Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Friday, May 20, 2016

Apakah Husam Bohong Mengenai Gerakan BN Demi Tonjolkan Dirinya?


Apakah benar wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Kelantan?

Diberitakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kelantan telah bersetuju untuk membuat akuan bersumpah (SD) bagi tujuan tersebut.

Perkara ini didedahkan oleh  bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa pada sesi ‘Dialog bersama Husam Musa’ dengan tajuk 'Mara kehadapan' - di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Kuala Lumpur.

Namun Husam menolak tawaran BN itu kerana tidak mahu kerajaan PAS Kelantan tumbang dengan hina.

Pada 1977, Menteri Besar ketika itu, Datuk Muhamed Nasir dituduh mengingkari arahan PAS. Usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri dengan 20 ADUN PAS menyokong sementara 13 ADUN UMNO dan seorang ADUN MCA keluar dari dewan tanda protes.

Beberapa siri demonstrasi dan kekacauan memaksa Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan ketika itu mengisytiharkan darurat pada 8 November 1977 yang seterusnya menjurus kepada keputusan PAS dikeluarkan daripada gabungan BN ketika itu.

Jadi, untuk apa Husam dedahkan ini selepas beliau dipecat oleh PAS? Untuk menunjukkan beliau masih sayang kepada parti berkenaan?

Untuk membuka jalan kepadanya kembali ke pangkuan PAS?

Husam yang lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan PAS Kelantan, dipecat parti Islam itu berkuat kuasa 23 April lalu kerana didapati melanggar Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f) Perlembagaan PAS.

Ketika diasak dengan pelbagai soalan daripada hadirin pada dialog itu mengenai masa depannya, juga desakan menyertai AMANAH atau PKR untuk memimpin Pakatan Harapan di Kelantan, Husam memilih untuk mendiamkan diri.

Sebaliknya Husam kemungkinan kembali kepada PAS, memandangkan beliau masih ada 20 hari untuk mengemukakan rayuan.


Beliau akan menulis surat kepada presiden parti untuk menyatakan pemecatannya tidak adil dan menjelaskan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Husam yakin dengan surat itu Jawatankuasa Displin PAS akan menarik balik keputusan memecat keahliannya.

Menurut Husam, dalam dua tiga bulan lepas, ADUN BN bersetuju untuk akuan bersumpah untuk turunkan Datuk Ahmad Yakob dengan disokong oleh ADUN (PAS) yang punyai hubungan dengan beliau (husam).

Mereka hanya mahu turunkan MB, siapa akan jadi MB dia serah kepada yang mengetuai gerakan tersebut.

Husam menjangkakan akan ada ADUN BN yang nafikan, walaupun hakikatnya ADUN terbabit telah berjumpa dan berbincang dengan beliau mengenai perkara itu.

Apapun, Husam memberitahu mereka yang hadir pada dialog itu, beliau beliau tidak akan bertindak sedemikian.

PAS kini mempunyai 32 kerusi, PKR 1 dan BN 12 daripada keseluruhan 45 kerusi DUN di Kelantan.   Untuk menukar MB Kelantan, gerakan tersebut perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 23 ADUN.

Ada beberapa perkara menarik daripada pendedahan Husam ini:

BN (kalua benar pendedahan Husam) memang berusaha mengambil Kelantan walau apa cara sekali pun.

Jika tidak benar, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed perlu menafikan cakap-cakap Husam ini. Malah kalau Tok Pa tidak mahu cakap, serahkan kepada mana-mana ADUN BN yang berkredibiliti untuk menafikannya;

Ahmad Yakob terlepas daripada ‘serangan BN’ kerana keengganan Husam bekerjasama.

Ini bermakna, Ahmad Yakob sepatutnya membela Husam kerana beliau kekal sebagai Menteri besar Kelantan, dan begitu juga dengan pemimpin, termasuk Timbalan Menteri Besar dan barisan Exconya;

Husam secara jelas berkata: "ADUN berkenaan ada bincang dengan saya. Dia nak tunjuk akuan bersumpah itu kepada saya tetapi secara prinsipnya saya tolak.

"Jadi (sekarang) Datuk Ahmad Yakob masih terus jadi menteri besar. Jangan bimbang. Kalau nak suruh usul undi tidak percaya tidak payah, kita tidak akan buat," kata Husam.

Malah, Husam berkata sekiranya rakyat Kelantan mahukan perubahan seperti mana kerajaan pimpinan bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz,  ia hanya akan berlaku pada pilihan raya akan datang.  

Walaupun tidak disebut secara direct, sudah pasti tawaran menjadi MB Kelantan sedikit sebanyak dapat dikaitkan dengan Husam sendiri kerana ADUN UMNO datang bertemunya.

Apakah Husam mahu menunjukkan beliau tidak tamak atau berjuang demi jawatan Menteri Besar Kelantan?

Ketika ini mungkin Husam sedang merangka dan  mencari strategi untuk “menakluk” Kelantan.

Beliau sudah kenal pasti 25 DUN daripada PAS dan UMNO yang boleh dimenangi. Tujuannnya untuk membuat perubahan di Kelantan.

Persoalannya mungkin Husam turut melihat politiknya dalam kerangka yang lebih besar.

Pengaruhnya di Putrajaya tetap ada walaupun kalah keerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum lalu.

Dengan kemelut politik BN dan UMNO dilihat semakin ‘tidak terurus dan menjurus’, apakah Husam tidak menilai keupayaannya di peringkat lebih tinggi?

Tidak keterlaluan jika dikatakan Husam bukan lagi pemimpin Kelantan. Beliau kini pemimpin nasional.

Amat benarlah jika beliau mengatakan masa adalah berpihak kepadanya.


Sesuai sangat jika beliau menjangkakan akan mengumumkan langkah seterusnya  dalam tempoh “tiga atau empat bulan” lagi, apalagi perkembangan terbaru, termasuk dua pilihan raya Parlimen serentak  - Sungai Besar dan Kuala Kangsar – juga boleh dijadikan penilaian langkah seterusnya.

Mungkin pembabitannya yang aktif dalam Deklarasi Rakyat sebagai salah satu jalan menonjolkan dirinya.

Juga penting, apakah PAS akan terus menolaknya?

Saturday, January 19, 2013

Pasukan Media Sosial BN Kelantan, Terengganu Aktif Serang Pembangkang

 

 Daripada www.hambali1.blogspot.com

Tahniah Barisan Nasional (BN) Kelantan. Biar lambat asalkan jangan tiada langsung (Better late than never).

Kenyataan bahawa BN Kelantan akan menggunakan sepenuhnya media sosial untuk memperjelas dan menjawab fitnah dan isu yang dibangkitkan pembangkang adalah langkah tepat. Jangan hanya menjawab tetapi juga menyerang.


Beberapa blog di Kelantan sudah memainkan peranan ini dengan baik. Hakikatnya kini ternyata media sosial adalah paling penting berbading media lain kerana ia berkesan dalam konteks sampai kepada sasaran ‘walaupun dalam apa juga keadaan - rain or shine”.

Cara lama melalui ceramah kini ‘ketinggalan zaman’ kerana beberapa sebab.

Pertamanya untuk menganjurkan ceramah perlu banyak persediaan dengan penceramahnya, audien, peralatan, makan minum yang ‘mahal’.

Isu pula kalau asyik mecerita Amanah Hadi, kafir-mengkafir, perpecahan umat Islam dan pelbagai ‘isu lapok’, menjemukan.


Perhatikan, berapa ramai orang muda datang ceramah. Sedangkan mereka inilah pengundi penting dan penentu.

Asyik-ayik yang datang orang sama termasuk ‘yang dikerah’. Lebih buruk ada kalangan penceramah menjadikan ia sebagai tempat cari makan kerana dibayar untuk umpamnya RM200, kalau 10 kali sebulan sudah RM2,000.

Lebih buruk lagi kalau yang berceramah itu pegawai kerajaan. Mereka pergi menggunakan kereta kerajaan dengan pemandu lagi dan sebagainya yang merupakan kos walaupun niat mempertahankan kerajaan yang ada.

Lebih buruk lagi (lagi) penceramah berkenaan PULA tidak tahu pun menggunakan  IT dan tidak MAMPU AKSES dan punya satu pun laman sendiri sama ada blog atau FB, twitter dan sebagainya. Isi ceramahnya layak didengar audien 1980-an dan pertengahan 1990-an.

Sedangkan melalui media sosial, dengan kos lebih murah, iaitu kira-kira RM2,000, mereka sudah boleh menyebarkan pandangan, ulasan, kritikan, spin dan sebagainya ke seluruh dunia – bukan sekitar Manek Urai atau mungkin Manir semata-mata.

Kerana itu kita menyokong pendirian Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin penggunaan media sosial dapat menarik pengundi terutama golongan muda dan terpelajar untuk memahami kedudukan sebenar politik semasa negara.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata beliau menyedari jentera pilihan raya BN di negeri itu agak ketinggalan dari segi penggunaan media sosial berbanding pembangkang yang turut menyebabkan BN tidak dapat menawan Kelantan pada pilihan raya umum 2008.

"Hasil kajian juga mendapati lebih banyak penulis blog, Facebook dan Twitter terdiri daripada penyokong pembangkang berbanding kerajaan. Oleh itu mulai sekarang kita akan menggembleng tenaga untuk menggunakan sepenuhnya media sosial termasuk Facebook dan Twitter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus simulasi pilihan raya dan pelancaran jentera siber Pemuda BN Kelantan di Kota Bharu, malam semalam.

