Showing posts with label Amanah. Show all posts
Showing posts with label Amanah. Show all posts

Monday, June 12, 2017

Rakyat Akan Jatuhkan PAS Kelantan, Bukan AMANAH - Husam


Rakyat Kelantan sudah cukup hujah untuk menjatuhkan PAS pada pilihan raya akan datang dan AMANAH hanyalah berusaha mengganti bagi meneruskan pentadbiran Islam yang diasaskan oleh almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu.

Naib presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya beliau mendapat dana dari seorang Cina untuk menjatuhkan PAS Kelantan.

"Seorang pengguna facebook yang menggunakan nama Wan Zawawi W Ismail telah memfitnah saya dalam status yang dimuatkannya.

"Ini satu fitnah dan saya sedang menyiasat akaun sebenar pemilik fb ini walaupun ramai memberitahu akaun ini milik ketua eksekutif PKINK, Datuk Wan Zawawi." katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru, Salor, semalam.

Menurut Husam, pelbagai tindakan yang dilakukan kerajaan PAS sekarang sudah cukup untuk ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Pengendalian pembangunan dibuat dengan cara merugikan rakyat dan begitu menyebelahi pihak pemaju.

"Di Lembah Sireh perjanjian untuk kemudahan rakyat dilupuskan begitu saja.

"Di Kampung Laut, rakyat tidak dirundingi dahulu sebelum tanah mereka diambil.

"Kini di Lembah Binjai pula kerajaan terang-terang menipu apabila memberitahu tuan-tuan tanah telah bersetuju tanah mereka diambil sedangkan sebenarnya mereka tidak pun diberitahu di peringkat awal," katanya.

Kerajaan juga katanya gagal merancang untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar.

"Pengurusan sampah begitu teruk dan keluhan orang ramai tidak dipeduli malah diancam kononnya mereka yang mempersoalkan hal sampah akan masuk neraka.

"Orang Asli dilayan dengan buruk semata-mata cuba mempertahankan hutan sekitar mereka dan air sungai yang bersih untuk meneruskan kehidupan.

"Pemerintahan yang jadikan rakyat musuh seperti ini tentu akan jatuh dan jangan salahkan parti seperti AMANAH.

"Sebagai parti Islam AMANAH memikul tanggungjawab untuk memastikan pentadbiran Islam berdsarkan al-Quran dan memihak kehendak rakyat terus kekal di negeri ini selepas pilihan raya nanti," katanya.

(malaysiadateline.com)

Saturday, September 10, 2016

Bolehkah Politik Kelantan Dipisahkan Daripada ‘Tok Guru Nik Aziz’?


Anaknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Ketua Pemuda PAS yang juda Ahli Parlimen Pasir Mas) sering menggunakan nama ‘Tok Guru’ dalam beberapa kenyataannya.

 Sementara pemimpin AMANAH, khususnya Datuk Husam Musa pula sering mengaitkan nama ‘Tok Guru’ untuk memperkukuhkan hujahnya dalam perkara-perkara tertentu.

Husam yang terbuang selepas ketiadaan ‘Tok Guru’, hakikatnya sudahpun ‘dibuang keluar dari Kelantan’ ketika ‘Tok Guru’ masih di penghujung hayatnya.

Kini Husam  berusaha mendapatkan simpati dan sokongan menggunakan nama ‘Tok Guru’ bagi menyambung karier politiknya.

Malah Ahli Dewan Undangan (ADUN) tunggal AMANAH  di Kelantan itu baru-baru ini berkata rakyat Kelantan perlu memilih satu kerajaan yang meneruskan cara Tok Guru Nik Aziz jika mahu negeri itu maju dan selamat pada masa hadapan.

Persoalannya, apakah  ‘Tok Guru’ yang sudah meninggalkan PAS dan Kelantan itu benar-benar meletakkan Kelantan sebagai negeri yang berjaya?

Apakah Kelantan boleh dijadikan model pembangunan mapan dan pentabdiran yang berintegriti sesuai dengan labelnya sebagai sebuah ‘Serambi Mekah’?

Apakah ketika pemerintahan ‘Tok Guru’ Kelantan berada dalam keadaan yang baik ekonominya dan mantap pendtadbirannya?

Bolehkah Kelantan dijadikan sebagai salah sebuah negeri yang maju di Malaysia?

Juga apakah Kelantan negeri yang aman, damai dan bebas jenayah berbanding negeri lain?

Bolehkah dikatakan Kelantan bebas rasuah dan bersih pentadbirannya?

Bolehkah Kelantan disifatkan negeri yang berjaya memenuhi keperluan rakyat, khususnya keerluan asas seperti rumah rakyat, air bersih, peluang perniagaan, kemudahan kesihatan, jalan raya dan pengangkutan yang mengatasi negeri-negeri lain di Malaysia?


Apakah Kelantan negeri yang tergolong sebagai negeri bersih di Malaysia?

Yang dibangga-banggakan mengenai Kelantan ialah kononnya ‘politik Islam’ segar di negeri itu, sedangkan hakikatnya, apabila Nik Aziz tiada, Kelantan menjadi ‘kuca-lembe’.

Persoalannya yang perlu dijawab oleh mereka yang memuja Nik Aziz ialah apakah apabila dia meninggalkan Kelantan, negeri itu dalam keadaan ekonominya baik, maju, bebas rasuah dan memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam?

Jika tidak, kalau hanya mahu mengambil beberapa aspek kecil ciri-ciri ‘Tok Guru’, tidak payahlah diagung-agungkan beliau sebagai pentadbir yang berjaya.

Malah, Husam turut terpalit dengan ‘kegagalan kemajuan di Kelantan’ kerana beliau sendiri pernah menjadi orang kanan ‘Tok Guru’.

Cumanya kini, jika beliau berjaya dengan AMANAH untuk memerintah Kelantan, beliau boleh memperbaiki atau menyelesaikan misinya yang belum selesai selama ini. Dengan kata lain, ‘menebus dosa’ yang lalu.

Kerana itu, biarlah Nik Mohd Abduh atau beberapa yang taksub sahaja berulang-ulang menyebut ‘Tok Guru’. Itupun bertujuan penyatuan pemimpin dalam PAS yang kini  semakin berpecah.

Memang diakui ketika hayatnya, faktor ‘Tok Guru’ penting dalam konteks penyatuan dalam PAS khususnya di Kelantan tetapi selepas peninggalannya terbukti bahawa apa yang dikatakan sebelum ini bahawa memang wujud perpecahan di kalangan pemimpin PAS, khususnya di kalangan ulama dan progresif, adalah kenyataan.

Penubuhan AMANAH menjawab segala-galanya.


Jadi, jika AMANAH berjuang hanya untuk mendapatkan sokongan penyokong PAS, maka ia tidak akan berkembang jauh.

Namun berasaskan kepada apa yang disebut Husam bahawa AMANAH  menawarkan pentadbiran Islam lebih baik dan memfokus untuk menyelesaikan isu-isu rakyat bila diberi peluang menjadi kerajaan di Kelantan, ia menjanjikan sesuatu yang boleh diletakkan harapan.

Husam tidak perlu ada kaitan dengan ‘Tok Guru’ kerana memang Islam mengutamakan rakyat miskin dan mereka yang kekurangan keperluan asas, bukan mengejar taukey besar untuk dapat habuan segera.

Boleh menjadikan rujukan mengenai sifat ‘cakna’ kepada orang miskin yang ditunjukkan ‘Tok Guru’ namun Husam dan AMANAH tidak boleh lagi mengambil bayang-bayang PAS jika mahu terus ke hadapan.

Tidak perlu bernostalgia dengan ‘Tok Guru’ dalam menyatakan dasar dan perjuangan.

Yang penting AMANAH perlu berusaha keras bagi membawa Islam yang mencari penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi termasuk masalah air, sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan menaikkan taraf hidup rakyat di kampung-kampung.

Kalau AMANAH diberi kuasa menurut Husam, salah satu usaha terpenting adalah menjadikan semua guru YIK adalah tetap dan berpencen.

Benar Husam sedang memperteguhkan pengaruhnya di Kelantan, namun Husam juga adalah tokoh nasional dan sewajarnya terus memperkatakan isu membanteras rasuah, membela rakyat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perumahan, menambah pendapatan dan mencari jalan mengatasi tekanan hidup akibat kenaikan harga barang.

Memanglah bukan PAS sahaja yang memperjuangkan Islam. Malah, AMANAH turut memperjuangkan Islam. UMNO juga memperjuangkan Islam.

Namun apakah perbezaan antara ketiga-tiganya?

Menurut Husam, "Islam menganjurkan "Fastabiqul khoirat” yang bermaksud “Boleh berlumba-lumba dalam membuat kebajikan” dengan syarat membawa kepada Islam yang gagah.

Menjawab satu soalan hadirin pada satu majlis ramah mesra di kampung Cherang dalam kawasan Kota Bharu, Husam berkata tujuan AMANAH ditubuhkan serta hala tuju parti AMANAH berlandaskan dasar Islam yang diterjemahkan dengan bijaksana sesuai dengan keadaan di Malaysia.

"Misalnya, di tempat kita terdapat ada bangsa Cina, india dan Melayu, jika kita memperjuangkan hanya dasar bangsa Melayu semata-mata, Islam tidak akan dapat naik untuk memerintah," katanya.

Walaupun nampak mudah, namun usaha Husam pastinya akan berdepan dengan berbagai rintangan.

Beliau bukan sahaja berdepan dengan UMNO tetapi PAS Kelantan akan berusaha untuk menenggelamkan beliau.

‘Dendam’ pemimpin PAS Kelantan dan PAS Terengganu terhadap Husam akan dapat dilihat bagaimana mereka memerangi Husam selepas ini.

PAS Kelantan dan PAS Pusat tidak akan berdiam diri. Husam juga mungkin akan disekat daripada terus ‘menggunakan nama Tok Guru’ dalam perjuangan politiknya.


Sebelum ini pun sudah ada kenyataan Nik Mohamad Abduh supaya Husam jangan menggunakan nama arwah ayahnya untuk tujuan politik.

Kerana itu adalah baik Husam melupakan strategi menggunakan nama ‘Tok Guru’.

Ini  kerana Husam sudah  bersama AMANAH, perjuangannya kini sudah baharu.

Dengan bernostalgia mengenai ‘Tok Guru’ akan membawa gambaran seolah-oleh beliau masih ‘gila-talak  dengan PAS’ sedangkan hakikatnya, beliau sudahpun membuang jauh-jauh cara dan perjuangan lamanya melalui PAS.

Husam kini adalah Husam baharu.

Beliau kini menggendong perjuangan baharu bersama AMANAH, iaitu parti baharu yang diuar-uarkan sebagai menggantikan PAS.

Kerana itu adalah baik Husam tidak lagi mengaitkan dirinya serta membebaskan dirinya  daripada ‘Tok Guru’ dengan biarkan pemimpin PAS yang bernostalgia dengannya.

Husam baharu perlu berwajah baharu dengan idea dan wawasan perjuangan yang baharu.

AMANAH perlu dilihat parti baharu, bukan parti yang bersalin kulit daripada PAS.

Persoalannya bersedia dan dapatkan Husam dan AMANAH memisahkan dirinya daripada ‘bau dan pengaruh’ Tok Guru dalam menjayakan wadah perjuangan dalam politik Malaysia yang semakin mencabar?

Wednesday, August 31, 2016

Husam Mahu AMANAH Ambil Alih Pemerintahan PAS Di Kelantan


“Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir."

Sah sudah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kini menyertai Parti AMANAH Negara (Amanha). Beliau kini memakai ‘jersi oren’.

Apakah yang menyebabkan beliau memilih AMANAH?

Apakah antara matlamat beliau menyertai AMANAH?

Husam mahu AMANAH mengambil alih pemerintahan PAS di Kelantan.

Ia kerana katanya PAS dilihat gagal menyelesaikan masalah yang berlaku di negeri itu, malah isu berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB, parti Islam itu dilihat hanya "goyang kaki" tanpa mengambil apa-apa tindakan.

“(Rakyat Kelantan) nak minta izin AMANAH ambil alih pemerintahan Kelantan. Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB.

“Dan PAS pula goyang kaki. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir.

“Kita tidak marah bina tugu tetapi lebih baik siapkan dulu rumah mangsa banjir,” katanya.

Baginya, AMANAH adalah parti yang meneruskan perjuangan asal PAS.

Kenapa pula dengan PAS? “PAS telah dikhianati oleh orang PAS sendiri," kata Husam berucap mengumumkan ‘perpindahannya yang sebelum ini tanpa kelab’ selama beberapa bulan.


Husam menyatakannya pada majlis Makan Malam Ambang Merdeka bersama YB Datuk Husam Musa di Cyberjaya di Cyberjaya.

ADUN Salor itu membuat keputusan menyertai AMANAH juga selepas mendapat pandangan ramai orang yang ditemui yang menyarankannya menyertai AMANAH.

Mereka termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang. Maknanya Husam mendengar pendapat termasuk mereka yang di bawah atau kalangan rakyat biasa.

Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.

Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu, susulan lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.

AMANAH bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam Pakatan Harapan.

Walaupun tidak begitu mengejutkan pengumuman rasmi penyertaan Husam dalam AMANAH dinanti kerana sebelum ini pembabitannya dengan parti serpihan PAS itu sekadar khabar angin saja.

Selepas membuat sedikit alu-aluan Husam dengan tenang dan bersahaja mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH.

Katanya selepas dipecat daripada PAS beliau tidak berasa gelisah atau resah.


“Kita semua tenang dengan Islam, kita senang dengan perjuangan Islam oleh itu kita masuk PAS. (Kemudian selepas dipecat) sekarang ada AMANAH, ia menenteramkan hati saya.

"Ia bertepatan dengan apa yang al-Quran beritahu - "jangan kamu bimbang dan takut (jika bersama Islam". Sekarang saya masuk AMANAH supaya hati saya tenteram.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang hadir di majlis makan malam Di Ambang Merdeka itu.
Kemunculan di atas pentas AMANAH malam tadi bukanlah kali pertama buat Husam.

Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Mohamad Sabu menyifatkan penyertaan Husam tepat padanya kerana parti itu memerlukan individu yang mahir mengenai ekonomi.

“Dari segi angka, saya jauh kalah dengan Husam. Orang seperti dia (boleh) banyak mainkan peranan,” katanya.

Mohamad turut menyeru supaya Husam membawa lebih ramai lagi rakan-rakannya ke dalam AMANAH dalam usaha parti baru itu menuju ke Putrajaya dan selaras dengan prinsip parti itu, Islam rahmat kepada semua.

