Friday, December 12, 2008

TETAP BERTEGAS TEBANG BALAK

Ini cerita Kijang tak sedap nak dengar. Delinga berdengung dan mahu telan air lior pun tersangkut dekat halkum.

Semalan Kerajaan Negeri Kedah tetap bertegas dengan pendiriannya untuk menebang balak di kawasan Hutan Simpanan Kerajaan di Hulu Muda sekiranya kerajaan Persekutuan gagal membayar pampasan RM100 juta untuk khidmat alam sekitar (PES) pada masa akan datang.

Kerajaan Kedah dikatakan akan memperoleh hasil balak sebanyak RM35 juta pada 2009 menerusi sistem tender terbuka kepada syarikat-syarikat pembalakan.

Pada pertengahan Jun lalu, kerajaan negeri itu berkata ia akan menebang pokok balak di kawasan tadahan air sekiranya kerajaan Pusat tidak membayar pampasan ekoran sumber hutan di kawasan berkenaan tidak boleh diambil.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam pula berkata, pampasan tersebut merupakan janji daripada kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada kerajaan negeri kerana tidak menebang balak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini, penebangan balak tidak akan dijalankan di kawasan berkenaan tetapi kerajaan negeri mungkin terpaksa berbuat demikian sekiranya sumber kewangan negeri terjejas.

''Sekarang kita tak tebang lagi, kalau kita dah tidak ada duit, barulah tebang," katanya kepada pemberita pada majlis Himpunan Pelajar dan Mahasiswa Negeri Kedah di Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon di Alor Setar.

Azizan dipetik Utusan Malaysia berkata demikian menjawab soalan mengenai isu pembalakan di negeri Kedah yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana dikatakan boleh menjejaskan alam sekitar memandangkan ia dijalankan di kawasan tadahan air.

''Ramai yang tidak faham, sebenarnya ia bukan kawasan tadahan air tetapi Hutan Simpanan Kerajaan, cuma ia dikelilingi oleh tasik. Jadi kenalah bezakan antara hutan simpan dengan kawasan tadahan air," tambahnya.

Pada 25 Jun lalu, beberapa ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Geologi dengan mendesak cadangan itu dibatalkan.

Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata langkah itu bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti alam sekitar tetapi juga bekalan air untuk sektor pertanian di negeri tersebut serta ke negeri Pulau Pinang dan Perlis.

''Kerajaan Kedah sepatutnya mengambilkira pandangan semua pihak termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga tidak bersetuju dengan cadangan membalak di kawasan tadahan itu," katanya.
Menurutnya, kerajaan Kedah tidak sewajarnya menjadikan ketiadaan dana sebagai alasan untuk mereka membalak di kawasan tadahan tersebut yang juga dikhuatiri boleh menjejaskan pertanian padi di negeri itu.

Tian Chua (PKR-Batu) yang mencelah ketika perbahasan itu turut melahirkan kekesalan terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah tersebut kerana isu alam sekitar adalah masalah bersama.

Beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar dan langkah menyekat kemusnahan alam sekitar perlu dilakukan termasuk kerajaan Pusat memberi dana kepada kerajaan negeri Kedah agar mereka tidak melakukan penebangan balak itu.

Puad memberitahu, kerajaan Pusat dan Kedah wajar berbincang tentang dana berkenaan tetapi ia bukan alasan untuk pembalakan itu diteruskan sebagai satu sumber pendapatan negeri.

Sementara itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula berkata, penguatkuasaan agensi berkenaan dalam pembalakan hutan tidak menjadi masalah besar bagi pengusaha kerana mereka mempunyai kemampuan untuk menyelesaikannya termasuk menawarkan sogokan yang boleh mendorong pihak penguat kuasa menerima rasuah.

No comments: