Showing posts with label Sultan Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Sultan Kelantan. Show all posts

Monday, November 28, 2016

Bapa Saudara Sultan Kelantan Sertai AMANAH


Kemenangan moral untuk AMANAH Kelantan.

Ini kerana bapa saudara Sultan Kelantan Tengku Mohamed Tengku Yahya Petra mengisytiharkan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 25 November lalu.

Beliau membuat keputusan itu kerana kesal dengan tindak-tanduk pemimpin kerajaan negeri yang tidak turun padang membantu rakyat.

Pada majlis di kediamannya ketika kunjungan pimpinan AMANAH negeri Kelantan yang diketuai Datuk Husam Musa, beliau melahirkan kekecewaan kerana banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.

"Bolehkah bila berlaku banjir seorang pemimpin berkata saya tidak boleh pergi melihat keadaan rakyat kerana rumah sayapun turut kena banjir," katanya dengan nada kesal.

Beliau turut membangkitkan masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli akibat pembalakan di Kuala Balah.

"Saya tidak dengar mana-mana pemimpin negeri yang turun padang ke tempat Orang Asli buat 'blockade' sebagai protes kawasan mereka menghadapi masalah akibat pembalakan.

"Yang saya dengar Datuk Husam (Musa) yang pergi jumpa Orang Asli dan bertanya masalah mereka," katanya.

Beliau memuji pemimpin-pemimpin AMANAH negeri yang selalu turun padang dan berusaha mencari penyelesaikan kepada masalah yang dihadapi rakyat.

"Saya rasa ada persamaan antara kami.

"Sebab itu sekarang saya nak isytiharkan bahawa saya menyertai parti AMANAH," katanya.

Beliau turut membangkitkan usaha menghapuskan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya yakin parti AMANAH mempunyai sikap yang sama dengan saya untuk melawan rasuah.

"Insya Allah saya akan membantu parti AMANAH dengan segala upaya yang saya ada sehingga parti ini berjaya," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Mohamed menyerahkan borang keahlian AMANAH kepada Husam  disaksikan oleh Setiausaha  AMANAH negeri Kelantan,  Rushdan Mustafa.


Wednesday, March 5, 2014

Mustapa Jamin Kerajaan Pusat Beri Kerjasama Bangunkan Kelantan

 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan kerajaan pusat akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Kelantan demi pembangunan negeri ini.

Mustapa berkata apa yang penting bagi membangunkan Kelantan adalah keikhlasan dan ketelusan pemimpin kerana tanpanya, rakyat yang menjadi mangsa.

"Titah tuanku kita akan usahakan sebaik mungkin. Jika ada keikhlasan dan berterusan, kerjasama kedua-dua pihak ini sudah tentu membawa banyak faedah kepada rakyat.

"Insya-Allah kerajaan pusat akan terus beri kerjasama kepada kerajaan negeri dan yang penting kerjasama itu perlu dipertingkatkan lagi seperti saranan Sultan Kelantan

 "Kita mahu rakyat hidup dalam keadaan selesa dan hidup dalam keadaan aman. Kita mahu rakyat menikmati kemudahan sewajarnya yang disediakan kerajaan pusat," katanya selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13 Tahun 2014 di Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.

Majlis itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Ketika bertitah pada majlis itu, Sultan Kelantan mahukan kerajaan negeri dan pusat bekerjasama dalam merencanakan pembangunan yang sempurna di negeri itu.

Sultan Kelantan turut melahirkan rasa dukacita dan kecewa kerana ada pihak tertentu yang sanggup menggunakan media baharu untuk menyebarkan fitnah dan menyemai sikap benci-membenci antara satu sama lain.

Baginda bertitah media baharu itu juga turut digunakan untuk memusnahkan keamanan dan keselamatan yang dikecapi rakyat ketika ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas, mengingatkan tentang bahaya fitnah melalui media baharu yang berupaya mengancam keharmonian kaum dan menggugat keamanan negara.

Menurutya, dalam berpolitik sudah tentu wujud fahaman berbeza tetapi janganlah sampai menyimpan dendam peribadi sehingga sanggup melakukan fitnah melalui media baharu itu.

Berikutan itu, semua pihak diseru supaya memandang serius peringatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tentang budaya penyebaran fitnah menerusi internet serta perbuatan menyentuh sensitiviti agama.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, jika dibiarkan, perkara tersebut dikhuatiri menimbulkan pergeseran dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum serta agama.

"Ini satu peringatan penting yang perlu diambil perhatian. Dalam kita berpolitik, sudah pasti kita berbeza pandangan, namun apa juga pandangan, hendaklah berdasarkan fakta.

"Bahan-bahan dalam internet pula tidak semestinya berasaskan fakta memandangkan ada yang diputar belit semata-mata untuk memenuhi selera pihak tertentu," katanya.

Beliau mengulas titah ucapan Sultan Muhammad V menggesa rakyat supaya terus bertoleransi dalam melaksanakan ajaran agama masing-masing, di samping tidak menyentuh sensitiviti atau mencampuri urusan dan amalan agama lain.

Baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila ledakan teknologi maklumat menerusi internet terutama media baharu disalahguna segelintir pihak untuk menyebar fitnah dan memutar belit fakta sebenar sehingga mengelirukan rakyat.

Sunday, November 13, 2011

Sultan Kelantan Mahu Rakyat Waspada Anasir Anti-Golongan Berkuasa

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semalam mengingatkan rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan kemunculan iklim tidak sihat yang cuba dicetuskan oleh anasir anti-golongan berkuasa.

Baginda bertitah anasir itu, jika tidak diawasi, akan cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap melupakan sejarah mengenai "kontrak sosial" yang telah dipersetujui bersama.

"Anasir ini akan cuba mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.

"Beta menyeru pihak berkenaan supaya hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara," titah baginda pada Istiadat Singgahsana sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-42 baginda di Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.

Baginda turut meminta semua pihak supaya menggembleng tenaga untuk bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik. "Pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan muram pada tahun ini berbanding pada tahun lepas turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia. Inflasi juga semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Muhammad V bertitah semua pihak perlu bangkit untuk mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.

Baginda juga berharap agar sektor pertanian, penternakan dan perikanan memainkan peranan yang lebih berkesan, peka kepada perkembangan teknologi terkini, mesra alam dan lestari.

Aktiviti pertanian perlu meneroka pendekatan terkini seperti pertanian agronomik dengan pembangunan infrastruktur pertanian seperti jalan dan sistem pengairan perlulah dipertingkatkan untuk memastikan hasil pertanian yang optimum dan tanah-tanah terbiar juga perlulah dimajukan dengan medan guna tanah yang terkini, titah baginda.

Mengenai ancaman banjir, Sultan Kelantan juga berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang dilaksanakan kini dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini.

Belanjawan 2012 Kelantan yang terus menyaksikan peningkatan defisit turut mendapat perhatian Sultan Muhammad V yang meminta kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal.

"Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar. Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil.

"Suka beta menarik perhatian bahawa dalam mengatur perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian walaupun belanjawan defisit adalah suatu kelaziman di kebanyakan negara," titah Baginda.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merakamkan ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang disifatkan baginda sebagai pernyataan jujur bagi menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan simbolik kepada hubungan erat antara institusi beraja dan rakyat.

"Semoga negara dan negeri ini berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara-perkara yang tidak diingini," titahnya. Pada majlis itu, kira-kira 213 orang dikurniakan pingat, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin Ahli mendahului senarai dengan menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wednesday, December 29, 2010

Sultan Kelantan Sampai Bantuan Kepada 137 Penduduk Miskin Di Gua Musang

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Tuanku Faris Petra (kiri), berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada penduduk miskin pada majlis Pengurniaan Zakat dan Bantuan Tanah Jajahan Gua Musang, di Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Sungai Asap B, di Gua Musang, hari ini.

Seramai 137 penduduk miskin termasuk 29 daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang menerima bantuan zakat dan rumah yang disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini.

Daripada jumlah itu, 129 menerima bantuan zakat manakala bakinya menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam satu majlis di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B.

Selepas penyampaian itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melawat seorang peneroka, Sudin Che Ya, 59, yang menghidap asma kronik di RKT itu.

Sudin ketika ditemui Bernama selepas itu meluahkan rasa terharu dengan kunjungan Sultan Kelantan tersebut.

Kunjungan baginda adalah bukti Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap rakyat pedalaman, katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Asiah Ahmad, 57, berkata dengan adanya rumah baru itu dia sekeluarga tidak perlu lagi tinggal dalam keadaan daif.

Thursday, September 16, 2010

AKUR PEMASYHURAN SULTAN DEMI KEHORMATAN ISTANA

Minda Pengarang BERITA HARIAN

KONTROVERSI melanda Istana Kelantan sejak lebih setahun lalu akhirnya terungkai kelmarin, apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, secara rasminya dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 bagi menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra. Krisis pengganti Sultan di Istana Kelantan tercetus ekoran Tuanku Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu. Masalah kesihatan berpanjangan itu menyebabkan baginda tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan memerlukan pengganti.

Pelantikan Tengku Muhammad Faris, 41, dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang kelmarin, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tengku Muhammad Faris sebagai Raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan. MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering memerlukan pengganti baginda untuk dilantik sebagai Sultan. Dengan pemasyhuran itu, adalah wajar semua pihak akur kerana persetujuan dicapai sebulat suara 15 ahli MPN Kelantan yang hadir.

Kita percaya seluruh rakyat Kelantan pasti lega dan berharap kemelut membelenggu Istana Kelantan selama ini berakhir secepat mungkin. Mereka juga pasti tidak mahu sebarang kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh mana-mana pihak selepas ini kerana ia boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan nama baik institusi istana sendiri.

Pemasyhuran itu juga mampu menghapuskan percanggahan pendapat berhubung siapa yang lebih berhak menaiki takhta Istana Kelantan dan menamatkan pertelingkahan di kalangan kerabat istana. Melihat majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris yang berjalan lancar di Balai Rong Seri Istana Balai Besar, di Kota Bharu, kelmarin, kita percaya baginda diterima baik seluruh pemimpin tertinggi Kelantan dan rakyat jelata negeri itu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Namun, kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu masih tidak berpuas hati dan mempersoal pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang sah. Ini terbukti apabila sehari sebelum istiadat pemasyhuran, dilaporkan dua petisyen difailkan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Pihak yang menentang pelantikan itu menegaskan bahawa pemasyhuran itu tidak sah kerana Tuanku Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak pernah melepaskan takhtanya. Mereka menjelaskan Sultan Kelantan hanya boleh diganti atas tiga sebab iaitu jika baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan munasabah atau jika baginda turun daripada takhtanya. Apa pun kita berharap dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru ini memulihkan imej institusi Istana Kelantan, kecelaruan serta suasana tidak menentu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Seperti kata Nik Aziz: “Sekiranya ada tukul atau pahat yang masih berbunyi, diminta simpanlah dalam kotak masing-masing.” Mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan itu cukup jelas kerana beliau mahu mengembalikan suasana tenang di Istana Kelantan seperti sebelumnya. Sewajarnya sebarang masalah yang timbul selepas ini diselesaikan secara dalaman demi memelihara kehormatan institusi istana dan kerabat diraja sendiri.

Wednesday, September 15, 2010

PAS NYATAKAN SOKONGAN DAN TAAT SETIA KEPADA SULTAN KELANTAN

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan sokongan dan taat setia terhadap pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lepas.

Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa berkata pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ismail Petra yang sedang gering itu adalah mengikutperundangan negeri dan sah.