“Husam, jangan datang seorang, ajak ramai-ramai. (Kita kena) bekerjasama dengan semua pihak untuk betul-betul realisasikan Islamrahmatan lil amin,” katanya.

Sementara itu pada sidang media selepasnya Mohamad berkata AMANAH akan bermesyuarat untuk membincangkan posisi yang sesuai untuk diberikan kepada Husam.


"Kami akan bincang termasuk (dalam) mesyuarat bagi mencari posisi sesuai bagi orang berpengalaman dan berpengaruh seperti Husam ini," katanya.

Sunday, May 15, 2016

Edah PAS Halang Husam Umum 'Cintanya' Dengan Sebuah Parti



Islam ajar jangan terburu buru kata Husam.

ADUN Salor, Datuk Husam Musa malam 13 Mei mengakui telah jatuh cinta kepada satu parti setelah di"cerai"kan oleh parti asal beliau tetapi tidak dapat umumkan sekarang kerana masih dalam edah.

"Masa dalam edah ni tak boleh sesiapa masuk meminang apa lagi di khalayak ramai macam ni," kata Husam merujuk kepada pelawaan Pengerusi Amanah Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di majlis makan malam Selamatkan Malaysia anjuran Amanah Pasir Puteh di sebuah resort di Tok Bali, dekat Pasir Puteh.

Wan Rahim yang berucap sebelum itu mencadangkan supaya beliau segera menyarung sut oren sebagai tanda menyertai Amanah dan meminta sehelai baju berlogo Amanah dihadiahkan kepada Husam.


Seorang peserta makan malam kemudian membawa baju warna oren untuk diserah kepada Husam namun beliau hanya mengambil baju tersebut tapi tidak memakainya.Lebih seribu hadir di makan malam pertama kehadiran Husam selepas dipecat Pas.

Dalam ucapannya beliau terus menyatakan belum menerima sebarang surat berhubung pemecatannya dan hanya mengetahui hal tersebut daripada media atau pihak lain.

"Ada orang minta saya merayu, tapi apa yang saya nak rayu kerana kesalahan saya pun sehingga ini tidak diberitahu," kata beliau.

Berkenaan tuduhan beliau juga kononnya menerima rasuah berkaitan balak beliau mencabar mana-mana pemimpin negeri untuk mendedahkan akaun masing-masing untuk dinilai rakyat.

"Datuk Ahmad Yakob, Datuk Nik Amar Abdullah atau mana-mana pemimpin boleh umum akaun bank masing-masing untuk tunjuk kedudukan kewangan masing-masing.
.
"Saya boleh dedahkan akaun saya, mereka buka akaun mereka, kita tengok berapa banyak duit saya ada sehingga terus menerus buat fitnah," kata beliau.

Amanah Pasir Puteh mendapat pujian penasihat Amnah atas kejayaan mengerakkan parti peringkat akar umbiBerkenaan kempen turunkan Najib melalui gerakan Selamatkan Malaysia, beliau yakin sokongan besar akan diberi oleh rakyat.

"Sekarang dah dapat 1.27 juta tandatangan dan kita akan serah kepada Yang Dipertuan Agong dan selepas ini kita akan menggerakkan banyak lagi usaha sehingga gerakan ini menjadi kenyataan," katanya.
Tajuk asal -  Saya jatuh cinta kepada satu parti tapi tak boleh sebut kerana dalam edah, kata Husam

Friday, May 13, 2016

Amanah Jangan Lebih Gebang, Buktikan 10 Wakil Rakyat PAS Lompat


Mana janji Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan untuk mengumumkan 10 wakil rakyat PAS yang bakal lompat parti selepas Datuk Husam Musa dipecat?

Malah, siapa kata PAS Kelantan tergugat selepas bekas naib presidennya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kubang Kerian Datuk Husam Musa, dipecat oleh PAS minggu lalu.

Amanah jangan gebang (cakap besar) berlebih-lebih...

Jika Amanah gagal untuk membuktikan akan ada Adun PAS yang lompat kepadanya, ini akan menghakis keyakinan rakyat Kelantan terhadap Amanah.

Malah, kegagalan itu juga akan membuktikan kebenaran bahawa isu ADUN PAS lompat hanya propaganda Amanah.

PAS Kelantan semalam menafikan wujudnya perpecahan akibat pemecatan Husam, tegas Setiausaha PAS negeri itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau menolak dakwaan yang dilemparkan segelintir pihak, malah menegaskan parti itu masih menerima sokongan kuat di peringkat akar umbi.

"Setakat ini, perkembangan adalah positif walaupun sebelum ini dikatakan akan ada 10 wakil rakyat PAS akan keluar parti namun sehingga kini masih tiada apa-apa.

"Apa yang saya lihat sokongan di seluruh negeri masih kuat dan kita juga membuat tindakan memperkukuhkan jemaah," katanya ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Bio Kelantan 2016 di Kota Bharu semalam.

Pada 7 Mei lalu Pengerusi Amanah,  Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berjanji untuk mengisytiharkan 10 wakil rakyat PAS yang akan menyertai Amanah sehari selepas Husam bukan lagi menjadi ahli parti Islam itu.

Mempertahankan kredibiliti Amanah, Wan Rahim secara jelasnya memberitahu perkara tersebut bukan cakap-cakap kosong dan juga bukan gimik politik semata-mata.

Lima nama Yang Berhormat atau Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang bakal bersama parti progresif itu sudah disebut oleh Wan Rahim.

 Namun perkara itu hanya akan diumumkan hanya selepas bekas Naib Presiden PAS itu menerima surat pemecatan ahli secara rasminya.

Sementara pada 10 Mei lalu, Wan Rahim berkata Amanah masih  menunggu pendirian Husam yang dipecat daripada parti, sama ada mahu menyertai parti serpihan PAS itu atau tidak.

Wan Rahim berkata pihaknya enggan membuat sebarang kenyataan lagi sehingga Husam membuat kenyataan selepas menerima surat rasmi pemecatan.

“Kita masih lagi menunggu kenyataan rasmi daripada Datuk Husam selepas beliau mendapat surat pemecatan.

“Masa pun panjang lagi dan segala kemungkinan boleh berlaku tetapi pada masa ini tidak ada ADUN PAS Kelantan menyertai Amanah,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini turut menyangkal dakwaan 10 Adun parti itu akan menyertai Amanah selepas Husa dipecat.

Mohd Amar menyifatkan ia hanya sebagai propaganda Pengerusi Amanah Kelantan, itu bagi mewujudkan suasana kelam kabut dalam PAS.

"Saya percaya tiada ahli PAS yang akan lompat parti," katanya.

Husam, yang juga Adun Salor dipecat berkuatkuasa 23 April lalu selePAS Jawatankuasa Tataterib PAS mendapati beliau melanggar perlembagaan parti.

Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Sebelum ini, Husam lantang menyerang parti dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, Husam masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

"Dari segi perlembagaan, mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, boleh merayu kepada Jawatankuasa PAS Pusat dalam tempoh sebulan. Kalau rayuan tidak diterima oleh PAS pusat, dia boleh bawa lagi rayuan ke Majlis Syura," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan,  Datuk Hassan Mahmood memberi amaran bahawa Parti Amanah tidak akan bertahan lama memandangkan ia berjuang atas dasar ‘tidak sebulu’ (selisih pendapat) antara pimpinan PAS dan bukan atas tiket perjuangan.

Katanya,  penubuhan parti itu adalah hasil daripada serpihan pimpinan Pas terdahulu yang tidak berpuas hati menyebabkan wujudnya Amanah.

“Banyak pengalaman menunjukkan jika sesebuah parti ditubuhkan kerana selisih pendapat dan bukan perjuangan, maka akan berlaku perpecahan dan kembali kepada parti asal atau sebaliknya.


“Namun ia bukan perkara pelik dan saya yakin parti Amanah tidak akan bertahan lama kerana ia wujud bukan berdasarkan perjuangan, tetapi lahir akibat perasaan tidak puas hati terhadap Pas itu sendiri,” katanya.

Sunday, May 8, 2016

Wan Rahim Undur Diri, Husam DiLantik Pengerusi Amanah Kelantan?


Daripada gaya percakapan, nampaknya  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa masih sayangkan PAS.

Bagaimanapun,  perkembangan terakhir beliau sedang ditunggu-tunggu.

Husam pun belum menyatakan pendiriannya yang jelas mengenai kedudukannya terkini selepas dipecat oleh PAS.

Menariknya, Parti Amanah Negara (Amanah) sekali lagi menawarkan jawatan pengerusi parti itu di peringkat negeri kepada Husam.

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata beliau sedia berundur daripada jawatan itu bagi memberi laluan kepada Husam untuk menerajui parti itu di peringkat negeri.

"Amanah Kelantan bukan setakat mengalu-alukan kehadiran Husam sebagai anggota amanah, bahkan seperti yang saya sebut dahulu, saya pegang jawatan itu untuk Husam.

"Jadi sebaik sahaja dia (Husam) hadir (sertai Amanah) saya akan memberikan kepimpinan Amanah Kelantan kepada beliau," katanya pada satu majlis partiitu yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad di Kota Bharu, semalam..

Mahukah Husam?

Februari lepas, Wan Abdul Rahim dipetik sebagai berkata beliau akan memberi laluan kepada Husam untuk menjawat jawatan Pengerusi Amanah Kelantan jika Husam dipecat daripada PAS.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang parti dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Ditanya mengenai dakwaan 10 wakil rakyat PAS akan menyertai parti itu selepas Husam dipecat, Wan Abdul Rahim berkata: "Insya-Allah, tapi belum masa lagi lah."

Sementara itu, Khalid berkata pemecatan Husam daripada PAS mencerminkan parti itu kini telah banyak berubah, sekali gus menunjukkan PAS tidak mengkaji suasana politik semasa serta kesannya terhadap parti itu sendiri.

"Saya rasa dengan sikap mereka memecat Husam ini merupakan satu bukti bahawa sebenarnya keadaan dalam PAS taklah seperti dahulu.

"Ini akan mendatangkan kesedaran dalam kalangan rakyat Kelantan bahawa suasana (politik sedang) berubah dan saya yakin rakyat Kelantan akan mendesak supaya Amanah berperanan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk halang kemenangan Barisan Nasional (BN) (di negeri ini)," katanya.

Wednesday, November 11, 2015

AMANAH Mahu Selamatkan 'Kerajaan Islam' Kelantan Daripada PAS


Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH) Mohamad Sabu sudah melepaskan peluru di Kelantan.
Katanya, di Pasir Mas semalam, parti itu bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Apakah kerajaan PAS Kelantan kini tidak lagi berfungsi sebagai ‘kerajaan Islam’ sehingga memerlukan AMANAH menyelamatkannya?

Walaupun beliau mengatakan akan lihat dulu sokongan yang akan diterima AMANAH namun ia hanya bermain dengan kata-kata. Hakikatnya AMANAH berani masuk Kelantan kerana beberapa sebab.

Paling utama ialah ia merupakan kawasan pengundi Melayu-Islam. Malah, mereka menggelarkan diri mereka profesional dan progresif.

Selain faktor pengundi, perpecahan PAS yang mengakibatkan ramai pemimpin dan penyokong yang ‘lari’ ke AMANAH menjadi pembakar semangat untuk mereka.


Sementelahlah  PAS sendiri kini berdepan dengan kritikan pedas Datuk Husam Muda yang merupakan ADUN Salor terhadap kepimpinan negeri dalam pelbagai isu,  membuka ruang untuk AMANAH ‘manipulate’ mendapatkan keyakinan dan sokongan rakyat Kelantan.

Jika PAS mendakwa pengaruh AMANAH tidak kuat, ia hanya untuk ‘perang psikologi’ semata-mata.

Dengan kenyataan Mat Sabu mengatakan bahawa partinya bersedia untuk bertanding tiga penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, mengukuhkan andaian AMANAH benar-benar serius di Kelantan.

Akibat bimbang dengan pengaruh AMANAH, PAS menggunakan Bai’ah sebagai senjata penting dan strategi utama PAS untuk menahan lebih ramai pemimpinnya menyeberang ke parti serpihan PAS itu.

Lebih jauh, pada 25 Ogos lalu, Dewan Ulama PAS Pusat menyatakan sokongan penuh ke atas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyarankan mana-mana wakil rakyat PAS yang telah menyertai Parti AMANAH Rakyat meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat PAS.
 
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menyifatkan saranan tersebut sebagai kenyataan yang rasional memandangkan mereka yang menyertai Parti AMANAH Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu dengan menggunakan tiket PAS.
 
“Mereka yang menang sebagai wakil rakyat dalam PRU yang lalu bukanlah atas kaPASiti peribadi tetapi atas PAS berlambang bulan dengan bantuan penuh dari sudut kewangan dan tenaga kerja.
 
Katanya lagi, sepertimana wakil rakyat yang telah keluar dari parti tersebut sebelum ini, mana-mana wakil rakyat yang berhasrat untuk meninggalkan parti selePAS ini juga perlu meletak jawatan serta tidak dibenarkan menikmati gaji juga elaun harian sebagai wakil rakyat PAS.
 
“Sebagaimana ikrar mereka segala gaji dan elaun yang mereka peroleh adalah haram atas mereka,” katanya.

Sampai ke perkara  gaji dan elaun pun PAS ungkit tetapi yang sudah menyeberang nampaknya buat tidak faham atau ‘lembu kenyang’.

Biarpun hakikatnya di Kelantan PAS nampak boleh bertahan, namun kebimbangan tetap ada jelas bahawa pengaruh AMANAH di beberapa kawasan semakin menonjol.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah terpaksa membuat kenyataan bahawa PAS Kelantan yakin 10 wakil rakyatnya di negeri itu tidak akan menyertai AMANAH.

Beliau menyifatkan dakwaan ada pemimpin akan melompat parti hanya khabar angin atau gerak saraf daripada pihak lawan.


Beliau mengulas mengenai dakwaan pengerusi AMANAH negeri ini Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang dilapor sebagai berkata 10 wakil rakyat PAS di negeri ini akan menyertai AMANAH pada Januari tahun depan.


Sebelum ini, selain kenyataan Wan Abdul Rahim mengenai ADUN PAS, dikatakan kerajaan Kelantan turut membuat pemeriksaan terhadap kakitangan kerajaan sekiranya ada yangmenyokong AMANAH.

