO dilihat semakin ‘tidak terurus dan menjurus’, apakah Husam tidak menilai keupayaannya di peringkat lebih tinggi?

Tidak keterlaluan jika dikatakan Husam bukan lagi pemimpin Kelantan. Beliau kini pemimpin nasional.

Amat benarlah jika beliau mengatakan masa adalah berpihak kepadanya.


Sesuai sangat jika beliau menjangkakan akan mengumumkan langkah seterusnya  dalam tempoh “tiga atau empat bulan” lagi, apalagi perkembangan terbaru, termasuk dua pilihan raya Parlimen serentak  - Sungai Besar dan Kuala Kangsar – juga boleh dijadikan penilaian langkah seterusnya.

Mungkin pembabitannya yang aktif dalam Deklarasi Rakyat sebagai salah satu jalan menonjolkan dirinya.

Juga penting, apakah PAS akan terus menolaknya?