"Parti PAS menyatakan sokongan kepada pelantikan ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dan (kami) patik-patik sekalian mengharapkan pelantikan ini memberi satu ruang baru untuk memajukan terus negeri Kelantan yang telah diurustadbir lebih 20 tahun olehkerajaan PAS dan sokongan parti tidak berbelah bahagi," katanya pada sidangakhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Nasaruddin berkata pemasyhuran oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bertepatan dengan Artikel 6, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang memberi kuasa pada Majlis Perajaan Negeri (MPN) berbuat demikian.

Beliau berkata Artikel 6 menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan pelantikan tersebut dibuat oleh MPN.

Sehubungan itu, Nasaruddin yang juga anggota Parlimen Bachok dan mewakili beberapa anggota Parlimen negeri Kelantan yang turut menyatakan sokongan itu mengajak rakyat Kelantan turut memberikan taat setia serta sokongan padu terhadap pemasyhuran tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata pemerintahan di bawah Tuanku Muhammad Faris Petra, seorang raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam itu diyakini akan terus membawa kemajuan serta kemakmuran kepada negeri Kelantan.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai.

Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berkata semua pihak termasuk PAS tidak berhak menyentuh atau membuat spekulasi dalam soal pemasyhuran seorangSultan kerana ia adalah hak eksklusif istana serta urusan MPN.

Pada Selasa, seorang anggota MPN Kelantan yang juga seorang peguam terkenal,Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petrasebagai Sultan Kelantan yang baru tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Wednesday, August 25, 2010

Sultan Kelantan boleh memerintah

Tengku Muhammad Fakhry menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu kelmarin.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra kini boleh kembali menjalankan tugas rasmi dari kediaman baginda di Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini tanpa perlu masuk ke pejabat.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkata, kesihatan baginda semakin pulih selepas pulang dari menjalani rawatan di Singapura bulan lalu.

Menurutnya, baginda kini telah boleh mengeluarkan titah pada bila-bila masa.

“Sekarang (baginda) sudah boleh menjalankan tugas seperti yang saya katakan sebelum ini. Sultan bukan macam kontraktor yang perlu pergi ke tapak projek sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kalau kita ambil contoh, Raja Thailand pun saya rasa sudah lama di hospital. Mungkin lebih setahun belum keluar,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pengurniaan Zakat dan Berbuka Puasa Yayasan Tengku Temenggong bersama anak-anak yatim di Kota Bharu kelmarin.

Sultan Ismail yang gering sejak Mei tahun lalu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan pulang ke tanah air pada 4 Mac lalu.

Kosmo

Saturday, August 21, 2010

PEGUAM SULTAN KELANTAN TERUSKAN PERMOHONAN HABEAS CORPUS

Peguam Sultan Kelantan Akan Teruskan Permohonan Habeas Corpus

Peguam yang mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, akan meneruskan permohonan writ habeas corpus mereka untuk 'mendapatkan pembebasan' baginda sungguhpun pergerakan baginda kini tidak lagi terbatas.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata Sultan Kelantan mahu meneruskan permohonan itu tetapi beliau enggan mendedahkan butirannya apabila diminta mengulas mengenai permohonan itu yang telah menjadi 'akademik' memandangkan baginda tidak lagi terbatas untuk mendapatkan rawatan di Singapura.

"Kami kini bertindak atas arahan anak guam kami dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut," kata Mohd Haaziq.

Writ itu difailkan pada 7 Mei untuk memohon pembebasan Sultan Kelantan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Permohonan itu disokong oleh afidavit putera ketiga baginda, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Tuanku Ismail Petra menerima rawatan jantung selama sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sebelum berangkat pulang ke tanah air pada Mac tahun ini.

Writ itu menamakan lima responden -- Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Mohd Haaziq berkata Mahkamah Khas telah menetapkan 17 Sept untuk pengurusan kes untuk membolehkan kesemua pihak memfailkan afidavit selanjutnya.

Mengenai kesihatan baginda, Mohd Haaziq berkata terdapat banyak peningkatan tetapi baginda memerlukan rawatan susulan seterusnya di Singapura.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Khamis di hadapan Pendaftar Mahkamah Khas Harmi Thamri Mohamad.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili kesemua responden.

