Wednesday, January 11, 2017

UMK Sedia 7,000 Tempat Pengajian Tanpa Had Umur

Mortaza (dua dari kiri) beramah mesra bersama Profesor Emeritus Gary J. Confessore dari Universiti Columbia (tiga dari kanan) dan Profesor Choi Donmin (kiri) pada Persidangan EAFAE di UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa.
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan 7,000 tempat bagi pelajar tanpa had umur untuk pengambilan bulan Februari dan September ini menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kendaliannya.

Naib Canselornya, Datuk Dr Mortaza Mohamed, berkata calon PSH akan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana, sarjana dan doktor falsafah bidang keusahawanan, perdagangan, penternakan dan pertanian di UMK selain turut mendapat bimbingan Persekutuan Asia Timur Pembelajaran Dewasa (EAFAE) yang diasaskan Korea Selatan.

"Program bukan konvensional ini memberi peluang kepada masyarakat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi, menambah kemahiran dan sekali gus meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka melalui pendidikan," katanya ketika ditemui pada Persidangan EAFAE di Kota Bharu semalam.

Turut hadir, Presiden EAFAE, Prof Choi Donmin dan Pengarah Program EAFAE UMK, Prof Dr Ng Siew Foen. Katanya, peluang tawaran pengajian itu wajar direbut oleh pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan individu yang ingin memperbaiki taraf hidup.   

Bagi Donmini, penyertaan Malaysia sebagai ahli EAFAE sejak 2012 adalah tepat bagi menggalakkan rakyat meneruskan pembelajaran tanpa menjadikan umur sebagai penghalang.

"Program PSH sangat penting bagi mengubah negara ke arah lebih baik dan maju melalui kesedaran pendidikan, seperti di Korea Selatan, kita dapati hanya tiga peratus daripada rakyat yang tidak tahu membaca yang terdiri daripada warga emas," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya program PSH golongan berkenaan dapat dibantu sekali gus taraf hidup menjadi lebih baik.


Sementara itu, persidangan julung kali diadakan di Malaysia ini berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini dengan penyertaan 16 delegasi daripada negara Asia termasuk Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Jepun dan Thailand serta 60 peserta tempatan.

Saturday, January 7, 2017

Kenapa PAS Kuat Berprasangka, Di Mana Amalan Politik Matang?

 

Namanya parti Islam tetapi Islam PAS boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan kehendak kepimpinanan mereka.

Ada waktu ia halal, ada waktu harus dan ada waktu haram.

Kerana itu tidak pelik sama sekali jika PAS  mebelasah habis-habisan pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pada musim ‘haram berkawan dengan DAP sekarang’ sesiapa juga yang mendekati atau dilantik akan dicop sebagai ‘pemakan dedak DAP’. Dan memakan dedak orang kafir itu semestinya haram!!!

Apakah kerana PAS menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disebabkan keanggotaan DAP dan AMANAH, iaitu parti yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS pada 2015, parti lain seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun tidak boleh mendekati DAP?

Kenapa menyekat kebebasan parti lain?


Sedangkan hakikat yang diketahui oleh PAS sendiri, PKR belum memutuskan hubungan dengan DAP, walaupun sebelum ini beberapa siri ceramah menonjolkan pemimpin PAS, PKR dan PPBM secara sepentas yang diadakan baru-baru ini.

Lidah rasmi PAS Harakahdaily menyifatkan pelantikan Saifuddin sebagai penasihat strategik kepada ketua menteri Pulau Pinang, sebagai “dedak” oleh DAP bagi mengikat PKR.

“Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya. Itulah ‘dedak’ yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat,” menurut komen yang diterbitkan akhbar berkenaan kelmarin.

Lebih jauh Harakahdaily menganggap keputusan melantik Saifuddin sebagai sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan PAS.

Menurutnya, pelantikan “orang penting PKR” dalam pentadbiran DAP itu berlaku ketika PKR “masih menunjukkan sayang dan rindu kepada PAS di mana tidak pernah lafaz talak berlaku”.

