Showing posts with label Amaran. Show all posts
Showing posts with label Amaran. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Amaran Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sederhana kadangkala lebat yang turun di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Jeli, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala Terengganu pula di kawasan Daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, sementara Pahang melibatkan Bentong, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Raub, dan Johor pula di kawasan Mersing.

Hujan sederhana dan kadangkala lebat boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter dijangka berterusan di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pada masa yang sama, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat), Utara Samui dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.

Sunday, October 17, 2010

KELANTAN LAUNG AMARAN KEPADA LAWAN

ejayaan menumbangkan gergasi bola sepak tanah air, Selangor 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin memberi mesej jelas kepada pasukan lain bahawa Kelantan cukup bersedia untuk merangkul kejuaraan kali ini.

Meskipun terpaksa berhempas pulas untuk melepasi peringkat kumpulan, pemain Red Warriors berjaya menunjukkan persembahan cemerlang apabila mudah menjinakkan Selangor.

Jurulatihnya, B. Sathianathan (kanan) berkata, aksi yang dipamer ketika membenam cabaran juara Liga Super itu adalah antara persembahan terbaik yang pernah ditunjukkan pemainnya.

"Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh semua pemain, terutama di separuh masa pertama. Mereka mengikut apa yang saya arahkan.

"Hasilnya kita berjaya menjaringkan dua gol serta menunjukkan tahap keyakinan tinggi serta corak permainan yang baik," katanya kelmarin.

Tambah Sathianathan, beliau mengakui dua gol babak pertama yang dijaringkan oleh pemainnya menjadi titik tolak kebangkitan mereka.

"Saya akui bukan mudah untuk menang ke atas Selangor, mereka sebuah pasukan yang hebat, apatah lagi kami turun tanpa kelibat penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha yang digantung perlawanan kerana kad merah pada suku akhir pertama tempoh hari.

"Pasukan kami telah membuktikan bahawa mereka tidak hanya bergantung kepada pemain tertentu, sebaliknya menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik dan tidak bermain secara individu," ujarnya.

Jelas Sathianathan, ini membuktikan Kelantan sebuah pasukan kuat dan tidak bergantung kepada 11 pemain utama semata-mata.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut memuji aksi yang ditunjukkan penyerang utamanya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang disifatkan antara aksi terbaik musim ini.
"Saya gembira dengan permainan Akmal. Saya tahu dia seorang pemain yang hebat sejak saya menjadi pembantu Hatem Soussi (bekas jurulatih remaja kebangsaan).

"Lihatnya hasilnya, dia telah membuktikan bahawa dia mampu melakukan sesuatu buat pasukan berbekalkan pengalaman yang dimiliki. Bagi saya, usia 29 tahun bukan penghujung karier buat seorang pemain sebaliknya inilah peluang terbaik untuk membuktikan sesuatu," tegas beliau.

Ketiga-tiga jaringan Kelantan kelmarin disumbangkan oleh Mohd. Nor Farhan Mohamad pada minit ke-13, diikuti oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-24, sebelum Mohd. Badri Radzi melengkapkan malam pesta Kelantan pada minit ke-79.

Utusan Malaysia