Lagi pun seperti kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan yang diambil itu selaras dengan saranan Presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyedari pentingnya peranan media sosial sebagai platform baharu dalam dunia politik semasa.

Mustapa menyatakan gembiranya dengan langkah Unit Siber Pemuda BN yang memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk diadakan kursus media sosial selepas pelancaran Kelab Media Baru dua tahun lalu. Kelab tersebut diwujudkan sempena pilihan raya kecil kawaswan Dewan Undangan Negeri Guchil pada 2010 dan diikuti penubuhan kelab sosial beliau sendiri iatu Kelab Tok Pa dua bulan lepas.

Sudah pastilah kita juga mengharapkan Kelab Media Sosial Pemuda BN akan merintis jalan dan menjadi platform penting sebagai senjata untuk mempertahan serangan pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Jika Kelantan memberikan ruang untuk media sosial bergerak aktif, BN Terengganu juga memerlukan ‘perjuangan secara team’ dan tidak boleh mengharapkan jentera siber UMNO semata-mata.

Pertengahan Disember lalu, UMNO Terengganu menyatakan ia menggerakkan pasukan media barunya secara lebih agresif bagi menjawab dan menangkis isu, tohmahan serta fitnah dilemparkan pembangkang.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pasukan itu yang digerakkan sejak dua tahun lalu, kini lebih agresif seiring dengan sikap golongan muda yang lebih gemar menjadikan media baru sumber rujukan utama.

Pasukan ini dikatakan memainkan peranan menjawab segala hal berkaitan politik, tohmahan dan fitnah pembangkang.

Pasukan ini akan ditempatkan di semua Parlimen, malah ada ahlinya mengupas isu berkaitan politik secara penuh dan separuh masa di bawah Biro Penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Ia kini digerakkan secara lebih agresif sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu dan dengan blogger dan pengguna Facebook menangkis segala bentuk tohmahan serta fitnah pembangkang dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, kita yakin seperti disebut Ahmad Razif, pasukan media baharu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan memfokuskan kepada para pengundi muda supaya mereka memperoleh maklumat tepat mengenai pelbagai isu.

Sunday, December 26, 2010

PROJEK PUSAT RM35j DI DUN GALAS, MANEK URAI UNTUK RAKYAT

Angkat tangan tanda menang, juga 'surrender' tidak dapat memenuhi permintaan rakyat - ini perkara biasa bagi wakil rakyat PAS Kelantan.

Apakah yang dilakukan oleh PAS selepas menang di Dewan Undangan Negeri Manek Urai?

Apakah pembangunan dan kemudahan yang dilakukan oleh mereka? Apakah wakil rakyat PAS DUN itu peka dengan kehendak rakyat?

Tidak seperti di Galas, ADUN yang menang, Abdul Aziz Yusoff sedang melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan terbaru mengimarahkan masjid dan surau membabitkan perbelanjaan RM300,000.

Apakah wakil rakyat DUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang menang tipis, 65 undi seperti wakil rakyat PAS lain menyandarkan kepada tiada peruntukan menyebabkan tiada projek?

Apakah habuan Kerajaan PAS Kelantan terhadap kemenangannya? Apakah rakyat Manek Urai tidak ‘dihadiahkan sesuatu’ selepas kemenangannya? Sekadar angkat tangan dan terima kasih?

Di pihak Barisan Nasional (BN), janji pilihanraya kecil ditunaikan, sama ada di DUN yang mereka kalah apalagi di DUN yang menang.

Pelaksanaan projek- projek kerajaan persekutuan bernilai lebih RM35 juta di Manek Urai, Kuala Krai dan Gua Musang akan memberi banyak faedah kepada rakyat negeri ini.

Dengan sendirinya projek itu akan membangunkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan – DUN Galas dan Manek Urai - dijangka siap hujung bulan ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustafa, berkata pelaksanaan pelbagai projek pembangunan itu juga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap keperluan prasarana di kalangan rakyat tempatan.

Beliau berkata, antara projek yang sedang dijalankan adalah pembinaan jambatan menghubungkan Manek Urai baru dan Manek Urai lama melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, dijangka siap pada akhir tahun hadapan.

Menurutnya, jambatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk tempatan untuk berulang-alik antara kedua-dua destinasi dengan mementingkan ciri-ciri keselamatan berbanding sebelumnya.

Selain itu, katanya, kerja membaiki dan menaik taraf Masjid Kampung Temali dengan peruntukan sebanyak RM300,000 juga akan siap pada akhir Januari tahun hadapan.

"Bagi meningkatkan semangat kesukanan di kalangan masyarakat luar bandar, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membangunkan pusat sukan di Kampung Manjor yang akan siap sepenuhnya akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan latihan dan ujian menembak anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri di Lapang Sasar Gunung Bachok baru-baru ini.

