Friday, November 5, 2010

FAKTOR TENGKU RAZALEIGH DAN PENERIMAAN RAKYAT KEPADA BN

"Corak kempen yang diatur Tengku Razaleigh dengan cara bersemuka bagi memenangi hati pengundi banyak menyumbang kepada kemenangan BN. Malah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyerahkan kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh sebagai Pilihan raya BN kawasan Galas untuk menentukan corak kempen itu. Muhyiddin sedar Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi itu."

Wakil Rakyat DUN Galas Abdul Aziz Yusoff tertarik dengan rekaan kolam daripada beras berwarna yang dibuat oleh keluarga L.Saravanan ketika berkunjung ke rumah terbuka Deepavali keluarga itu di Taman Damar , Gua Musang. hari ini, 5 Nov. 2010.

Oleh Mohd Razman Abdullah (Bernama)

Ketokohan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai pemangkin kepada perubahan di Kelantan menjadi antara faktor utama kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Kekuatan BN di Galas dipengaruhi ketokohan dan jasa Tengku Razaleigh, yang merupakan anak raja pencetus kepada pembukaan serta pembangunan Gua Musang, sewaktu menjadi Menteri Kewangan, sehingga kawasan itu menjadi pintu masuk ke Kelantan daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri daripada Pantai Barat, melalui Cameron Highlands.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan "Ku Li", merupakan tokoh yang dihormati dan beliau merupakan Anggota Parlimen paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat iaitu selama 41 tahun mulai 1969.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

Kemenangan calon BN Abdul Aziz Yusoff dengan majoriti besar 1,190 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid, malam semalam.

Ia sekaligus menjadikan kemenangan pertama BN dalam pilihan raya kecil di Kelantan selepas pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai tahun lepas.

Dengan kemenangan itu, BN kini menguasai kesemua kerusi DUN bagi Parlimen Gua Musang, selain Nenggiri dan Paloh. Malah kerusi BN kini bertambah menjadi tujuh kerusi dalam DUN.

PAS pula susut satu kerusi menjadi 37 kerusi dalam DUN dan satu kerusi lagi milik sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut pemerhati politik, boleh dikatakan corak kempen yang diatur Tengku Razaleigh dengan cara bersemuka bagi memenangi hati pengundi banyak menyumbang kepada kemenangan BN.

Malah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyerahkan kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh sebagai Pilihan raya BN kawasan Galas untuk menentukan corak kempen itu.

Muhyiddin sedar Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi itu.

Menurut pemerhati politik, dengan strategi baru berkempen secara berhemah bagi mendekati 11,553 pengundi di DUN Galas, ia diterima baik oleh penduduk Galas.

Ia berbeza sebelum ini apabila BN tidak lagi menumpukan kepada program besar-besaran dengan menjadikan pemimpin besar sebagai 'umpan' bagi memancing kehadiran penduduk.

Malahan di kawasan 1,889 pengundi Orang Asli, BN meletakkan jenteranya di rumah-rumah mereka untuk menetap di sana bagi memberikan penjelasan serta membantu Orang Asli termasuk di Pos Hendrop, Pos Blau, Kuala Betis dan Pos Brooke.

Faktor calon baru BN Abdul Aziz turut menyumbang kepada kemenangan itu kerana beliau lebih dekat dihati rakyat kerana pernah bertugas sebagai pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan.

Berbanding calon PAS Dr Zulkefli, yang pernah tewas dua kali dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 dengan Tengku Razaleigh di kawasan Parlimen Gua Musang, ia menunjukkan rakyat telah mengenali siapa sebenarnya Dr Zulkefli.

Gerak kerja Umno Kelantan yang menumpukan perhatian terhadap empat kelompok pengundi -- warga emas yang menerima bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat, wanita, pemuda dan golongan agama, juga banyak membantu.

Menurut pemerhati politik, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat bahawa keempat-empat kelompok itu perlu didampingi kerana mereka juga merupakan penentu kepada kejayaan BN.

Menurut pemerhati politik, faktor lain seperti kerjasama berpasukan jentera pilihan raya dalam parti-parti komponen BN juga tidak boleh diketepikan.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan Kerajaan Pas Kelantan juga turut dibelenggu dengan kelemahan pentadbirannya selama 20 tahun yang kian "membuka pekung di dada" dan antara isu yang timbul ialah isu untuk membangunkan lagi kawasan Gua Musang serta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Selain itu, pengundi turut menilai isu "Ladang Rakyat" yang dilihat gagal kerana menimbulkan kemarahan rakyat kerana tanah yang mereka usahakan selama 20 tahun dengan tanaman getah dan sawit diambil balik kerajaan negeri untuk diberikan kepada syarikat pemaju.

Malah masyarakat Orang Asli sendiri kecewa dengan kerajaan negeri yang selama ini banyak mengabaikan kebajikan mereka termasuk dalam soal tanah menyebabkan kawasan yang menjadi tempat memburu dan bertani kini diceroboh pihak luar.

Bagi BN, yang menjadi parti membawa perubahan kepada pembangunan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, usaha itu telah terbukti sejak 53 tahun negara merdeka dan kejayaan itu mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum di Galas dan jajahan lain di negeri itu yang terlalu lama dahagakan pembangunan sejak 20 tahun lalu di bawah kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal melaksanakannya.

TAHNIAH KEPADA PAKAR STRATEGI DI GALAS

Daripada hambali1

Banyak pihak terkejut Barisan Nasional (BN) menang begitu besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas semalam , calon BN Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 4,134 undi. BN menang dengan majoriti 1,190 undi. Berbanding dengan pilihan raya 2008, calon PAS, Che Hashim Che Sulaima memperolehi 4,399 undi untuk menang dengan majoriti 646 undi.

Kemenangan ini walaupun ada kaitan dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat, namun isu-isu yang ditimbulkan di Galas dan perancangan kempen menjadi faktor utama kepada kemenangan BN dengan majoriti sedemikian.

Banyak pihak memang merasakan undi Orang Asli dan orang Cina di Galas menjadi penentu biarpun pengundi Melayu-Islam tetap menjadi asas kemenangan atau kekalahan.

Kerana itu menarik untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Pengarah Pilihanraya DAP, Thomas Su mengenai pengundi Cina seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Menurut analisisnya, terdapat dua faktor yang menjadi punca Pakatan hilang undi pengundi Cina, iaitu kempen 1Malaysia dan peratus pengundian yang tinggi.

Katanya, BN tidak pernah menggunakan parti politik Cina untuk berkempen, tetapi sebaliknya ia dilakukan menerusi apa yang dikenali sebagai "NGO 1Malaysia" untuk menarik pengundi Cina.

Kempen ini benar-benar berbeza berbanding dalam pilihan raya kecil yang lalu. BN tidak menggunakan parti politik (Cina) untuk kempen, semuanya datang dari kumpulan 1Malaysia, yang disokong oleh pemimpin MCA. "Setiap kali kita mengadakan ceramah besar, kumpulan itu akan mengadakan makan malam besar, ini tidak seperti trend kempen biasa pilihan raya BN."

Oleh itu, kata Thomas, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN. Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun Pakatan berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi daripada Pakatan dan menang di kawasan majoriti Cina.

Pakatan kalah 25 undi di Pulau dalam pemilihan umum.

Ini bermakna dasar 1Malaysia diperhalusi untuk dijadikan strategi oleh pihak tertentu dalam BN untuk membantu BN merampas DUN Galas yang menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada pakatan pembangkang.

DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Hanya dua kawasan yang bermajoriti pengundi Cina - Pulai (83.86%) dan Kampung Baru (52.6%). Manakala Bandar Lama merupakan kawasan campuran Melayu-Cina (30.54%).

Pakatan memperolehi 1,784 undi di tiga kawasan tersebut pada 2008, tetapi merosot 206 undi atau 4.92 peratus secara keseluruhannya dalam pilihan raya kecil semalam. “Dari angka-angka ini, kami menganggarkan undi pengundi Cina merosot 2 hingga 3.5 peratus tetapi ia tidak serius, drastik atau membimbangkan," kata Thomas.

Mengenai Orang Asli pula, cara kempen untuk membantu mereka dalam konteks jaminan masa depan memberikan kelebihan kepada BN.

Pada ketika PAS hanya melihat keperluan semasa – kerana itu menabur wang sebelum dan ketika kempen pilihan raya – BN memainkan isu pemilikan tanah, rampasan tanah untuk dijadikan Ladang Rakyat serta isu hakisan, pencemaran, air bersih dan sebagainya berjaya memikat hati orang Asli.

Dalam isu peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN dikatakan oleh PAS sebagai penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit yang dikatakan dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Itu kata mereka. Namun hakikat yang perlu diterima ialah selain Orang Asli lama terabai, tanah mereka dirampas dan ketidakpastian masa depan mereka tidak dilihat oleh PAS.

Juga jangan perkecilkan bagaimana Tengku Razaleigh meredah hutan belantara untuk ke perkampungan Orang Asli yang turut menjadi punca sokongan kepada BN.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun (gambar kiri) berkata, PAS tidak menjangkakan menerima kekalahan dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Dewan itu tetapi terpaksa menerima hakikat gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Kekalahan ini sesuatu di luar jangkaan... tapi kami terpaksa menerima hakikat dengan keputusan ini. Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku," katanya malam semalam.

Jika PAS akan melakukan post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan, BN juga perlu kenal pasti punca kemenangan dan di atas dasar apa sebilangan pengundi terus menyokong PAS walaupun terang-terangan PAS terjerat dengan masaalah yang mereka sendiri ciptakan, khususnya dalam isu merasuah pengundi dan janji yang tidak dilaksanakan di Galas.

Dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, BN akan bertambah yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dengan kedudukan semangat dan keyakinan yang semakin tingg, sewajarnya BN bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa.

PROVOKASI BERLEBIHAN BERI KEMENANGAN KEPADA BN

Calon BN bermesra dengan penyokong PAS semalam

Provokasi berlebihan oleh penyokong PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi salah satu faktor kemenangan besar di luar jangkaan kepada calon Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata provokasi itu menyebabkan pengundi di DUN Galas menjadi jemu dan muak dengan tingkah laku penyokong PAS yang sanggup mencederakan penyokong BN pada pilihan raya kecil itu semalam.

"Pengundi di kawasan itu dapat melihat dan menilai sendiri parti mana yang mereka boleh bergantung untuk membela nasib masa depan mereka," katanya selepas melawat keluarga mangsa lemas Siti Nor Ikma Mohd Rosli, 12, di Kampung Repet hari ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusof memperoleh majoriti 1,190 undi apabila meraih 5,324 undi berbanding calon PAS Dr Zulkefli Mohamed yang mendapat 4,134 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept lalu.

Semalam, berlaku kekecohan yang dikatakan berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, Gua Musang dibuka pukul 8 pagi.

Antara yang cedera dalam insiden itu termasuk Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Shukri, 37, yang cedera di dahi dan hidung setelah beliau diserang dengan tiang bendera PAS.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pada awalnya BN hanya menjangka akan memperoleh kemenangan tipis antara 200 dan 500 undi sahaja berasaskan kepada perkembangan semasa.

Katanya ramalan itu berdasarkan kesukaran BN untuk menang besar berasaskan majoriti yang diperoleh Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 melebihi 600 undi selepas mengalahkan calon BN Saufi Deraman.

Awang Adek juga berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kesepakatan parti-parti komponen terutama Umno dan MCA yang mengatur strategi kempen yang berhemah.

"Pengundi Cina di kawasan itu berasa selesa di bawah konsep 1Malaysia manakala pengundi Melayu pula berasa yakin dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipelihara dan diperkasakan," katanya.