Tuesday, July 4, 2017

Kit Siang Noktahkan PH, Karier Husam Dalam Politik Kelantan?


Pakatan Harapan (PH) Kelantan semalam dan kelmarin menerima sindiran dan kata-kata pedas daripada dua pemimpin PAS negeri itu.

Ini berikutan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Kelmarin, PAS menyifatkan PH yang dikatakan diketuai DAP tidak sesuai menggantikan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara selagi mereka tidak mengubah sikap.

Semalam pula Dewan Pemuda PAS Kelantan secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa kerana dipilih oleh ‘ketua’ Pakatan Harapan, DAP sebagai bakal Menteri Besar negeri ini sekiranya gabungan pakatan pembangkang tersebut menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Bagaikan melepaskan geram kepada Husam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sikap sering bersaing untuk me­nunjukkan kekuatan masing-masing dan tidak menghormati parti-parti lain dalam gabungan telah menyukarkan hasrat tersebut.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila DAP tanpa menghiraukan sekutunya untuk menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itulah sikap sebenar DAP yang telah difahami oleh Pas sejak sekian lama. Sebab itu kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini apabila merasakan dia kuat, dia akan menguasai.

“Kalau DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak akan mudah untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi Menteri Besar.

“Jadi, apa yang Pas kata sebelum ini telah terbukti berlaku dalam PH. Sekarang PH dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu awal minggu ini,  Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata, pengumuman oleh Kit Siang mengenai pemilihan Husam itu adalah satu pengiktirafan dan penghormatan yang besar.

Beliau berkata, pemilihan Husam itu juga jelas menunjukkan bahawa DAP mempunyai kuasa untuk menentukan siapa pemimpin di negeri ini manakala parti lain seperti AMANAH dan PPBM hanya ‘pak turut’.

“Kami Pemuda Pas Kelantan merakamkan ucapan ‘tahniah’ kepada Husam kerana bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan kerana bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan daripada pemimpin agung itu sekali gus penghormatan daripada DAP.
“Jarang anak Melayu menerima pengiktirafan seperti ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir DI Pasir Mas semalam.

Ahmad Fadhli berkata, agak mustahil untuk Husam menjadi Menteri Besar di negeri ini kerana rakyat sudah membuat keputusan untuk menolak pemimpin atau mana-mana pihak yang bersekutu dengan DAP.

Katanya, malah pengumuman Kit Siang itu bertambah sukar untuk direalisasikan kerana Husam dikatakan ditolak oleh Istana Kelantan untuk dilantik dalam kerajaan negeri sebelum ini.


 “Bagi saya, pengumuman yang dibuat oleh Kit Siang ini akan menoktahkan karier Husam dalam politik Kelantan kerana rakyat negeri ini jelas menolak kepemimpinan DAP,” katanya.

Monday, June 12, 2017

Rakyat Akan Jatuhkan PAS Kelantan, Bukan AMANAH - Husam


Rakyat Kelantan sudah cukup hujah untuk menjatuhkan PAS pada pilihan raya akan datang dan AMANAH hanyalah berusaha mengganti bagi meneruskan pentadbiran Islam yang diasaskan oleh almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu.

Naib presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya beliau mendapat dana dari seorang Cina untuk menjatuhkan PAS Kelantan.

"Seorang pengguna facebook yang menggunakan nama Wan Zawawi W Ismail telah memfitnah saya dalam status yang dimuatkannya.

"Ini satu fitnah dan saya sedang menyiasat akaun sebenar pemilik fb ini walaupun ramai memberitahu akaun ini milik ketua eksekutif PKINK, Datuk Wan Zawawi." katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru, Salor, semalam.

Menurut Husam, pelbagai tindakan yang dilakukan kerajaan PAS sekarang sudah cukup untuk ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Pengendalian pembangunan dibuat dengan cara merugikan rakyat dan begitu menyebelahi pihak pemaju.

"Di Lembah Sireh perjanjian untuk kemudahan rakyat dilupuskan begitu saja.

"Di Kampung Laut, rakyat tidak dirundingi dahulu sebelum tanah mereka diambil.

"Kini di Lembah Binjai pula kerajaan terang-terang menipu apabila memberitahu tuan-tuan tanah telah bersetuju tanah mereka diambil sedangkan sebenarnya mereka tidak pun diberitahu di peringkat awal," katanya.

Kerajaan juga katanya gagal merancang untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar.

"Pengurusan sampah begitu teruk dan keluhan orang ramai tidak dipeduli malah diancam kononnya mereka yang mempersoalkan hal sampah akan masuk neraka.