Makhtar yang juga Kolonel Kehormat Rela negeri berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, projek menaik taraf rangkaian jalan di sekitar rumah ibadat kaum India dan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Wangi sudah dilaksanakan mengikut jadual.

Pembinaan tokong dan jalan di Kampung Pulai bernilai RM400,000 di DUN Galas dan membaiki masjid di Kampung Temalir sebanyak RM600,000.

Beliau berkata, pembangunan landskap termasuk pembinaan jambatan gantung dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi mengindahkan perkampungan Pulai akan turut dilaksanakan, sekali gus merancakkan sektor agro-pelancongan kawasan berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut menyediakan pelan dan perancangan untuk membina dan membaiki rumah bagi memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di Hulu Kelantan.

Antara projek besar yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan 200 rumah di enam perkampungan Orang Asli di kawasan DUN Galas bernilai RM18.5 juta.

"Pembinaan itu kini berjalan lancar dan dijangka siap hujung bulan ini," katanya.
Makhtar berkata mereka yang bakal tinggal di situ terdiri daripada penduduk perkampungan Pos Blau, Pos Putat, Pos Handrop, Pos Brooke, Pos Tuel dan Pos Sandway.

"Kerajaan akan terus membela kepentingan Orang Asli termasuk menyediakan kemudahan prasarana yang diperlukan," katanya.

Friday, November 5, 2010

PROVOKASI BERLEBIHAN BERI KEMENANGAN KEPADA BN

Calon BN bermesra dengan penyokong PAS semalam

Provokasi berlebihan oleh penyokong PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi salah satu faktor kemenangan besar di luar jangkaan kepada calon Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata provokasi itu menyebabkan pengundi di DUN Galas menjadi jemu dan muak dengan tingkah laku penyokong PAS yang sanggup mencederakan penyokong BN pada pilihan raya kecil itu semalam.

"Pengundi di kawasan itu dapat melihat dan menilai sendiri parti mana yang mereka boleh bergantung untuk membela nasib masa depan mereka," katanya selepas melawat keluarga mangsa lemas Siti Nor Ikma Mohd Rosli, 12, di Kampung Repet hari ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusof memperoleh majoriti 1,190 undi apabila meraih 5,324 undi berbanding calon PAS Dr Zulkefli Mohamed yang mendapat 4,134 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept lalu.

Semalam, berlaku kekecohan yang dikatakan berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, Gua Musang dibuka pukul 8 pagi.

Antara yang cedera dalam insiden itu termasuk Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Shukri, 37, yang cedera di dahi dan hidung setelah beliau diserang dengan tiang bendera PAS.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pada awalnya BN hanya menjangka akan memperoleh kemenangan tipis antara 200 dan 500 undi sahaja berasaskan kepada perkembangan semasa.

Katanya ramalan itu berdasarkan kesukaran BN untuk menang besar berasaskan majoriti yang diperoleh Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 melebihi 600 undi selepas mengalahkan calon BN Saufi Deraman.

Awang Adek juga berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kesepakatan parti-parti komponen terutama Umno dan MCA yang mengatur strategi kempen yang berhemah.

"Pengundi Cina di kawasan itu berasa selesa di bawah konsep 1Malaysia manakala pengundi Melayu pula berasa yakin dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipelihara dan diperkasakan," katanya.

Monday, October 18, 2010

KU LI YAKIN BN MAMPU RAMPAS KEMBALI GALAS

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berdasarkan kepada jentera pilihan raya yang tersusun selain peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata dengan petunjuk itu beliau yakin BN boleh memenangi DUN itu dengan majoriti yang besar.

"Gerak kerja nampak semakin kuat hingga ke akar umbi dan ini sangat menggembirakan.

"Melihat perubahan yang semakin kuat berlaku berikutan sokongan rakyat kepada BN dengan jelas kita akan mendapat kemenangan," katanya pada majlis perjumpaan dengan bekas tentera di Bukit Chekati, di Gua Musang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhan Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 4 Nov.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, gerak kerja yang diatur sejak beberapa hari lepas tidak menampakkan sebarang masalah, malah semua jentera komited untuk meraih sokongan pengundi.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga berkata BN kini mendapat banyak bantuan sama ada dari dalam bahagian itu dan juga jentera luar yang dianggap mampu mengembalikan maruah BN di Galas.

"Kita mengakui sebelum ini imej BN terjejas kerana kita di DUN Galas tidak pernah kalah kepada parti lawan tetapi pilihan raya umum lepas tewas dengan majoriti yang kecil sahaja.

"Oleh itu, kita rasa tidak menghadapi sebarang rintangan untuk meraih kemenangan lebih besar dan bersejarah dalam pilihan raya kecil DUN Galas kali ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera BN supaya tidak menimbulkan sesuatu perkara yang boleh menyinggung perasaan pengundi, sebaliknya memastikan setiap pergerakan di semua tempat dapat diterima dengan baik.

"Kita juga mengharapkan bekas tentera supaya menyokong BN dalam pilihan raya kecil itu kerana hanya BN sahaja yang boleh membantu dalam segala keperluan," katanya.

Sunday, October 3, 2010

JENTERA BN MULA BERGERAK LUSA

Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya lusa (Selasa)bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menemui jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta pemimpin cawangan DUN berkenaan pada hari itu.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Jentera pilihan raya DUN berkenaan akan menyelaraskan pembahagian kerja antara UMNO negeri, bahagian, cawangan dan bantuan UMNO dari setiap negeri, katanya kepada pemberita pada Majlis Program Sepakat Bestari Bachok di Pantai Irama di Bachok, kelmarin.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya,Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti Pas, di Hospital Al-Islam, Kuala Lumpur Isnin lepas akibat barah usus.

Turut difahamkan, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya kecil itu. - Bernama

Friday, May 29, 2009

YANG TAK SERUPA DAN TAK SAMA

Kijang ikut hambali1.blogspot.com memaparkan sebuah tulisan menarik mengenai prinsip demokrasi tetap subur.

Blog hambali1.blgspot.com mengajak penjenguk dan pelayar memahami apa yang ditulis melalui blog www.jaranganakmelayu1.blogspot.com

Ia sesuatu yang menarik untuk didalami dan difahami, khususnya dalam menyelami apa sebenarnya berlaku di Perak dan Terengganu.

Tulisan ini mungkin jawapan kepada penulisan lain dalam blog lain tetap mempunyai tajuk yang sama.

Baca apa yang terdapat dalam www.jaranganakmelayu1. blogspot.com (28 May 2009)

Prinsip Asas Raja Berpelembagaam dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Negeri-negeri di Malaysia ialah apabila parti politik yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan dan salah seorang ADUN daripada parti memerintah akan dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan menjadi Menteri Besar.

Contohnya di Perak, keputusan PRU 12, BN 28 kerusi dan PR 31 kerusi. PR telah membentuk kerajaan Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah melantik salah seorang ADUN PR daripada PAS iaitu YB. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Apabila 3 ADUN dari parti memerintah (2 Adun PKR dan seorang dari DAP) telahpun mengisytiharkan keluar parti masing-masing untuk menyokong BN dan menjadi calon bebas, BN telah bertukar menjadi parti majoriti dalam DUN Perak selaras dengan kenyataan Pengerusi BN Perak merangkap TPM (ketika itu), YAB Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan di Putrajaya bahawa BN sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak.
Pada 5 Feb. 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan telah mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Parti BN sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

Dengan merujuk kepada Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan meyatakan bahawa ‘Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan …’

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya parti yang Nizar wakili hanya mendapat sokongan minoriti akibat daripada tiga ADUN PR keluar parti. Soal tidak meletak jawatan adalah bercanggah dengan Fasal di atas dan bukannya perlu ada usul undi tidak percaya berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Soal tiga ADUN berpaling tadah kepada parti lawan itu adalah merupakan SEBAB UTAMA yang perlu dibincangkan di dalam kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Parti Memerintah. Perlu DITEGASKAN di sini bahawa ini adalah soal Parti Pemerintah lawan Parti Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukanlah isu Nizar lawan Dr Zamry.

Akan tetapi kerana Nizar enggan meletakkan jawatan yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry sebenarnya tidak perlu naik turun mahkamah kerana ianya jelas dinyatakan di dalam Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bahawa dia wajib meletakkan jawatan.

Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 ADUN BN ini keluar parti daripada BN dan menyokong Parti Pembangkang iaitu PAS di Dewan Undangan Negeri maka barulah situasi tersebut akan sama dengan Perak. Di dalam hal ini MB Terengganu perlulah meletakkan jawatan selaras dengan Fasal 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyebut ‘ … hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.

Isu Terengganu jelas dan nyata “Tidak Serupa dan Tidak Sama” langsung dengan isu di Perak kerana 10 ADUN ini belum lagi mengishtiharkan keluar parti dan setakat ini tidak pernah menyokong parti pembangkang sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 10 ADUN ini keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada PAS bermakna telah mendapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said hendaklah meletakkan jawatan. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong tindakan 10 ADUN ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan DYMM Sultan akan bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar. Nota: sepuluh ADUN BN yg sekiranya menjadi ADUN bebas masih tidak berpeluang jadi MB kerana tidak berparti, sebaliknya salah seorang daripada ADUN Pas akan dilantik menjadi MB baru berasaskan kepada Prinsip Demokrasi Berpelembagaan ADUN daripada parti akan dipilih.)

Dakwaan telah mendapat majoriti sokongan serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada YAB Menteri Besar masih TIDAK memenuhi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan untuk menukar MB di mana mereka masih lagi berada di dalam parti yang sama iaitu 24 kerusi BN dan 8 kerusi PAS. Perbalahan mereka ini bolehlah diibaratkan sebagai “ribut dalam cawan’ atau ‘carik-carik bulu ayam’.

Walaubagaimana pun, tindakan 10 orang ADUN ini juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di mana pada 27 Mac 2008 Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman. Ia juga boleh dianggap sebagai menentang dan mencabar keputusan DYMM Tuanku Sultan melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said secara teratur mengikut Fasa 12 (2) Undang-Undang Bagi Diri Terengganu di mana Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar.

Ini selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh YB DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu di dalam Malaysiakini.com pada 21 Mei 2009 sebagaimana berkata "Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai," katanya.

Persoalannya, adakah kumpulan 10 ADUN ini terus tidak akur dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong YAB Dato’ Ahmad bin Said selaku Menteri Besar, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Menteri Besar dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB Terengganu ini dan seterusnya kepada Parti UMNO dan Barisan Nasional.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak MB dan semua 10 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan bahawa mereka akan keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti PAS. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, YAB Menteri Besar perlulah menerima hakikat ini. Dalam hal ini soal maruah dan prinsip MB TIDAK TIMBUL sama sekali kerana ianya telah termaktub di dalam Prinsip Demokrasi Berpalimen Raja Berpelembagaan selaras dengan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tidak sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 10 ADUN bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB, bermakna walau apapun tuduhan, tohmahan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka masih lagi dalam Kerajaan Barisan Nasional dan soal sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB tidak timbul sama sekali kecuali mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti Pembangkang.

Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka masih lagi berada di dalam Parti Barisan Nasional dan perbuatan mereka ini tidak mengurangkan dan menjejaskan majoriti ADUN BN di Dewan Undangan Negeri di mana DYMM Tuanku Sultan telah melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka ini ialah memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada MB yang mengetuai Kerajaan Negeri (Parti Barisan Nasional) terutamanya di dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan selari dengan 1Malaysia.

Wednesday, May 13, 2009

TALAM DUA MUKA KETUA PENGARANG THE STAR

KOPITIAM TALK 9 Mei 2009

Apabila BN mengambilalih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat, maka itu adalah merupakan keputusan bersama parti-parti komponen dan setiap parti dengan jentera masing-masing mestilah komited untuk mempertahankannya.

Pandangan Tun Dr.Mahatir bahawa tindakan pengambilalihan itu dibuat secara terburu-buru hanyalah merupakan pandangannya yang melupai hakikat bahawa beliau sendiri telah terburu-buru dalam kemarahannya kepada Abdullah Badawi sehingga meminta orang ramai mengurangkan kerusi BN dalam Parlimen. Cakapnya itu mengakibatkan BN kehilangan beberapa kerajaan negeri dan juga ketidakstabilan kedudukan BN di Parlimen.

Maka itu belum tentu pandangan Mahathir seharusnya diterima sebagai pandangan Barisan Nasional. Yang penting ialah keputusan telah pun dilaksanakan dan tidak wajar bagi mana-mana jentera BN atau orang kuat BN untuk menunjukkan sikap berbelah bagi menerima kerajaan yang ditegakkan menerusi ruang eksploitasi demokrasi.

Maka itu kita sungguh hairan bagaimanakah The Star, sebuah akhbar Inggeris yang paling berpengaruh di negara ini dan merupakan jentera MCA yang paling berkesan, telah mengambil pendirian talam dua muka terhadap kerajaan Perak yang didukung oleh BN.

Sementara dalam media cetaknya The Star tidak menujukkan tentangan yang jelas terhadap kerajaan BN Perak, tetapi dalam blog Ketua Pengarangnya Datuk Seri Wong Chun Wai telah menolak kerajaan ini dan seiring dengan DAP dan Pakatan Rakyat menyuarakan supaya kerajan Perak diserahkan kepada rakyat menentukannya dengan mengadakan pilihan raya semula di negeri itu.

Setelah dipanggil Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat,Wong Chun Wai tidak lagi menunjukan laporan The Star yang terlalu bebas kepada pembangkang, Anwar Ibrahim dan DAP. Tetapi beliau terus menunjukkan pendiriannya kepada mereka dalam blognya ``aku sebenarnya orang bebas''.

Ketua Pengarang akhbar yang didukung oleh parti tidak boleh bebas. Mereka boleh memberikan pendapat yang bertentangan di dalam sesuatu isu, tetapi apabila parti telah membuat pendirian maka pendirian itu mestilah dimajukan atau dipromosikan untuk penerimaan ramai.