“Kebimbangan itulah mendesak DAP membuat tindakan ‘strategik’ mengikat Saifuddin yang baharu sahaja sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR.


“Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai ‘penimbang tara’ terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam koalisi PH-Bersatu,” menurut penulisan itu.

Ia merujuk perjanjian kerjasama antara PH dan PPBM, pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelik dengan PAS yang kini melihat segala-galanya negatif mengenai DAP dan cuba pula menyekat persahabatan orang lain dengan DAP.

Inikah perangai pemimpin Islam yang kononnya cuba menerap budaya politik matang dan sejahtera?

Jika begini sikap PAS, mereka memang tidak matang. Malah mereka juga tidak menyumbang kepada usaha  membentuk masyarakat sejahtera, sebaliknya mewujudkan suasana masyarakat yang sentiasa mempunyai syak-wasangka kepada kaum dan agama lain.

Perbuatan ini berbahaya kepada masyarakat dan negara berbilang kaum di Malaysia dan pendirian serta perbuatan seperti ini wajar ditolak oleh rakyat jelata.

Benar kata Saifuddin bahawa pelantikannya itu tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan Harakahdaily.

Ini kerana Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah melantik beliau bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali sebelum ini.

Itu bukan perbuatan memberi dedak dan sebagai usaha berbaik-baik dengan PKR?


Ketika itu tiada pula sebarang pertikaian daripada ahli PAS  walaupun beliau daripada parti lain. atau apakah kerana ia keputusan PAS dan Nik Aziz?

Apakah yang PAS lakukan halal dan yang dilakukan DAP haram?

“Allahyarham Nik Aziz sangat maklum saya pemimpin PKR, tetapi melantik saya sebagai ketua GLC tersebut. Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya.

Malah, Nik Aziz turut memberi kepercayaan kepadanya untuk menjalankan program kebajikan untuk rakyat Kelantan.

“Jadi apa yang Guan Eng buat dengan melantik saya (Penasihat Strategik Ketua Menteri) itu adalah perkara yang telah pun PAS buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.

“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu PAS pula bukan dedak. Itu tidak betul,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pelantikan Saifuddin itu menerima sokongan Biro Politik PKR Pusat dan beliau memulakan tugasnya dari pejabar pentadbiran negeri di Komtar, di tingkat sama pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Selain menjadi penasihat, Saifuddin juga menganggotai jawatankuasa “Pemerkasaan Melayu” yang ditubuhkan untuk mendekati dan menarik sokongan masyarakat Melayu tempatan kepada PH.

Malah, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon turut mengakui bahawa usaha ini bertujuan mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri.

"Ini strategi dan bukan dedak," katanya. Malah, Saifuddin akan bekerja bersama pasukan yang digelar "Memperkasakan Rakyat di Pulau Pinang", yang termasuk dirinya.

"Tujuan pasukan ini adalah untuk merampas kembali kerusi Melayu yang pembangkang gagal menang pada dua pilihan raya lalu dan memperkukuhkan kerusi yang kita menang tipis," katanya kepada pemberita.

Rashid berkata pasukan itu akan memberi tumpuan kepada 10 kerusi yang dimenangi oleh Umno di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.

Berikutan itu Saifuddin menganggap ulasan Harakahdaily itu perlu melihat kebaikan usaha itu bukannya melalui kerangka PAS yang akan mendatangkan suatu mudarat yang besar.


“Saya anggap ianya sebagai analisis yang cetek,” tegas Saifuddin.

Friday, December 23, 2016

Isu Tanah - Fatah Haron Lawan Gallery Tani Ditetapkan 12 Mac 2017


Tuntutan Yang Dipertua PAS kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron yang memohon mahkamah membekukan bayaran berjumlah RM5 juta oleh Syarikat Perumahan Negara (PRIMA) kepada Gallery Tani Sdn. Bhd. yang dijadualkan pagi semalam dibatalkan.

Malah Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan perbicaraan kes ini pada 12,13 dan 14 Mac tahun hadapan.

Deklarasi yang melibatkan Abdul Fatah sebagai plaintif dan defendan, Galeri Tani Sdn Bhd yang dimiliki oleh Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali, Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan anak-anak bekas Bendahari Pas Kelantan, Allahyarham Cikgu Wan Osman sepatutnya didengar dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dato Ahmad bin Bache dalam kamar makhamah tinggi Kota Baru  jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, oleh kerana tiada persetujuan kedua-dua pihak pendaftar mahkamah menetapkan kes ini akan dibicarakan seperti ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Peguam kedua-dua pihak hadir mewakili defendan dan plaintif.

Kes ini dikatakan berkait dengan sebidang tanah seluas 200 ekar di Rantau Panjang.                                                                                                                             


Menurut laporan, tanah yang menjadi pertikaian antara Abdul Fatah dengan Mustapa, Abdul Halim Abdul Rahman bekas ADUN Tendong dan anak-anak kini sedang dibangunkan projek perumahan mampu milik.

Syarikat Galeri Tani Sdn Bhd ditubuhkan pada 23 Ogos 1995, menyebut bidang perniagaanya sebagai Property Investment dan Developer, ia dimiliki oleh tiga pemimpin Abdul Halim, (memegang syer sebanyak 330,000 unit, Mustapa Ali (170,000 unit syer), manakala seorang lagi Wan Othman Wan Yusuf berserta enam wanita yang dikatakan anak-anak arwah Wan Othman, bekas bendahari Pas Kelantan.

Projek itu dikendali oleh Syarikat Perumahan Negara 1Malaysia (PR1MA).

Dilaporkan juga, sekiranya projek ini terlaksana maka kawasan Lubuk Jong akan jadi pusat bandar baharu menggantikan bandar lama Pasir Mas yang lesu dan terbiar.

Daripada pelan projek itu menunjukkan tanah itu berkedudukan bertentangan dengan Kolej Komuniti Lubuk Jong. Ia berdekatan dengan Taman Tengku Anis serta bandar baharu Lubuk Jong.

Sumber dari Pejabat Tanah dan Jajahan di Pasir Mas, projek perumahan rakyat mampu milik itu mempunyai lebih 1,669 unit pelbagai jenis. Tanah yang melibatkan pembinaan projek itu hampir 100 hektar.

PR1MA dikatakan sudah pun membuat bayaran ke atas tanah berkenaan bernilai kira-kira RM19 juta. Wang untuk bayaran itu bagaimana pun tidak diserahkan kepada pemilik tanah berkenaan, masih dalam pegangan amanah peguam.

Bagaimaanaapun, wang sebanyak kira-kira RM19 juta masih dipegang oleh pihak peguam yang menguruskan jualbeli tanah berkenaan di antara syarikat Gelari Tani dengan PR1MA.


Ada juga dakwaan kononnya tanah berkenaan milik PAS Kelantan berdasarkan pengetahuan umum ianya dibeli dengan menggunakan wang parti Islam itu.

Dipercayai, Abdul Fatah membuat bantahan itu kerana bimbang wang hasil jualan tanah berkenaan diselewengkan.

Bagai mana pun kenapa timbul masalah sehingga terheret ke mahkamah apabila tanah itu dibeli PR1MA, indivdu penama dalam syarikat meemiliki tanah berkenaan mengakui ia adalah milik mereka dan tidak ada kena mengena dengan parti.

Abdul Fatah dikatakan berusaha beruding cara baik tetapi gagal. 

Beliau yang ditemui sebaik keputusan mahkamah semalam berkata, beliau akur dengan keputusan itu.

"Bagi pihak saya memang kes ini kita mahu menyesaikan di luar mahkamah seperti yang dinasihati oleh hakim.

"Oleh kerana pihak plaintif mahu perkara ini dibicarakan mengikut proses biasa, saya akan membuat persiapan yang perlu bagi menegakkan keadilan," katanya.