Sunday, October 17, 2010

KELANTAN LAUNG AMARAN KEPADA LAWAN

ejayaan menumbangkan gergasi bola sepak tanah air, Selangor 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin memberi mesej jelas kepada pasukan lain bahawa Kelantan cukup bersedia untuk merangkul kejuaraan kali ini.

Meskipun terpaksa berhempas pulas untuk melepasi peringkat kumpulan, pemain Red Warriors berjaya menunjukkan persembahan cemerlang apabila mudah menjinakkan Selangor.

Jurulatihnya, B. Sathianathan (kanan) berkata, aksi yang dipamer ketika membenam cabaran juara Liga Super itu adalah antara persembahan terbaik yang pernah ditunjukkan pemainnya.

"Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh semua pemain, terutama di separuh masa pertama. Mereka mengikut apa yang saya arahkan.

"Hasilnya kita berjaya menjaringkan dua gol serta menunjukkan tahap keyakinan tinggi serta corak permainan yang baik," katanya kelmarin.

Tambah Sathianathan, beliau mengakui dua gol babak pertama yang dijaringkan oleh pemainnya menjadi titik tolak kebangkitan mereka.

"Saya akui bukan mudah untuk menang ke atas Selangor, mereka sebuah pasukan yang hebat, apatah lagi kami turun tanpa kelibat penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha yang digantung perlawanan kerana kad merah pada suku akhir pertama tempoh hari.

"Pasukan kami telah membuktikan bahawa mereka tidak hanya bergantung kepada pemain tertentu, sebaliknya menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik dan tidak bermain secara individu," ujarnya.

Jelas Sathianathan, ini membuktikan Kelantan sebuah pasukan kuat dan tidak bergantung kepada 11 pemain utama semata-mata.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut memuji aksi yang ditunjukkan penyerang utamanya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang disifatkan antara aksi terbaik musim ini.
"Saya gembira dengan permainan Akmal. Saya tahu dia seorang pemain yang hebat sejak saya menjadi pembantu Hatem Soussi (bekas jurulatih remaja kebangsaan).

"Lihatnya hasilnya, dia telah membuktikan bahawa dia mampu melakukan sesuatu buat pasukan berbekalkan pengalaman yang dimiliki. Bagi saya, usia 29 tahun bukan penghujung karier buat seorang pemain sebaliknya inilah peluang terbaik untuk membuktikan sesuatu," tegas beliau.

Ketiga-tiga jaringan Kelantan kelmarin disumbangkan oleh Mohd. Nor Farhan Mohamad pada minit ke-13, diikuti oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-24, sebelum Mohd. Badri Radzi melengkapkan malam pesta Kelantan pada minit ke-79.

Utusan Malaysia

UMNO TIDAK MAMPU LAGI BERBALAH SESAMA SENDIRI.L..

"Sebagai komponen BN kita mesti buat BN kuat. Kita tidak sepatutnya berbalah di hadapan umum, kita patut lawan pembangkang, bukan sesama kita, lawan musuh kita," - Najib Razak


Oleh Ahmad Shukran Shaharudin
(Bernama,17 Okt 2010)


Perhimpunan Agung Umno ke-61 bakal berlangsung selama lima hari bermula esok (Selasa) hingga Sabtu ini seharusnya menjadi kesinambungan peringatan bagi anggota Umno untuk memperkuatkan parti, selain berusaha terus menerus mendapat sokongan jitu daripada kalangan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu bagi memastikan parti itu terus relevan.

Sudah banyak kali pemimpin-pemimpin Umno - yang terdahulu ataupun yang sedang memegang jawatan mengingatkan supaya parti keramat orang Melayu itu seharusnya relevan, inklusif bukan hanya kepada orang Melayu malah juga berkhidmat dan mendapat sokongan bangsa-bangsa lain.

Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 bagi memastikan keamanan dan kestabilan dalam negara berkekalan dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Umno yang merupakan parti terbesar dalam negara dengan keanggotaan 3.4 juta orang tidak mampu berbalah sesama sendiri, malah harus merapatkan saf bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 nanti membawa keputusan yang memberangsangkan untuk Umno dan BN.

Najib pada Jun lepas berkata beliau mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menghentikan perbalahan secara terbuka dan menumpukan kepada usaha-usaha serta amalan yang memperkukuhkan parti masing-masing dan BN.

"Sebagai komponen BN kita mesti buat BN kuat. Kita tidak sepatutnya berbalah di hadapan umum, kita patut lawan pembangkang, bukan sesama kita, lawan musuh kita," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Umno, sebagai parti tunjang atau tulang belakang yang memerintah negara, perlu menunjukkan contoh terbaik kepada semua parti komponen dan tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan.

Untuk memastikan Umno terus relevan dalam abad ke 21, Najib semalam turut mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Selain itu, Umno terus berusaha memastikan masalah dalaman di peringkat negeri diselesaikan dengan baik, contohnya di Terengganu, melalui Konvensyen Umno Terengganu 2010 yang diadakan semalam, telah memberi gambaran jelas bahawa Umno negeri itu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin Umno negeri itu semakin utuh.

Beliau tidak menafikan berlaku perselisihan faham dan masalah dalaman tetapi melalui Konvensyen Umno, ia berjaya merapatkan semula pemimpin di negeri itu.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam mengulas keadaan kelam kabut dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan anggota Umno bahawa: " Rakyat memerhati kekuatan kita.

Kita perlu perkuat diri sendiri dan bukan hanya bersandarkan kelemahan pihak lawan." Perkelahian antara pemimpin bahagian, cawangan dan juga peringkat negeri harus dielakkan kerana ini akan memberi kesan yang negatif kepada Umno seterusnya BN bagi menghadapi pilihan raya kelak.

Bagi Umno, perhimpunan kali ini bukan saja akan hanya membahaskan tiga usul iaitu membahaskan ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama, malah persidangan kali ini akan turut membicarakan usaha-usaha pembangunan kerajaan dalam Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 RMK-10) serta Bajet 2011, dan kemungkinan mengenai persiapan Umno menghadapi dua pilihan raya kecil pada 4 Nov ini dan pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin Umno perlu merapatkan barisan dan mempamerkan semangat 1Umno pada perhimpunan ini bagi memastikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan juga Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah yang akan diadakan serentak pada 4 Nov milik BN.

Pada perhimpunan kali ini, Umno membuat perubahan dengan mengadakan sidang antarabangsa sehari sebelum persidangan Umno bermula dengan menjemput pemimpin parti politik luar negara untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu 'Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru'.

Acara julung kali yang didakan itu telah menerima penyertaan seramai 63 peserta daripada 22 parti politik dari 20 negara.

Melalui persidangan itu, wakil antarabangsa dapat melihat pendekataan baru Umno melalui Model Politik Baru yang menjurus kepada pembangunan teknologi maklumat masa kini, selain memperlihatkan kepada dunia konsep kongsi kuasa BN.

Menerusi forum itu juga para perserta dijangka dapat berkongsi pandangan bagaimana menghadapi serangan dunia maya serta membina kekuatan politik.

Perhimpunan Umno yang akan bermula Selasa ini dengan perasmian tiga sayap Umno oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno akan dihadiri 4,907 perwakilan.

Mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Saturday, October 16, 2010

PRK GALAS - UNDI ORANG ASLI JADI PENENTU?

"Kecaman Orang Asli terhadap pengambilan tanah yang telah mereka usahakan sejak berpuluh tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri meluluskan pembayaran dividen tersebut. Biarpun ada kalangan pemimpin Orang Asli kini termakian ‘ubat guna-guna’ PAS itu, tidak semua masyarakat Orang Asli dapat ditipu malah usaha untuk mendapatkan hak milik itu tetap diteruskan sehingga hari ini" - Datuk Norzula Mat Diah

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 September lepas.

Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos. Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).


Jumlah 1,889 pengundi Orang Asli ataupun 16 peratus di Galas layak membuang undi pada pilihan raya kecil 4 November nanti adalah angka menarik kerana dikatakan, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Tengku Razaleigh Hamzah memenangi kerusi parlimen Gua Musang kerana mendapat 70 peratus undi dari masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Bagaimanapun agak menariknya pada 5 Oktober lalu, Ketua Masyarakat Orang Asli kawasan Galas, Pandak a/l Panjang Ey berkata, jentera pilihan raya parti tidak perlu masuk ke kawasan mereka semasa kempen nanti.

Apakah ini dimaksudkan dengan jentera politik Barisan Nasional (BN) dan pembangkang sekali?

Menurut Pandak, masyarakat Orang Asli di Galas sudah menubuhkan pasukan gerak gempur sendiri dan tidak mahu diganggu oleh mana-mana parti politik semasa kempen pilihan raya kecil di situ tidak lama lagi. Katanya: "Kami mempunyai jentera gerak gempur sendiri untuk berkempen dalam pilihan raya kali ini."

Anehnya kenyataan itu dibuat pada majlis ramah mesra Orang Asli dengan pimpinan PAS Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu pada hari berkenaan.

Menurut Pandak, pemimpin-pemimpin masyarakat Orang Asli juga harus diberi peluang untuk berceramah bagi menyuarakan masalah dan aspirasi masyarakat itu pada pilihan raya kecil itu.

Selepas kenyataan itu, kira-kira 400 Orang Asli yang terlibat dengan Ladang Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan di Gua Musang menerima pemberian dividen RM200 sebulan.

Bukan itu sahaja, PAS dikatakan turut berminat untuk mencalonkan Orang Asli sebagai calon jika perlu. Beberapa nama termasuk seorang pemimpin Orang Asli disebut-sebut sebagai bakal calon yang akan mewakili PAS dan kesemua nama tersebut telah dibawa ke Majlis Syura Ulama, badan kepemimpinan tertinggi PAS untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan pada 22 Oktober ini.

Antara nama yang disebut-sebut itu kepimpinan PAS kawasan Gua Musang iaitu Ketua Dewan Pemuda, Abdullah Husein; Timbalan Yang Dipertua, Dr. Zulkefli Mohamad; Naib Yang Dipertua, Husin Embong; Setiausaha, Azman Ahmad dan juga Pandak.

Bagaimanapun menurut sumber, Dr. Zulkefli mungkin tidak dipilih disebabkan rekod sebelum ini di mana beliau pernah tewas dua kali pada pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Gua Musang kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Persoalannya, kenapa begitu banyak diperkatakan mengenai Orang Asli di Gua Musang?

Apakah mereka kumpulan pengundi penentu kemenangan pada pilihan raya kecil Galas nanti?

Apakah angka 1889 pengundi Orang Asli ini boleh menentukan pilihan raya kecil ini berpihak kepada sama ada pembangkang atau BN?

Yang pasti PAS awal-awal lagi sudah berusaha menujuk Orang Asli dengan memberikan mereka dividen Ladang Rakyat itu. Ia amat jelas untuk memikat mereka mengundi PAS bagi membolehkan parti itu mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 646 undi.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah kecaman Orang Asli terhadap pengambilan tanah yang telah mereka usahakan sejak berpuluh tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri meluluskan pembayaran dividen tersebut.

Biarpun ada kalangan pemimpin Orang Asli kini termakian ‘ubat guna-guna’ PAS itu, tidak semua masyarakat Orang Asli dapat ditipu malah usaha untuk mendapatkan hak milik itu tetap diteruskan sehingga hari ini termasuk kaum lain yang turut menerima nasib serupa.

"Seluas kira-kira 9,200 hektar tanah milik Orang Asli telah diambil untuk diusahakan dalam Ladang Rakyat menyebabkan mereka marah dan bangkit untuk menebus hak mereka.

Atas sebab itulah kerajaan negeri mengambil mereka sebagai peserta dan meluluskan pembayaran RM200 sebulan sebagai dividen untuk menjadikan kaum ini 'kelabu mata' tetapi tidak semua macam itu," katanya baru-baru ini.

Norzula berkata, tanah-tanah tersebut telah diambil kerajaan negeri dan diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebelum diberikan kepada beberapa syarikat untuk diusahakan namun sehingga hari ini masih belum ada hasil yang dituai.

Jelas beliau, apa yang berlaku sebaliknya adalah balak yang ada di tanah-tanah berkenaan ditebang begitu juga dengan hasil hutan yang dijual untuk mendapatkan keuntungan segera. Kebanyakan kaum Orang Asli yang terlibat adalah dari Pos Brooke, Pos Sendrop dan Pos Blau serta beberapa penempatan kaum Melayu di sekitar Gua Musang.

Menurut beliau, ramai rakyat yang mengusahakan tanah tersebut sejak berpuluh tahun lalu telah menghantar borang di Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mendapatkan hak milik di tanah-tanah berkenaan tetapi gagal.

"Ladang Rakyat ini tidak seperti program yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di mana tanah rakyat dimajukan dengan membina infrastruktur serta memberi rumah kepada mereka. Memang ini tanah kerajaan tetapi kalau mereka sudah terlebih dahulu mengusahakannya sejak berpuluh tahun lalu maka kaum ini wajar mendapat pampasan atau setidak-tidaknya hak ke atas tanah itu," katanya.

Menurut laporan, pada 31 Ogos lalu, Penghulu RPS Sungai Rual, Rashid Bernas, 30, mendakwa, kawasan yang diambil itu turut melibatkan tanah yang diperuntukkan untuk mereka sejak 50 tahun dulu oleh kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, kerajaan juga tidak pernah berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil tanah yang dikatakan seluas kira-kira 4,000 hektar itu untuk dijadikan sebagai Ladang Rakyat.

"Tanah ini sebenarnya Rizab Orang Asli selepas tanah rancangan yang mengumpulkan Orang Asli ini dibuka di sini. Kami berhak di atas tanah ini. Kalau ia diambil kami tidak ada tanah lagi selepas ini.

"Kami yang duduk di sini menerima akibat, pendapatan terjejas kerana tidak dapat ke hutan serta pencemaran air yang serius. Adakah ini yang kami dapat dari Ladang Rakyat?" Taya beliau.

Dia turut mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas dari PAS tidak pernah sekali pun datang bertemu untuk berbincang dan membela nasib Orang Asli.

Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai di Gua Musang perlu dibantu sepenuhnya bagi mempercepatkan pembangunan dari segi pendidikan, ekonomi serta sosial agar mendapat manfaat yang sewajarnya.

Katanya pelbagai kemudahan serta pembangunan diatur kepada mereka yang terbaru ialah sebanyak 19 buah rumah kediaman bagi keluarga dekat sini sedang giat dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi bertujuan memberikan keselesaan.

“Dalam pada itu, projek jalan serta jambatan yang menghubungkan perkampungan Orang Asli Sungai Rual ke bandar Jeli juga dijangka siap setahun lagi dan ia akan memudahkan mereka di sini untuk ke bandar. Jika sebelum ini memerlukan masa 45 minit tetapi jika siap kelak jalan tersebut ia hanya memakan 10 minit sahaja,” katanya .

Menurutnya, semua kemudahan tersebut bagi memastikan masyarakat di sini mudah untuk berhubung dengan bandar yang terdekat bagi berurusan serta memberikan kesenangan kepada masyarakat yang berada di pendalaman.

Selain isu pembangunan Orang Asli di situ, BN dikatakan mempunyai kelebihan dengan ketokohan Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang yang dikatakan mampu menarik sokongan lebih 90 peratus masyarakat Orang Asli.

Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin berkata, penerimaan masyarakat Gua Musang terhadap Tengku Razaleigh digeruni PAS yang kini mula tidak senang apabila nama beliau dicalonkan untuk bertanding di kawasan tersebut.

“Apa yang jelas, masyarakat selesa dengan peranan yang dimainkan Ku Li di Gua Musang, malah saya percaya sokongan Orang Asli akan bertambah sekiranya beliau dicalonkan,” katanya baru-baru ini.

Apapun di pihak BN, sudah jelas bahawa calon terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya pada ketika Tengku Razaleigh sendiri menyatakan beliau tidak mempunyai hak menentukannya.

Yang peting kerusi Galas dirampas semula dan kedudukan BN terus mantap di Gua Musang jika ketiga-tiga kerusi DUN menjadi milik BN.

Inilah juga cita-cita Tengku Razaleigh yang kini menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil bagi DUN Galas itu.