Menurut sebuah blog, dengan tajuk "Pimpinan Ahmad Yaakub Sudah Tidak Diyakini?"  tersebar sekeping surat perkeliling yang dikeluarkan oleh pejabat MB Kelantan yang mengarahkan ketua-ketua jabatan di negeri itu agar membuat semakan dan pemeriksaan terhadap kaki tangan masing-masing yang terlibat dengan sebarang kegiatan yang bercanggah dengan dasar kerajaan dan terlibat dengan parti AMANAH.

Lebih mengejutkan, perhimpunan raksasa PAS di Kota Baru bulan lalu bukan bukti menunjukkan parti Islam itu masih relevan di kawasan majoriti Melayu dan boleh berbangga dengan sokongan anak muda Islam di Kelantan.

Sebuah firma kaji selidik bebas mendakwa separuh ahli dan penyokong PAS di Kelantan akan menyokong AMANAH dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka kebanyakannya daripada golongan muda, profesional serta bekas penyokong Berjasa dan Hamim sebelum ini.

Kini lebih 15 peratus ahli PAS di Kelantan menyertai AMANAH manakala 35 peratus lagi masih berada dalam parti yang memerintah negeri Kelantan itu kerana tidak mahu menimbulkan masalah dengan kerajaan negeri yang dikuasai PAS itu.

Pengerusi Eksekutif Ilham Center Mohamad Hisomuddin Bakar yang mengkaji politik di Kelantan menemui fakta ini dalam kajian mereka yang terkini.

“Kami dapati sangat ramai aktivis Berjasa dan Hamim selama ini yang menyertai AMANAH apabila ia ditubuhkan, di samping profesional dan golongan remaja yang menyertai parti baharu itu di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, ramai penyokong AMANAH yang memegang jawatan di bawah kerajaan negeri Kelantan. Mereka terdiri daripada wakil rakyat, ahli majlis kerajaan tempatan, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penghulu, guru halaqat dan jawatan politik kekal dengan PAS.

Berita ini pastinya tidak menyenangkan PAS dan kerana itu Mat Sabu berani mengatakan semalam bahawa kalau sambutan dan sokongan begitu hebat, AMANAH akan bincang pada waktu itu untuk bertanding di Kelantan.

Gerakan AMANAH di Kelantan kini tidak secara sembunyi apabila semalam beliau mengadakan  ceramah di Kampung Padang Embun di PASir Mas.

Ketika ini, AMANAH sedang memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Namun dengan ‘serangan’ yang agak bertubi-tubi di Kelantan, jelas AMANAH akan menjadikan ia sebagai sasaran pentingnya.

Kedudukan ini pasti menggugat PAS, apalagi jika benar AMANAH mahu mengambil alih tangggungjawab untuk menggembalikan ‘kerajaan Islam’ di Kelantan.

Friday, September 18, 2015

PAS Bimbang 10 Wakil Rakyatnya Di Kelantan Sertai Amanah...


PAS Kelantan yakin 10 wakil rakyatnya di negeri itu tidak akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang sedang dalam proses pendaftaran.

ia menyifatkan dakwaan untuk melompat parti hanya khabar angin atau gerak saraf daripada pihak lawan.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam, parti itu (Amanah) pun tak ada lagi, sekarang yang ada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

"Kita kena tengok dulu. Dia (Amanah) kena pastikan ia wujud terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan pengerusi Amanah negeri ini Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang dilapor sebagai berkata 10 wakil rakyat PAS di negeri ini akan menyertai Amanah pada Januari tahun depan.

Sebelum ini, selain kenyataan Wan Abdul Rahim mengenai ADUN PAS, dikatakan kerajaan Kelantan turut membuat pemeriksaan terhadap kakitangan kerajaan sekiranya ada yangmenyokong Amanah.

Menurut sebuah blog, dengan tajuk "Pimpinan Ahmad Taakub Sudah Tidak Diyakini?" beberapa hari lalu tersebar sekeping surat perkeliling yang dikeluarkan oleh pejabat MB Kelantan yang mengarahkan ketua-ketua jabatan di negeri itu agar membuat semakan dan pemeriksaan terhadap kaki tangan masing-masing yang terlibat dengan sebarang kegiatan yang bercanggah dengan dasar kerajaan dan terlibat dengan parti Amanah.

Yidak diketahui sejauh mana benar laporan berkenaan.

Antara jabatan yang terlibat dengan pekeliling itu ialah, Pusat Kajian Strategi yang merupakan badan kajian politik untuk Pas, Tabung Amanah Tok Kenali, merupakan tabung pendidikan, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusan Belia dan Sukan dan Urusan Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Kebajikan, Urusetia Penghulu dan Institiut Pemikiran Tokguru.

Surat arahan itu bertarikh 9 September 2015 dan arahan itu perlu diselesaikan pada 23 September 2015. Yang menanda tangan surat pekeliling itu ialah Setiausaha Politik MB, bernama Wan Mohd Roslan Wan Mamat.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata wakil rakyat PAS masih setia dengan parti dan tidak mudah untuk melompat parti kerana terikat dengan bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dikenakan PAS kepada semua wakil rakyatnya di Kelantan.