Sunday, July 25, 2010

PERBICARAAN KES CERAI ISTERI KEDUA SULTAN KELANTAN 8 OGOS

Perbicaraan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Perta terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, disambung 8 Ogos ini.

Hakim Syarie Abdullah Man menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan plaintif Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk meminda penyataan tuntutan yang dibuat pada 30 Jun lepas.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Elia Suhana, 31, yang dinamakan sebagai defendan berkata, keputusan itu dibuat dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Beliau berkata, Nik Rorhana ingin menambah beberapa fakta mengenai lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Kelantan selepas 12 Februari lalu.

"Hakim menolaknya dan hanya ingin membicarakan (kes) lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan pada 12 Feb lepas, dan lafaz pada tarikh tersebut telah difailkan oleh plaintif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Pada 3O Jun lepas, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes tersebut selepas membenarkan permohonan Nik Rorhana meminda penyataan tuntutannya.

Setakat ini, dua saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut, termasuk Nik Rorhana yang diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar.

Sultan Kelantan didakwa telah melafazkan cerai berkenaan ketika baginda masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa saksi.

Elia Suhana telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pengesahan lafaz cerai terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana 9 Mac lalu, bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah pada 23 Mei lepas.

Saturday, July 24, 2010

PENGELOLA ISTANA KELANTAN KURANG SENANG KENYATAAN DR AMIR

Pejabat Sultan Kelantan hari ini mengingatkan "individu luar" supaya tidak mencampuri urusan Istana Kelantan dengan membuat kenyataan yang bukan dalam bidang kuasa mereka.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata kenyataan oleh Kolonel Dr Amir Ramli yang disebut sebagai Pakar Perubatan Sultan Kelantan, dalam beberapa akhbar sebelum ini, adalah tidak bersesuaian sama sekali.


"Adalah tidak wajar beliau memberi teguran melalui media dan arahan kepada pegawai yang bukan di bawah kawalan beliau. Peringatan yang diberikan Dr Amir adalah baik, bagaimanapun ia tidak sesuai kerana Dr Amir bukanlah kakitangan Pejabat Sultan Kelantan dan saya tidak bertanggungjawab kepadanya dalam menjalankan tugas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Amir sebelum ini telah meminta Abdul Halim agar tidak membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Mengulas perkara itu, Abdul Halim berkata sehingga kini pejabat itu tidak menerima sebarang surat daripada pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang menyatakan Dr Amir telah ditempatkan di pejabat tersebut.

"Teguran beliau boleh menimbulkan persoalan 'siapa beliau' sedangkan tidak ada sebarang pelantikan secara rasmi sebelum ini," katanya.

Abdul Halim berkata, beliau selaku Pengelola Istana sebenarnya langsung tidak berhasrat membuat kenyataan mengenai tahap kesihatan baginda dan apa yang dilakukannya sebelum ini hanya mengikut titah.

Katanya, tuduhan kononnya beliau dan pegawai istana yang lain tidak menjenguk baginda di istana juga tidak wajar kerana apa yang dilakukan adalah berdasarkan kepada keperluan dari semasa ke semasa.

"Kita perlu memahami latar belakang yang berlaku dalam keluarga diraja dan apakah sumbangan yang boleh kita berikan. Sebagai ketua di pejabat Sultan Kelantan, saya akan menghadap Tuanku apabila ada masa yang sesuai atau dititah oleh tuanku," katanya.

Abdul Halim juga mengingatkan Dr Amir tidak menghuraikan hal ehwal kewangan kerajaan seperti urusan pembayaran bil hospital kepada akhbar kerana itu tidak wajar.

Pada 15 Julai lalu, Tuanku Ismail Petra berangkat ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan bagi penyakit jantung baginda dan pulang Rabu lalu.