Lain halnya dengan Chun Wai oleh kerana hendak menunjukkan pendiriannya yang bebas, maka dalam blognya di samping mengutuk tindakan kacau-bilau dalam Dewan Undangan Negeri Perak kerana perebutan mikrofon sebagai yang terjadi di Taiwan, beliau menyalahkan pembuat dasar di Perak yang menyebabkan peristiwa itu lebih hebat daripada di Taiwan sehingga melibatkan semburan cecair pemedih mata. Kenaapa hanya pembuat dasar disalahkan?

Katanya lagi dalam blognya: ``Saya tidak ingat ingat sama ada polis pernah dipanggil ke dalam DUN sebelum ini tetapi inilah yang terjadi.''

Justeru, katanya, adalah lebih baik sekiranya kedudukan kerajaan Perak diserahkan kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya semula di negeri ini. Apakah ini yang dikehendakki oleh BN atau ini yang dikehendakki oleh MCA?

Inilah sikap bermuka-muka atau talam dua muka Chun Wai. Tulisannmya itu adalah untuk menunjukan kepada golongan pembangkang bahawa beliau tidak bersetuju dengan pendirian The Star yang tidak lagi mesra dengan pembangkag. Pendirian Wong adalah jelas sejalan dengan pendirian pembangkang yang mahukan supaya kerajaan negeri Perak di bubarkan.

Apakah MCA atau Barisan Nasonal masih mampu untuk mempunyai orang yang mengendalikan jentera penting parti yang tidak komited dan berdedikasi kepada dasar parti? Orang bagini tidak boleh diharapkan untuk membantu parti dalam krisis malah ketika itu dia akan turut menikam dari belakang.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib dan juga Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak seharusnya menjadi seperti Pak Lah atau Ong Kah Ting yang mudah percaya kepada orang yang bertalam dua muka. Mereka telah membayar harga yang sangat mahal bagi dosa mereka kepada parti dan rakyat.

Ini adalah masa untuk membersihkan musuh dalam selimut.


MUNSYHI ABDULLAH malaysiaaktif.com

Friday, November 7, 2008

BACA DAN FIKIR!

Kijang malas nak mahu cakap banyak. Ini posting melalui “Rakyat Malaysia”

(http://hambali1.blogspot.com).

Baca dan fikir!

PAS MOHON PROJEK DARIPADA PUSAT

Inilah perangai Kerajaan Pas Kelantan!

Pada pilihan raya umum lalu apabila Barisan Nasional (BN) mengemukakan manifesto untuk membina lapangan terbang lebih besar dan panjang untuk Kelantan, Pas memujuk rakyat menolaknya.

Ketika itu bukan main lagi nada angkuh Pas yang menolak apa sahaja tawaran kerajaan Pusat melalui manifesto ‘Kelantan Maju, Kelantan Baru’ termasuk lapangan terbang baru untuk Kelantan.

Semalam, melalui Utusan Malaysia, Kerajaan Pusat diminta supaya tidak terus menangguhkan cadangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa daripada 1.98 kilometer kepada 2.4 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman berkata semalam, pemanjangan landasan yang mengikut spesifikasi antarabangsa itu amat penting bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 777.

Katanya, ia sekali gus boleh menampung permintaan perkhidmatan penerbangan yang semakin tinggi di kalangan pengguna di negeri ini, di samping membantu merancakkan ekonomi negeri termasuk sektor pelancongan.

Ketika kempen pilihan raya umum lalu, Pas meminta rakyat Kelantan, khususnya di Pengkalan Chepa sendiri jangan memilih BN kerana katanya, Pas mampu melakukan yang terbaik untuk Kelantan.

Malah, Pengkalan Chepa yang menjadi kubu Pas seolah-olah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan Pusat.

Hakikatnya, lapangan terbang, kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan, sekolah-sekolah utama dan banyak lagi projek lain adalah ikhsan Kerajaan Pusat.

Semalam Anizam berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan projek ini dijalankan memandangkan LTSIP masih mempunyai tanah yang luas dan urusan pengambilan tanah juga telah selesai sejak tahun 1980-an lagi.

Pada 27 Ogos 2006, Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan berkaitan projek berkenaan.
Mustapa dilaporkan berkata, sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

LTSIP telah mempunyai bangunan terminal baru LTSIP seluas 12,000 meter persegi dengan kos kira-kira RM55 juta dan telah dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Sultan Ismail Petra pada 12 April 2004.

Bangunan terminal baru yang antara termoden di Malaysia mampu mengendalikan 580 penumpang dalam tempoh sejam berbanding 130 orang di bangunan terminal lama yang hanya seluas 1,785 meter persegi.

Menurut Anizam, LTSIP memang layak dinaik taraf memandangkan potensinya yang tinggi untuk menjadi hab pelancongan dan penerbangan antarabangsa secara terus tanpa perlu terlebih dahulu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"LTSIP pada masa ini dalam sebulan mengendalikan sehingga 30,000 penumpang domestik dengan 25 kali perjalanan sehari. Berdasarkan kepada fakta ini, LTSIP memang perlu untuk dinaik taraf lebih awal.