Beliau berkata kesemua mereka yang didakwa terlibat juga tidak perlu dipanggil untuk menjalani siasatan.

"Saya percaya dengan rakan-rakan saya di Kelantan, tak perlu panggil sebab kita kenal semua mereka dan kita tahu mereka akan kekal bersama kita," katanya.

"Kita tak pasti Amanah wujud atau tak sebab ia (penubuhannya) melibatkan soal undang-undang dan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Friday, November 11, 2011

Ramai Masih Kabur Tentang Angkatan Amanah Merdeka Pimpinan Ku Li

"...ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN...mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu. -Dr Sivamurugan Pandian (USM)

Oleh Alan Ting (Rencana Bernama 8 Nov 2011 )

Keputusan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menjadi presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat sivil, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, mencetuskan teka-teki di kalangan ramai ahli politik dan penganalisis politik.

Mengapa beliau harus menyertai sebuah NGO? Apakah agenda beliau terutama ketika beliau masih dianggap seorang pemimpin veteran UMNO dan Anggota Parlimen (MP) bagi Barisan Nasional (BN) yang memerintah?

"Apakah tujuan sebuah NGO sedemikian? Apakah langkah mereka seterusnya? Tiada MP mahu membentuk sebuah NGO tanpa sebarang agenda. Beliau punya sesuatu yang tersembunyi," kata ahli politik veteran MCA Datuk Yap Pian Hon, yang juga ketua publisiti BN Selangor.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) percaya ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN.

Beliau berkata mungkin mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu.

Tengku Razaleigh pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sementara timbalan presiden Amanah Datuk Seri Ong Tee Keat, pernah menjadi presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menteri pelancongan dan penerangan; dan Datuk S.Subramanian, timbalan menteri.

Ahli akademik itu berkata kita menunggu untuk melihat sama ada Amanah dapat mempengaruhi corak undian dalam pilihan raya umum akan datang.

Secara peribadi, beliau tidak fikir mereka boleh, tetapi jika mereka dapat menentukan tindakan mereka dengan betul, mereka boleh menjadi sebuah kuasa yang perlu diambil kira.

Beberapa orang peramal politik percaya Ku Li mungkin cuba meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya membuat tawaran: dengan berada dalam Amanah beliau mendapat kedudukan terbaik bagi mendapatkan tawaran terbaik dari kedua-dua puak politik bertentangan.

Misalnya, kata mereka, ini terutama berlandaskan latar belakang kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, disabitkan kesalahan terhadap tuduhan sodomi dan dimasukkan penjara.

Dan isteri beliau yang juga presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun selepas beliau meletak jawatan sebagai MP Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

Beberapa orang penganalisis berpendapat Tengku Razaleigh mungkin muncul sebagai calon untuk memimpin Pembangkang jika Anwar terpinggir.

Namun Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pula menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tetap menjadi calon pilihan tiga pihak dalam Pembangkang untuk jawatan perdana menteri sekalipun beliau diheret ke penjara.

"Tidak ada rundingan langsung (untuk Tengku Razaleigh menjadi pilihan Pembangkang untuk jawatan perdana menteri). Kami tidak tahu pendirian politik Ku Li," kata anggota CEC DAP Jeff Ooi.

"Beliau tidak boleh menaiki helikopter (pantas) (untuk ke atas). Kami (Pakatan Pembangkang PKR-DAP-PAS) telah bertungkus lumus membentuk sebuah fron alternatif. Jika beliau ingin menyertai kami, kami tidak akan terus menolaknya tetapi hakikatanya bagi kami, beliau setakat mempunyai taraf putera raja".

Ooi tidak fikir pemimpin-pemimpin Amanah boleh memberi sebarang cabaran langsung terhadap Pembangkang kerana beliau percaya kebanyakan mereka adalah dari "era sudah berlalu" dan kurang daya tarikan kini.

"Ambil Tengku Razaleigh sebagai contoh. Beliau orang luar kepada UMNO dan orang luar kepada PR (Pakatan Rakyat). Beliau hanya berada dalam kumpulannya sendiri.

Tidak membawa sebarang kerosakan kepada kami," kata beliau, dan menambah langkah putera Kelantan itu mengetuai Amanah hanya menarik sedikit perhatian.

Jadi apakah percaturan Amanah? Tengku Razaleigh masih "non-commital" dan samar-samar tentang rancangan.

Pada sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Amanah, Tengku Razaleigh berkata walaupun Amanah akan kekal sebagai sebuah NGO dalam masa terdekat, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan bergerak aktif dalam politik.

"Terpulang kepada anggota...Saya tidak kata ya atau kata tidak kerana ia bergantung pada anggota. Anda tidak boleh menolak apa jua perkara kerana kemungkinannya ada," kata beliau.

Bila ditanya mengenai peranan beliau dalam pilihan raya umum akan datang, Ku Li menimbulkan teka teki kepada setiap orang bila beliau berkata adalah amat sukar untuk menyatakan apa beliau akan lakukan seterusnya.