Friday, July 23, 2010

MB & EXCO KELANTAN BIADAP - TENGKU FAKHRY

Kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas laporan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dukacita dan kecewa kerana beliau serta barisan Exco tidak menyambut kepulangan baginda selepas menerima rawatan susulan dari Singapura, semalam?

Apakah Menteri Besar itu tidak menganggap Tuanku Ismail sebagai penting dan tidak lagi Sultan Kelantan?

Nik Aziz yang ditemui selepas majlis perasmian CNMC Goldmine Limited di Sokor dekat Tanah Merahi hanya mengangkat tangan sebelum berlalu pergi sebaik sahaja soalan mengenai isu tersebut diajukan.

Tindakan itu jelas menunjukkan beliau mengambil sikap berdiam diri seperti mana kenyataan yang dibuatnya pada 8 Mei lalu bahawa 'senyap adalah nasihat' ketika diasak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana kegagalannya memberikan nasihat sehingga menyebabkan krisis Istana Kelantan berlarutan.

Murysidul Am Pas itu dilaporkan berkata, sikap berdiam diri itu diambil kerana berpendapat kemelut yang melanda institusi diraja adalah masalah keluarga yang tidak melibatkan urusan kerajaan negeri.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tuanku Ismail menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Nik Abdul Aziz, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura semalam.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang semalam.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi berkata, Istana Kelantan akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok, berhubung 'nasihat' Tuanku Ismail supaya beliau tidak mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan kesihatan baginda bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

"Saya akan mempersembahkan kenyataan tersebut kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu sebelum ia diedarkan kepada media esok," katanya.

Semalam, doktor peribadi Sultan Kelantan, Kolonel Dr. Amir Ramli dilaporkan berkata, baginda menitahkan kepadanya supaya menasihati Abdul Halim agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan baginda di Singapura bagi mengelak kekeliruan di kalangan rakyat

Tuanku Ismail selamat pulang ke Kelantan semalam selepas menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 15 Julai lalu.

Saturday, July 10, 2010

SULTAN KELANTAN KE SINGAPURA UNTUK RAWATAN SUSULAN 14 JULAI

Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Julai ini untuk menjalani rawatan susulan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata tujuan rawatan tersebut adalah untuk menukar tiub di perut Sultan yang berfungsi untuk menyalurkan makanan.

Beliau bagaimanapun berkata rawatan susulan itu tidak diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan dan setakat ini pejabat itu tidak dititah menguruskan rawatan susulan tersebut.

Katanya sebelum ini Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra bertitah sebarang rawatan ke atas baginda Sultan di luar negara perlu mendapat perkenan baginda selepas dirujuk kepada pakar perubatan dalam negara seperti yang digariskan dalam peraturan kerajaan.

"Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra amat prihatin terhadap kesihatan Sultan Kelantan dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya rawatan yang hendak dilaksanakan di Hospital Mount Elizabeth tidak terdapat dalam negara dan telah dirujuk dan disyorkan oleh pakar-pakar perubatan dalam negara dan dibincang di kalangan keluarga," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata terdapat sungutan rakyat untuk mengetahui kedudukan sebenar keadaan kesihatan Sultan dan ada juga kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak mendapat perkenan Sultan mahupun Pemangku Raja yang menyebabkan timbul kekeliruan.

"Cadangan untuk mendapatkan rawatan di luar negara tanpa mengikut prosedur yang digariskan menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat dan ada pihak membuat andaian bahawa ianya dibuat untuk melindungi keadaan sebenar Tuanku Sultan," katanya.

Tuanku Ismail yang mengalami masalah kesihatan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 14 Mei tahun lalu untuk menerima rawatan.

Baginda kemudiannya dihantar ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan susulan pada 24 Mei tahun lalu dan berangkat pulang ke Istana Mahkota di sini pada 4 Mac lalu.

Pada 4 Mei lepas, Tuanku Ismail dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk diperiksa oleh doktor panel yang dilantik oleh kerajaan negeri dan baginda dibenarkan keluar dari HUSM pada 9 Mei.