"Orang Asli dilayan dengan buruk semata-mata cuba mempertahankan hutan sekitar mereka dan air sungai yang bersih untuk meneruskan kehidupan.

"Pemerintahan yang jadikan rakyat musuh seperti ini tentu akan jatuh dan jangan salahkan parti seperti AMANAH.

"Sebagai parti Islam AMANAH memikul tanggungjawab untuk memastikan pentadbiran Islam berdsarkan al-Quran dan memihak kehendak rakyat terus kekal di negeri ini selepas pilihan raya nanti," katanya.

(malaysiadateline.com)

Monday, June 5, 2017

Apakah Pertandingan Tiga Penjuru Di Kebanyakan Kerusi DUN Kelantan?


Kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bahawa  Pas akan bertanding 100 peratus di Kelantan akan membuka kepada pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna pada kesemua 45 kerusi DUN, PAS akan bertanding. Ketika ini PAS memiliki 32 kerusi DUN, UMNO/BN 12 dan PKR hanya satu sahaja.

Ini jika tiada kerjasama antara PAS dan UMNO. Sebaliknya jika mereka ‘tidur sebantal’, bagaimana pula?

Apakah UMNO sanggup melepaskan 12 kerusi miliknya sekarang atau bagaimana?

Sebagai parti pemerintah negeri, PAS wajar memaklumkan demikian tetapi pertanyaan ialah apakah PAS Kelantan tidak akan bekerjasama dengan UMNO Kelantan jika berpendirian sedemikian?

Apakah PAS yakin menang jika tidak bekerjasama dengan UMNO/BN atau parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Atau apakah PAS sudah nekad ia mahu bersendirian?

Atau  apakah kenyataan Ahmad ini hanya gimik pilihan raya sedangkan sudah ada kesepakatan antara PAS dan UMNO ‘di balik tabir’.


Kenyataan Ahmad yang memaklumkan bahawa parti Islam itu akan bertanding di semua kerusi di Kelantan  dalam PRU14 akan datang menguatkan lagi spekulasi mengenai apa yang diperkatakan di Kelantan sekarang.

Cakap-cakap bahawa untuk kerusi DUN, PAS akan bertanding semua sementara untuk kerusi Parlimen pula, UMNO akan bertanding di kebanyakan kerusi untuk menjamin Barisan Nasional (BN) terus memerintah di Putrajaya.

Pakatan dan ‘perjanjian di balik tabir’ ini bukan  lagi sesuatu yang menjadi rahsia. Ini kerana gerakan-gerakan UMNO menggunakan ustaz PAS untuk tujuan tazkirah dan ceramah agama pada majlis-majlis UMNO pada Ramadan ini sudah menggambarkan segala-galanya.

Sejauh mana dan sebanyak mana PAS akan menyerahkan kerusi Parlimennya kepada UMNO/BN untuk bertanding di Kelantan masih jadi tanda tanya.

Ketika ini PAS memiliki sembilan (9)  kerusi Parlimen dan UMNO/BN hanya ada lima (5) kerusi dan apakah PAS akan berkompromi jika UMNO/BN memberikan laluan kepadanya?

Namun daripada kenyataan Ahmad ini, amat nyata PAS akan pertahankan apa sahaja yang tinggal baginya di Kelantan kerana agak sukar untuk PAS pada pilihan raya kali ini, termasuk di Terengganu dan Kedah.

Dengan terputusnya tahaluf siyasi antaranya dengan PKR, PAS juga terpaksa ‘berlakon’ di Selangor dan apa yang dapat dilihat, PAS mengamalkan ‘cara berpolitik mengikut negeri’.
Ketika ia mengatakan kerjasama politiknya dengan PKR sudah putus, di Selangor dan Kelantan, masih berlaku.


EXCO PAS masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan pegawai PKR yang dilantik ooleh kerajaan Kerajaan masih berkedudukan dalam jawatan masing-masing.

Mungkin kerana kedudukan ini Ahmad menegaskan bagi kerusi PKR di Kelantan pihaknya akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

“Pas akan bertanding di semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini dan untuk kerusi PKR, kita akan lihat dulu sama ada ingin letak calon atau pun tidak," katanya selepas Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan, malam tadi.

Masa masih ada untuk melihat sandiwara PAS di Kelantan dan walaupun melihat dirinya kuat, PAS tentunya tetap bimbang bahawa ia mungkin akan kehilangan kerajaan negeri jika percaturannya salah.

Peringatan ialah, Jangan sekali-kali PAS perkecilkan kekuatan AMANAH dan PPBM di Kelantan!