"Lapangan terbang di Kuala Terengganu yang hanya mengendalikan enam perjalanan sehari sudah mempunyai landasan panjang yang juga diberikan kebenaran untuk penerbangan bagi jemaah haji," katanya.
Pada masa ini, ujarnya, LTSIP mempunyai Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) yang membolehkan pesawat mendarat walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

"LTSIP juga mempunyai akademi penerbangan swasta pertama di pantai timur dan ketiga di negara iaitu Akademi Latihan Penerbangan Asia Pasifik (APFT)," katanya.

Satu lagi yang peliknya, Anizam menggunakan Utusan Malaysia yang dikempen oleh Pas dan Pakatan Rakyat supaya memboikotnya.

Ternyata apabila terdesak, Utusan Malaysia pun Utusan Malaysialah. Harapkan akhbar Harakah, ia hanya bercakap politik Pas tanpa memberikan sumbangan apa-apa.

Tuesday, October 7, 2008

APA DAH JADI DENGAN UMNO KELANTAN?

Ramadan dan Shawal di Kelantan tahun ini nampak meriah seperti biasa.
Namun di sebalik kemeriahan itu, ada beberapa kekurangan ketara yang Kijang perhatikan.

Pertamanya, tidak banyak poster, kain rentang dan banner ucapan ‘Selamat Hari Raya’ daripada pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN), tidak seperti tahun lepas.

Kijang akui memang ada ucapan pemimpin UMNO di sesetengah tempat tetapi tidak ‘semeriah’ tahun lalu ketika beberapa bulan menghadapi pilihan raya umum.

Kijang tertanya-tanya apakah dekat musim pilihan raya baru ada poster, banner dan kain rentang berlogokan UMNO dan BN mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’?

Sebenarnya ‘kesepian’ di kalangan pemimpin UMNO Kelantan ini sejak sambutan Hari Kemerdekaan lalu.

Kalau tahun lepas sanggup berbelanja besar dengan ledakan bunga api, apa bezanya ulang tahun kemerdekaan tahun ini. Yang membezakan cuma tahun ini tidak ada pilihan raya – lepas pilihan raya.

Persoalannya apakah sambutan kemerdekaan berasaskan kepada faktor pilihan raya?

Kalau tidakpun besar, buatlah kecil-kecilan menandakan UMNO Kelantan turut serta menyambut kemerdekaan, kalaupun kalah teruk pilihan raya.

Berbalik pula kepada Hari Raya. Soal kedua ialah tahun lepas ada pelbagai bantuan – untuk warga tua, wanita, ibu tunggal dan sebagainya dengan nama-nama besar seperti Zaitun dan sebagainya, Tahun ini sunyi sepi.

Apakah tidak ada peruntukan daripada Kerajaan Pusat?

Kenapa pemimpin UMNO Kelantan sudah tidak bersungguh-sungguh memohonnya? Bukankan janji akan berbakti kalaupun kalah pilihan raya?

Kijang tak faham dengan sikap pemimpin UMNO Kelantan, khususnya ketuanya!
Sebaliknya Kerajaan negeri menggunakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang diagih kepada warga emas, armalah dan anak yati sepanjang Ramadan ini.

Duit siapakah itu? Apakah semuanya duit Kerajaan Negeri?
Pengarah JKM Kelantan, Md Noor Chik tentu tahu sumber wang berkenaan.
Biarpun sumbangnnya tidak besar tetapi sedikit sebanyak diharap dapat membantu golongan terbabit membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ada tujuh skim bantuan yang disediakan JKM iaitu skim bantuan armalah, warga emas, pekerja cacat (OKU), pesakit terlantar, OKU terlantar dan ibu bapa peliharaan.
Pemimpin UMNO sewajarnya ikut serta dengan JKM negeri menjayakan Projek Cari iaitu mencari di segenap pelusuk negeri melalui pemimpin peringkat kampung untuk mengenal pasti mereka yang betul-betul memerlukan bantuan kerajaan.
Setakat ini terdapat seramai 11,000 penduduk dhaif di negeri ini yang dikenal pasti layak diberi bantuan hasil maklumat awal yang diperolehi dari badan-badan berkaitan.
Oleh itu katanya bagi mempercepatkan proses bantuan kepada golongan terbabit JKM melantik seramai 58 kakitangan sementara yang turun ke bawah bagi mengenalpasti mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan.

Kijang fikir, pemimpin UMNO kena bermuhasabah dengan cara perkhidmatan mereka sekarang kalau ingin menambat hari rakyat Kelantan. Berkhidmat jangan hanya kerana pilihan raya semata-mata!