Friday, July 23, 2010

MB & EXCO KELANTAN BIADAP - TENGKU FAKHRY

Kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas laporan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dukacita dan kecewa kerana beliau serta barisan Exco tidak menyambut kepulangan baginda selepas menerima rawatan susulan dari Singapura, semalam?

Apakah Menteri Besar itu tidak menganggap Tuanku Ismail sebagai penting dan tidak lagi Sultan Kelantan?

Nik Aziz yang ditemui selepas majlis perasmian CNMC Goldmine Limited di Sokor dekat Tanah Merahi hanya mengangkat tangan sebelum berlalu pergi sebaik sahaja soalan mengenai isu tersebut diajukan.

Tindakan itu jelas menunjukkan beliau mengambil sikap berdiam diri seperti mana kenyataan yang dibuatnya pada 8 Mei lalu bahawa 'senyap adalah nasihat' ketika diasak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana kegagalannya memberikan nasihat sehingga menyebabkan krisis Istana Kelantan berlarutan.

Murysidul Am Pas itu dilaporkan berkata, sikap berdiam diri itu diambil kerana berpendapat kemelut yang melanda institusi diraja adalah masalah keluarga yang tidak melibatkan urusan kerajaan negeri.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tuanku Ismail menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Nik Abdul Aziz, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura semalam.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang semalam.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi berkata, Istana Kelantan akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok, berhubung 'nasihat' Tuanku Ismail supaya beliau tidak mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan kesihatan baginda bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

"Saya akan mempersembahkan kenyataan tersebut kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu sebelum ia diedarkan kepada media esok," katanya.

Semalam, doktor peribadi Sultan Kelantan, Kolonel Dr. Amir Ramli dilaporkan berkata, baginda menitahkan kepadanya supaya menasihati Abdul Halim agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan baginda di Singapura bagi mengelak kekeliruan di kalangan rakyat

Tuanku Ismail selamat pulang ke Kelantan semalam selepas menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 15 Julai lalu.

No comments: